Bab 9

credit to google

KETUKAN berkali- kali membuatkan Dian Ilham perlahan- lahan membuka mata. Kepalanya pening dan denyutan dirasakan semakin kuat. Dia tidak larat untuk bangun. Dia tahu dia mengunci pintu selepas solat subuh tadi. Kain langsir yang tebal membuatkan biliknya gelap. Dia memejam mata kembali selepas ketukan hilang dari pendengaran.

“Dian,” terasa dahinya dijamah.

Dian Ilham membuka mata.

“Atuk,” dia cuba tersenyum.

“Panas sangat ni Dian. Nasib baik ada kunci pendua,” ucap Haji Dahlah risau. Dia sudah melabuhkan punggung di atas katil. Dahi Dian Ilham dipegang lagi sebelum meneliti tampalan putih yang sudah berwarna oren kerana diletak ubat. Dia mengeluh pula.

“Kenapa tak beritahu atuk semalam? Atuk boleh ambil kat balai,” ucap Haji Dahlan lagi. Hampir luruh jantungnya tadi bila Ian Rizqin menanyakan kesihatan Dian Ilham. Mungkin Ian Rizqin menyangka dia sudah mengetahuinya.

“Ian beritahu atuk?”

Haji Dahlan mengangguk. Kebetulan Ian Rizqin menghantar Adriana dan Alya untuk dihantar bersama Shuib ke tadika. Dian Ilham telah mencari seorang pemandu khas untuk menghantar dan mengambil Shuib dari tadika. Kesihatan Haji Dahlan sejak akhir- akhir ini merisaukan Dian Ilham. Baru minggu lepas dia terkejut bila mendapat tahu Haji Dahlan hampir kemalangan kerana penglihatannya tiba- tiba kabur. Memang usia Haji Dahlan semakin lanjut.

“Dian dah pesan suruh dia senyap,” perlahan sahaja suara Dian Ilham. Memang dia amat pening tika ini. Dia juga tidak mampu membuka mata.

“Dian dah beritahu office?”

“Dian ada SMS Tikah tadi. Dia tolong beritahu.”

“Kita makan dulu ya? Perut Dian kosong tu. Lepas tu kita makan ubat. Mana ubat?”

“Dalam bag.”

“Dian tidur dulu. Nanti atuk siap masak. Atuk kejut Dian.”

Dian Ilham mengangguk.

“Terima kasih tuk.”

Haji Dahlan tersenyum tawar. Perlahan- lahan dahi Dian Ilham dicium sebelum dia melangkah keluar. Memang dia amat menyanyangi Dian Ilham dan Shuib walaupun dia juga punya cucu- cucu yang lain. Nasib malang yang menimpa Dian Ilham yang kehilangan ibu sejak lahir, menyebabkan dia merasakan tanggungjawab yang digalas selama ini untuk anaknya bertukar kepada Dian Ilham. Dia sendiri yang membuat pilihan untuk tinggal bersama Dani dulu selepas anaknya, Raudah meninggal dunia. Dia sudah menjadi sebahagian dalam hidup Dian Ilham dan Shuib. Cuma sekarang dia risau dengan nasib kedua- dua cucunya. Dulu dia menyangka Zack boleh membahagiakan Dian Ilham, tetapi itu hanya sementara. Menyesal juga kerana menaruh harapan yang tinggi pada Zack. Lelaki yang menipu hati dan perasaan cucunya dalam terang.

“Ian?” terkejut bila melihat Ian Rizqin di hadapan pintu. Rasanya tadi lelaki itu sudah siap memakai pakaian kerja. Tetapi kini Ian Rizqin nampak ringkas dengan t-shirt dan berseluar pendek.

“Assalamualaikum tuk. Pintu pagar tak tutup. Jadi saya terus masuk. Dian okey tuk?”

Haji Dahlan tersenyum dan menggeleng.

“Masuklah Ian,” suruhnya.

“Banyak kali saya cuba telefon Dian. Dia tak angkat. Risau saya rasa.”

“Tak pergi kerja ke?”

“Saya minta cuti hari ini. Tak sihat.”

“Bersemangat je atuk tengok pagi tadi. Sekarang tak sihat?” tersenyum bila melihat Ian Rizqin sudah menggaru kepala.

“Jom teman atuk masak,” ajak Haji Dahlan.

Dia sendiri sudah dibuai tanda tanya melihat keprihatinan Ian Rizqin pada cucunya. Tapi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia sudah berjanji pada dirinya, lelaki yang bakal hadir dalam hidup cucunya kelak, bakal diselidik hingga ke lubang cacing. Dia tidak mahu cucunya terluka lagi. Walaupun dia tahu pengalaman inilah yang akan mengajar cucunya erti hidup sebenarnya, tapi dia juga sedar sejak kecil lagi Dian Ilham sudah membesar dengan pelbagai jenis cubaan. Dibesarkan tanpa kasih sayang seoarang ibu. Kemudian kehilangan pula dua insan yang begitu disayanginya. Dia berazam, sebelum dia pejam mata, biarlah dia tahu Dian Ilham sudah bahagia dengan hidupnya.

Ian Rizqin mengangguk.

“Biar Ian masak. Atuk tengok je. Okey?”

“Boleh ke?” terkejut juga Haji Dahlan dengan perlawaan Ian Rizqin yang tidak disangka itu.

Ian Rizqin tarik sengih.

“Masak- masak biasa tuk. Nak masak untuk Dian ye?”

Haji Dahlan mengangguk.

“Macam mana Dian?”

“Tadi atuk dah ukur panas Dian. 38°C. Tinggi sangat. Tapi Dian berkeras tak mahu ke klinik. Dia nak tidur dulu.”

Ian Rizqin mengeluh. Dia gusar kerana semalam sewaktu menghantar Dian Ilham, memang gadis itu nampak begitu pucat. Mungkin terkejut dengan apa yang berlaku.

“Doktor cakap apa?”

“Kena jahit. Tujuh jahitan.”

Berkerut dahi Ian Rizqin meneliti sahaja dahi Dian Ilham yang sudah tertampal.

“Patut lambat sangat.”

“Sorry. Sampai awak tertidur tunggu tadi.”

Dian Ilham mengeluh pula. Kepalanya masih berdenyut.

“Tak apa Dian. Awak duduk sini dulu. Saya tolong awak ambil ubat,” suruhnya bila nama Dian Ilham dipanggil.

Dian Ilham mengangguk sahaja.

“Saya Dr. Farid. Adik awak tu demam. Saya bagi penadol sekali,” ucap Dr. Farid. Kebetulan hari ini kilinik sudah tidak dikunjungi orang. Jam sudah menunjukkan jam 12 tengah malam. Jururawat yang berada di sebelahnya masih sibuk mencari senarai ubat yang ditulis Dr. Farid.

“Adik?”

“Bukan adik ke?” berkerut dahi Dr. Farid.

Ian Rizqin menggeleng kepalanya laju.

“La… maafkan saya. Muka Encik dan Cik Dian lebih kurang. Saya sangka adik-beradik.”

Ian Rizqin geleng kepalanya lagi. Dia menoleh melihat Dian Ilham yang turut nampak terpinga direnung oleh Ian Rizqin lama.

“Panggil saya Ian,” suruh Ian Rizqin.

Dr. Farid tersenyum.

“Nama pun dah lebih kurang. Isteri ke?”

“Hah?” terkejut Ian Rizqin. Sekali lagi dia menggeleng kalut.

Dr. Farid ketawa pula.

“Maaf. Sibuk pula saya malam ni nak ambil tahu hal pesakit saya. Tadi saya ada jahit luka pada dahi Dian. Nanti suruh dia cuci luka tu. Kemudian sapu ubat. Semuanya dah ada sini.”

Ian Rizqin mengangguk. Dia mendengar pula penerangan dari jururawat yang tadi sibuk mencari ubat yang disenaraikan oleh Dr. Farid. Beberapa kali dia mengangguk.

“Macam mana Cik Dian boleh jatuh?”

Ian Rizqin garu kepala.

“Lepas ambil air sembahyang. Terkena bucu katil. Tergelincir.”

Dr. Farid ketawa.

“Itulah… tadi Cik Dian ada kata juga. Lain kali suruh dia tukar kedududukan kerusi dalam bilik dia. Nanti jatuh lagi.”

“Eh, Dian dah cakap tadi?”

Dr. Farid mengganguk.

“Jatuh lepas ambil air sembahyang sebab terlanggar kerusi.”

Ian Rizqin terpinga. Lebih kurang pula cerita yang direka mereka. Nasib baik betul! Pelik juga kerana Dr. Farid masih bertanya walaupun sudah mengetahuinya.

credit to google



“Ian nak masak apa ni?”

Perlahan bahu Ian Rizqin ditepuk Haji Dahlan. Jauh pula Ian Riziqn mengelamun.

“Erm… “ terkebil- kebil Ian Rizqin.

“Fikir apa pulak ni?” pelik Haji Dahlan.

Ian Rizqin tarik sengih. Termalu sendiri kerana tidak mendengar soalan Haji Dahlan. Tadi Haji Dahlan meminta diri untuk menjenguk Dian Ilham sebentar. Dia pula ke dapur mencari- cari apa yang patut dimasak. Dia langsung tidak sedar kemunculan Haji Dahlan.

“Nak masak apa ni?”

“Kita masak bubur ayam dan sup cendawan. Okey tak tuk? Lagipun kalau masak banyak- banyak… benda yang susah nak telan ni… Dian susah nak makan,” cadang Ian Riziqin. Dia sudah meneliti bahan- bahan tersebut dalam peti ais. Nasib baik ada.

“Pandai ke Ian masak?”

Ian Riziqn tersenyum panjang.

“Atuk pergilah ruang tamu dulu. Nanti dah siap, Ian panggil.”

“Ish, tetamu yang masak,” terus Haji Dahlan menggeleng.

“Saya ni bukan tetamu dah tuk? Saya cucu atuk juga tau. Atuk juga yang bagitahu hari tu,” sengih Ian Riziqin melebar.

Haji Dahlan tergelak.

“Jangan risau tuk. Saya masak makanan yang pasti Dian boleh makan. Mesti nak tambah lagi. Nanti budak- budak tu balik…. atuk dah masak?”

Haji Dahlan menggeleng.

“Tak apalah… alang- alang saya masak untuk semua. Atuk makan spegatti tak?”

“Sejak Dian tu kenal makanan- makanan macam tu…. dari atuk loya tekak nak makan, dah jadi makanan yang selalu atuk masak. Sebab paling senang. Dian dan Shuib pun suka makan.”

“Boleh Ian masak je spegatti tu?”

“Tapi atuk tak beli Prego lah Ian. Nak masak macam mana?”

“Jangan risau. Paling penting, speggati ada. Biar Ian uruskan,” terus tubuh Haji Dahlan dibawa menuju ke ruang tamu.

“Atuk rehat- rehat dulu. Biar cucu atuk ni masak hari ni. Dian tahu Ian ada sini?”

Haji Dahlan geleng kepala.

“Dia tidur tadi masa atuk tengok. Ian betul- betul boleh masak ke ni?” musykil Haji Dahlan.

“Atuk jangan risau. Ian masak makanan untuk Dian dulu. Lepas tu masak spegatti. Atuk rehat ye,” terus dia tersenyum panjang dan melangkah masuk menuju ke dapur. Sudah lama rasanya dia tidak memasak. Sejak menetap bersama keluarga kakaknya, tugas memasak sudah diserahkan sepenuhnya pada kakaknya. Kalau di rumah sewa dulu, memang dia tiada masa untuk memasak. Selalunya dia hanya makan di kedai sahaja.

terima kasih kerana membaca (:

ditulis oleh
Imani Hatta


© www.imanihatta.blogspot.com

3 comments:

  1. wah...tahu masak jugak?bonus lg...aih....caring betul ian kt dian...huu...harap2 atuk cpat2 la approve ian...huu...sesuai betul...boleh plak dian ngn ian bg jwpn rekaan yg same kt doktor tu...mmg ade kimia...heheh...nice...

    ReplyDelete
  2. wah.. ian memasak..hehe..best2.sambung lagi..

    ReplyDelete
  3. best...best....memang pun in pandai masak...kaan dulu cita2 kan jdi chef...bagus..bagus...satu markah lulus nak jdi cucu mnantu hj dahlan...smbg cepat2 ye...semangat betul nie...hehehe

    ReplyDelete