// Kau Princess Aku, Okay: Bab 8.




HAKIMY mundar-mandir di hadapan tandas. Kenapa lama sangat masuk toilet ni? Rasanya kalau nak make up pun, takkan sampai setengah jam? 

“Are you waiting for someone?” Seseorang menegur. 

Hakimy melepas pandang pada remaja di hadapannya. Gadis comel yang masih memakai uniform sekolah itu tersenyum girang. 

“Hmm… abang tunggu kawan abang.” 

“Eh, saya ingat abang bukan Malaysian. Tunggu girlfriend ke? Tapi dalam toilet ni memang takde orang dah. Saya yakin sangat sebab semua pintu tandas terbuka tadi bila saya keluar,” jawab remaja itu pelik. Dia pandang lama wajah Hakimy. 

“Betul ke dik? Abang dah tunggu setengah jam ni. Takkan abang tak perasan dia keluar.” Hakimy musykil. 

“Betul. Kalau abang tak percaya, abang masuklah. Saya tunggu luar. Tapi cepat sikit sebab papa, mama saya dah panggil tu.” 

“Bukan tak percaya. Jap ye. Adik duduk luar tau. Jangan pergi mana-mana.” Hakimy melangkah masuk. Seperti yang diberitahu, memang tiada sesiapa lagi di dalam tandas itu. Dengan perasaan hampa, dia melangkah keluar. 

“Jumpa tak?”

Hakimy menggeleng. 

“Telefon girlfriend abang tu. Mungkin dia dah keluar sebelum abang keluar dari toilet kot tadi. Hmm.. saya pergi dululah. Bye!” Gadis kecil itu berlari ke arah ibu bapanya. Hakimy tersenyum pada mereka sekeluarga. Nasib baiklah budak tu terlebih ramah memaklumkan tiada sesiapa lagi di dalam tandas. Memang dia dah macam gaya guard toilet pun tadi. 

“Nak telefon macam mana? Nombor telefon pun aku tak ambil kat dia tadi. Aku dah suruh tunggu je depan tandas, kalau aku lambat tadi. Masa ni juga perut ni nak memulas tadi,” bebel Hakimy geram. Matanya meliar mencari kelibat Jihan Raysha. KLCC pada waktu begini memang terlebih ramai orang kerana waktu bekerja sudah habis. 


JIHAN RAYSHA garu kepala yang tidak gatal. Disebabkan bosan menunggu Hakimy tadi, dia sengaja berjalan-jalan dahulu. Lagipun kalau dah sakit perut, mesti lama kan? Tetapi disebabkan asyik berjalan dan melihat barang, dia hampir terlupa tentang Hakimy. 

“Mana ni?” Jihan Raysha seperti hendak menangis. Bukan tandas ni ke tadi? Tapi kenapa nampak lain je? Nak telefon Iqram Zafriel, dia tertinggal telefon di dalam bilik hotel. Kenapalah sejak datang ke Malaysia ini, asyik ‘lupa ingatan’ je fasal telefon. Padahal selama ini dia memang tidak pernah berenggang dengan telefon. 

Jihan Raysha meneruskan langkah. Menyesal kerana tidak tunggu sahaja di hadapan tandas tadi. Itulah… berlagak pandai sangat. Macamlah sudah selalu sangat datang KLCC ini. Tadi bila berdiri sahaja di hadapan KLCC, mulut sudah terlopong. Tinggi betul! 

Mata Jihan Raysha melilau mencari kelibat Hakimy. Dia berdoa supaya Hakimy tidak terus pulang dan meninggalkan dia seorang diri di sini. Memanglah dia boleh balik naik teksi, tetapi mana pula nak cari teksi? 

Tiba-tiba dia perasan sesuatu. Matanya besar kecil, besar kecil melihat lelaki yang berdiri tidak jauh di hadapannya. Dia ke? Tetapi kenapa baju lain sangat tu? Jihan Raysha berjalan perlahan-lahan. 

“Encik Kimy!” 

Lelaki itu berpaling. Dahinya berkerut.

“Eh!” Lelaki itu terkejut besar. 

Jihan Raysha terus tarik tangan lelaki di hadapannya dan memeluknya kemas tanpa berfikir panjang. Ya Allah, punya rasa gembira, rasa macam nak menangis! Tetapi kenapa rasa macam bukan Hakimy? Tetapi muka macam sama sangat! 

“Encik Kimy pergi mana? Kenapa lama sangat masuk toilet tu?” 

“Pardon me?” Tangan kanan lelaki itu masih digenggam Jihan Raysha. 

“Sempat Encik Kimy tukar baju. Kenapa Encik Kimy hilang? Tahu tak… saya macam nak gila cari Encik Kimy. Mana saya nak pergi kalau Encik Kimy hilang….” Air mata Jihan Raysha mula berlinang. Sebak. 


NAJMY pandang lama wajah gadis comel di hadapannya. Matanya berkelip-kelip apabila mengingatkan slang British pekat, tetapi bertutur dalam bahasa Melayu. Rambut light blonde. Memang langsung tidak gaya macam orang Melayu pun. Kalau sudah boleh salah sangka dia ini Hakimy, mesti ada sesuatu. Rasanya bekas teman wanita Hakimy sebelum ini memang orang Melayu. Teman wanita baru ke? Tetapi panggil Hakimy dengan panggilan ‘Encik Kimy”. 

Nasib baiklah Restoran Ben’s tidak ramai orang seperti selalu. Sengaja dia mengambil tempat di hujung sekali. Risau kalau gadis di hadapannya ini menangis lagi. Tiba-tiba boleh buat drama air mata sewaktu dia sedang ralik melihat barang tadi. 

“Can I take your order?” Muncul seorang pelayan. 

Najmy menggeleng. Dia pandang pelayan wanita berbangsa Melayu di hadapannya. Dia tersenyum pula. Lesung pipit pada pipi kanan terserlah. Walaupun rupa dia dan Hakimy memang serupa, perbezaan ketara boleh terlihat pada senyuman mereka berdua. Lesung pipit Hakimy pada pipi kiri. 

“Saya tunggu kawan. I’ll call you later.” Najmy menjawab. Terkesan riak terkejut pada wanita itu yang telah mengangguk dan berlalu pergi. 

“Kenapa senyap je ni?” soal Jihan Raysha, kekok. 

“Awak rasa nak menangis lagi ke?”

“Perli saya ke?”

Najmy ketawa. Langsung tiada niat. Janggal pun ada apabila gadis itu berbual dalam bahasa Melayu tetapi dalam loghat British yang pekat. Eh, bukan PRO Mega Hotels and Resorts dari London ke? Bukan namanya…? Mata Najmy membulat.

“Jihan Raysha?” 

Dahi Jihan Raysha berkerut-kerut apabila namanya diseru. 

“Yes?” 

Najmy berdeham. Ya Allah, kenapa kecil sangat dunia? Rasa baru hari itu berborak tentang pekerja baru yang ditukarkan dari London ni. Padahal sebelum ini memang dia langsung tidak ambil tahu hal hotel. 

“Ehem!” 

Jihan Raysha berpaling. Mulutnya terlopong. Matanya membulat. Iqram Zafriel? 

“Esha?” Lelaki itu juga nampak terkejut. 

“Kenapa lama sangat kau borak dengan klien kau tadi, Iqram?” tegur Najmy. Memang dia datang ke KLCC dengan Iqram Zafriel. Tetapi lelaki itu berjumpa dengan klien lama pula dan Najmy meminta diri untuk menunggu Iqram Zafriel di restoran sahaja. 

“Projek baru.” Iqram Zafriel tarik sengih dan terus duduk di sebelah Jihan Raysha. Dia pandang lama wajah gadis comel itu dengan penuh tanda tanya. 

“Abang Iqram buat apa kat sini?” Jihan Raysha menyoal akhirnya. 

Najmy termangu. Abang Iqram? Sejak bila pula gadis ini mengenali Iqram Zafriel.

“Bila kau kenal Esha ni?” soal Iqram Zafriel tanpa menjawab soalan Jihan Raysha tadi. 

“Hmm… panjang cerita. Macam aku Whatsapp kat kau tadi,” jawab Najmy. Dia ada menerangkan ada seorang gadis yang salah sangka dia itu adalah Hakimy. Tetapi dia tidak memberitahu pula membawa gadis itu bersama ke restoran. 

“La… ya Allah. Kecik je KL ni rasa. Abang Iqram keluar makan dengan dia ni.” Iqram Zafriel pandang lama wajah Jihan Raysha.

“Apasal mata tu sembam? Menangis ke?” 

Jihan Raysha pandang Najmy. Dia tersenyum. Nasib baik tidak tercabut contact lens. Cermin mata dibetulkan kedudukan pada batang hidung. 

“Dia terharu jumpa aku tadi. Hmm... apasal ‘Abang Iqram’? Bila masa kau kenal Esha pula?” Najmy menyoal pula. Penuh tanda tanya betul hubungan Jihan Raysha dengan Iqram Zafriel dan Hakimy. 

“Can I take your order?” Pelayan wanita tadi muncul kembali. 

“Sorry. We are still waiting for our friend. Lepas ni saya panggil awak,” ujar Najmy sopan. 

“Tunggu siapa lagi?” soal Jihan Raysha pelik selepas pelayan itu berlalu ke dapur. 

Najmy pandang Iqram Zafriel. Soalan Jihan Raysha tidak tahu bagaimana hendak dijawab. Dia tidak pasti sama ada gadis itu tahu Hakimy mempunyai kembar. Tetapi kalau sudah kerja di Mega Hotels and Resorts, mestilah tahu kan? 

“Kau tak jawab soalan aku tadi. Mana kau kenal Esha ni?” Najmy menyoal. Dia cuba alih soalan. 

“Esha ni anak kawan baik Uncle Syazlan. Kebetulan dulu masa pak su aku ajak Esha ni dinner, aku ada join sekali sebab nak hantar novel-novel Kak Tasha pada Piyya. Masa tulah aku kenal Esha ni.”

“Dah kenapa boleh panggil abang? Geli aku dengar.” Najmy buat muka.

“Dah sah-sah Esha ni muda dari aku. Tak salah lah kot suruh panggil abang. Kau je tak sedar yang aku ni lagi tua dari kau. Dulu kau bukan panggil aku ni ‘abang’ juga ke?”

“Kira kau ni mengaku dah tua?” Najmy menyindir. Dia perasan sesuatu. Jarang sungguh Iqram Zafriel yang dikenali sejak kecil ini mudah mesra dengan perempuan. Takkan jatuh cinta pandang pertama kot? 

“Bukanlah tua. Cuma tua dari korang je!” 

Najmy ketawa. 

“Tua juga lah tu.” Najmy sambung ketawa. 

“Macam mana Abang Iqram kenal Encik Kimy ni?” soal Jihan Raysha ingin tahu. 

“Hmm… rasanya Uncle Syazlan ada beritahu Esha kot. Abang Iqram, Kimy dan Jimy ni berjiran. Bukanlah jiran sangat, tapi dalam satu kawasan. Berkawan sejak kecik. Papa dia dan papa Abang Iqram kawan baik. Tu yang rapat. Esha tahu kan Kimy ni ada kembar nama Jimy?” soal Iqram Zafriel. Mata menilik pada Najmy yang turut sama memandang Jihan Raysha.

“Tahu. Doktor Najmy kan?”

Iqram Zafriel dan Najmy serentak mengangguk. 

“Jadi kenapa pula?” Jihan Raysha pelik. 

“Sebab kat belakang awak tulah… Encik Kimy yang sebenarnya.” Jari telunjuk Najmy terarah pada belakang Jihan Raysha. 

Pantas Jihan Raysha berpaling. Mulutnya terlopong. Beberapa kali dia memandang dua lelaki itu silih berganti. Ya Allah! Bukan dia sahaja yang terkejut, pelayan wanita yang sejak tadi menunggu untuk mengambil pesanan juga nampak terlopong. Siapa tidak terkejut tengok dua orang dengan muka yang sama? 

“Awak ni Esha… buat saya lemah jantung je. Tiba-tiba hilang macam tu. Nasib baiklah adik saya ni jumpa awak.” Bebelan Hakimy kedengaran. Dia sudah duduk di sebelah Najmy. 

“Tutup mulut tu Esha,” bisik Iqram Zafriel. Memang dia geli hati tengok riak terkejut Jihan Raysha tadi. Tetapi bukan Jihan Raysha sahaja, satu restoran rasanya terkejut. 

Jihan Raysha pandang muka kedua-dua kembar di hadapannya silih berganti. Adakah ini aturan takdir yang langsung dia tidak rancang? 

“Sorry ye Esha. Saya takde niat nak tipu awak ke…. Saya pun terkejut tadi tengok awak tiba-tiba terpa kat saya. Siap pegang tangan saya ni.” Najmy memulakan cerita.

“Pegang tangan kau?” Melopong pula Iqram Zafriel.

“Kau biar betul?” Hakimy pula tunjuk riak tidak percaya.

“Pegang tangan sampai masuk dalam restoran ni lah,” sambung Najmy tarik sengih. 

Hakimy tepuk bahu adiknya.

“Gatal juga kau ni kan?”

“Woi, bukan gatal! Esha tu tiba-tiba menangis tengok aku. Aku nak buat macam mana lagi? Alang-alang dia dah pegang tangan aku, aku tarik dia terus sampai sini.” Najmy membela diri. 

Jihan Raysha pandang lagi. Kenapa sama sangat muka mereka berdua ni? Langsung tiada beza. Sebab itulah dia memang percaya bulat-bulat lelaki yang dia jumpa tadi adalah Hakimy. Memang langsung tidak terlintas dalam fikirannya, lelaki itu adalah Najmy. Lagipun selama ini Najmy memang low profile. Hanya nama sahaja diketahui. 

“Awak okay tak ni?” Hakimy bertanya dalam riak risau pula. Muka gadis itu berkerut-kerut. Muka pun sudah bertukar merah. Dia memang tahu Jihan Raysha menangis tadi kerana dimaklumkan melalui Whatsapp oleh Najmy. 

“Sebenarnya saya ni Najmy Rayyan. Bukannya Hakimy Rayyan. Sebab itulah saya terkejut sangat tadi masa awak mula-mula jumpa tadi.” 

Jihan Raysha menunduk. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Pelayan wanita tadi datang semula ke meja menyerahkan menu sebelum beralih semula ke kaunter. 

“Awak okay tak?” Najmy tarik tangan Jihan Raysha yang berada di atas meja. 

Membulat mata Hakimy dan Iqram Zafriel.

“Kenapa muka sama sangat?” Bergetar suara Jihan Raysha. Matanya sudah merah. Mukanya bertambah merah. Dia membiarkan sahaja Najmy menggenggam tangannya. Perasaan itu sama seperti apabila Daniel menggenggam tangannya untuk memberikan kekuatan. 

Najmy pandang abangnya. 

“Awak tahu kan saya dan Jimy ni adik-beradik kembar,” jelas Hakimy. 

“Adik-adik Abang Iqram pun muka sama walaupun bukan kembar,” sambung Iqram Zafriel sedikit pelik. Dia tidak jadi membelek menu. 

Jihan Raysha menunduk kembali. Hilang terus rasa lapar. Dia perlukan Daniel. Dia perlukan abangnya! 

“Hmm… sorry. Saya dah kenyang. Saya nak balik.” Jihan Raysha tarik tangannya. Dia tidak perasan tangannya masih dalam genggaman Najmy. 

“Eh?” Ketiga-tiga lelaki itu terkejut besar. Mereka bertambah terkejut apabila mutiara jernih Jihan Raysha perlahan-lahan menitik. 

“Kenapa ni Esha? Saya memang takde niat tak beritahu awak tadi. Saya ingat nak tunggu abang saya je datang. Biar clean and clear.” Najmy gelabah. 

Hakimy angguk kepala laju.

“Saya balik dulu ye. Sorry Encik Kimy tak boleh teman Encik Kimy makan.” 

“Saya hantar awak balik.” Hakimy blur. 

Jihan Raysha menggeleng. Dia sudah bangun.

“Jap! Abang Iqram hantar.” Tangan Jihan Raysha dicapainya.

Hakimy dan Najmy sama-sama mengangguk. Pelbagai perasaan timbul dalam diri mereka. Kenapa dengan Jihan Raysha? Ada sesuatu ke mengenai persamaan muka mereka berdua? 

“Saya balik dulu.” Jihan Raysha sudah melangkah keluar. Dia tarik tangannya dari Iqram Zafriel pula. Dia memang tidak boleh lama lagi di situ. Dia risau segala-galanya terbongkar. Dia tidak kuat. Dia perlukan Daniel. Dia perlukan Dash. Dia perlukan Haven. 

“Aku balik dulu.” Iqram Zafriel salam Hakimy dan Najmy hampir serentak.

“Kau teman dia makan. Dia tak makan lagi sebenarnya,” maklum Hakimy.

“Itulah… lain kali jangan buat prank sangat. Terkejut beruk budak Esha tu aku tengok.” Iqram Zafriel menggeleng dan terus melangkah keluar. 

“Macam mana ni abang?” Najmy menyoal.

Hakimy angkat bahu. Dia pandang pintu utama restoran. Hatinya dibuai tanda-tanya.







Back to Top