Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 7


“KENAPA lambat D?” Terus Nabiha menyoalnya apabila Dinie sampai di hadapan muka pintu bahagian majalah Urban. 

“Aku rasa aku dah beritahu bos.” Malas Dinie hendak menjawab soalan Nabiha. Dia kenal sangat dengan Nabiha. Walaupun sudah tahu jawapannya, masih mahu bertanya soalan yang sama.

“Noah menangis tak first day kat sekolah?” 

“Tak. Cool semacam je budak tu. Lagipun bukan dia tak biasa pergi situ. Tadi dia yang beria-ia suruh aku pergi dulu.” 

Nabiha ketawa. Terbayang wajah comel Noah dengan pakaian uniform. Dia sendiri sudah menganggap Noah seperti adiknya. 

“Rindu betul aku dengan Noah.”

“Memanglah… Noah tu pun dah bising sebab kau dah jarang jumpa dia,” balas Dinie. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Meja kerjanya nampak begitu berserabut kerana dia tiada masa untuk mengemas. Selalunya memang dia jarang berada di pejabat kerana keluar mencari berita. Berita pula selalunya akan disiapkan di rumah kerana dia akan terus pulang ke rumah selepas mencari berita sehingga lewat petang. Kalau dia terpaksa pulang lewat, Noah akan diambil dahulu dan dibawa bersama sewaktu mencari berita. 

Nabiha mengeluh.

“Aku minta maaf. Memang tak sempat nak jumpa Noah. Lagipun weekend je ada masa nak cari-cari barang ni dengan Jebat. Dia tu pun busy juga.”

“Yalah… aku faham.” Dinie mengambil Mac dari dalam beg galasnya. Memang dia faham tugas digalas Jebat sebagai seorang inspektor polis. Kadang-kadang ada juga dia mendengar Nabiha membebel kerana Jebat jarang meluangkan masa dengannya. Jadi, memang dia tidak terkilan apabila Nabiha dan Jebat tiada masa berjumpa Noah. 

“Nantilah aku jumpa Noah. Jebat pun ada tanya pasal Noah. Dia ada bagitahu nak bagi Noah hadiah.”

“Hadiah apa lagi?” Beruntung sungguh Noah kerana hampir semua kawan-kawannya mengenali dan menyayangi Noah. Apabila mereka tiba-tiba menghubunginya, bukan khabarnya yang ditanya dulu, tapi khabar si kecil itu. Ada juga pensyarahnya di USM dulu mengenali Noah dan sentiasa mengambil tahu hal Noah. 

“Hadiah dia masuk sekolahlah.”

Dinie hanya mengangguk. Malas hendak menghalang, kerana dia tahu Nabiha dan Jebat pasti akan membelikan juga pada Noah. 

“Kau ni takde kerja ke?” Dinie pula buat muka bosan apabila Nabiha seperti tidak mahu bergerak ke tempatnya yang terletak di hujung pejabat bahagian majalah Urban. 

“Alah, aku nak cerita pasal baju kahwin aku.”

“Aku pun nak dengar, tapi… aku nak submit berita ni….” Belum sempat Dinie menghabiskan kata-kata iPhone berbunyi. Berkerut-kerut dahinya melihat nombor yang tidak dikenali itu.

“Kau tenung apa tu D? Angkatlah!” suruh Nabiha. 

Dinie mengeluh dan terus swipe skrin IPhone. 

“Saya….. Err…. Rizq.” Sepatah nama itu disebut sebelum matanya dapat melihat dengan jelas mata Nabiha yang tiba-tiba membulat dan terus tayang muka busy body. Nak sahaja dia tendang tubuh kawan baiknya itu jauh-jauh. 

“Awak tak save nombor saya kan?” Rizqin menyoal.

Dinie tarik sengih.

“Bukanlah. Tak sempat….” 

“Hmm… yalah. Awak anak berbelas orang. Saya anak, dua orang je. Dah sampai office belum?” soal Rizqin seperti orang berjauh hati sahaja. 

“Sudah. Awak dah sampai belum?” Tiba-tiba Dinie rasa tidak selesa kerana Nabiha masih sibuk mahu mendengar perbualannya. 

“Belum. Takpelah… saya nak drive. Saya nak tanya itu je. Save nombor saya. Bye. Assalamualaikum.” Rizqin mematikan talian selepas Dinie menyambut salamnya. 

Dinie meletakkan iPhone di atas meja. Dia toleh pada Dinie yang sudah mengambil kerusi Farid, seorang lagi wartawan yang bekerja di luar kawasan. 

“Okay. Terangkan kat aku. Rasanya, kita tak jumpa weekend je. Setakat ini, otak aku memang tak pernah miss simpan maklumat, terutama sekali maklumat penting. Kalau tak silap akulah, nama peguam yang kita jumpa minggu lepas… Rizqin Emeryzal bin Muhammad Elyaz kan? Aku ingat sangat nama dia, sebab lepas aku baca kad nama dia, aku kagum nama dia sedap sangat! Macam nama hero novel.” Lagak gadis itu sekarang memang sebiji seperti mak cik-mak cik yang nak memulakan gosip. 

“Sampai nama babah dia pun kau ingat!” balas Dinie, sengaja tidak pandang muka Nabiha.

“Okay. Cop!” Nabiha tiba-tiba berdiri.

“Woi, kau ni kenapa? Bos dah pandang pelik kat kita tu….” Dinie tepuk punggung kawan baiknya itu. Kalau teruja sangat pun, tak perlulah sampai satu pejabat hendak tahu!

“Sebelum aku jadi kapochi dalam office ni, dan aku jaja nama peguam tu kat semua collogues kita, baik kau bagitahu aku cepat!” Nabiha kembali melabuhkan punggung selepas hanya tersengih-sengih pada Encik Sayid yang memandang ke arah mereka. Dia tahu, Encik Sayid langsung tidak kisah asalkan semua kerjanya siap. 

“Nak suruh bagitahu apa?” 

“Kau sebut babah tadi! Wah, rapat sangat… sampai babah kot!” Perkataan ‘babah’ sengaja dinaikkan beberapa harkat. 

“Jadi?” Berkerut-kerut dahi Dinie.

“Apa kes kau tahu nama panggilan ayah peguam tu?” soal Nabiha, geram. Lambat juga kadang-kadang Dinie ini walaupun dialah selalunya paling pantas mencari berita sensasi.

“Oh….” Dinie tersenyum. Dia terlepas cakap rupanya. Memang patutlah Nabiha terkejut sangat. 

“Err… kau janganlah risau. Aku takde apa-apa skandal dengan McDreamy tu,” ujar Dinie, perlahan.

“Wow, McDreamy! Kau biar betul Dinie. Sejak bila kau jadi Meredith ni?” soal Nabiha kembali. 

Dinie terpinga. Terlepas cakap lagi. Memanglah selama ini dia sangat gilakan cerita Grey’s Anatomy. Bagaimana pula dia boleh tersasul menyatakan Rizqin itu McDreamy? 

“Sudahlah Haha. Aku nak submit berita jap. Lunch karang kita borak lagi….” Dinie tunjuk teknik menghalau sambil sengaja kibas-kibas file di atas meja betul-betul di hadapan Nabiha.

“Kau janji D. Aku tuntut! Eh, petang nanti jadi ke kau pergi interview budak tu?” 

Dahi Dinie berkerut. Segera dia membuka buku notanya bagi melihat jadual dia untuk hari ini. Dia terlupa pula tentang itu.

“Pergi. Kenapa?” soal Dinie selepas meneliti jadualnya. 

“Aku ingat tak boleh pergi. Mak, ayah Jebat datang KL. Jebat ajak dinner. Kau pergi seorang boleh?” soal Nabiha serba salah.

Dinie garu dagunya. Kalau dia pergi seorang, siapa pula yang boleh menjaga adiknya? 

“Hmm… nantilah aku tolong tanya Wan. Kalau dia boleh jaga Noah. Kau jangan risau, bukan aku tak pernah cari berita seorang diri. Dah… kau pergilah balik tempat. Aku nak buat kerja,” halau Dinie dengan lembut. 

Nabiha mencebik, tetapi tetap bangun dan terus ke mejanya. Dia tahu juga, kerja itu perkara utama dalam pejabat ini. Tetapi selagi dia tidak tahu cerita sebenar, selagi itulah dia rasa tidak senang menyiapkan kerjanya pula. 


TENGAH hari, Dinie, Nabiha dan Zakwan makan tengah hari di Restoran Ayam Penyet Wong Solo di Kampung Baru. Selalu juga mereka lepak di situ setiap kali tengah hari kerana masing-masing gilakan makanan berasal dari Indonesia itu. Kalau di Penang dulu, hampir setiap minggu mereka akan berkunjung di gerai menjual nasi ayam penyet berdekatan dengan Bukit Jambul. 

“Bagitahu aku sekarang!” kata Nabiha tidak sabar selepas sahaja pesanan mereka diambil pelayan. Seperti biasa, Nabiha dan Zakwan akan memilih pecel lele dan dia pula ayam penyet. Pecel lele itu sebenarnya berlaukkan ikan keli dan dia tidak makan ikan keli. 

“Bagitahu apa?” soal Zakwan, tunjuk muka ‘wartawan’. 

“Kau nak tahu juga ke Wan?” soal Dinie, malas.

“Memanglah aku nak tahu. Dengan aku… kau nak berahsia? Putus kawan!” Zakwan mencebik. Gaya sengaja buat lembut.

“Tuhan sumpah kau jadi sotong, barulah kau tahu… langit tinggi ke rendah. Kerja nak sindir orang je,” balas Dinie. Dia tahu Zakwan sengaja buat gaya itu kerana pelayan yang datang tadi terlenggok-lenggok mengalahkan sotong! Dia juga sebenarnya rimas melihatnya.

“Cepatlah. Apa yang Haha nak tahu sangat ni? Sampai dalam kereta, tak sabar-sabar,” ujar Zakwan sambil tersengih. 

“Macam ni, masa kita orang interview Nik Muzamir tu, kawan dia pun ada gak. Peguam. Dia itulah yang dalam terang dan nyata, nak mengurat D,” cerita Nabiha.

Mata Zakwan membulat.

“Ish, aku tak benarkan!” 

“Eh, kau ada hati dengan D?” soal Nabiha. 

Zakwan mengangguk laju.

“Kau biar betul Wan!” Nabiha menggeleng tidak percaya. 

Dinie juga sudah menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Memanglah dia tahu Zakwan pernah ada hati dengannya, tetapi apabila dia bercinta dengan Azlan dulu, Zakwan mengundur diri dan tidak pernah lagi membicarakan hati dan perasaan dengan Dinie. 

“Kau percaya ke?” Zakwan akhirnya tergelak.

Dinie mengetap bibir. Boleh pula Zakwan main-main dalam hal ini. Dia memang tidak sanggup hubungan rapat mereka renggang kerana hal ini. Sampai bila-bila pun, dia mungkin tidak dapat menerima Zakwan yang dianggap seperti saudaranya juga. 

“Jangan risaulah… aku dah anggap korang macam adik-beradik aku, walaupun tak boleh sentuh-sentuh. Cepatlah! Kenapa dengan peguam tu?” 

“Hah, cepatlah D! Aku tahu takat tu je....” Nabiha masih tidak berpuas hati.

“Jap!” Dinie tersengih apabila pelayan datang menghantar pesanan mereka. Perutnya yang lapar itu perlu diisi. 

“Cepatlah D,” ujar Nabiha separuh merayu.

Dinie mengeluh. 

“Kereta aku tinggal kat ofis sebab semalam kau hantar aku balik kan?” soal Dinie sambil meneguk minumannya. 

Nabiha mengangguk.

“Siapa hantar kau pagi tadi? Kenapa tak bagitahu aku? Bukan Noah start sekolah hari ni ke?” soal Zakwan bertalu-talu. 

“Yalah… Noah start sekolah hari ni. Aku pergi kindy tu naik teksi. Tapi, dari kindy tu, dialah yang hantar.” Lambat-lambat juga Dinie meneruskan kata-kata. Sengaja dia mahu melihat reaksi Nabiha dan Zakwan. Ternyata mata masing-masing terbeliak.

Dinie tarik sengih.

“Kau memang call dia ke?” soal Nabiha tidak percaya. 

“Maksud kau?” Zakwan pandang Nabiha.

“Yalah… Dinie tak sempat bagi kad nama dia hari tu. Peguam tu je bagi kad nama kat D.”

“Betul ke D?” Zakwan menyoal pula.

“Betul apa pula ni?” Dinie tiba-tiba blur. Selalu sungguh soalan tanpa subjek.

“Yalah… betul ke kau yang call peguam tu?” soal Zakwan, geram. Lambat sangat kawannya ini. 

“Ish, gila! Dialah yang Whatsapp aku dulu!”

“Eh, macam mana dia tahu nombor kau?” Nabiha tunjuk muka pelik.

“Dia tahu dari kakak dia.”

“Kau kenal kakak dia?” Zakwan sudah pening. 

“Itulah korang… aku nak cerita, asyik menyampuk je dari tadi.” Dinie pula yang geram.

“Okay. Kau cerita sampai habis,” suruh Nabiha, mengalah. Dia meneruskan aktiviti menyuap nasi di dalam mulut. 

Dinie membuka mulut dan menceritakan tentang bagaimana Alana boleh terpacak di hadapan rumahnya sehinggalah pertemuan mereka di tadika Noah dan Alana. Seperti biasa, reaksi Nabiha dan Zakwan membuatkan dia tergeleng. Bukannya dia tidak pernah bertemu janji dengan mana-mana lelaki sebelum ini selepas dia berpisah dengan Azlan dulu. 

“Okay. Satu je aku nak bagitahu kau,” ucap Nabiha. 

“Apa dia?” Zakwan pula yang tidak sabar nak tahu.

“Sibuklah kau ni!” Dinie suku lengan Zakwan yang duduk di sebelahnya. 

“Nak tahu tak?” Nabiha nak melenting. 

“Hah, bagitahulah.” Dinie sengaja buat muka berminat. Dia kembali memasukkan nasi di dalam mulutnya. Separuh dari ayam penyet diserahkan pada Zakwan kerana selalunya memang dia tidak pernah habis. 

“Aku dah bagitahu dulu, benda yang kau tak nak… itulah terjadi. Aku dah cakap, mesti kau jumpa balik dia. Baru kau tahu, besar ke kecil KL ni.”

“Kebetulan,” balas Dinie.

“Dalam hidup ni, memang banyak kebetulan. Tapi dengan kebetulan, semua benda terjadi. Kita tak boleh predict masa depan. Kau ingat, dulu aku ejek-ejek nama Jebat tu, last-last aku nak kahwin dengan dia,” ucap Nabiha. Memang sewaktu belajar dulu dia asyik mengecilkan nama tunangnya itu kerana sangat kuno. Tapi akhirnya, kerana ejekan itulah dia jatuh hati dengan Jebat. 

Dinie terdiam. Risau pula dia mendengar kata-kata Nabiha itu.


2 comments:

  1. Lama nya tgu n3.. D mmg ssuai sgt dgn rizqin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf. Kadang-kadang terleka buat kerja lain, lupa update :P

      Delete