Sengaja Aku Jatuh Cinta: Prolog.


DINIE IMAAN tidak lepas memandang adiknya yang nyenyak tidur di dalam baby cot berwarna putih. Baby cot itu sengaja dialihkan ke dalam biliknya sejak semalam lagi. Dia meneruskan kembali bacaan terakhirnya. Al-Quran diletakkan di atas meja. Kain sembahyang dilipat dan digantung pada penyidai. Badannya terasa letih selepas menguruskan pengebumian abah dan mamanya. Air mata yang tiba-tiba mengalir diseka. 

“Masuklah Haha,” suruh Dinie perlahan apabila pintu biliknya diketuk. Lagipun memang tiada sesiapa dalam rumah ini selain kawan baiknya itu. 

“Noah tidur dah?” soal Nabiha. 

Dinie mengangguk.

“Kau okay?” Nabiha yang selama ini becok, tiba-tiba jadi pendiam. Malah tiada lagi gurau bodoh yang selalu menghias harinya. 

Dinie tarik sengih dan mengangguk. Sedaya upaya dia menahan diri dari terus menangis. Dia melabuhkan punggung di atas katil, bersebelahan dengan Nabiha.

“Kalau kau nak nangis, aku boleh tolong,” ujar Nabiha perlahan.

“Tolong?” Berkerut dahi Dinie. 

Nabiha tepuk bahunya perlahan sambil tersenyum. 

“Hmm....” 

“Aku tahu, kadang-kadang kau kena nangis juga. Kau manusia biasa.” Perlahan Nabiha memberi nasihat. Risau juga kalau nasihatnya itu mengecilkan hati kawannya itu.

Dinie mengangguk perlahan. Dia tersenyum hambar. Air matanya kembali bergenang apabila melihat gambar abah dan mamanya sewaktu mereka menyambut raya beberapa bulan yang lalu. Noah nampak begitu comel dengan baju Melayu dan dipangku oleh abah. Waktu itu, Noah baru lima bulan. Memang jauh jarak antara mereka dua beradik. Ibu kandungnya meninggal dunia selepas melahirkannya, dan meninggalkan abahnya seorang diri membesarkannya. Setiap hari, mama akan datang ke rumahnya bagi menjaganya. Apabila dia berusia 17 tahun, barulah abah terbuka hati berkahwin dengan mama. Tahun lepas, selepas hampir lima tahun berkahwin, Noah dilahirkan. 

“Sabar D,” pujuk Nabiha. Semalam sewaktu mereka di dalam kuliah, Dinie mendapat panggilan daripada Encik Amin, kawan baik abahnya. Abah dan mama Dinie meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Noah yang duduk di dalam car seat baby terselamat walaupun terpelanting keluar dari kereta. Selepas mendapat pelepasan daripada pensyarah, mereka berdua bertolak dari USM, Penang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang. Nasib baiklah tiket masih ada dan mereka tidak perlu menunggu lama. Di Kuala Lumpur, Encik Amin mengambil mereka berdua. 

“Susah aku nak terima Haha. Selama ni, memang aku hanya ada abah dan mama aku je. Aku mana ada saudara mara macam orang lain. Abah aku je tempat aku bergantung. Semua benda aku cerita kat abah aku. Aku ni baru Tahun Dua kat USM tu, macam mana aku nak survive nanti? Selama ni, abah aku tanggung aku belajar. Siapa nak jaga Noah? Umur dia tak sampai setahun pun lagi. Dia pun tak macam baby lain. Dia berbeza.” Air mata Dinie terus menitik. 

Nabiha gigit bibir. Dia sendiri kesian dengan nasib kawan baiknya itu. Dalam sekelip mata, seperti semua kebahagiaan Dinie ditarik. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku padanya, kalau dia hilang tempat bergantung. 

“Macam mana Haha?” soal Dinie, sayu.

“Kau jangan risau... semua benda ada penyelesaian. Kau ada aku. Kau ada Noah. Kau bukan seorang diri,” ujar Nabiha dan menarik Dinie dalam pelukannya. Dia biar kawan baiknya itu menangis dan menangis. Biarlah Dinie menangis hari ini, supaya esok kawannya itu akan menjadi semakin kuat dan tabah.


#Tahun baru, cerita baru.
#Maaf lama tak update :D
#Gambar atas ambil dari Google.


1 comment: