Bab 4


Terima Kasih Encik Google

MASAM mencuka muka kedua- duanya. Adriana geram kerada dia tidak sempat untuk mengikat rambutnya kerana mamanya sudah awal- awal pagi keluar. Raihana perlu menghantar Amani ke sekolah. Kebetulan jalan yang dilalui adalah sama dengan tempat kerjanya. Adli juga keluar awal pagi untuk menghantar Anaqi ke sekolah. Anaqi dan Amani dihantar ke sekolah yang berbeza. Walaupun kedua- duanya sekolah jenis kebangsaan cina tetapi kedua- dua sekolah tersebut khas dikhaskhan untuk lelaki dan perempuan. Jadi terpaksalah Adli dan Raihana berpisah dalam menghantar anak-anaknya. Ian Rizqin ditugaskan untuk menghantar Adriana ke tadika dan Alya ke Pusat Asuhan Kanak- Kanak yang hanya bersebelahan dengan tadika Adriana.

“Tadi mama dah suruh mandi cepat. Bersiap awal. Ni mandi… macam sepuluh tahun tak mandi,” bebelan Ian Rizqin kedengaran lagi. Geram kerana dia bakal tiba ke pejabat lewat hari ini. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Adriana juga sudah lewat sebenarnya kerana tadika bermula pada pukul 8.30 pagi. Hari ini juga hari pertama Adriana ke tadika.

“Pak Chu ni… Adriana perempuan. Mestilah mandi lama. Bersiap lama.”

“Wahai Puteri Adriana. Awak tu lima tahun. Bukannya pakai make up. Setakat letak bedak kat muka. Ambil masa berjam- jam jugak? Esok kalau lewat lagi… Pak Chu hantar Alya sorang je. Adriana Pak Chu suruh nak van,” jawab Ian Rizqin geram. Nak sahaja dia mencubit pipi tembam itu yang sudah memuncungkan mulut.

“Ni… kenapa rambut tak ikat?”

“Mama dah pergi kerja. Siapa nak ikat?”

“Adriana tak reti?”

Adriana geleng kepala.

“Lepas ni Pak Chu buat,” ujar Ian Rizqin. Dia menoleh melihat Alya yang terlentok di dalam kerusi bayinya. Dia mengeluh pula. Selama ini hidupnya bukan begini. Dia selalu tiba awal ke pejabat. Itu prinsipnya. Biar dia tunggu orang, jangan orang tunggu dia.

Dulu dia menyewa dengan kawan baiknya. Tetapi selepas Adli dan Raihana kembali menetap di Malaysia, ayah mengarahkan dia tinggal bersama kakak dan abang iparnya. Sukar sungguh dia hendak melawan kata- kata ayahnya walaupun rumahnya dulu lebih dekat dengan pejabatnya.

“Duduk dengan kakak. Tak payah bazirkan duit bayar sewa beratus- ratus tiap- tiap bulan. Simpan duit tu nak kahwin nanti. “

“Tapi yah? Halim macam mana? Lagipun dah lama Ian duduk dengan dia. Tiba- tiba nak pindah keluar pula,” wajah Ian Rizqin tidak puas hati.

“Kenapa pula dengan Halim? Dia tu lelaki… pandailah dia nak cari teman serumah nanti. Kau duduk dengan kakak lepas nih. Keputusan ayah muktamad. Minggu depan kau pindah masuk rumah kakak kau,” suruh Haji Ridzuan. Itu kata putusnya.

Ian Rizqin mengeluh lagi. Kepulangan dia ke Kuantan seminggu yang lepas membawa berita duka untuk dirinya. Bukan dia tidak suka tinggal bersama kakaknya, tetapi sebagai seorang lelaki yang sudah berkerjaya dan mempunyai hidup sendiri, dia tidak selesa tinggal dengan kakaknya yang sudah berkeluarga.

“Pak Ucu. Mama pesan. Tak baik mengeluh,” suara Adriana kedengaran. Dia nampak bimbang melihat wajah sugul ayah saudaranya.

Ian Rizqin tarik sengih. Dia memberhentikan keretanya betul- betul di hadapan tadika. Dia melangkah keluar selepas mengarahkan Adriana keluar dari kereta. Beg kecil berwarna merah jambu digalas Adriana. Comel. Tubuh kecil itu segera diangkat dan diletakkan di atas kereta.

“Mana getah rambut?” soalnya.

“Nah,” getah berwarna hijau muda yang sedondon dengan baju tadika Adriana dihulur.

“Nak buat macam mana? Pak Chu buat silang- silang ye? Kemas sikit.”

Adriana mengangguk sahaja.

“Pak Chu pandai ke?”

“Dah selama ni kalau pagi raya…. kalau Pak Chu tak tolong korang semua ikat rambut, boleh roboh rumah Tok Ki tau,” balasnya. Kebetulan dia memang mempunyai lebih ramai anak saudara perempuan berbanding lelaki. Abang sulungnya mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang lelaki.

“Pak Chu.”

“Eh, Shuib,” terkejut dia melihat kemunculan Shuib di hadapannya. Dian Ilham dan Haji Dahlan turut berada bersama. Mereka tersenyum.

“Mengaji kat sini juga?” soal Haji Dahlan selepas Ian Rizqin dan Adriana menyalaminya.

“Tak. Hantar tadika. Mengaji petang nanti,” jawab Ian Rizqin.

“Hah?” Haji Dahlan terkejut. Dia melepas pandang pada Dian Ilham yang sudah ketawa.

“Ian. Mengaji tu maksudnya belajar lah.. kalau kat utara orang panggil mengaji,” jelas Haji Dahlan.

“Hah?” Ian Rizqin malu sendiri.

“Comel Adriana,” puji Dian Ilham.

Adriana tersengih malu. Dia melihat wajahnya melalui cermin.

“Dah cepat. Kita dah lewat. Semua dah masuk tu. Jom,” ajak Haji Dahlan.

“Jap. Atuk tolong Ian jap bawa Adriana. Ian nak hantar Alya,” hampir dia terlupa Alya yang terlena di dalam kereta.

“Ada juga?” terkejut Dian Ilham.

“Bukan hantar ‘mengaji’. Tapi situ,” tunjuknya pada Taman Asuhan yang betul- betul berada bersebelahan dengan tadika Adriana. Semalam dia dibawa oleh Adli melawat tadika dan Taman Asuhan ini. Takut dia tersesat di pagi hari.

Dian Ilham tersengih.

************

Terima Kasih Encik Google

“Tu… “ tunjuk Ian Rizqin agak teruja. Seorang kanak- kana lelaki sudah mula menunjukkan tanda- tanda ingin menangis.

Dian Ilham segera mengfokuskan video kameranya pada kanak- kanak tersenyum. Dia ketawa kecil. Haji Dahlan hanya duduk di hujung kelas. Dia tidak larat berdiri lama- lama. Dian Ilham dan Ian Rizqin berdiri di belakang kelas bersama-sama ibu bapa yang lain.

“Mana anak- anak?” soal salah seorang lelaki yang agak muda dan berdiri betul- betul di sebelah Ian Rizqin. Sesekali matanya turut mengintai rakaman Dian Ilham. Kebetulan hanya Dian Ilham sahaja yang merakam kelakuan mereka semua.

“Tu,” tunjuk Dian Ilham dan Ian Rizqin hampir serentak pada Shuib dan Adriana yang duduk bersebelahan. Mereka nampak begitu teruja dengan keadaan kelas mereka. Mulut Adriana juga tidak berhenti- henti bercakap. Sesekali Shuib menyampuk.

“Kembar ke?” terkejut lelaki tersebut.

“Eh, tak. Anak encik mana?” soal Ian Rizqin terus.

“Tu,” tunjuk pada seorang kanak- kanak perempuan yang tidak langsung mahu berenggang dengan seorang wanita.

“Tu mama dia. Anak tunggal saya. Panggil saya Yasin,” suruhnya.

“Saya Ian,” segera Ian Rizqin memperkenalkan diri.

“Anak- anak tadi bukan kembar ke?” soal Yasin sekali lagi. Dia agak keliru kerana kelas ini hanya untuk budak- budak yang berumur lima tahun sahaja.

“Tak. Yang perempuan tu… anak saudara saya. Yang lelaki tu… adik dia.”

Dian Ilham mengangguk. Bersetuju dengan kata- kata Ian Rizqin.

“Laa… saya ingatkan kamu berdua ni suami isteri,” terus dia tergelak.

Ian Rizqin melepas pandang pada Dian Ilham yang juga terkejut. Muka kedua- duanya sudah merah. Kelu untuk menjawab soalan demi soalan dari Yasin selepas itu.


tolong saya komen (:

ditulis oleh
Imani Hatta

2 comments:

  1. imani.. best! suka sgt dgn watak2 kanak2 comel ni.. menceriakan jiwa yg membaca.

    ** tahniah Cinta Tak Terucap jadi novel terlaris di POPULAR! superduperb!

    ReplyDelete