SENGAJA AKU JATUH CINTA: BAB 2


NOAH IMAAN melonjak girang apabila bola yang ditendangnya masuk ke dalam pintu gol mini yang baru dibeli Dinie minggu lepas. Gembira sungguh adiknya itu bermain walaupun tidak berteman. Walaupun hanya tinggal berdua dalam rumah banglo dua tingkat ini, tetapi rumah ini tidak sunyi kerana Noah. Adiknya itu, semakin hari semakin petah berbicara. Dia pula sejak habis belajar, sudah dua tahun menjadi wartawan majalah. 

“Noah mainlah. Kakak nak buat kerja.” 

“Alah kakak... bosanlah!” Noah mencebik.

“Siapa ajar sebut bosan-bosan ni?” soal Dinie sambil mencekak pinggang. Selepas habis belajar dan kembali menetap di Kuala Lumpur, adiknya itu dihantar ke tadika yang turut menyediakan daycare pada sebelah petang. Kalau cuti sekolah, Noah dihantar ke daycare berdekatan dengan pejabatnya. 

“Kawan Noah.” 

Dinie tarik pipi gebu adiknya dan terus duduk mencangkung di hadapan Noah. Topi adiknya dibetulkan dan pipi gebu itu dicium geram. Walaupun dia kakak kepada Noah, tugas sebenarnya lebih kepada ayah dan ibu pada Noah. Segala keperluan Noah sejak adiknya berusia 10 bulan diuruskan olehnya. Daripada langsung tidak tahu apa-apa, termasuklah menukar lampin, segala berkaitan dengan Noah merupakan kepakarannya. 

“Kakak nak masak. Nanti kalau kakak tak masak, Noah nak makan apa?” soal Dinie sambil menilik jam yang sudah menunjukkan pukul enam petang. Walaupun sewaktu dia kecil, abah mengupah mama menjaganya sepanjang abah bekerja, apabila dia habis belajar dan mula bekerja, dia pula tidak yakin membiarkan adiknya seorang diri di rumah dengan orang asing. 

“Kita makan KFC?” Cadang Noah dengan mata bersinar.

“Pipi ni dah montel. Tak payah menggada.” Dinie berdiri dan menggeleng. 

Noah muncung. Pipi yang memang montel sengaja dikembungkan. 

“Bosanlah kakak. Bila Kakak Haha nak datang? Abang Jebat pun lama tak datang dengan Kakak Haha,” adu Noah yang masih tidak berpuas hati.

“Kakak Haha sibuk. Nanti senang, dia datanglah.” Nabiha sekarang memang sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinannya yang akan diadakan pada cuti sekolah Tahun Baru Cina nanti. Kalau dulu, memang setiap hujung minggu Nabiha menghabiskan masa di rumahnya. Lagipun rumah keluarga Nabiha hanya di Gombak sahaja. Jebat pula tunang Nabiha dan belajar sama-sama di USM dulu. Cuma Jebat senior mereka. Nabiha sengaja memberi peluang pada Jebat untuk berbakti pada keluarganya dulu sebelum mereka berdua berkahwin. 

“Assalamualaikum!” 

Dinie tersentak dan terus berpandangan dengan Noah yang turut sama terkejut mendengar suara nyaring seorang budak perempuan di hadapan pintu pagar rumahnya. Malah, suara itu semakin kuat apabila salamnya tadi tidak bersambut mereka berdua. 

“Err... jap!” Terkocoh-kocoh Dinie berlari mengambil alat kawalan bagi membuka pintu pagar. Noah pula sudah berdiri di hadapan pintu pagar. Tajam matanya melihat budak perempuan di luar rumah yang tersengih-sengih. 

“Kita beri salam, awak tak jawab pun!” tegur budak perempuan itu pada Noah. 

Pintu pagar terbuka perlahan-lahan. Dinie mengeluh lega dan terus tersenyum lebar melihat budak perempuan yang mungkin sebaya dengan adiknya menyusup masuk ke dalam rumah walaupun pintu pagar masih tidak terbuka sepenuhnya. 

“Walaikumussalam. Awak siapa?” soal Noah mencekak pinggang. Nampak seperti gengster pun ada. Memang adiknya itu bodyguard kecilnya. 

“Ish, Noah! Tak baik cakap macam tu. Cakap elok-elok.” Mulut Noah diterkup.

“Lepaslah kakak!” Noah meronta dengan muka tidak puas hati. 

“Cakap elok-elok,” pesan Dinie, perlahan. 

Noah mengangguk. 

“Tak baik cakap macam tu,” ujar Dinie lagi. Dia tidak pernah mengajar adiknya bercakap kasar pada orang lain. 

“Awak siapa?” soal Noah, lebih lembut. 

“Saya Puteri Alana. Panggil Lana. Umur kita empat tahun. Kita nak main dengan awak, boleh?” Alana tersenyum manis menunjukkan barisan gigi susunya yang tersusun cantik. 

“Puteri? Abah awak, raja ke?” soal Noah, hairan. 

Dinie tersengih pula.

“Bukanlah! Nama papa kita, Megat Fadli. Papa kita bukan raja.”

“Tapi, kenapa nama awak Puteri?” soal Noah masih dengan kerutan pada dahi. Err… nampaknya adiknya itu terlalu banyak dibacakan buku fairy tale. 

“Kat Malaysia ni, kalau dia bukan anak raja pun, boleh nama letak nama Puteri. Alana kan perempuan, jadi papa Alana letak nama Puteri,” sampuk Dinie.

“Kenapa abah tak letak nama Noah, Putera?” 

Dinie terpinga. Apa dia nak jawab ni? 

“Sebab abah dah letak nama Imaan. Abah sengaja bagi nama sama macam kakak. Noah tak suka ke, nama sama macam kakak?” pancing Dinie. Adiknya itu, memang banyak bertanya. Kadang-kadang soalan yang ditanya, dia sendiri tiada jawapan. 

“Suka!” 

“Jadi, kalau suka… jangan banyak tanya. Err… Lana duduk kat mana? Macam mana boleh ada sini?” soal Dinie, risau. Selama menetap di sini, memang dia tidak pernah melihat Alana mahupun keluarga Alana. Setahunya, kawasan perumahan ini majoriti berbangsa Cina. Kalau ada berbangsa Melayu, mesti dia kenal. 

“Tu!” Tunjuk Alana pada rumah banglo setingkat di hadapannya. 

Dahi Dinie berkerut pula. Memang dia perasan rumah itu ada diubah suai, tetapi yang menetap di situ dulu, pasangan dari Arab. Dia tidak tahu pula mereka sudah menjual rumah itu. Mungkin disebabkan dia tiada di Malaysia minggu lepas, dia terlepas hal sekeliling. 

“Mana mama, papa Lana?” 

“Ada kat rumah. Kita bosanlah duduk rumah. Nak main dengan Abang Anaqi, dia main game je kat TV. Kak Alya pun tak nak main dengan kita. Adik kita kecil lagi. Jalan pun tak tahu lagi,” petah Alana menjawab. Tersenyum lagi Dinie dengan kata ganti diri yang digunakan Alana. 

“Jadi, mama, papa Lana tahu tak Lana datang sini?”

Alana menggeleng. 

“Mana boleh main kalau mama, papa Lana tak tahu Lana ada sini. Nanti dia orang risau,” nasihat Dinie, lembut.

“Tapi kita nak main bola dengan dia.” Tunjuk Alana pada Noah yang masih nampak blur. 

Noah pandang kakaknya pula. Dia sebenarnya seronok kerana ada kawan untuk bermain. Memang kawasan luar rumahnya umpama padang permainan. Segala jenis mainan seperti buaian, papan jongket dan kolam pasir ada. Di tepi rumah pula ada sebuah kolam renang yang dibina oleh arwah abahnya dulu. 

“Saya main bola. Awak boleh main bola ke?” soal Noah akhirnya.

Alana mengangguk laju. 

“Nama kakak ni siapa?” Alana mendongak pandang Dinie. 

“Err... Dinie. Kakak Dinie.” 

“Kakak ni cantik. Macam princess,” puji Alana tanpa berselindung.

Dinie tersenyum. Mulut Alana, memang manis macam gula! 

“Nama awak siapa pula?” Alana pandang wajah Noah. 

“Noah.”

“Umur awak berapa?” 

Noah angkat empat jarinya. 

“Umur kita sama. Tapi, kenapa awak macam orang putih?” 

Dinie terkejut. Soalan itu walaupun sebenarnya lazim dia dengar, tetapi setiap kali soalan itu terlontar, memang sukar dia mengawal emosinya. Memang adiknya itu berbeza. Noah mewarisi genetik albino dari mama. Sebab itu, kulit adiknya putih susu ataupun putih pucat dengan rambut berwarna perang muda kekuningan. Persamaan mereka berdua yang jelas ketara hanyalah warna anak mata hazel yang besar dan bulat. Cuma, pupil mata Noah berwarna merah. Sekali pandang, seperti ada laser pada mata Noah itu. Sejak umur Noah setahun, adiknya itu sudah memakai cermin mata kerana rabun jauh dan dekat. Sebab itulah dia juga memakai cermin mata tanpa power walaupun matanya itu sihat sahaja. 

“Saya ikut muka mama kita. Kakak kita ikut rupa abah kita,” jawab Noah, lancar. Boleh pula kata ganti diri Noah turut bertukar seperti Alana. 

“Takpelah. Kita tak kisah pun.” Alana tarik tangan Noah untuk mula bermain. 

Dinie tersenyum. Dia tidak jadi masuk ke dalam rumah. Nampaknya permintaan Noah untuk makan KFC pada malam ini bakal tertunai. Dia kembali duduk di atas buaian dan memerhati sahaja Alana dan Noah yang bermain. Senang sungguh kalau budak-budak berkawan. Tidak perlulah menyiasat panjang lebar, dan perlukan masa. Dalam beberapa saat, Alana dan Noah seperti sudah lama berkawan. 

“Alana!” 

Dinie tersentak. Suara nyaring dan garau yang hampir bercantum, betul-betul mengejutkannya. Pantas dia berpaling dan melihat sepasang suami isteri yang keluar dari rumah dan diekori dua orang kanak-kanak. Si isteri mendukung seorang bayi. Wajah masing-masing nampak pucat dan gelisah. Si suami sibuk memanggil nama Alana. Dinie juga gelabah dan terus menekan alat kawalan jauh bagi membuka pagar yang ditutup tadi. 

“Alana!”

“Sini!” Alana menjerit lantang. 

“Masya-Allah budak bertuah ni.” Memang pucat lesi muka mama Alana apabila sudah terpacak di hadapan rumahnya. 

Dinie tarik sengih. 

“Saya pun terkejut juga puan, bila Lana ni datang tadi.” Dinie cepat-cepat bersalam dengan mama Alana yang nampak lega apabila melihat anaknya itu. 

“Panggil Kak Ezzaty je.... Ini suami akak… panggil Abang Fadli. Budak Lana ni, memang nak suruh mama dia sakit jantung.” Ezzaty usap belakang bayinya yang tiba-tiba terjaga dari tidur dan merengek. Mungkin terkejut dengan jeritan papa dan mamanya.

Megat Fadli senyum segaris pada Dinie, sebelum beralih pada puterinya yang langsung tidak mempedulikan kedatangan ahli keluarganya. Muka kembali ketat. 

“Lana, come here!” Tegas suara Megat Fadli. 

Dinie kecut perut. Dia buat isyarat pada Noah supaya berhenti bermain dan disuruh menghampirinya. Alana turut sama berhenti bermain dan terus berjalan menghampiri papanya dengan menunduk. Dia mula jadi takut melihat wajah papanya itu. 

“Kenapa datang sini tak bagitahu papa?” soal Megat Fadli, tegas. 

“Lana dah bagitahu Aidan.” 

Megat Fadli dan Ezzaty berpandangan. Mulut masing-masing terlopong sambil menggeleng. 

“Kenapa?” Dinie, pelik. Dia tidak pasti, siapa pula Aidan? 

“Aidan ni... adik dia ni. Baru nak tahu merangkak.” 

Dinie tersenyum terus. Kelakar. Aduhai... ada juga kes begini? 

“Yang akak dukung ni namanya, Megat Aidan. Hmm... enam bulan. Ni abang Lana yang sulung, Megat Anaqi. Sebelah papa dia pula tu, kakak kedua Lana, Puteri Alya,” terang Ezzaty pula. 

“Dia keluar... senyap-senyap. Kakak dengan abang dia pun sibuk main game. Adik keluar pun tak sedar,” bebel Megat Fadli, geram. 

Anaqi dan Alya menunduk pula kerana mereka juga terkena tempias. 

“Baru pindah sini ke?” soal Dinie, ubah topik. 

“Err... dalam minggu lepas. Sebelum ni duduk kat UK,” jawab Megat Fadli. 

“UK?” Dinie teruja. Dia memang ada bercita-cita menyambung pelajaran di negara sejuk itu, tetapi apabila memikirkan Noah. Niat itu dibatalkan. Sewaktu belajar di USM dan terpaksa menyewa di luar kerana Noah, itu pun sudah rasa sukar. Nasib baiklah ada Nabiha yang turut sama menyewa bersamanya dan menolong menjaga Noah. Apabila mereka ada kelas, Noah akan dihantar ke daycare di dalam USM juga. 

“Abang ni... buat gempak je. Dulu duduk kat Taman Hillview kat Ulu Klang,” terang Ezzaty tersengih. Megat Fadli tersengih sama. Memang selama ini, lidahnya terbiasa menyebut UK sahaja apabila ditanya. 

“Adik ni... siapa nama?” soal Ezzaty sambil pandang wajah Dini dan Noah silih berganti.

“Err… nama saya Dinie Imaan. Akak boleh panggil Dinie je.” 

“Adik ke, anak ni?” soal Megat Fadli pada Noah pula. Memang dia tidak hairan kalau Dinie sudah mempunyai anak pada usia muda. Sekarang, memang ramai yang kahwin awal. 

“Err... adik saya. Noah Imaan.” 

“Wah, jauh sangat beza dengan kakak dia.” Suami isteri pandang wajah Noah dan Dinie silih berganti. Anaqi dan Alya memang sejak tadi asyik memandang Noah yang berbeza itu. 

“Pak Cik Imaan mana?” Megat Fadli bertanya sambil memanjangkan kepala melihat dalam rumah yang tidak ditutup pintu.

“Pak Cik Imaan yang mana?” Berkerut dahi Dinie. Tidak tahu pula dia kawasan ini ada nama orang yang bernama Pak Cik Imaan. Paling pelik, Megat Fadli bertanya padanya. 

“Lah, tadi kata nama korang… Dinie Imaan, Noah Imaan kan?” soal Megat Fadli. Dia memandang isterinya yang turut sama tunjuk wajah pelik. 

Dinie ketawa.

“Bukanlah Abang Fadli, Kak Ezzaty. Imaan tu nama kami berdua. Nama abah saya, Aali Damian. Tapi abah saya takde.” 

“Lah!” Megat Fadli ketawa. 

“Itulah abang, saya tadi macam dah agak itu nama budak-budak ni. Abah pergi mana?” soal Ezzaty, yang memang ramah itu.

“Err… tak pergi mana-mana. Abah, mama saya dah meninggal dunia,” jelas Dinie tersenyum. Dia juga salah memberitahu ‘takde’ tadi. 

“Innalilillah… maaf. Abang, akak betul-betul tak tahu.” Ezzaty nampak bersalah. Dia berpandangan dengan suaminya pula. Nasib baiklah Alana sudah mengajak Noah bermain bersama abang dan kakaknya. 

“Takpe akak. Masa umur Noah 10 bulan, abah dan mama meninggal dalam kemalangan. Syukur Noah terselamat. Kalau tak, memang saya takde sesiapa dah dalam dunia ni.” 

Ezzaty dan Megat Fadli tayang wajah terkejut. 

“Maaf Dinie. Akak terkejut betul. Jadi, Dinie dan Noah duduk dengan siapa sekarang?” soal Ezzaty lalu memandang rumah banglo dua tingkat yang besar dengan kawasan luar yang nampak luas. Malah, ada kolam renang lagi. 

“Duduk dengan Noah.”

Sekali lagi Ezzaty dan Megat Fadli tayang wajah terkejut.

“Berdua je?” Megat Fadli tidak percaya.

Dinie mengangguk.

“Dinie umur berapa?” soal Megat Fadli lagi.

“Err... 26 tahun.” 

“Noah?”

“Empat tahun. Sebaya dengan Lana.” 

“Abang ni apa tanya macam polis pencen.” Ezzaty cubit perlahan lengan suaminya. 

“Maafkan abang.” Megat Fadli garu kepala yang tidak gatal dan tersenyum, malu. 

“Takpe. Duduklah dulu. Saya masuk buat air.” 

“Takpelah!” Megat Fadli menghalang. Serba-salah dia pandang isterinya. 

“Takpe. Sekejap je. Lagipun memang rumah ni jarang ada tetamu. Kalau adapun, kawan baik saya. Noah tu sampai bosan sebab berkawan dengan saya je.,” ujar Dinie, mesra. 

“Jom akak tolong.” Ezzaty menyerahkan Aidan pada suaminya. Dia ikut Dinie melangkah masuk ke dalam rumah.
***

EZZATY hanya perhatikan Dinie yang tangkas melakukan kerja-kerja rumah. Kagum juga dia melihat ketangkasan Dinie, tetapi sebenarnya dia lebih tertarik dengan dekorasi dalam rumah yang memang nampak moden dan mewah. Jauh berbeza luar rumah, dan dalam rumah. Kalau dari luar rumah, rumah Dinie ini nampak seperti rumah banglo dengan ciri-ciri binaan Inggeris. Tetapi apabila melangkah masuk, ciri-ciri rekaan lebih moden. 

Masuk sahaja dalam rumah ini, ruang tamu nampak luas dan besar kerana syiling tinggi sehingga ke tingkat dua. Dari ruang tamu, Ezzaty dapat melihat tingkat dua yang mungkin ruang menonton dan membaca kerana dia dapat melihat banyak rak buku dan sebuah TV besar. 

“Bilik kat mana?” soal Ezzaty ingin tahu. Dari ruang tamu, terus ke dapur yang dibuat dengan konsep terbuka. Ruang tamu dan dapur dipisahkan dengan ruang makan. Walaupun ringkas, memang nampak moden. 

“Kat tingkat dua ada tiga bilik. Bilik saya, Noah dan abah. Tapi sekarang, bilik abah tu… dah jadi bilik sembahyang. Sebenarnya ada loteng juga, loteng tu jadi bilik tetamu. Masa kecil-kecil dulu, itu bilik mainan saya. Buat masa sekarang, saya suruh Noah main kat tingkat dua je. Itu yang tingkat dua tu, bersepah sikit dengan mainan Noah. Kalau duduk kat ruang tamu tu, nampak Noah kat atas. Jadi tak risau sangat,” cerita Dinie. 

“Akak ni… suka tengok rumah cantik-cantik.”

“Rumah ni… idea abah saya.” Ezzaty hanya mengangguk. Dari dalam dapur, dia dapat melihat anak-anaknya bermain dengan Noah dan suaminya di halaman rumah. Hanya Aidan sahaja yang terlentang seorang diri di ruang tamu di atas selimut tebal Dinie. 

“Itu ke gambar arwah abah dan mama Dinie?” soal Ezzaty pada potret-potret yang tergantung pada dinding. 

Dinie mengangguk.

“Noah ikut muka mama dia. Dinie ikut muka abah Dinie,” simpul Ezzaty.

Dinie tersenyum. Memang itulah apa yang akan diberitahu orang apabila melihat arwah mama dan abahnya, tanpa mengetahui mamanya itu hanyalah mama tiri. Sebenarnya kalau ikut kata abah, dia memang saling tidak tumpah seperti arwah mummy. 

“Dinie ni kerja apa?” soal Ezzaty, ingin tahu. 

“Err… wartawan majalah akak.”

“Betul?” Bulat mata Ezzaty.

Dinie mengangguk laju. Pada mulanya dia hanya membuat air, tetapi apabila memikirkan anak-anak Ezzaty dan Noah, dia mengambil keputusan memasak nugget ayam kegemaran Noah. Memang ada banyak stok dalam peti ais, yang dibuatnya sendiri. 

“Rumah besar-besar macam ni, Dinie tak takut ke?” 

“Nak takut apa akak? Dari kecil lagi saya duduk rumah ni sebenarnya.” 

“Kalau ikut umur Dinie ni… muda setahun je dari adik bongsu akak. Dia tu peguam. Tapi, kalau jaga-jaga budak ni, memang dia failed. Asyik nak mengelak je. Tapi dia suka masuk dapur, cuma… babah, mak akak tak bagi.” Keruh pula wajah Ezzaty. 

“Kenapa tak bagi?” soal Dinie pelik. 

“Sebab dia tu lelaki.”

“Setahu saya, zaman sekarang ni ramai lelaki yang jadi chef. Kadang-kadang masakan lelaki, jauh lebih sedap dari masakan perempuan. Tapi tak boleh nak bandingkan bila mama kita masak.” Dinie tersengih.

“Betullah tu. Tapi mak, babah akak tu fikiran lama sikit. Kalau kerja-kerja dapur ni, untuk orang perempuan.”

Dinie hanya mengangguk. Faham juga dia kalau melibatkan mentaliti orang-orang tua.

“Hmmm... pernah masa saya belajar dulu. Kadang-kadang saya hantar Noah tu kat rumah kawan saya kat Penang tu. Mak, ayah kawan saya tu okay. Adik-beradik dia pun sama… tapi jiran-jiran dia pandang adik saya tu pelik.” 

Ezzaty mengangguk dan melepas pandang pada Noah yang riang menjerit-jerit memanggil nama suaminya sebelum matanya beralih pada gambar potret yang agak besar dan tergantung di ruang tamu. 

“Mama Dinie tu cantik. Kalau akak tengok, mata Dinie dan Noah memang menurun dari mata abah Dinie kan? Noah tu, akak rasa memang ikut muka mama Dinie. Err… jangan Dinie salah faham pula. Maksud akak, mirip tu….” Ezzaty serba-salah. 

Dinie ketawa. 

“Akak jangan risaulah. Mama dan adik saya tu memang ada genetik Albino. Tapi betullah… muka dia orang nak dekat sama. Cuma mata je, kita orang menurun dari abah saya.” 

“Abah Dinie tu memang handsome. Patutlah anak dia ni, cantik je.” 

“Saya cantik ke akak?” Dinie tersengih.

Ezzaty ketawa pula. 

“Dinie buat apa tu?” soal Ezzaty sedikit pelik. Dia yang duduk di bangku kitchen island terus bergerak menghampiri Dinie. 

“Buat coklat. Budak-budak tu minum coklat kan?” 

“Minum. Milo,” balas Ezzaty sambil memerhatikan bahan-bahan yang dikeluarkan Dinie. Terkejut juga dia melihat bekas-bekas yang tersusun di dalam almari itu. 

“Ni resipi arwah abah saya dulu,” beritahu Dinie sambil memasukkan krim Anchor ke dalam saucerpan sederhana besar. Sementara menunggu krim mendidih, Dinie memotong coklat Cadbury yang baru dikeluarkan dari peti ais. Apabila krim mula mengeluarkan buih-buih halus, tanda krim itu hampir mendidih, segera Dinie mematikan api dan memasukkan ketulan coklat tadi dan beberapa titik esek vanila dan serbuk coklat Cadbury. Dia menggaul semua bahan tadi, dan kemudian memasukkan susu Dutch Lady full cream ke dalam bancuhan. Api dibuka perlahan, dan tiga sudu gula dimasukkan ke dalam bancuhan. Selepas memastikan semua bancuhan sekata, dia mematikan api. 

Ezzaty hanya memerhatikan tingkah Dinie dengan rasa yang semakin kagum. Dia sendiri bukanlah rajin sangat membancuh air untuk keluarganya. Megat Fadli, Anaqi dan Alya tahu membancuh air. Hanya Alana sahaja yang perlu dipantau apabila berada di dapur.

“Tak leceh ke banyak-banyak bahan macam ni?” soal Ezzaty sambil terus menolong Dinie menyusun lapan mug di atas dulang. Dia sendiri rasa tidak sabar hendak merasa air coklat dibuat Dinie tadi. 

Dinie tarik sengih. Nabiha pernah bertanya soalan yang sama dulu, apabila melihat dia bersusah payah membancuh air coklat. Tapi, mungkin terpengaruh dengannya Nabiha ikut terjebak. Dua botol kecil serbuk koko dan serbuk kayu manis turut disusun dalam dulang. Kemudian, dia menuang bancuhan coklat tadi di dalam mug. Nasib baiklah cukup, kerana sebelum ini memang dia tidak pernah masak banyak sebegini. 

“Tak susah pun akak kalau dah biasa buat. Bukan susah pun. Dah dari kecil abah ajar.” 

“Mesti susahkan nak jaga Noah seorang diri?” soal Ezzaty perlahan. Dia tatap mata hazel Dinie yang bulat itu. 

Dinie tersenyum.

“Masa belajar dulu, susah juga. Lama-lama tu, dah jadi senang. Ramai yang tolong saya. Ramai yang sayangkan Noah tu. Kadang-kadang saya bawa Noah macam saya angkut beg galas saya. Ada je dia kat belakang saya ni.”

“Beruntung siapa yang jadi suami Dinie.”

“Ish, akak. Jauh sangat fikir tu.” Dinie menggeleng laju.

Ezzaty ketawa pula.

“Jangan bagitahu akak, Dinie ni single lagi. Akak tak percaya orang cantik macam Dinie ni, masih tak berpunya.” Ezzaty sengaja angkat kening sebelah.

“Yalah akak. Saya ni… asyik fikirkan kat Noah. Tak sempat nak fikirkan diri sendiri. Lagipun saya mana cantik!” 

Ezzaty tersengih tiba-tiba.

“Kebetulan akak ingat ni, esok jangan lupa datang rumah akak.”

“Datang rumah?” Berkerut-kerut dahi Dinie. Dia mengeluarkan pinggan dan dilapis pula dengan tisu. Nugget yang sudah kekuningan segera diletakkan di atas pinggan. 

“Hmm… sepatutnya akak dah jemput Dinie pagi tadi. Jiran-jiran lain semuanya akak dah jemput. Dinie pergi mana pagi tadi?” 

“Pergi beli barang-barang Noah nak masuk tadika minggu depan.” 

“Tadika? Tadika kat mana?” 

“Tadika Cahaya Iman.” Tiba-tiba Dinie rasa seronok pula berbual dengan Ezzaty yang nampaknya memang ramah dan mudah mesra. Selama ini, jiran-jirannya yang lain lebih suka membuat hal sendiri, sama sepertinya juga. Tetapi mereka masih sama-sama menjaga hal ehwal tetangga. Kalau ada masalah, jiran-jiran yang dikenalinya sejak kecil itu akan cuba menolongnya. 

“Eh, samalah dengan Lana! Akak baru daftar dia. Nasib baiklah tak penuh lagi.” 

“Noah tu… dari umur dia dua tahun lebih rasanya dah belajar kat situ. Lepas saya habis belajar, balik kat sini… lepas dapat kerja, terus saya hantar Noah kat situ. Pagi belajar, petang duduk daycare. Nanti Lana duduk daycare juga ke?” 

Ezzaty mengangguk. 

“Walaupun bibik rumah akak tu memang dah lama dengan kita orang, tapi was-was juga nak tinggalkan budak-budak kecil. Kiranya, Lana dan Aidan duduk situ sampai petang. Anaqi dan Alya je lepas balik sekolah terus balik rumah. Lepas tu, Abang Fadli ambil bawa pergi Fardu Ain.” Ezzaty sedikit tersentak apabila Noah tiba-tiba berlari masuk ke dalam rumah. 

“Noah, shoes!” jerit Dinie, terkejut. Adiknya itu memang ada masalah mencabut kasutnya sendiri, terutama sekali apabila memakai Sneakers Converse yang bertali. Nasib baiklah hanya bermain di luar rumah yang hampir keseluruhannya ditanam dengan rumput karpet kecuali di bahagian garaj. 

“Kakak, Uncle Fadli tanya… bila air nak siap?” soal Noah, tersengih. 

“Sekejaplah. Pergi main luar. Kasut tu kotor!” Sengaja Dinie tayang muka garang.

Noah ketawa kecil dan kembali berlari keluar. 

“Sebab itulah saya tak letak karpet dalam rumah ni. Budak Noah tu, kadang-kadang berlagak macam mat salleh.” 

Ezzaty tergelak.

“Noah tu, pakai krim apa?” 

Dahi Dinie berkerut.

“Akak ni doktor. Abang Fadli pun sama. Baru bulan lepas, buka klinik sendiri. Buka dekat area sini juga. Sebab itulah, lepas rumah kat depan tu dah berjaya tukar pemilik, terus pindah sebelum sekolah buka,” jelas Ezzaty.

“Lah, awat akak tak cakap awal-awal?” Dinie terkejut pula.

“Dah, Dinie tak tanya. Takkan akak nak bagitahu.” Tersengih Ezzaty.

“Noah tu pakai krim doktor keluarga bagi. Doktor tu, kawan baik arwah abah saya. Setakat ni, memang Noah takde masalah guna krim tu. Nanti saya tunjukkan krim tu,” ujar Dinie pula. Selama ini, Noah memang bergantung pada krim sunblock setiap kali keluar dari rumah, walaupun hanya bermain di hadapan rumah. 

“Jom keluar. Abang Fadli tu dah lambai-lambai. Lagipun dah nak maghrib. Budak-budak memang akak tak ajar keluar masa maghrib. Esok tu, jangan lupa datang. Lepas maghrib dah boleh datang. Akak buat kenduri sikit sebab baru masuk rumah. Minggu lepas ada buat tahlil. Tapi tak jemput Dinie. Akak tak sure siapa jiran akak orang Melayu.” 

“Takpe. Saya pun takde kat sini minggu lepas. Bawa Noah pergi Legoland.” Pinggan berisi nugget diserahkan pada Ezzaty. Dia pula mengangkat dulang air. Kalau di rumah ini, memang hanya 

“Kat JB tu ke? Budak-budak tu pun bising nak pergi, tapi akak tak sempat lagi sejak-sejak klinik tu baru buka. Banyak sangat nak urus.”

“Err… bukan akak. Legoland kat California.”

Ezzaty melopong. 

“Hujung tahun, selalu saya bawa Noah tu melancong tempat orang.” Dinie mengangkat dulang, dan Ezzaty menolong mengangkat pinggan berisi nugget. 

Ezzaty terdiam pula. Dia semakin tertanya-tanya, siapakah sebenarnya gadis bernama Dinie Imaan ini yang nampak sangat merendah diri. Kalau dilihat cara hidup dua beradik ini, dia pasti arwah ibu bapa mereka bukanlah calang-calang orang. 


Terima kasih kerana sudi baca ^^

11 comments:

  1. best best best nak lagi please ;)

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. Okok. Saya cuba post tiap-tiap minggu. Hehe :D

      Delete
  3. Iman kalau tak silap akak. Mss dulu Dinie tinggal dengan atuk dia kan?

    Kmas

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aah Kmas. Saya buang watak tu, sebab nak tambah watak lain nanti ^^

      Delete
  4. Jalan cerita yang menarik ~ dari mula membaca tak jemu tunggu hingga kesudahan ceritanya* Tahniah Imani* :)

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Huuuuuu.... puas ku tunggu, akhirnya muncul juga sambungannya. Bab 3 jangan lama sangat peramnya ya........ hehehe

    ReplyDelete