Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 5



MASAM mencuka muka Alana dan Rizqin. Alana geram kerana dia tidak sempat untuk mengikat rambutnya kerana mamanya sudah awal-awal pagi keluar menghantar Alya ke sekolah. Papanya pula menghantar Anaqi. Disebabkan Alya dan Anaqi bersekolah jenis kebangsaan cina yang khas untuk lelaki dan perempuan, terpaksalah Ezzaty dan Megat Fadli berpisah sewaktu menghantar Alya dan Anaqi. Rizqin pula terpaksa menghantar Alana ke tadika dan Aidan ke daycare. 

“Tadi mama dah suruh mandi cepat. Bersiap awal. Ni mandi… macam sepuluh tahun tak mandi.” Bebelan Rizqin kedengaran lagi. Geram kerana dia bakal tiba ke pejabat lewat hari ini. Jam menunjukkan pukul lapan pagi dan tadika juga bermula pada waktu yang sama. Hari ini hari pertama Alana ke Tadika Cahaya Iman. 

“Ayah Ucu ni… Lana perempuan. Mestilah mandi lama. Bersiap lama.”

“Wahai Puteri Alana. Awak tu lima tahun. Bukannya pakai make up. Setakat letak bedak kat muka. Ambil masa berjam-jam juga? Esok kalau lewat lagi… Ayah Ucu hantar Aidan je. Lana naik van,” jawab Rizqin geram. Nak sahaja dia mencubit pipi tembam itu yang sudah memuncungkan mulut.

“Ni… kenapa rambut tak ikat?” soal Rizqin apabila menyedari rambut Alana yang sedikit kerinting itu masih dibiarkan lepas. Dia tahu, kalau rambut panjang begitu memang wajib diikat. Bukan dia tidak pernah bersekolah. 

“Mama dah pergi hantar Kak Alya. Siapa nak ikat?”

“Lana tak tahu ke?”

Alana menggeleng. 

“Lepas ni Ayah Ucu buat,” ujar Rizqin. Dia menoleh melihat Aidan yang terlentok di dalam kerusi bayinya. Dia mengeluh pula. Selama ini hidupnya bukan begini. Dia selalu tiba awal ke pejabat. Itu prinsipnya. Biar dia tunggu orang, jangan orang tunggu dia. Nasib baik juga dia sudah memberitahu ketuanya yang dia bakal tiba lewat hari ini. 

Sepatutnya dia menyewa dengan kawan baiknya, Shahmim. Tetapi apabila kakak dan abang iparnya turut menetap berdekatan dengan rumahnya, terus babah dan emaknya menyuruh dia tinggal dengan kakaknya. Nama sahaja dia menyewa bersama Shahmim, tetapi sebenarnya rumah itu adalah miliknya yang dia beli setahun selepas mula bekerja sebagai peguam. Disebabkan tidak mahu duduk seorang diri di rumah besar itu, dia mengajak Shahmim. Rumah itu dibeli tanpa pengetahuan babah dan emaknya yang memang banyak mengawal hidupnya sejak kecil lagi. 

“Duduk dengan kakak. Tak payah bazir duit bayar sewa beratus-ratus tiap-tiap bulan. Simpan duit tu nak kahwin nanti.” 

“Tapi Shah macam mana? Lagipun dah lama Rizq duduk dengan dia. Tiba-tiba Rizq nak pindah keluar pula.” Rizqin tidak berpuas hati. Sewaktu kakaknya membuat kenduri minggu lepas, babah dan emaknya mengarahkan dia berpindah secepat mungkin ke rumah kakaknya itu. Bukan itu sahaja yang buat dia jadi tidak berpuas hati. Dia bukan seperti kakak dan abangnya yang rela hati hidup mereka diatur sejak kecil. Cukuplah dia ikut kata abah dan emaknya yang mahu dia menjadi peguam. 

“Kenapa dengan Shah? Dia tu lelaki... pandai-pandai dia nak cari teman serumah nanti. Adik duduk dengan kakak lepas ni. Minggu depan pindah masuk,” suruh Encik Muhammad. Itu kata putusnya. Dalam geram, terpaksa juga Rizqin menurut. Tetapi bukannya dia pindah masuk sepenuhnya. Hanya sekadar puaskan hati babah dan emaknya sahaja. Apabila mereka kembali semula Kuantan, dia akan tinggal semula di rumahnya. Nasib baiklah kakak dan abang iparnya sangat memahami. Dia juga memang tidak selesa tinggal di rumah kakaknya yang sudah berkeluarga itu. 

“Ayah Ucu... mama pesan, tak baik mengeluh.” Suara Alana kedengaran. Dia nampak bimbang melihat wajah sugul bapa saudaranya. 

Rizqin tarik sengih. Dia memberhentikan keretanya berdekatan dengan tadika. Dia melangkah keluar selepas mengarahkan Alana keluar dari kereta. Beg kecil berwarna merah jambu digalas Alana. Tubuh kecil itu segera diangkat dan diletakkan di atas bonet Mitsubishi Lancer Evolution berwarna putih miliknya. Sempat dia mengeluh lega kerana masih ramai lagi yang baru datang rupanya. Mungkin disebabkan hari pertama, ramai ibu bapa yang menunggu anak-anak mereka. 

“Mana getah rambut?” 

“Nah!” Getah rambut berwarna kuning dan ada bentuk rama-rama yang sedondon dengan baju tadika Alana diletakkan di atas tapak tangan Rizqin. 

“Nak buat macam mana? Ayah Ucu buat silang-silang ya? Kemas sikit.”

Alana mengangguk sahaja. 

“Ayah Ucu pandai ke?”

“Dah selama ni kalau pagi raya…. kalau Ayah Ucu tak tolong kau orang semua ikat rambut, boleh roboh rumah Tok Babah tu.” 

“Abang Rizq!” 

Rizqin berpaling. Terkedu melihat Dinie, sebelum menunduk pada Noah yang tersenyum girang. Comel Noah dengan uniform berwarna kuning yang sama dengan Alana. Kedua-dua memakai baju kemeja lengan pendek yang tertera nama Cahaya Iman. Tag nama ditampal di atas poket. Beza mereka berdua hanyalah Alana memakai skirt dan Noah pula berseluar pendek. 

“Kak Dinie!” Gembira sungguh Alana melihat Dinie dan Noah. 

“Noah pun belajar sini?” soal Rizqin agak terkejut. Tidak pula Ezzaty memberitahunya semalam. Patutlah agaknya Ezzaty beria-ia menyuruh dia yang menghantar Alana. 

Dinie mengangguk. 

“Lewat juga?” soal Rizqin sambil menurunkan Alana dari atas keretanya selepas berpuas hati dengan ikatan pada rambut anak saudaranya itu. 

“Tunggu teksi lambat sampai.” 

“Naik teksi?” Rizqin terkejut.

“Semalam ada kerja. Naik satu kereta je dengan member tu. Kereta saya ada tinggal kat office.” Memang rasa menyusahkan kalau tiada kereta, tambah-tambah pula hari ini hari pertama Noah memulakan tadika secara rasmi. Sekejap sahaja rasanya Noah berumur lima tahun. Beberapa kali dia memberitahu Noah yang permulaan sekolah tahun ini, tiada lagi seisi tidur pada pukul 10 pagi. Noah hanya boleh tidur selepas habis tadika. 

Rizqin mengangguk. 

“Awak drop Lana, atau awak tunggu Lana kat dalam tu? Lana pernah pergi tadika tak sebelum ni?” soal Dinie. 

Rizqin pandang Dinie sebelum tunduk pandang Alana. 

“Lana tak pernah pergi tadika sebelum ni kan? First day kan?” soal Rizqin pula.

Alana mengangguk. Dia yang nampak berani dan tidak sabar ke tadika sejak semalam lagi tiba-tiba buat muka hendak menangis apabila melihat ramai ibu bapa dan pelajar di dalam tadika. 

“Nampaknya terpaksa saya tunggu Lana sekejap.” Rizqin mengeluh. Dia seakan memahami pula apabila melihat riak wajah anak saudaranya itu. 

Dinie tarik sengih. 

“Noah ni... sebab takde siapa nak jaga dia, lepas saya habis belajar dulu... bila saya mula kerja, saya hantar Noah ni sekolah. Rasanya dalam umur dua tahun lebih. Petang pula, terus pergi daycare kat sini juga. Sebab tu saya pilih tadika ni.” 

“Jom masuk!” Noah tarik tangan Dinie. Dia jadi tidak sabar apabila melihat kawan-kawannya yang sudah melambai tangan padanya. 

“Patutlah teruja sangat.” 

Alana nampak serba-salah. Kesian pula dia melihat wajah takut-takut Alana itu. Dia pula memang tiada pengalaman menghantar mana-mana anak saudaranya ke sekolah. 

“Err... awak tolong saya.” Rizqin tarik tangan Dinie.

Dinie berpaling. Tajam merenung tangan Rizqin yang selamba badak genggam jari-jemarinya. Hari ini dia ringkas berbaju kemeja lengan panjang warna biru muda, berseluar jeans khakis warna hijau tua, dan dipadankan dengan Converse Sneakers warna kuning cair. Wide Shawl pula warna biru gelap. Nasib baiklah kerjanya sebagai wartawan, dia tiada etika rasmi dalam berpakaian. Cuma kalau ada majlis rasmi sahaja, dia perlu pakai pakaian rasmi. Sakit juga matanya melihat Rizqin yang sentiasa nampak kemas itu. Sebenarnya hampir setiap pagi mereka bertembung sejak dia tahu lelaki itu tinggal bersama kakaknya, tetapi baru hari ini mereka bertegur sapa semula. 

Rizqin buat tidak peduli renungan tajam Dinie. 

“Nak tolong apa?” Tidak jadi Dinie melangkah. 

“Tolong teman saya.”

“Teman awak?” Berkerut-kerut dahi Dinie.

“Saya tak pernah lagi hantar anak-anak buah saya ni. Saya tak tahu... nak buat apa kat dalam tu. Tapi akak saya ada bagitahu, semua urusan Lana dah selesai. Cuma tinggal nak masuk je,” ujar Rizqin. 

“Oh, ingatkan teman apa tadi. Jom masuk... awak nak tunggu apa lagi? Tapi sebelum tu, silalah lepas tangan saya ni. Takkan awak nak berpimpin juga macam Noah ni?” Geram juga Dinie kerana Rizqin seperti pura-pura tidak faham pula renungannya. Ingat dia suka-suka hati bila orang lelaki pegang dia? Kalau bukan fikirkan air muka Rizqin, memang dia tendang jauh-jauh lelaki ini. 

“Sorry! Seronok pula rasa pegang tangan awak....” 

“Awak cakap apa?” Bulat mata Dinie. Bukan dia pekak lagi tak dengar suara sayup-sayup lelaki di hadapannya ini. 

Rizqin menggeleng laju dengan sengihan. 

“Cepatlah matikan enjin kereta awak tu. Takkan nak kereta awak tu kena curi?” 

Enjin kereta segera dimatikan. Dahi Rizqin berkerut-kerut. Terasa seperti ada sesuatu yang penting dalam keretanya itu. 

“Ayah Ucu... Aidan kat dalam kereta lagi!” 

Rizqin tepuk dahi. Kelam-kabut dia buka pintu belakang. Aidan elok lagi terlentok dalam car seat baby. Macam manalah dia boleh lupa anak saudaranya yang seorang ini. Kalaulah kakaknya tahu. 

“Adoi awak ni... baru anak dua. Kalau lima, memang terabur semua anak-anak awak tu,” bebel Dinie, geram. Dia ikut sama menolong Rizqin mengeluarkan Aidan apabila bayi itu mula merengek kerana tidurnya terganggu.

“Cakap dengan awak, semua benda saya lupa!” 

“Awak yang nyanyuk... salahkan saya pula!” Dinie pula tidak berpuas hati kerana disalahkan. Dia tepuk belakang badan Aidan perlahan-lahan. Rizqin pula mengeluarkan beg Aidan dan Alana yang akan digunakan petang nanti di daycare dari bonet kereta. 

“Jom!” ajak Rizqin selepas memastikan memang dia tidak meninggalkan apa-apa lagi di dalam kereta. Sebelah tangan membimbit beg Aidan dan Alana, sebelah tangan pula memimpin Alana melintas jalan. Nasib baik juga ada Dinie yang dapat menolongnya mendukung Aidan. Tiba-tiba dia seperti merasakan mereka satu keluarga pula.

No comments:

Post a Comment