// Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 14.


HAMPIR seminggu bercuti, Dinie kembali bekerja seperti biasa. Selama dia bercuti, Ezzaty menolongnya menghantar Noah ke tadika. Kebetulan, memang Ezzaty perlu juga menghantar Alana dan Aidan. Anaqi dan Alya pula sudah mula ke sekolah dengan van sahaja. Dinie mengeluh perlahan.

“D!” 

Dinie urut dada. Elok sahaja dia baik demam, penyakit lain pula muncul. Nabiha ini, memang kalau mengejutkan orang memang juara!

“Kau dah kenapa? Tak reti beri salam?” soal Dinie geram.

Nabiha tersengih-sengih. Dia tayang sebungkus plastik yang jelas terisi beberapa bungkus nasi lemak. Dini tahu nasi lemak itu bukan dibeli Nabiha, tetapi dibuat sendiri oleh mama Nabiha. Rajin betul Puan Fatin memasak dan membungkus nasi lemak itu walaupun hanya untuk dimakan oleh kaum keluarga mereka sahaja. 

“Gembiranya aku tengok kau ada pagi ni. Cepat kau sampai? Siapa hantar Noah?” 

“Kak Ezzaty. Dia bertegas nak teruskan hantar Noah sebab satu jalan juga,” balas Dinie dengan keluhan. Dia tidak suka terhutang budi dengan orang, tetapi memang sejak abah dan mamanya meninggal dunia, ramai sungguh orang yang sanggup menabur budi pada mereka dua beradik walaupun dia langsung tidak meminta. 

“Oh….” Nabiha tersengih-sengih. Sewaktu melawat Dinie dulu bersama Jebat, dia ada berjumpa dengan Ezzaty sekeluarga. Cuma dia sedikit terkilan kerana masih belum berjumpa dengan Rizqin. 

“Kau ni kenapa? Kau tayang nasi lemak tu, nak bagi aku ke?” 

“Mestilah kawan. Aku tahu kau masuk kerja hari ni, mama aku orang paling excited. Dia yang bangun pagi-pagi masakkan nasi lemak ni untuk kau. Dia tahu favorite kau ni.” Dinie tersenyum. Puan Fatin memang baik, dan menganggap dia dan adiknya seperti anak-anaknya juga. Sewaktu dia demam, berkali-kali juga Puan Fatin dan Encik Nadim datang melawatnya. Risau sungguh keluarga Nabiha itu. Kalaulah keluarga Zakwan dan Jebat juga tinggal di Kuala Lumpur, tentu kebimbangan mereka sama seperti keluarga Nabiha itu. Bersyukur dia kerana dikurniakan kawan baik seperti Nabiha dan Zakwan. 

“Kau pergilah tunggu kat pantri. Buatkan aku Nescafe. Lama betul aku tak merasa air Nescafe kau.” 

Dinie mencebik, bukan dia tidak tahu Nabiha memang pemalas bab membancuh minuman. Tetapi tidak pula membantah kata-kata Nabiha itu. 

“Tak nak tunggu Wan ke?” 

Nabiha berhenti melangkah ke mejanya. Dia berpaling dan tayang satu wajah yang buat Dinie rasa tertanya-tanya. 

“Kenapa?”

“Err… Wan dah sampai. Err….” Nabiha garu kepala pula.

“Kenapa ni?” 

“Masa kau cuti sakit tu, kita ada staf baru. Tapi kat Majalah SKUAD.”

“Jadi?” Hampir bercantum kening Dinie melihat wajah serba-salah Nabiha. Bukan sesuatu yang pelik kalau ada staf baru di SENI MEDIA. 

“Kau pergilah dulu kat pantri tu. Aku nak simpan barang, on iMac jap.” 

Dinie mengangguk. Laju melangkah ke pantri ala-ala kafe yang terletak di tengah-tengah bangunan dan berada di tingkat tiga. SENI MEDIA terdiri daripada dua buah bangunan. Sebuah bangunan merupakan kilang pencetakan. Sebuah lagi bangunan merupakan pejabat yang terdiri dari enam tingkat. Tingkat pertama hanyalah kawasan pameran, beberapa buah dewan dan Kedai Kafe & Buku yang menjual semua produk keluaran SENI MEDIA. Tingkat kedua pula adalah kawasan studio. Aras ketiga untuk produk majalah termasuklah Majalah URBAN dan SKUAD. Aras keempat untuk produk akhbar dan aras kelima pula untuk produk buku dan novel. Tingkat teratas pula pejabat pengurusan. 

Selepas membancuh Nescafe, Dinie duduk disalah satu meja di hujung pantri. Staf masih belum ramai yang datang kerana waktu bekerja yang berbeza, dan dia tahu tidak ramai staf yang masuk pada pukul lapan. Dia pula datang awal kerana terpaksa. Dia mengeluh pula. Ingatannya melayang mengingatkan kedatangan Encik Muhammad sebelum pulang ke Kuantan. Besar sungguh harapan Encik Muhammad itu. 

***

“MAAFKAN pak cik. Dalam sakit-sakit macam ni, boleh pula pak cik buat Dinie macam ni,” ujar Encik Muhammad dengan keluhan. Ezzaty yang berada di dapur membancuh minuman hanya memandang mereka berdua yang duduk di ruang tamu. Mainan-mainan Noah bertaburan di ruang tamu kerana Dinie memang tidak larat untuk mengemas. Walaupun dia melarang Noah membawa mainan di ruang tamu utama, disebabkan dia sakit, Noah bermain seorang diri di sini. Kadang-kadang ada juga Ezzaty datang melawat apabila pesakit tidak ramai di klinik. 

Sepatutnya Encik Muhammad dan Puan Syarifah pulang semalam, tetapi menangguhkan hampir dua hari untuk melihat dia lebih sihat. Alhamdulillah, memang dia semakin sihat dengan keprihatinan keluarga Rizqin itu walaupun Rizqin memang tidak lagi muncul di hadapannya sejak babahnya memberitahu niat mahu merisik bagi Rizqin. Tetapi Rizqin dan Megat Fadli juga yang membantunya mengambil keretanya yang diletakkan berdekatan dengan rumah Fina, cuma Ezzaty yang mewakilkan diri meminta kunci kereta untuk pihak Rizqin. Petang semalam selepas habis kerja, Nabiha, Jebat dan Zakwan ada datang melawatnya. Marah sungguh mereka kerana tidak diberitahu awal-awal akan hal Dinie diserang itu. 

“Takpe pak cik. Mak cik mana?” Selalunya Encik Muhammad datang melawatnya dengan Puan Syarifah walaupun dia tahu Puan Syarifah seakan-akan tidak suka hal merisik itu. Bukan Puan Syarifah sahaja tidak suka, dia juga! 

“Hmm… mak cik mengemas. Tengah hari lepas zuhur, kami bertolak balik. Dinie dah sihat sikit kan?” Nampak kejujuran pada wajah Encik Muhammad apabila bertanya tentang kesihatannya.

“Alhamdulillah, okey.” Dinie tersenyum lagi. 

“Suhu badan Dinie dah turun sikit babah. Cuma dahi tu, hari tu terpaksa jahit sekali lagi sebab terbuka. Ezzaty tengok dah makin okey luka tu,” jelas Ezzaty yang muncul sambil membawa dua mug. Dia melabuhkan punggung di sebelah babahnya. 

“Baguslah macam tu. Hmm… pak cik datang ni….” 

Dinie dan Ezzaty saling berpandangan. Pelik apabila lama pula Encik Muhammad terdiam sambil mengurut janggutnya yang memutih. Walaupun janggut Encik Muhammad dipenuhi uban, rambut Encik Muhammad masih hitam. Hanya dua tiga urat uban sahaja yang kelihatan. Kalau diteliti betul-betul, Rizqin dan Kamil mewarisi kekacakan Encik Muhammad. Cuma Rizqin lebih mengikut wajah Puan Syarifah. Kamil dan Ezzaty pula saling tidak tumpah seperti Encik Muhammad. 

“Kenapa babah?” Ezzaty menyoal akhirnya.

“Pak cik harap, Dinie fikir semasak-masaknya hal merisik tu. Pak cik bukan main-main, dan bukan perangkap Dinie. Kata orang, kita hanya merancang, Allah menentukan. Mungkin selama ni, pak cik nampak tegas pada anak-anak pak cik, sebab bukan senang nak besarkan walau seorang anak dalam dunia sekarang. Macam-macam dugaan. Pak cik tak mahu, nasi jadi bubur. Biarlah anak-anak benci pak cik sebab terlalu mengongkong mereka, dari pak cik menangis sebab tak kawal hidup mereka, tak jaga mereka sebaik-baiknya. Anak-anak ni amanat Allah pada pak cik.” 

“Babah….” Ezzaty betul-betul tergamam dengan kata-kata babahnya itu. 

Dinie pula jelas terpinga. 

“Ezzaty dan Kamil setakat ni, mendengar kata. Walaupun pak cik tahu mereka akur sebab terpaksa. Sampaikan hal jodoh pun pak cik masuk campur. Alhamdulillah, Ezzaty bahagia dengan Fadli. Pak cik sedikit terkilan dengan Kamil, umur anak-anak tak sampai sebulan, dah bercerai-berai. Anak-anak tak kenal mak, ayah. Dengan adik-beradik macam orang asing.” Encik Muhammad mengeluh lagi.

Dinie tersentak pula. Oh, patutlah hari itu Kamil tidak ditemani isteri. Dia memang malas mahu campur dalam hal rumah tangga orang lain. 

“Kalau Dinie tolak lamaran tu, pak cik tak marah. Pak cik faham. Rizq tu memang berbeza sangat dari abang dan kakak dia. Apa yang pak cik larang, itulah dia nak buat. Tapi, pak cik bersyukur juga, dalam memberontak, dia ikut juga kata-kata pak cik tu….”

“Pak cik janganlah risau. Saya akan fikirkan hal ni. Lega sikit saya dengar pak cik tak marah kalau saya tolak lamaran tu. Saya pun memang baru je kenal dengan Rizq. Saya faham perasan pak cik sebab arwah abah saya dulu macam tu juga. Saya seorang je anak dia, sebab Noah lahir. Kalaulah diberi pilihan, saya lebih rela hidup dikongkong daripada tiada abah, mama. Sebelum ada Noah, dan mama. Hidup saya betul-betul bergantung pada arwah abah saya. Langsung saya tak dapat fikir, apa akan jadi pada saya kalau takde abah. Saya lebih suka kalau ada abah, marah-marah saya….” Dinie gigit bibir. Tidak sanggup meneruskan kata-kata. Sehingga hari ini, dia memang belum bersedia untuk bercerita tentang arwah abahnya. 

Ezzaty menunduk. Tidak sanggup pula menatap mata hazel Dinie yang berair itu.

“Maksud Dinie, sebelum ada mama?” Encik Muhammad keliru.

“Oh, mama Noah tu, bukan mama kandung saya. Mummy saya meninggal lepas lahirkan saya. Abah besarkan saya seorang diri, tapi masa tu… mama muncul dalam hidup saya sebagai pengasuh. Umur 18 tahun, barulah abah terbuka hati nak kahwin dengan mama. Tapi sepanjang jadi pengasuh saya, mama tu saya dah anggap macam mama saya sendiri,” jelas Dinie.

“Lah, pak cik baru tahu pun.” Encik Muhammad melepas pandang pada potret sederhana besar yang digantung pada dinding. Patutlah Dinie ‘tidak sama’ seperti Noah. 

“Akak pun sama.” Ezzaty mengangguk. Dia memang mati-mati ingat yang mama dimaksudkan Dinie selama ini adalah ibu kandungnya. Biasalah, tidak sepertinya ibu yang mempunyai gen Albino, akan melahirkan anak mempunyai gen Albino juga. 

Dinie tersenyum. 

“Walaupun mummy lahirkan saya, tapi saya dah anggap mama tu, seperti mama kandung saya walaupun bukan arwah lahirkan saya.” 

Encik Muhammad dan Ezzaty sama-sama mengangguk.

“Tentang hal lamaran tu, pak cik bagi saya fikir dulu ye? Sakit-sakit ni, memang saya tak dapat fikir,” pinta Dinie.

Encik Muhammad mengangguk.

“Pak cik gembira sebab dapat berkenalan dengan Dinie. Kalau Rizq tak nak, Kamil dan pak cik pun ada. Budak tu tolak tuah namanya!” Encik Muhammad tergelak kuat.

“Amboi babah, mentang-mentang mak takde.” Ezzaty cubit lembut lengan babahnya yang masih galak ketawa. 

Dinie terlopong sebelum ikut ketawa. Sempat pula Encik Muhammad membuat lawak. Dia tidak sangka, karakter Encik Muhammad yang dibayangkan selama ini sangat berbeza. Mungkin Encik Muhammad hanya tegas pada anak-anaknya sahaja, demi masa depan mereka juga.

***

“AMBOI, gembiranya dia lepas cuti seminggu ni….” 

Teguran itu mengembalikan Dinie ke dunia nyata. Terpinga-pinga melihat dua lelaki berdiri tegak di hadapannya. 

“Wan?”

“Seminggu kau cuti, dah tak kenal aku?” soal Zakwan. 

Dinie telan air liur. Bukan Zakwan yang ditatapnya kini, tetapi lelaki yang berdiri betul-betul di sebelah Zakwan itu. Ya Allah! 

“Hai Dinie….” 

Suara itu! Memang dia! Takkanlah mata dan telinga boleh pula menipunya.

“Kau buat apa kat sini?” 

“Tanya Zack je? Aku kau tak tanya?” soal Zakwan, dengan senyuman. Dia faham apa yang dirasai Dinie kini, dan terpaksalah dia bertindak sebagai orang tengah walaupun tidak disuruh. Lagipun bukan sukar meneka apa yang dirasai Dinie, apabila melihat wajah itu tiba-tiba berubah pucat lesi. 

Tajam mata Dinie merenung wajah yang langsung tidak mempamerkan riak bersalah. 

“D, kau dah lupa… abang senior kau? Azlan, atau nama manja dia, Zack,” ujar Zakwan. 

“Kalau aku dah lupa dia, aku tanya… apa dia buat kat sini!” bentak Dinie geram. Entah kenapa, sukar sungguh dia mengawal perasaan apabila berhadapan dengan lelaki yang menipunya hidup-hidup dan kini berdiri di hadapannya seperti tiada apa-apa berlaku. 

“Err… Zack staf baru kat sini,” balas Zakwan, cuak. Tidak pasal-pasal dia pula kena marah. 

Dinie tersentak. Teringat akan kata-kata Nabiha tadi. Patutlah Nabiha boleh buat muka seperti itu. Rupa-rupanya staf baru yang dimaksudkan adalah Azlan. 

“Dinie dah sihat? Wan bagitahu Zack, Dinie demam. Dahi tu dah okay?” soal Azlan, mengembalikan ingatan Dinie pada sikap Azlan yang dia kenali sebelum ini. Keprihatinan Azlan padanya membuatkan dia akhirnya menerima Azlan menjadi teman lelakinya. Walaupun dia terlebih dahulu berkenalan dengan Zakwan, hatinya mudah sahaja terpaut pada Azlan. Mungkin sebab kata-kata lelaki itu lembut, dan penuh motivasi. Setiap kata-kata Azlan, membantunya untuk terus hidup dan berjuang demi Noah selepas abah dan mamanya meninggal dunia. 

“Okey dah….” Dinie bangun.

“Eh, kau nak pergi mana?” soal Zakwan, terpinga. 

“Buat kerja.”

“Air kau ni? Haha kata dia bawa nasi lemak….” Zakwan menghalang.

“Aku dah kenyang. Kau minum air aku tu. Satu lagi tu untuk Haha,” ujar Dinie terus berlalu. Langsung dia tidak memandang wajah Azlan yang berubah keruh. 

“D terkejut kau tiba-tiba muncul.” Zakwan serba-salah sambil garu kepala yang tidak gatal. Kedua-dua mug dari atas meja diambil. 

“Nak pergi mana tu?” 

“Bagi air-air ni kat D. Budak tu, kalau marah… selalu mogok macam tu. Kau kenal dia juga kan? Kang sebab ni, sakit pula dia lagi. Bosan hidup aku, kalau dia cuti lagi,” ujar Zakwan terus berlalu ke bahagian Majalah URBAN. 

Azlan melabuhkan punggung dan mengeluh. Hari yang dinanti-nantikan untuk bertemu Dinie, sia-sia. Walaupun sewaktu Dinie sakit dia mahu berjumpa gadis itu, tetapi Zakwan dan Nabiha melarang keras. Jebat juga tidak bersetuju kerana takut mengganggu emosi gadis itu.


6 comments:

  1. Alamak ada hero br abis lah rizqin.. Cpt bertidak rizqin krg tak psl melepas

    Lama nya nak tgu n3 nie.. Apa2 tq utk n3 baru

    ReplyDelete
  2. Terima aje pinangan pakcik Muhammad Dinie. Jangan layan si Zack tu.

    K.mas

    ReplyDelete
  3. Bila nak ada n3 baru.....cik penulis

    ReplyDelete