BAB 1

credit to google

SHUIB menendang bola masuk ke dalam pintu gol mini yang baru dibeli Dian Ilham minggu lepas. Walaupun bermain seorang diri dan hanya diperhatikan oleh Haji Dahlan dari jauh, Shuib nampak begitu gembira setiap kali bola yang disepaknya masuk ke dalam gawang. Haji Dahlan turut bersorak gembira. Hampir sebulan mereka kembali tinggal di rumah banglo dua tingkat milik arwah Dani yang selama ini dibiarkan kosong dan dijaga oleh salah seorang cucunya yang kebetulan menetap di Kuala Lumpur. Hampir tiga tahun rumah ini dibiarkan kosong. Selepas habis belajar Dian Ilham terus sahaja ditawarkan kerja di tempat praktikalnya dahulu iaitu di SENI Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat pencetak, penerbit dan pengedar majalah dan akhbar.

“Dian,” panggil Haji Dahlan yang sedang duduk ditas kerusi batu di luar rumah. Landskap rumah masih dijaga dengan baik oleh tukang kebun yang diupah membersihkan kawasan rumah seminggu sekali. Kolam air terjun buatan disudut taman terasa menyegarkan. Kawasan luar rumah nampak hijau selepas mengalami beberapa renovation yang dibuat oleh arwah Dani yang cintakan kehijauan.

“Kenapa tok?” Dian Ilham menjenguk dari tingkap.

“Buat apa dalam rumah?”

“Cari tadika untuk Shuib tok,” beritahu Dian Ilham. Dia rungsing memikirkan tadika terbaik untuk adiknya. Tadika itu sepatutnya dekat juga dengan rumah supaya senang untuk dia berulang- alik. Tinggal lagi dua minggu sebelum bermulanya tahun baru. Salahnya juga kerana tidak peka dengan persekolahan adiknya kerana terlalu sibuk dengan kerja sebagai seorang wartawan majalah.

“Jumpa?”

Dian Ilham geleng kepala. Dia menghampiri datuknya sambil membawa laptopnya.

“Dian cari tadika dan fardu ain yang dekat sini. Tapi tak banyak yang letak dalam internet. Dian ingat nak pusing area ni esok lepas habis kerja,” beritahu Dian Ilham cadangan yang difikirnya tadi.

“Tanyalah jiran,” usul Haji Dahlan.

“Jiran?”

Haji Dahlan mengangguk kepala.

“Depan tu. Atuk tengok ramai anak. Ada juga yang sebaya dengan Shuib agaknya. Dian pergilah tanya. Dulu masa kita duduk sini.. rumah tu tak ada lagi,” cerita Haji Dahlan.

Dian Ilham melepas pandang ke arah rumah banglo dua tingkat di hadapannya. Kawasan perumahan ini adalah sebuah kawasan perumahan untuk golongan berada. Hampir seluruh rumah di sini adalah rumah banglo yang dibina atas kehendak pemilik tanah. Dulu kawasan hadapan rumahnya adalah lot kosong.

“Ish, Dian takutlah tok,” ujar Dian Ilham.

Haji Dahlan tersenyum.

“Itulah orang sekarang ni… sepatutnya kita beramah mesra dengan jiran tetangga.”

“Susahlah tok duduk bandar ni. Bukan macam kat rumah mak long. Kalau kawasan kampung, senang kita nak bertegur sapa,” ucap Dian Ilham jujur. Keluarga yang duduk di kanan rumah mereka adalah orang India manakala di kiri pula adalah orang cina. Kebetulan, 1 Malaysia. Tapi Dian Ilham sudah mengenali mereka sejak kecil lagi. Mereka juga peramah. Susah dia hendak bergaul dengan orang yang baru dikenalinya. Mereka juga yang menawarkan diri untuk tengokkan rumah dia sewaktu ditinggalkan dahulu.

“Kakak jom main,” ajak Shuib yang nampak mengah berlari menghampiri mereka berdua. Nasib baiklah arwah ayah ada meninggalkan sedikit kawasan kosong yang hanya dihiasi dengan rumput permaidani. Sekitar rumah mereka sengaja dibina kolam yang seakan- akan mengelilingi rumah dan kemudian disambung dengan jambatan kecil untuk merentasi kolam tersebut.

“Mana bola?”

“Tu…” tunjuk Shuib pada bola yang sudah tenggelam di dalam kolam.

Dian Ilham geleng kepala.

“Terkejut ikan dalam kolam tengok bola adik.”

Shuib ketawa. Dia merapatkan diri pada kakaknya sebelum Dian Ilham menarik adiknya keatas riba. Pipi gebu itu dicium geram. Berpeluh sekali dahi dan rambut lurus Shuib.

“Kenapa kurus sangat adik ni tok?” soal Dian Ilham. Sedih juga melihat tubuh kurus kering Shuib yang memang susah hendak makan tapi suka bermain. Jadi badannya seperti susah hendak membesar kerana kekurangan zat dalam badan.

Haji Dahlan tersenyum. Dulu sewaktu arwah Jamilah masih hidup, tubuh Shuib nampak berisi dan tembam sehingga membuatkan orang yang melihatnya geram ditambah lagi kulitnya yang gebu serta mata berwarna coklat sama seperti Dian Ilham. Warna mata tersebut diwarisi dari arwah ayah mereka. Shuib putih gebu, Dian Ilham pula kuning langsat dengan rambut lurus hitam separas bahu. Rambut Shuib pula sedikit kerinting dan berwarna sedikit coklat. Shuib saling tidak tumpah seperti Dani. Tapi selepas terputus susu badan, selera makan Shuib juga hilang. Dia sendiri bingung dengan makanan yang boleh menarik perhatian Shuib.

“Bila nak jadi gemuk macam kakak?” soal Dian Ilham.

Shuib tarik sengih.

“Kakak pun kurus. Kakak jadi gemuk, Shuib ikut jadi gemuk,” balas Shuib.

Dian Ilham ketap bibir. Pandai menjawab. Ciri- ciri yang diwarisi dari arwah ayahnya yang dahulunya seorang peguam dan memiliki sebuah firma guaman yang agak terkenal di Kuala Lumpur. Kini firma itu diuruskan oleh kawan ayahnya yang dipercayai oleh keluarganya.

“Kalau kakak gemuk. Tiada siapa nak kakak nanti,” beritahu Dian Ilham.

“Ala… kakak jangan risau. Abang Zack nak kakak lagi,” balas Shuib.

Dian Ilham tersentak. Zack. Sudah lama dia tidak mendengar khabar dari lelaki itu sejak mereka berpisah beberapa bulan lalu. Lama juga mereka menjalinkan hubungan sehingga Shuib sudah menganggap Zack sama seperti abangnya. Tapi jodoh mereka tidak panjang.

“Shuib,” segera Haji Dahlan meletakkan jarinya pada mulut mengisyaratkan supaya Shuib tidak meneruskan kata- kata.

Shuib garu kepala yang tidak gatal. Pelik juga dia kerana sudah lama tidak berjumpa dengan Zack. Selalunya abang Zack selalu menghubungi kakaknya. Jadi dia juga boleh bercakap dengan abang Zack.

“Assalamualaikum….”

Dian Ilham pandang atuknya yang nampak terkejut dengan suara nyaring budak perempuan di pintu pagar. Tanpa disuruh atuknya, Dian Ilham sudah berlari masuk ke dalam rumah untuk mengambil remote bagi membuka pintu pagar. Shuib pula mengekor langkah atuknya yang menghampiri pintu pagar.

“Waalaikumussalam,” jawab Haji Dahlan sedikit menjerit bila suara kecil itu masih lagi menjerit- jerit. Dian Ilham tersengih sahaja kerana dapat merasakan ketidaksabaran budak tersebut menanti pintu pagar dibuka.

“Saya Puteri Adriana. Saya nak main kat sini boleh?” terus sahaja kanak- kanak tersebut memperkenalkan diri selepas pintu pagar terbuka. Tanpa meminta kebenaran, dia sudah berlari masuk ke dalam kawasan rumah.

“Boleh,” serba salah Haji Dahlan.

“Rumah Adriana mana?” soal Dian Ilham pula sedikit pelik. Tiba- tiba sahaja muncul di hadapan rumah mereka. Rasanya dia tidak pernah nampak lagi kelibat budak perempuan ini sebelum ini. Dari susuk tubuhnya, Dian Ilham mengangak bahawa dia sebaya dengan Shuib.

“Tu,” tunjuk Adriana pada rumah banglo dihadapan rumah mereka.

“Mama dan papa Adriana mana?”

“Ada kat rumah. Adriana nampak dia main bola tadi dari bilik Adriana. Jadi Adriana nak main sekali. Boleh?” soalnya pada Shuib. Shuib pula nampak malu- malu apabila selamba sahaja Adriana menarik tangannya. Dian Ilham sudah tergelak diikuti atuknya.

“Boleh tak?” soal Adriana lagi bila Shuib tidak memberi respons.

Shuib angguk kepala. Dian Ilham tersengih sahaja.

“Nama awak siapa?” soal Adriana. Ramah sungguh Adriana. Shuib yang petah berkata- kata juga nampak kelu untuk bercakap.
“Shuib.”

“Oo.. saya Puteri Adriana. Awak boleh panggil saya Adriana je,” balas Adriana sambil menghulur tangan untuk bersalam. Shuib garu kepala yang tak gatal sebelum menyambut huluran tangan Adriana.

“Awak umur berapa?”

Shuib menunjukkan kelima- lima jari tangannya.

“Kita sama,” balas Adriana yang murah dengan senyuman.

Shuib angguk kepala. Dian Ilham membanding mereka berdua. Nampaknya Adriana nampak lebih tinggi dan berisi berbanding adiknya. Shuib memang tidak nampak seperti budak berusia lima tahun. Tubuhnya kurus dan agak pendek. Dia lega kerana apabila membawa Shuib berjumpa doktor, doktor memberitahu bahawa Shuib kekurangan zat menyebabkan dia membesar agak lambat berbanding kanak- kanak seusianya.

“Kita ada abang. Dia pun suka main bola. Tapi dia tak suka main dengan kita. Dia kata budak perempuan ni leceh. Kakak kita pun tak suka main bola. Dia kata tu permainan budak lelaki. Adik kita kecik lagi. Jalan pun tak reti,” panjang lebar Adriana berkata- kata dengan membahasakan dirinya ‘kita’.

Dian Ilham memandang atuknya yang turut tersenyum melihat Adriana yang senang sahaja berkawan dengan Shuib.

“Awak suka bola?” soal Shuib masih nampak malu- malu.

Adriana mengangguk.

“Jom main. Bola ada kat situ,” tunjuk Shuib yang sudah berlari mengambil bolanya. Adriana turut berlari dan mengekor langkah Shuib.

“Dian ingat… lepas ni nak beli buaian dan gelongsor mini. Letak kat sudut sana,” tunjuk Dian Ilham selepas dia duduk semula di atas kerusi batu. Haji Dahlan duduk menghadapanya. Laptop masih lagi dibiarkan diatas meja.

“Sempit tak nanti Shuib nak main?”

Dian Ilham geleng kepala.

“Dian rasa tak sempit sangat. Lagipun ruang tu dulu arwah ayah ingat nak buat pankin. Tapi tak sempat. Jadi biar letak buaian dan gelongsor mini tu lah. Dian dah tengok dah kedai yang jual tu. Taman permainan jauh dari rumah kita ni. Buat masa ni, Dian tak harap sangat Shuib main jauh- jauh. Dia pun kecik sangat,” ujar Dian Ilham.

Haji Dahlan terdiam. Dia memandang Shuib dan Adriana yang sudah nampak serasi bermain bersama- sama. Sesekali matanya melilau melihat rumah Adriana. Risau juga kalau ibubapa Adriana mencari anaknya yang tiba- tiba hilang. Cadangan Dian Ilham ada betulnya juga. Dia juga sudah semakin tua untuk membawa Shuib bermain. Kalau dibelikan permainan tersebut, sekurang- kurangnya Shuib tidak bosan di rumah.

“Ikutlah Dian. Nanti kalau nak duit. Beritahu atuk,” ucap Haji Dahlan.

Dian Ilham tersenyum.

“Tak perlu tok. Duit arwah ayah banyak lagi,” jawab Dian Ilham.

Haji Dahlan mengangguk sahaja. Dia bersetuju dengan kata- kata Dian Ilham. Dahinya berkerut seribu bila melihat beberapa orang keluar dari rumah Adriana.

“Kenapa tok?”

“Tu,” tunjuk atuknya pula.

“Adriana,” jerit seseorang.

Dian Ilham dan Haji Dahlan berdiri hampir serentak. Pasti itu adalah mama Adriana.

“Sini,” jerit Adriana lantang. Dia masih lagi meneruskan permainannya bersama Shuib.

“YA ALLAH, budak bertuah ni,” pucat nampak wajah mama Adriana bila sampai dihadapan rumah. Dian Ilham dan Haji Dahlan menghampiri mama Adriana.

“Maaflah anak saya ni. Nakal sangat. Rasa macam nak hilang jantung ni bila kakak dia cakap adik dia hilang dari bilik,” beritahu mama Adriana sebelum menoleh ke belakang bila seorang lelaki memanggilnya. Lelaki tersebut berlari kea rah mereka. Wajahnya nampak lega bila melihat kelibat Adriana.

“Budak ni,” lelaki itu bersuara sebelum menunjukkan isyarat agar Adriana menghampirinya. Shuib sudah berhenti bermain. Dia menarik tangan Adriana supaya mengikutnya. Adriana nampak takut- takut bila melihat wajah papa dan mamanya.

“Maaflah. Tadi Adriana tiba- tiba muncul nak main dengan cucu saya,” beritahu Haji Dahlan.

“Budak ni degil. Saya Megat Adli. Panggil saya Adli je. Ini isteri saya, Raihana. Panggil Hana,” terus sahaja Megat Adli menghulurkan tangan sebelum disambut segara oleh Haji Dahlan.

“Saya Dahlan.”

“Comel,” geram Dian Ilham pada bayi perempuan yang didukung oleh Raihana. Tembam sungguh. Wajah bayi tersebut seiras dengan Adriana.

“Ini Puteri Alya. Ini pula Megat Anaqi dan Puteri Amani,” tunjuk Raihana pada kedua- dua anaknya yang sejak tadi hanya berdiam diri.

“Baru pindah sini?” soal Adli.

Haji Dahlan geleng kepala.

“Eh, rasanya tak pernah nampak lagi.”

Adli melepas pandang pada gadis muda disebelah Haji Dahlan serta kanak- kanak lelaki yang berada disamping mereka.

“Ini cucu- cucu saya, Dian dan Shuib. Kami dah menetap sini lama dah… dari Dian ni budak lagi. Tapi tiga tahun lepas, selepas ibubapa mereka meninggal dunia… saya bawa balik Dian dan Shuib ke kampung. Bulan lepas kami masuk balik lepas Dian habis belajar.”

“Maafkan saya,” berubah wajah Adli dan Raihana. Terpamir rasa belas kasihan pada wajah mereka berdua.

“Tak apa. Dian nak mintak maaf. Dian tak tahu pun Adriana datang sini tak mintak permission,” beritahu Dian Ilham.

Adriana tarik sengih bila Adli sudah menarik pipinya.

“Adli baru pindah sini kan?” soal Haji Dahlan.

Pantas Adli dan Raihana mengangguk.

“Baru dua bulan lebih. Tapi kami betul- betul menetap kat sini… seminggu yang lepas. Sebelum ni saya kerja di UK. Baru sahaja dapat bertukar kat KL,” cerita Adli.

“Ooo… mesti tak biasa dengan Malaysia kan?” soal Haji Dahlan.

“Kami dah biasa. Anak- anak mungkin tak sangat. Semua membesar dan lahir kat sana. Semua tak tahan panas. Memerap dalam rumah. Sejuk. Adriana seorang je yang memang terlebih lasak,” balas Adli.

Haji Dahlan tersenyum sahaja.

“Marilah masuk dulu. Berbual kat luar… macam tak sopan je,” usul Dian Ilham.

Haji Dahlan mengangguk. Dia sendiri terlupa bahawa mereka masih berada di hadapan pintu pagar.

“Eh, tak apalah. Kami nak bawa Adriana balik je ni. Sibuk mengacau rumah orang.”

“Ish… tak ada salahnya. Adriana nak berkawan je tu. Mari,” ajak Haji Dahlan. Dian Ilham mengangguk.

Walaupun nampak serba salah, Adli dan Raihana turut melangkah masuk diikuti oleh Anaqi dan Amani. Adriana sudah kembali bermain bersama Shuib.

tolang saya komen ye (:

ditulis oleh
Imani Hatta

2 comments:

  1. sweet nyer adriana. ha3..
    best2..xsabar nak tunggu hero malaya muncul ;)

    ReplyDelete
  2. best... sambung lagi... tak sabar nk tunggu heronya muncul..

    ReplyDelete