Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 9


DINIE pegang kepalanya yang masih sakit. Tetapi dia cuba untuk tidak terlelap lagi. Dia takut dia tidak sedar apabila sampai di rumah nanti. Sesekali dia mengintai pada Rizqin yang nampaknya sedang tayang muka serius dan langsung tidak senyum. Malah, dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu inspektor tadi rupa-rupanya kawan baik Rizqin. Sekali lagi, memang terbukti yang Kuala Lumpur ini kecil sahaja. Memang langsung tiada kebetulan. Nasib baik jugalah bukan Jebat yang membantunya kerana Jebat bertugas di kawasan Sentul. Dia tidak mahu Nabiha tahu. 

“Maafkan saya susahkan awak.” 

“Awak nak suruh saya jahit mulut awak tu?” soal Rizqin dengan jelingan. 

“Err… saya betul-betul minta maaf,” ucap Dinie lagi entah ke berapa kali sejak keluar dari balai polis. 

“Berapa kali saya nak bagitahu, awak tak susahkan saya. Noah kat mana?” Garang betul muka Rizqin ketika ini. 

Dinie telan air liur. 

“Err… dengan kawan saya, Wan.” 

“Wan? Lelaki ke perempuan?” Rizqin menoleh dan merenung mata bulat Dinie. 

“Lelaki.” 

“Oh, boyfriend awak?” Semakin tegang pula Dinie rasa suasana dalam kereta ini. 

“Bukanlah. Kawan. Abang senior saya kat USM dulu, bila kerja ni… dia senior saya kat situ. Saya dah anggap macam saudara. Dia banyak tolong saya,” jelas Dinie. Entah kenapa, dia rasa dia perlu menjelaskan hal sebenarnya pada Rizqin supaya lelaki itu tidak terus salah faham. 

“Hmm….” Rizqin mengangguk sekali. 

“Err… terima kasih sebab tolong ambil saya kat balai. Saya tak nak susahkan kawan saya, Haha sebab dia nak jumpa keluarga tunang dia,” ucap Dinie, perlahan. 

“Haha tu… lelaki ke perempuan?” 

“Eh, awak? Kenapa asyik tanya jantina kawan-kawan saya ni?” Dinie pula pelik. 

“Bukanlah… saya tanya je.” Rizqin garu kepala. 

“Perempuan. Kawan baik saya. Nama dia, Nabiha. Saya panggil Haha lepas tengok cerita Running Man.” Sekali lagi Dinie menjelaskan. 

“Baguslah macam tu.” Sebenarnya Rizqin sendiri tidak pernah melihat Running Man, tetapi ada juga mendengar celoteh dari Anaqi dan Alya yang menjadi penonton setia rancangan realiti TV dari Korea itu. Disebabkan rancangan itulah beria-ia anak-anak saudaranya memujuk kakak dan abang iparnya ke Korea tahun lepas. 

PAP! 

“Adoi, sakitlah!” Berkerut-kerut dahi Dinie apabila tiba-tiba Rizqin menepuk dahinya. 

“Nak ingatkan awak… lain kali jangan buat benda bahaya macam ni lagi. Kalau apa-apa jadi kat awak, Noah macam mana? Yang penting awak tu perempuan. Lain kali, kalau cari berita malam-malam ajak kawan. Kita hidup sekali je Dinie.” Panjang lebar Rizqin membebel. Walaupun dia baru mengenali Dinie, apabila mendengar kata-kata Shahmim tadi kalaulah pihak polis terlambat sikit, mungkin sampai bila-bila tidak boleh berjumpa Dinie lagi. Tidak dapat dibayangkan, apa yang akan terjadi pada si kecil itu. Si kecil itu saja, dia pula? Hmm…. 

Dinie mengangguk sambil terduduk. 

“Saya bukan nak suruh awak nangis.” Perlahan pula suara Rizqin. 

Dinie seka air mata. 

“Saya minta maaf.” 

“Saya bukan nak suruh awak minta maaf… tapi apa-apa awak buat, ingat Noah,” pesan Rizqin, ikhlas. 

Dinie mengangguk perlahan. 

“Pandang sini,” suruh Rizqin. 

Dinie menoleh sebelum matanya membulat selamba sebelah tangan Rizqin menyeka air matanya dengan wajah masih serius. Pipinya diulas lembut. 

“Err… saya tak suka awak nangis,” ucap Rizqin sambil berdeham. Pipi terasa berbahang. Ya Allah, dia sendiri tak sedar tindakan spontannya itu. 

“Awak… nak minta tolong.” Sebenarnya Dinie terasa malu dengan tindakan tiba-tiba Rizqin tadi. Dia semakin terharu dengan keprihatinan Rizqin. 

“Apa?” 

“Err… ambil Noah. Adik saya tu, tak boleh tidur kalau takde saya,” ucap Dinie sambil menilik jam tangannya yang sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. 

“Bagi saya telefon awak,” pinta Rizqin dan terus memberi lampu isyarat ke kanan. 

“Nak buat apa?” Dinie mengeluarkan iPhone dari sling bag miliknya. 

“Banyak missed called ni dari Wan. Saya call dia ya?” 

“Tolong jangan bagitahu dia apa terjadi,” pesan Dinie. Dia sebenarnya langsung tiada kekuatan untuk bercakap dengan Zakwan selepas peristiwa tadi. Dia tahu Zakwan banyak menelefonnya, dan sebab itulah dia sengaja tukar mode silent. Kesian Zakwan, mesti sangat risaukan dia sekarang. 

Rizqin mengangguk dan terus keluar dari kereta. Risau juga kalau berdua-dua begitu akan mengundang pihak lain pula. 

“Kita ambil Noah lepas ni. Kebetulan memang jalan ni. Memang Noah tak boleh tidur,” kata Rizqin selepas masuk semula ke dalam kereta. iPhone diserahkan pada Dinie semula. 

“Wan ada tanya apa-apa tak?” soal Dinie. 

“Ada. Saya bagitahu awak ada interview habis lambat, saya ajak makan. Kereta awak mana?” soal Rizqin. Soalan itu ditanya Zakwan tadi. Dia meneruskan kembali pemanduan menuju ke rumah Zakwan. 

“Err… kat situ lagi.” 

“Kat mana?” 

“Kat rumah budak tu. Tapi saya tak parking depan rumah dia. Saya parking kat bangunan kedai dekat-dekat situ,” jelas Dinie. 

“Hmm… esoklah kita ambil kereta awak.” 

Dinie hanya mengangguk. 

“Sakit lagi?” Gusar hati Rizqin apabila melihat dahi Dinie yang bertampal. 

Dinie mengangguk. 

“Sakit sangat?” 

Dinie mengangguk lagi. Tidak guna dia menipu. 

“Biar saya tengok,” pinta Rizqin dan kembali memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia memang tidak nampak keadaan dahi Dinie kerana gelap. Dia memberi lampu kecemasan. Kemudian, lampu dalam kereta dihidupkan. 

“Dekat sikit dengan saya. Awak jauh sangat… saya bukannya nak buat apa-apa.” Rizqin membebel, geram. Bukannya cermin mata dipakainya ini kanta pembesar ataupun teropong. 

Dinie telan air liur. Walaupun kata-kata Rizqin lembut, ketegasan itu dapat dirasai. Perlahan-lahan dia mendekatkan diri dengan Rizqin. Kawasan tampalan yang agak terselindung dengan shawl disentuh Rizqin dengan dahi berkerut-kerut. Nampak lelaki itu terkejut. 

“Berdarah balik kain ni,” beritahu Rizqin. 

“Ye ke?” Dinie juga terkejut. 

Rizqin mengangguk. 

“Muka awak… pucat sangat ni. Kenapa tak bagitahu saya awal-awal tadi?” soal Rizqin sambil menutup lampu dalam kereta. Dia tidak meneruskan pemanduan, sebaliknya memegang erat stereng kereta. 

“Awak kenapa?” soal Dinie dengan dahi yang berkerut. 

“Err… awak ada air?” soal Rizqin, perlahan. 

“Ada.” Kelam-kabut Dinie mengeluarkan botol mineral dari sling bag. Penutup botol dibuka dan diserahkan pada Rizqin. 

Habis air mineral dalam botol Dinie diteguk Rizqin. 

“Awak okay ke? Kenapa muka awak pucat?” soal Dinie, risau. Walaupun lampu dalam kereta tidak dibuka, dia dapat melihat wajah pucat Rizqin dari pantulan lampu jalan yang samar-samar. 

“Saya sebenarnya tak boleh tengok darah.” 

Mulut Dinie terlopong. 

“Kenapa pandang saya macam tu?” 

Dinie menggeleng. Dia cuba menutup senyuman yang dirasakan semakin mekar. 

“Awak jangan gelak. Saya memang tak boleh tengok darah.” 

“Saya tak gelak.” Mulut dipegang kejap sambil menggeleng. 

“Hmm… takpelah kalau awak nak gelak.” Pasrah Rizqin apabila melihat perubahan wajah Dinie yang semakin memerah. 

Tawa Dinie yang ditahan sejak tadi meledak. 

“Lawak sangat ke lelaki takut darah?” soal Rizqin, dengan menahan rasa sakit hati. Sebab itulah dulu, bidang pertama yang dia tolak adalah bidang perubatan. Dia belajar biologi dulu pun, banyak kali ponteng makmal, dan berpura-pura sakit di rumah. Kalaulah babah dan emaknya tahu rancangannya itu. 

Dinie menggeleng. Semakin kuat pula dia ketawa. Sumpah, memang dia tidak sangka lelaki segagah Rizqin takut darah. Tetapi memang pucat sungguh wajah Rizqin tika ini. Rizqin meneruskan kembali pemanduan. Reda sahaja dia mendengar tawa Dinie itu. 

“Dah tak terasa nak gelak?” soal Rizqin. 

“Saya nak gelak lagi… tapi….” Dinie cengkam tangan Rizqin, kuat. 

“Kenapa ni?” Tertoleh-toleh Rizqin pada Dinie sebelum dia segera menanggalkan tali lehernya yang masih tidak dicabut. 

“Nak buat apa ni?” soal Dinie. Sebelah tangan masih cengkam lengan Rizqin yang berbalut dengan baju kemeja, dan sebelah lagi pegang tali leher Rizqin. 

“Awak… ikat dahi awak tu dengan tali leher ni. Saya nampak ada sesuatu mengalir. Kita pergi ambil Noah dulu, lepas tu pergi klinik. Awak rendahkan sit kereta. Awak baring,” suruh Rizqin. Kebetulan kereta terpaksa diberhentikan di lampu isyarat. Dia segera mencapai kot yang dicampak di sit belakang. Kemudian, dia menyelimuti tubuh Dinie yang sudah berbaring. 

“Noah macam mana nanti?” soal Dinie, risau. 

“Jangan risaulah. Awak pura-pura tidur. Kalau Wan tanya, saya bagitahu tak sihat sebab period.” Amboi, selamba betul Rizqin merancang. 

Dinie yang mendengar perkataan period itu sudah membulatkan mata. 

“Jangan risau… saya ada kakak,” ucap Rizqin, tiba-tiba tersengih nakal. 

Dinie pejam mata. Malas melihat wajah Rizqin yang kadang-kadang suka diramal perangainya yang berubah-ubah itu. Sekejap serius, sekejap menggada, dan sekejap sinis. Lelaki ini sebenarnya yang period sepanjang masa.

7 comments:

  1. Cerita ni byk potensi. Best sgt! Keep on writing. Tak sabar nak habis baca :)

    ReplyDelete
  2. Wala... perihatinnya En. Rizqin... ;D

    ReplyDelete
  3. Best owh...klu boleh jgn lm sangat update yer....hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya Allah. Macam-macam benda nak buat. Huhu :D

      Delete
  4. thnx writer..tulis cite ni..best.. lain dr lain.. #naklagi...

    ReplyDelete