// Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 13.


“WOI!”

Rizqin tersentak. Terkulat-kulat dia pandang wajah Shahmim yang bercekak pinggang di hadapannya kini. Fikirannya tiba-tiba rasa kosong.

“Kau kenapa ni?”

“Kau bila balik?” soal Rizqin pula. Dia garu kepalanya, dan kembali merenung syiling.

“Aku balik apa pula? Semalam aku syif malam. Pukul lapan sampai rumah tadi. Aku ingatkan kau dah pergi kerja. Kau tu, balik-balik je… terus termenung kat sini. Kenapa?” soal Shahmim sedikit geram. Dia yang sedang memasak di dapur terkejut apabila melihat Rizqin yang sangat jarang mengambil cuti, tiba-tiba balik.

“Oh, kau masak apa tu?”

“Nasi goreng. Aku buat tak banyak, tapi kau nak ke?”

“Bolehlah sikit. Aku pun tak breakfast lagi ni.”

Berkerut dahi Shahmim. Dia pandang jam pada dinding. Hampir pukul 11 pagi. Pelik. Selama dia mengenali dan tinggal serumah dengan Rizqin, jarang dia melihat sahabat baiknya itu melambat-lambatkan sarapan.

“Kau okay ke ni? Kau dari mana? Kau tak kerja ke hari ini?” Bertalu-talu lagi soalan yang dilontar Shahmim. Dia tepuk paha Rizqin, dan menyuruh sahabatnya itu bangun.

Rizqin mengeluh. Lambat-lambat dia bangun, dan duduk pula bersandar pada sofa berbentuk L. Wajah Shahmim dipandang, sebelum dia mengalihkan perhatian pula pada skrin TV yang memang gelap.

“Dinie macam mana?” soal Shahmim. Teringat pula, semalam dia ada menelefon Rizqin menyuruh mengambil gadis yang baru pertama kali bersua muka.

Rizqin pandang wajah Shahmim. Terkejut nama itu terkeluar dari mulut Shahmim. Dia mengeluh lagi.

“Kenapa ni? Kau ni… dari mana?” Kepala Shahmim mula fikir bukan-bukan. Memanglah kalau dia melihat Rizqin sekarang, baju kemeja yang dipakai lelaki itu semalam sudah bertukar. Tetapi dia juga tahu, Rizqin ada menyimpan beberapa baju bersih di dalam keretanya.

“Aku dari rumah Dinie.”

Shahmim terlopong.

“Kau jangan cakap….”

Rizqin mengangguk.

“Woi!” Sekali lagi bahu Rizqin menjadi mangsa tumbukan. Tetapi kali ini, lebih kuat!

“Aku dari rumah Dinie.” Sekali lagi Rizqin ulang kenyataan dan terus mengeluh.

“Kau buat apa rumah Dinie?”

Rizqin mengeluh.

“Aku tanya ni… kau buat apa dengan Dinie?” soal Shahmim lagi, sedikit keras.

“Aku rasa… aku kena kahwin dengan dia.”

Shahmim terlopong.

“Babah aku… babah aku jumpa aku dalam bilik mandi rumah dia.”

Bulat pula mata Shahmim.

“Kau… kau buat apa dengan Dinie? Macam mana pula, babah kau ada dalam cerita ni? Babah kau, tak balik Kuantan lagi ke? Jadi semalam, kau tidur rumah Dinie?”

“Babah aku tak jadi balik. Tak tahulah bila nak balik tu….” Rizqin mengeluh. Rambut yang memang disikat kemas tiba-tiba kusut apabila semakin kasar dia menggaru kepalanya.

“Woi, cuba terangkan betul-betul kat aku. Kalau bukan keluar dari mulut kau, memang aku tak percaya. Susah aku nak percaya… tapi selama ni, aku percaya kau tak pernah rosakkan mana-mana perempuan kan? Kau tu… pernah ada girlfriend ke?”

Dahi Rizqin berkerut pula.

“Bila masa pula aku rosakkan perempuan ni? Aku ni, sejarah girlfriend pun tak wujud.”

“Dah… tadi… bukan kau tidur dengan Dinie, sampai kena tangkap dengan babah kau?”

Rizqin terpinga, sebelum tawa meletus.

“Lah, ketawa pula.” Sekarang, Shahmim pula yang garu kepalanya, kasar.

“Aku tak sentuh pun Dinie tu.”

“Jadi?”

“Semalam aku tidur rumah kakak aku. Yalah, masa aku ambil Dinie dari balai pun dah lewat malam. Lepas tu, aku ambil adik Dinie kat Ampang, rumah kawan dia. On the way tu, aku singgah klinik. Dah sampai rumah Dinie tu… dah dua lebih. Lepas hantar Dinie, aku tidur rumah kakak aku. Kan babah aku ada sini lagi, dia pun suruh aku duduk dengan kakak aku tu…. Dinie tu, jiran kakak aku. Kau lupa?”

“Jadi, macam mana kau dari rumah Dinie ni, dan sampai kau kena kahwin dengan dia?”

“Sebelum aku pergi kerja tadi, adik dia nangis-nangis, panggil-panggil aku beritahu kakak dia tak bangun-bangun dari pagi tadi. Terlajak subuh agaknya….”

“Berapa umur adik dia tu?”

“Lima tahun.”

“Mak, ayah Dinie?”

“Orang tua dia dah meninggal. Dinie yang jaga adik dia tu.”

Shahmim tersentak pula. Terbayang-bayang wajah Dinie, yang pucat sebelum meninggalkan balai. Menyesal pula tidak terus menghantar gadis itu ke hospital, atas permintaan gadis itu juga.

“Innalillah. Okay, lepas tu?”

“Nak, tak nak… terpaksa aku masuk rumah dia. Masuk bilik dia. Aku called kakak aku, sebab aku tahu dia cuti. Dia pengsan agaknya. Dahi dia pun panas sangat. Jadi, sementara tunggu kakak aku tu… aku ingat nak letak tuala basah atas dahi dia. Masa itulah, babah… mak aku muncul. Memang aku betul-betul lupa, dia orang ada lagi kat sini.” Rizqin mengeluh pula.

Shahmim mengangguk dan bersandar. Dia pula yang mengambil alih, merenung skrin TV yang kosong.

“Jadi, kau nak kahwin dengan dia?”

Rizqin pandang Shahmim.

“Memang aku nak kahwin dengan dia.”

Shahmim terlopong.

“Dah, kalau kau nak kahwin dengan dia… kenapa kau buat gaya macam kena paksa je? Dari tadi, aku tengok macam mayat hidup. Sepatutnya kau bersorak!” Shahmim pula yang nampak beria-ia.

“Tapi bukan dengan cara ni,” sambung Rizqin dengan keluhan.

Terima kasih kerana membaca, dan follow belog ini ^^



8 comments:

  1. Sambung lagi..lagi..mkin best

    ReplyDelete
  2. Ala...baru nak panas duduk membaca dah abis....huhuhu...sambunglah lagi...lama akak tunggu - SZ

    ReplyDelete
  3. Ala.... tak puas baca. Lama tunggu entry. Kawen aje laa Rizqin. Hero penyelamat buat Dinie & Noah.

    ReplyDelete
  4. Ala Rizkin ni.... bnyk songeh plak... ok la tu abah tlg pinaingkan terus Dinie. Dr jd hakayat, btunang org ln cinta org ln. Lps tu nk minta abah putus tunang sgl. mnyusahkan jew. Klu nk rs bcinta cam org ln, tackle la Dinie lps kahwin. Lg afdal. Dah halal pun. ;D hehehe...

    ReplyDelete