// Sengaja Aku Jatuh Cinta: Bab 17.


Dinie terpinga, apabila tanpa sempat dia memberi kata putus, Aidan didukung Rizqin dan terus melangkah keluar. 

“Tak bahaya ke, Aidan keluar?” soal Dinie.

Rizqin yang sedang membuka pintu gril, berpaling. 

“Tak jauh Imaan. Kita duduk depan pintu ni je.” 

Di sudut kiri garaj, sebuah bangku panjang elok bersandar pada dinding. Mereka duduk sambil menghadap kereta MPV Toyota Estima. Kereta Rizqin pula diletakkan di luar rumah, kerana selepas Ezzaty dan Megat Fadli pulang, Rizqin juga mahu pulang ke rumah sewanya. Rizqin duduk bersila, dan meletakkan Aidan di atas ribanya. 

“Awak ajak keluar ni, kenapa?” soal Dinie.

“Penat cakap bisik-bisik.” 

“Awak nak cakap apa?”

“Hmm… tentang kita.” 

“Apa?” Berdebar pula Dinie apabila mendengar perkataan ‘kita’ itu.

“Err… pasal kahwin tu.” Rizqin garu kepalanya. Rambut yang memang tidak disapu gel, dan hampir kering disauk ke belakang. Sekarang, lelaki itu tidak memakai cermin mata, dan Dinie dapat melihat dengan jelas mata hitam Rizqin yang bersinar galak. Wah, sudah seperti mata perempuan! Memang anak emak betul Rizqin ini. 

Dinie mengangguk. Dia menunggu kata-kata selanjutnya yang bakal keluar dari mulut Rizqin. Dia sendiri masih belum memikirkan apa-apa, walaupun sudah hampir seminggu hal itu berlaku. 

“Saya ingat, kita setuju nak?” 

Dinie terlopong.

“Awak gila?”

“Lah, nak kahwin pun gila?” 

“Bukanlah. Takkan tiba-tiba awak nak kahwin dengan saya?” soal Dinie, tidak percaya langsung, begitu mudah Rizqin membuat keputusan. 

“Err.... memanglah kahwin dengan awak. Sebab tu, saya cakap dengan awak. Kalau kahwin dengan orang lain, saya tak cakap macam ni dengan awak.” 

“Ish, awak ni. Main-main pula! Awak sedar tak, apa awak cakap tadi?” 

“Sedar Imaan. Saya sedar, saya setuju dengan babah saya. Saya sedar, saya nak berkongsi hidup dengan awak. Saya sedar, saya nak berkahwin dengan awak. Saya sedar, saya setuju nak jadikan awak isteri saya. Saya sedar, saya nak awak jadi isteri saya. Awak, bukan orang lain.” Kali ini, kata-kata Rizqin lebih terang dan tiba-tiba Rizqin nampak begitu matang di hadapannya. 

“Ta… tapi….” Dinie garu kepala.

“Dinie Imaan, perkahwinan ni melibatkan dua pihak. Seperti bila sign kontrak, melibatkan lebih dari satu pihak. Tapi sekarang, hanya dua pihak. Pada pihak saya, saya bersetuju. Saya tak boleh paksa awak terima saya, setuju sign kontrak tu, jadi saya hanya boleh beritahu, saya setuju.”

“Maksud awak, kahwin kontrak?”

“Masya-Allah. Kita bercakap ni, bukan hal remeh-temeh. Saya bagi perbandingan je tadi. Perkahwinan ni takde kontrak. Hanya persetujuan, antara awak dan saya. Apa kata hati awak? Sanggup terima saya, untuk jadi suami awak?”

“Tapi, Noah?” 

“Kita hantar rumah anak-anak yatim.” 

“Rizq!” Membulat mata Dinie. Terkejut betul dia.

“Awak tahu Rizq, walaupun bukan saya yang lahirkan Noah tu… tapi Noah tu saya layan dah macam anak sendiri. Dari umur 10 bulan, saya jaga dia. Kalau sesiapa nak kahwin dengan saya, kena ‘kahwin’ dengan Noah sekali. Noah tu… nyawa saya.” Lirih suara Dinie. 

“Imaan, kalau saya nak jadikan awak isteri saya, mestilah saya kena terima keluarga awak. Saya kena terima Noah. Noah tu bukan beban, tapi bonus. Ingat semua orang bertuah ke macam saya ni, dapat adik yang comel macam Noah tu. Saya pun dah anggap Noah macam adik saya, macam awak anggap babah saya, macam arwah abah awak? Kak Ezzaty saya ada cerita, masa babah jumpa awak, babah nampak lain sangat. Bukan macam babah, yang selama ni nampak tegas je dengan kita orang. Dengan Abang Fadli dan Kak Kasih pun babah tak macam tu. Babah lain sangat bila dengan awak. Awak bagitahu tadi, babah buat lawak kan? Selama saya kenal, babah tak pernah buat lawak macam tu, sampai Kak Ezzaty cerita, babah ketawa besar.” 

Dinie tergamam. Betul ke? 

“Siapa Kak Kasih?”

“Hmm… bekas kakak ipar saya. Mama pada Emil dan Izara.”

“Babah awak pernah beritahu, keluarga Abang Kamil banyak masalah kan?”

Rizqin nampak terkejut dengan soalan Dinie, tetapi sesaat kemudian dia mengangguk.

“Bercerai-berai ni, bukan perkara yang bangga untuk dibanggakan. Pernah, saya salahkan babah saya sebabkan semua ni terjadi. Kalaulah babah saya tak paksa Abang Kamil kahwin dengan Kak Kasih.” 

“Tapi, sekarang awak tak salahkan babah awak kan?”

“Mana awak tahu?” Sekali lagi Rizqin terkejut.

“Kalau dalam BI, konteks ayat awak tadi dah macam paste tense, Rizq. Sejak bila awak tak salahkan babah awak dah?” 

“Sejak babah merisik awak.”

Dinie tersentak.

“Berapa lama dah Abang Kamil bercerai?” 

“Err… enam tahun. Dua bulan lepas kahwin, Abang Kamil dah berubah sikap jadi pendiam bila balik rumah. Lama tu, kami dapat tahu Abang Kamil dah mohon nak bercerai dengan Kak Kasih. Tapi bertangguh, bila dapat tahu Kak Kasih mengandung. Lepas habis pantang, barulah bercerai. Emil Izhar, Abah Kamil yang jaga. Kak Kasih jaga Izara Emilda. Budak-budak tu dah umur enam tahun. Jadi, enam tahun dah dia orang bercerai. Saya sendiri kali terakhir jumpa Izara masa dia umur dua tahun,” cerita Rizqin. 

“Kembar ke?” 

Rizqin mengangguk. Ada hikmah juga Kamil dan Kasih mendapat anak kembar, tidaklah berlaku perebutan anak-anak. Cuma yang dia nampak sekarang, anak-anak kekurangan kasih sayang dari sebelah pihak. Paling teruk, adik-beradik kembar itu langsung seperti orang asing apabila berjumpa. 

“Ingatkan lepas dapat Emil dan Izara, dia orang batalkan nak bercerai. Tapi tetap bercerai. Entahlah… saya pun tak faham.”

“Hmm… dalam tak suka, boleh mengandung kan?” 

Rizqin tersengih tiba-tiba.

“Apa?” Naik bulu roma Dinie dengan sengihan Rizqin yang memang nampak gatal itu.

“Awak tahu, lelaki ni… ada satu nafsu….”

“Okey, tak payah terang lebih-lebih saya dah faham.” Terasa muka Dinie panas. Dia memang tidak suka membincangkan topik ini, terutama sekali dengan Rizqin. Menyesal pula boleh kata begitu tadi. 

“Awak juga yang sebut….” Rizqin tergelak. Suka betul dia melihat reaksi Dinie tika ini. 

“Kenapa dia orang bercerai?”

Rizqin angkat bahu.

“Entahlah. Kami tak tanya, dan Abang Kamil pun tak cerita.”

“Kak Kasih dan Izara kat mana?”

“Sabah.”

“Jauh tu!” Terkejut besar Dinie. 

“Dulu dia orang tu, sama-sama pensyarah kat UIA. Lepas bercerai, terus Kak Kasih berhenti kerja mendadak. Tapi memang Kak Kasih dah banyak kali ambil cuti sebab masa mengandungkan Emil dan Izara, banyak komplikasi. Lepas tu, Abang Kamil beritahu, Kak Kasih dapat kerja kat UMS. Izara pun Kak Kasih bawa sekali. Kalau ikutkan, setahun sekali je dia orang jumpa. Itu pun mungkin beberapa jam je. Sebab itulah agaknya, nama je kembar… tapi budak-budak dah macam orang asing.”

“Kesian.” 

“Sebab itulah saya pernah salahkan babah saya.”

“Kenapa awak tak salahkan dah?”

“Sebab, tiba-tiba saya sedar… babah cuma ibarat orang tengah. Mungkin babah yang minta nak jodohkan Abang Kamil dengan anak kawan lama babah, Kak Kasih…tapi babah beri pilihan. Babah tak paksa. Macam Kak Ezzaty bagitahu, babah tak pernah paksa Kak Ezzaty untuk terima Abang Fadli. Selepas babah bagitahu awak tu, babah langsung tak bangkitkan hal tu depan saya. Babah suruh saya buat keputusan sendiri. Tapi, dalam tu… sempat cakap tak nak menantu selain awak.”

Dinie tersengih. Betullah. Itu yang dikatakan Encik Muhammad dulu. 

“Jadi, lepas ni awak nak degil lagi?”

Rizqin terlopong.

“Yalah, dari awak cakap ni… saya tahulah, awak mesti paling suka bangkang babah awak cakap kan? Mesti awak yang paling suka melawan cakap babah awak kan? Sebab tu, babah awak suruh jadi peguam agaknya. Banyak cakap!” ujar Dinie sambil mencebik.

Rizqin tergelak. Betullah apa yang diberitahu Dinie itu. Keputusan SPM dia baik, dan dia sebenarnya menerima banyak tawaran belajar. Tetapi akhirnya, dia terbuka hati belajar dalam bidang undang-undang. Setahun di Kolej Mara, dan terus mendapat tawaran menyambung pelajaran dalam bidang itu. Waktu itu, babah memang tidak paksa. Tapi babah cuma beri laluan sahaja. 

“Babah awak tu, sayangkan awak, Kak Ezzaty dan Abang Kamil. Sebab itulah over-protected. Jadi lepas ni, kalau awak dah tahu babah awak tu macam mana, janganlah bangkang lagi dia cakap,” ujar Dinie lagi.

“Sebab itulah, pertama kali saya ikut kata babah saya tanpa bangkang.”

“Maksud awak?” Berkerut dahi Dinie. Langsung tidak faham.

“Kita kahwin nak, Imaan?” 

“Tapi, kita tak bercinta.”

“Awak janganlah risau, kita boleh sengaja jatuh cinta. Bila awak hanya ada saya je depan mata awak, biar hati awak sengaja jatuh cinta dengan saya seorang. Kita kahwin ye, Iman?” Kali ini Rizqin tukar posisi dia, dan betul-betul menghadap wajah Dinie. 

Dinie pula, terus tergamam. Tidak tahu nak cakap apa, tapi dia sendiri tidak faham kenapa dia mengangguk dan Rizqin terus melaung ‘Yes’ dengan nyaring sehingga mengejutkan Aidan, dan membuatkan Anaqi, Alya, Alana dan Noah berlari keluar dari rumah. Sesaat kemudian, muncul Bibik dengan penutup periuk.


SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA ^^










7 comments:

  1. Wah...best3... lagi.panjang2...

    ReplyDelete
  2. Wahhh dine dh teme lamaran.. Mkin tak sbr plk rsanya nk tgu n3 br..

    P/s :- tq for n3 pls up n3 cpt ckit rsa mcm tdera plk nk tgu dr cite nie huhu ☺️

    ReplyDelete
  3. Yes :) tolong sambung

    Kmas

    ReplyDelete
  4. Good job Sis Imani Hatta...saya memang suka baca karya Sis
    Thumbs up:)

    ReplyDelete
  5. I have been waiting for the next entry. T.T
    Nana lagiiii

    ReplyDelete
  6. hahaha... menjerit Rizkin...
    cannot wait what going to happen next...
    mesti Babah suprise dengan news ni... ;D

    ReplyDelete