Cinta tak terucap (Bab 8)


“Iman. Bilik mandi mana?” 

Suri Imani tersentak. Dia berpaling melihat Ammar Mirza yang sudah menyarung kain pelekat dan berdiri tegak di muka pintu dapur. 

“Sebelah ni,” tunjuk Suri Imani pada satu laluan kecil yang menuju terus ke tandas dan bilik mandi tingkat bawah.

“Budak- budak tak balik lagi?”

Suri Imani menggeleng.

“Buat apa pergi kedai?” 

“Beli barang sikit untuk malam ni,” beritahunya.

Ammar Mirza mengangguk dan terus menuju ke bilik mandi. Pelik juga dia melihat bilik mandi dan tandas diasingkan. Tadi di dalam bilik Ilham, dia agak terpinga bila bilik Ilham tidak mempunyai bilik mandi. Berbeza dengan rumahnya yang dilengkapi dengan bilik mandi dan tandas untuk setiap bilik walaupun bilik orang gaji.

“Uncle,” tegur Ammar Mirza.

Suri Imani dan Encik Shamsul berpaling. Wajah Ammar Mirza nampak segar selepas mengambil air sembahyang.

“Panggil papa, Am,” suruh Encik Shamsul.

Ammar Mirza tersengih.

“Papa nak masak ke?” cepat sahaja Ammar Mirza mengikut arahan. Suri Imani sudah berpura- pura sibuk membasuh beras walaupun beras itu sudah bersih. 

“Papa memang nak masak. Iman tak bagi. Bertuah kamu hari ni. Iman masak malam ni,” ujar Encik Shamsul terus ketawa.

“Pa!”

“Papa gurau jelah..”

Ammar Mirza tarik sengih.

“Masak apa?” 

“Nasi Ayam Special Suri Imani,” cepat Encik Shamsul menjawab.

“Hati- hati... licin lantai. Saya keringkan alas kaki kat luar tadi,” pesan Suri Imani yang menghampiri peti ais. 

Ammar Mirza mengangguk. 

“Sayang dia pada kamu,” sakat Encik Shamsul lagi.

“Papa! Iman tak mahu masak nanti,” geram sungguh Suri Imani.

Ammar Mirza dan Encik Shamsul ketawa serentak. 

“Pergi keluar,” suruhnya pada Encik Shamsul. Tubuh ayahnya ditolak menuju ke pintu dapur. 

“Awak pun sama,” keras suara Suri Imani.

“Okey...” Ammar Mirza berjalan selangkah sebelum merasakan dirinya tidak seimbang. Segera lengan Suri Imani yang berada berhampiran dengannya dicengkam. Gadis itu menjerit.

“Nasib baik tak jatuh,” menggeleng Encik Shamsul yang juga terkejut.

“Terima kasih,” Ammar Mirza garu kepala. Merah mukanya menahan malu. Nasib baik tidak jatuh terlentang. 

“Tak apa,” Suri Imani pandang papanya yang tersengih.

“Kamu berdua ni kelakarlah...” tergelak Encik Shamsul selepas itu. Geli hati melihat kedua mereka yang merah padam seperti udang bakar.




1 comment:

  1. Comel...:-) mujurlah tertidur kat lif, tunang ada kat dlm lif yg sama... Sian Suri, nak makan, ada aje halangan...

    ReplyDelete

Back to Top