![]() |
| credit to google |
“Kakak ada boyfriend?” soal Amani.
Dian Ilham tersentak. Matanya bulat. Terkejut dengan soalan kanak- kanak yang baru berusia lapan tahun. Tahukah Amani dengan maksud sebenar boyfriend?
“Kenapa Amani tanya? Amani ada boyfriend?” sengaja dia menyoal. Rasanya sewaktu dia sebaya dengan Amani dulu, perkataan boyfriend langsung tidak terlintas dalam fikirannya. Rasanya lelaki atau perempuan sama sahaja.
Amani geleng kepala.
“Dulu masa kat UK. Amani suka budak ni. Tapi dia tu orang korea. Jadi dia tak boleh ikut Amani balik Malaysia,” balas Amani. Wajahnya nampak sedih.
Dian Ilham ketap bibir. Dia tidak pasti sama ada mahu bersimpati dengan Amani atau tidak. Kata- kata Amani hampir membuatkan dia tergelak. Tapi dia takut menguris perasaan Amani yang masih nampak bersedih.
“Adriana suka Sean. Dia baik,” sampuk Adriana pula yang turut sama mengikuti perbualan antara Dian Ilham dan Amani. Shuib dan Anaqi hanya memasang telinga. Tangan mereka lincah mengolek adunan yang bakal dibuat biskut. Suka sungguh mereka tadi apabila Dian Ilham memberitahu ingin membuat biskut pada petang ini. Sejak pagi lagi mereka berempat berada di rumah Dian Ilham.
Adli yang merupakan seorang arktikek terpaksa ke Langkawi pagi tadi walaupun hujung minggu. Raihana pula adalah salah seorang pensyarah di UIA. Kebetulan hari ini, Raihana juga terpaksa bekerja. Panjang muncung Anaqi, Amani dan Adriana pagi tadi apabila rancangan mereka pada hujung minggu untuk pulang ke kampung mereka di Kuantan terpaksa dibatalkan. Nasib baiklah mereka tidak buat perangai. Sekejap sahaja mereka menyesuaikan diri. Cuma Alya sahaja yang memerlukan masa.
“Anaqi ada girlfriend?”
Anaqi geleng kepala.
“Budak perempuan lecehlah kakak.”
“Kenapa?”
“Tengok diaorang ni pun… Anaqi dah pening,” ujarnya perlahan. Amani dan Adriana sama- sama melepas pandang pada abang mereka sebelum tersengih.
“Ramai budak perempuan suka abang. Tapi abang tak layan,” sampuk Adriana.
“Bagus. Macam inilah. Lagipun Anaqi kecil lagi. Baik fikir belajar je. Anaqi nak jadi apa besar nanti?” soal Dian Ilham. Tangannya juga sibuk menggolek adunan.
“Arkitek. Macam papa. Anaqi suka melukis,” cepat sahaja Anaqi menjawab.
“Amani?”
“Amani nak jadi pereka fesyen.”
“Wow, mesti Amani pun pandai melukis kan?”
Amani mengangguk. Dia memang suka melukis.
“Shuib nak jadi apa?” soal Anaqi.
Shuib angkat bahu. Dia memandang kakaknya.
“Shuib nak jadi macam papa.”
“Papa Shuib kerja apa dulu?” soal Anaqi. Dia terbayang wajah papa dan mama Shuib. Walaupun tidak pernah bertemu, gambar mereka boleh dilihat di ruang tamu. Papa Shuib memang segak dan dia tiba- tiba teringat jubah yang dipakai papa Shuib.
“Papa Shuib… peguam ye?”
Berkerut dahi Shuib. Dia tidak pasti apakah nama pekerjaan papanya. Dia terlupa perkataan itu. Tapi menurut datuk dan kakaknya, papanya bekerja untuk menangkap orang jahat. Bezanya papa bukan polis.
“Pandai Anaqi,” Dian Ilham tersenyum tawar.
“Dulu arwah papa kerja sebagai peguam, dik,” beritahu Dian Ilham. Sudah berpuluh kali dia memberitahu Shuib. Pasti sahaja Shuib terlupa akan nama pekerjaan tersebut.
“Betul! Shuib nak jadi peguam,” wajah Shuib nampak bercahaya. Dia tersenyum panjang.
“Macam Pak Chu. Pak Chu pun peguam,” beritahu Amani.
“Pak Chu?” berkerut dahi Dian Ilham.
Anaqi dan Amani mengangguk sahaja.
“Minggu lepas Pak Chu datang rumah. Nanti kalau Pak Chu datang, kitaorang tunjuk.”
“Cepatlah tanya Adriana pulak,” suruh Adriana. Dari tadi dia menunggu Dian Ilham menyoalnya pula.
Dian Ilham ketawa.
“Adriana nak jadi apa sayang?”
Adriana tersengih.
“Adriana nak jadi suri rumah.”
“Hah?” terlopong Dian Ilham.
“Kenapa kakak terkejut pulak. Jadi suri rumah best. Duduk rumah je. Tak payahlah pagi- pagi Adriana terkejar- kejar macam mama. Bising mulut suruh semua orang bangun tidur,” ucap Adriana panjang lebar.
Suara tawa yang agak kuat dari belakang membuatkan mereka berempat berpaling. Haji Dahlan ketawa. Terbeliak mata Dian Ilham bila melihat lelaki yang berdiri di sebelah datuknya. Eh, rasa macam dia?
“Awak?” lelaki itu terlebih dahulu bersuara.
Dian Ilham kelu untuk bersuara. Baru beberapa hari lepas dia hampir bergaduh dengan lelaki itu. Dia teringat peristiwa dia tersadung batu di hadapan lelaki itu. Sepantas kilat dia terasa darah menyerbu ke muka.
“Dah kenal ke?” soal Haji Dahlan agak pelik. Alya berada dalam dukungannya. Alya memang suka di dukung. Pantang dia diletakkan di atas lantai, pasti Alya meraung semula. Sejak tadi Alya memang tidak lepas dari dukungan datuknya kecuali sewaktu datuknya sembahyang. Kesihan juga. Tapi Alya lebih suka didukung oleh datuknya.
Dian Ilham geleng kepala.
“Tok…. Dia ni lah yang Dian cerita hari tu,” beritahu Dian Ilham.
Berkerut dahi Haji Dahlan.
“Batu tu,” sambung Dian Ilham. Mukanya bertambah merah. Lelaki itu sudah tersengih.
“Oooo…” Haji Dahlan ketawa. Dia juga dapat membayangkan betapa malunya Dian Ilham ketika itu.
“Dian… pakai tudung,” suruh Haji Dahlan perlahan. Dia mencuit lengan Dian Ilham. Mungkin Dian Ilham tidak sedar.
“Hah!” bertambah merah muka Dian Ilham sebelum gadis itu berlari keluar dari dapur.
“Amboi…. semua orang langsung buat tak tahu Pak Chu datang ni.”
Anaqi, Amani dan Adriana tersengih. Bukan mereka tidak mengambil peduli kehadiran Pak Chu mereka, cuma baru minggu lepas mereka bertemu dan selepas ini mereka juga mendapat tahu bahawa setiap hari mereka akan berjumpa dengan Pak Chu mereka.
ditulis oleh
Imani Hatta

oooo pak chu rupenye
ReplyDeletea'ah pak cu rupanya hehe
ReplyDeletelamenye xupdate cte...hee...ape pn tq da update...uiks dian mmg xpasan sgguh xpki tdung ye...huuu
ReplyDeletewahh..citer baru,bru bace nih,,best3,, cant wait 4 next entry..heheh
ReplyDelete