// Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 15.


DINIE melangkah tergesa-gesa keluar dari pejabat. Kebetulan, di dalam pejabat yang tinggal hanya dia, Encik Sayid, Pengurus Majalah URBAN dan Puan Rohani yang juga Senior Editor Majalah URBAN. Dia sudah lewat kerana mengambil masa dua jam di dalam bilik mesyuarat membincangkan tentang peristiwa minggu lepas yang melibatkan keselamatannya, sekali gus wartawan-wartawan yang lain. Kesnya juga sudah diketahui oleh Tan Sri Hafizuddin , CEO SENI MEDIA dan mahu berjumpa dengannya pula. 

“D!”

Dinie tidak jadi menekan butang lif. Dia berpaling. Langsung tidak sedar Nabiha, Zakwan dan Azlan berada di pantri. Masing-masing tayang muka risau dan menghampirinya. 

“Korang tak balik lagi? Dah nak dekat pukul tujuh ni….” Dinie tengok jam tangannya. 

“Tunggu kau. Macam mana tadi?” 

Dinie mengeluh. Butang lif ditekan semula. Dia berpura-pura tidak nampak kewujudan Azlan. Matanya hanya betul-betul fokus pada Zakwan dan Nabiha.

“Takde apa-apa. Cuma harap lepas ni aku berhati-hati lagi,” beritahu Dinie. Begitulah risiko yang perlu dihadapi seorang wartawan, yang tidak ramai orang tahu. Tugasnya tidaklah begitu sukar berbanding dengan wartawan akhbar yang perlu mencari berita setiap hari. Malah Majalah URBAN hanya terbit dua kali, sebulan. Jadi, beban tugas tidak terlalu besar walaupun penat juga otak memerah idea mencari berita yang menarik. 

Lif terbuka, dan mereka melangkah masuk. Nasib baiklah lif kosong. 

“Tan Sri pun tahu kan?” soal Zakwan. 

Dinie mengangguk. Esok mungkin dia perlu berjumpa Tan Sri Hafizuddin pula. 

“Famous kau lepas ni.” Nabiha tersengih.

“Apa nak famous? Hmm… aku minta maaf Haha. Encik Sayid bagitahu tadi, kau pun terlibat sekali kan dalam kes aku ni sebab kau tak ikut aku malam tu?” soal Dinie.

“Salah aku D. Memang patut aku kena marah. Bila aku dapat tahu kau hampir-hampir kena tangkap tu, memang aku rasa bersalah gila. Sampai bengkak mata aku ni menangis tau!” lapor Nabiha.

“Itulah aku tak mahu kau tahu… hmm…. Aku minta maaf. Jangan risau, aku tak salahkan kau. Lagipun bukan kau tak pernah tolong cover aku masa aku tak dapat ikut kau. Kita partner in crime kan?” Dinie tersenyum.

“Aku bersyukur sangat-sangat kau takde apa-apa. Lepas ni, aku janji… aku takkan tinggalkan kau sorang-sorang lagi. Aku takpe D. Kalau aku cari berita, kebetulan Jebat tak kerja, dia ikut aku. Kau tu?” Nabiha peluk bahu Dinie. Tadi tidak pula Nabiha tunjuk wajah bersalah itu. 

“Kalau Dinie sorang-sorang lepas ni, Zack boleh teman.”

Dinie mencebik. Lambat pula lif ini hendak sampai ke tingkat bawah. 

“Aku pun sama D,” sampuk Zakwan pula.

“Jangan risaulah. Encik Sayid dah pesan, lepas ni… kalau pergi seorang, ajak mana-mana wartawan. Aku tahu selama ni hal tu, cuma kebetulan masa tu, semua orang memang busy sebab dateline nak dekat. Lagipun bukan aku dan Haha je wartawan URBAN tu,” ujar Dinie. Dia mengeluh lega apabila pintu lif terbuka. Semakin lama di dalam lif, dia rasa semakin tidak selesa. Bukan kerana Zakwan dan Nabiha, tetapi renungan Azlan. Sesak! 

“Kau parking kat mana kereta?” soal Zakwan. 

“Kenapa?” Berdegup jantung Dinie dengan soalan itu.

“Lah, aku nak teman kau sampai kat kereta. Bukannya aku ni tak pernah buat macam tu. Aku ni gentlemen. Lagipun rindu sungguh aku dengan kau sebab aku rasa macam lama sangat kita tak jumpa.” Zakwan tersengih. Dalam diam, dia menjeling pada Azlan. Sengaja mahu melihat reaksi sahabatnya itu. 

“Yalah tu….” Dinie ikut tersengih. Sikap Zakwan yang selalu melindunginya itu tidak ubah seperti seorang abang. 

“Tapi aku tak nampak kereta kau,” ujar Nabiha. Tengah hari tadi, mereka berempat rehat berasingan kerana masing-masing tahu Dinie tidak mungkin mahu keluar rehat bersama Azlan selepas peristiwa pagi tadi. Dia dan Dinie bergerak menggunakan kereta Myvi miliknya. 

“Err… aku tak bawa kereta.” Mereka berempat melangkah keluar dari bangunan utama SENI MEDIA. Langit semakin gelap. Yalah, sudah pukul tujuh malam. 

“Kau naik teksi ke datang tadi?” Berkerut dahi Nabiha. Semakin dia bertambah bersalah. Dia memang tahu Dinie mula bekerja hari ini, tetapi tidak pula bertanya kawannya itu bekerja naik apa? Mungkin kawan baiknya itu masih trauma. 

“Biar Zack hantar Dinie balik,” sampuk Azlan tanpa jemu. 

Dinie diam. Pelawaan itu dibiarkan berlalu tanpa balasan.

“Aku pun boleh hantar kalau macam tu,” sambung Zakwan. Dia faham apabila melihat kebisuan Dinie itu. 

“Aku jelah hantar kau,” sampuk Nabiha pula. 

“Tak payahlah.” Meliar mata Dinie memerhati kawasan tempat letak kereta yang kosong. Rasanya tadi beritahu, sudah sampai. 

“Kau cari apa tu?” soal Nabiha pelik. Dia juga ikut mencari, walaupun tidak tahu apa yang dicari. Zakwan dan Azlan saling berpandangan. 

“Kakak!”

“Ibu ucu!”

“Noah!” Menjerit Nabiha dan Zakwan hampir serentak. Amboi, Nabiha dan Zakwan seronok mengalahkan Dinie apabila melihat adik kecilnya itu yang berlari laju ke arah mereka dan diikuti Alana. 

“Besar dah Noah,” ujar Azlan perlahan. Dia perhatikan riak wajah Noah. Jelas, Noah sudah tidak mengenali Azlan kerana adiknya itu langsung tidak mempedulikan Azlan. Gembira berpelukan dengan Nabiha dan Azlan. 

“Ibu ucu, lamanya kerja,” luah Alana. 

“Cop, apa Alana panggil kau?” soal Nabiha. Bukan dia pekak lagi dan tidak mendengar kata-kata Alana yang sudah terpacak di hadapan mereka. Noah sudah berada dalam pelukan Zakwan. Beberapa kali pipi Noah dicium Zakwan. Dinie tersenyum. Dia suka apabila adiknya itu disayangi kawan-kawannya. 

“Err….” Dinie garu kepala. Itulah, dia ingatkan bila balik lewat tadi, tidaklah Nabiha dan Zakwan akan terserempak dengannya begini. Dia memang sengaja merahsiakan hal dia dihantar Rizqin pagi tadi. Beria-ia lelaki itu mahu menghantarnya dan sudah memberitahu sejak malam semalam lagi. Walaupun lelaki itu tidak berjumpanya lagi sejak dirisik oleh Encik Muhammad, tetapi Rizqin rajin bertanyakan khabarnya. Dia pula tiada sebab untuk tidak membalas Whatsapp Rizqin. 

“D….” Nabiha mencekak pinggang. Dia sangat mengenali Alana kerana setiap kali dia melawat Dinie sewaktu sakit dulu, Alana juga ada. Zakwan juga mengenali gadis comel itu yang masih lengkap dengan uniform tadika, sama seperti Noah. 

“Pagi tadi, Rizq hantar aku.” Dinie mengalah. Bukan dia tidak mahu beritahu, tapi dia malu! Dulu dia begitu takbur memberitahu yang tidak akan berjumpa Rizqin lagi, akhirnya Allah balas… rumah kakak Rizqin betul-betul di hadapan rumahnya. 

“Wow!” Nabiha bertepuk tangan. Suka betul dia.

“Dah kau ni kenapa?” soal Zakwan tidak puas hati pada Nabiha. Dia melepas pandang pada wajah Azlan yang nampak keruh.

“Err… aku sukalah. Rizq tu handsome. Lagi handsome dari kau!” Nabiha tersengih nipis. Dia sedar air muka Azlan yang berubah. Walaupun dia masih boleh menerima Azlan, dalam masa yang sama dia tetap tidak boleh menerima perbuatan Azlan pada kawan baiknya. Malah dulu dia yang beria-ia menjadi orang tengah membakar hati Dinie untuk menerima Azlan. Tapi, apa yang Azlan buat pada kawan baiknya? 

“Abang Rizq mana?” soal Dinie pada Noah. Kalau boleh, memang dia tidak mahu keluar lagi perkataan ‘Ibu Ucu’ ataupun ‘Ayah Ucu’ di hadapan kawan-kawannya. Dia masih lagi memikirkan tentang hal merisik itu, dan belum membuat keputusan. 

“Abang Rizq buat Aidan susu jap. Itu….” Jari kecil Noah terarah pada Honda City warna biru yang tersadai di sebelah taman permainan mini yang berada dalam kawasan SENI MEDIA. Memang taman permainan itu dikhaskan untuk anak-anak staf yang datang melawat, ataupun apabila ada lawatan sekolah. 

“Aidan pun ada?” Dinie terkejut. Setahunya, Ezzaty akan menghantar dan mengambil Noah dan anak-anaknya dari tadika. 

“Jom!” Alana tarik tangan Dinie supaya pergi ke kereta ayah saudaranya. 

“Err… aku balik dulu. Korang baliklah,” suruh Dinie dalam nada menghalau. Gila nak suruh mereka berjumpa Rizqin? 

“Ish, aku ni… dah lama sangat nak jumpa peguam McDreamy kau tu. Kalau bukan fikirkan Jebat, aku memang dah jatuh hati dengan Rizq.” Tidak malu betul Nabiha. 

“Ish, aku bagitahu Jebat nanti!” Zakwan meluku kepala Nabiha. Cakap langsung tidak berlapik. Langsung tidak sedar bakal berubah status menjadi isteri orang! 

“Sakitlah! Main kepala….” Nabiha raba kepalanya yang bersalut tudung bawal.

“Biar kau sedar sikit. Jom Noah…. Abang Wan nak jumpa Abang Rizq….” Zakwan menjeling sinis pada Dinie. Dia sedar permainan Dinie. Memang sengaja tidak mahu mereka berjumpa Rizqin. Bukan pertama kali Dinie mengelek begini setiap kali ada lelaki baru dalam hidupnya. 

Dinie mengeluh. Tidak sempat menghalang, Alana dan Noah sama-sama menarik tangan Zakwan dan Nabiha. Dinie pandang Azlan yang tersengih, tetapi sumbang! 

“Ayah ucu, ibu ucu dah sampai ni!” 

Dinie raba dahi. Aduhai Alana, kalau tidak menjerit tak boleh ke? Perlu ke… panggilan itu disebut jelas tanpa pelat walaupun dia tahu Alana itu masih pelat apabila bertutur. 

Nabiha, Zakwan dan Azlan yang berdiri di sisinya betul-betul serentak berpaling dan bulat mata masing-masing merenungnya. Tidak sanggup lagi dia menghadap wajah mereka bertiga. 

“Rizq!” panggil Dinie apabila hanya belakang badan Rizqin sahaja kelihatan. 

Rizqin keluar dari bahagian belakang seat kereta. Mulut Aidan disumbat dengan botol susu. Berpeluh-peluh dahi Rizqin. Habis jatuh imej macho Rizqin selama ini, apabila lelaki itu nampak berserabut hanya kerana menguruskan bayi. Tali leher direnggangkan, dan lengan baju kemeja disingsing tinggi. 

“Hah, kenapa lambat, Imaan?” soal Rizqin selamba, masih cuba tersenyum walaupun nampak lelah. 

Ini yang Dinie rasa nak menyorok terus dalam longkang! Sejak Rizqin mesej dengannya, panggilan lelaki itu tiba-tiba bertukar menjadi Imaan. Dia tidak selesa, tetapi tidak pula menghalang. 

“D!” Sekarang Nabiha betul-betul nampak seperti mahu menelannya. Zakwan dan Azlan, memang Dinie sudah tidak sanggup memandang. Biarlah…. 

“Err… jumpa bos sekejap tadi. Bagi Aidan pada saya. Awak kenapa ambil budak-budak ni? Mana Kak Ezzaty?” soal Dinie, juga selamba walaupun dia sedar mukanya sekarang mesti merah padam. Dia dan Rizqin bukan serapat ini dalam alam realiti. Mereka hanya sekejap-sekejap mesej sahaja, itu pun kerana mahu bertanya keadaan kesihatannya. 

“Kak Ezzaty, Abang Fadli ada emergency tadi kat klinik. Nasib baiklah saya memang keluar awal, sebab nak ambil awak. Teruslah saya ambil budak-budak ni dulu, baru datang sini. Err… jap ya. Saya nak simpan barang-barang Aidan. Susu tepung tertumpah tadi.” Rizqin tersengih. Kelam-kabut betul rasanya apabila terpaksa menguruskan tiga kanak-kanak serentak. Tambah pula Aidan asyik meragam kerana sewaktu dia mengambil mereka tadi, Aidan baru sahaja tertidur, itu pun tidak lama. 

“Awak ni, anak baru tiga….” Dinie menggeleng.

“Itulah… awak tu… ada anak nanti, jangan rapat-rapat macam ni. Penat saya. Noah tu pun kecil lagi.” Rizqin tersengih. Kata-katanya sengaja mahu mengusik Dinie. Dia masuk ke dalam kereta, bahagian belakang yang menempatkan baby car seat Aidan. 

Bulat mata Dinie. Tetapi bulat lagi mata Nabiha, Zakwan dan Azlan. Ternganga terus mulut masing-masing. 

“Kau pegang Aidan jap, Haha. Wan… tolong tengok Alana, Noah. Jangan bagi main dah. Nak Maghrib ni.” Dinie menyerahkan Aidan pada Nabiha, dan turut sama membuka pintu penumpang sebelah kiri. Mengucap panjang dia apabila melihat susu tepung yang bertaburan di atas kerusi. 

“Awak ni… macam mana boleh jadi macam ni?” soal Dinie, geram. 

“Nak marah saya… Aidan ni mengamuk tadi. Habis semua benda tendang. Nasib baik tak tendang termos air.” Rizqin tatap wajah Dinie yang nampak memerah. Seminggu tidak berjumpa, gadis itu nampak sedikit kurus. 

“Awak letak Aidan atas kerusi ni, memanglah dia tendang. Letak dalam baby car seat lain kali, bila buat susu dia. Sudahlah. Awak keluar, tengok budak-budak tu. Biar saya lap. Kalau tak lap ni, berlengas nanti bila duduk,” bebel Dinie, geram. 

Rizqin tersengih. Memang itulah yang dia hendak dengar. Dia memang failed dalam bab menjaga bayi sekecil Aidan. Segera dia keluar dari kereta dan tersenyum pada kawan-kawan Dinie.

“Haha kan?” teka Rizqin pada Nabiha yang nampak gembira mengacah Aidan sehingga tergelak bayi berusia lima bulan itu. Botol susu dipegang Azlan. Kedua belah tangan Zakwan pula memegang tangan Noah dan Alana yang masih mahu bermain. 

“Yup. Kita pernah jumpa masa kat stadium hoki tu. Ingat tak?” 

Rizqin tersenyum dan mengangguk. Mestilah dia ingat, walaupun dalam otaknya waktu itu, hanya wajah Dinie yang melekat. Dia kini beralih pada Zakwan dan segera menghulurkan tangan untuk bersalam. 

“Yang semalam kita jumpa kan?” soal Rizqin. Walaupun berjumpa minggu lepas sewaktu mengambil Noah itu, waktu kawasan rumah Zakwan agak suram. 

“Betullah tu. Adib Zakwan. Dia orang semua panggil Wan.” Huluran tangan disambut, mesra. Dalam diam, dia meneliti lelaki yang mula meniti di bibir Dinie dan Nabiha itu. Hmm… ada gaya tersendiri dan metrosexual. Lelaki ini memang ada aura yang boleh membuatkan mana-mana perempuan tertarik. Kalau diikutkan ketinggian, dia lebih tinggi. Tetapi, itu sahajalah yang dia lebih kot. Patutlah Nabiha boleh puji melambung! 

“Yang ni?” soal Rizqin pada Azlan. Botol susu yang dipegang Azlan tadi diserahkan pada Rizqin. Nampak wajah Azlan ketat, walaupun masih tersenyum.

“Wan Azlan, panggil Zack je.” Azlan menghulurkan tangan.

“Zack?” Berkerut dahi Rizqin. Rasanya dia pernah dengar nama itu terkeluar dari mulut Noah. Mulutnya sedikit terbuka apabila teringatkan kata-kata Noah itu.

“Lepas ni, Abang Zack pun tak boleh buat kakak nangis lagi….” 

“Encik Rizqin?” Nabiha memanggil perlahan. Huluran tangan Azlan masih belum bersambut. 

“Oh, maafkan saya. Err… jangan panggil saya Encik, Haha. Macam dah tua sangat. Saya Rizqin Emeryzal. Panggil Rizq boleh, Emer boleh, Ryzal pun boleh,” ujar Rizqin, dan menyambut salam Azlan. Lama dia merenung Azlan, sebelum kembali memandang Dinie yang baru melangkah keluar dari kereta. Berpeluh-peluh Dinie. Merah padam wajah itu. 

“Saya lap sikit-sikit je awak. Nanti, awak hantar car wash,” ujar Dinie. Saling berpandangan dengan Rizqin yang tiba-tiba merenungnya dengan pandangan yang dia sendiri tidak faham. 

Nabiha dan Zakwan saling berpandangan apabila sedar situasi antara Dinie dan Rizqin itu.

“Masuk kereta… Alana, Noah. Dah Maghrib ni,” ajak Dinie sambil menarik tangan Noah dan Alana dari pegangan tangan Zakwan. Terpaksa lalu di hadapan Azlan, tapi dia langsung tidak pedulikan renungan lelaki itu. Kewujudan Azlan juga seperti tiada. Memang sepatutnya Azlan tidak muncul lagi di hadapannya. Nasib baik Noah dan Alana tidak banyak memberontak. Tali pinggang keledar dipasang pada kedua-dua mereka. Baby car seat Aidan berada di tengah-tengah. Noah dibiarkan duduk di hadapan, dan bersebelahan dengan Rizqin. Dia pula bersebelahan baby car seat Aidan yang berada di tengah-tengah antara dia dan Alana nanti. 

“Aku tahu kau banyak nak tanya, nantilah aku cerita,” bisik Dinie apabila mengambil Aidan dari Nabiha. Pipi Aidan labuh, dan saiz badan yang tidak sama seperti bayi berusia lima bulan akan membuatkan sesiapa sahaja geram pada bayi kecil itu. 

“Nah.” Rizqin menghulurkan botol susu Aidan. Pipi Aidan yang labuh itu dicium pula. 

Dinie tersentak. Kedudukan mereka sangat rapat! Dah kenapa Rizqin tiba-tiba sengaja dekat-dekat dengannya? 

“Err… kami balik dulu.” Rizqin meminta diri dan terus bersalam dengan Zakwan dan Azlan. Pada Nabiha pula, dia hanya tunduk sedikit. Walaupun muka Nabiha itu penuh tanda-tanya, sahabatnya itu tetap tersengih-sengih. Sudah seperti orang angau!

Maaf lambat update. Disebabkan ramai yang tanya, masih menunggu khabar berita untuk novel Cinta Semalam, sebab itulah lama dah tak update tentang kembar tiga, Hakimy, Najmy, Jihan Raysha dan Iqram Zafriel tu. Doakan ya ^^




6 comments:

  1. Yeayyyy update dah. Tq Imani.

    ReplyDelete
  2. Fuuuuuu! Punyalah lama nunggu. AkhirnyaSAJC muncul jua

    ReplyDelete
  3. perghhh!! lama sungguh menunggu...tenkiu yang....harap yang next n3 tak lama sangat lagi...heads over heels ngan dorang ni <3 <3 SZ

    ReplyDelete
  4. wah...nak lagi2.. tak cukup...hehehe...sweet..

    ReplyDelete