24 February 2015

SENGAJA AKU JATUH CINTA: BAB 1.


DINIE memberhentikan Toyota FJ Cruiser berwarna kuning di bahu jalan. Nabiha yang duduk di sebelahnya nampak kalut menjawab pertanyaan demi pertanyaan daripada Zakwan. Dia mendengus. Geram dengan sikap kurang sabar Zakwan. IPhone miliknya diambil dari Nabiha. Memang sejak tadi Nabiha disuruh memberitahu Zakwan yang dia sedang memandu. Dia memang tidak suka memandu sambil berbual dalam telefon. Sejak kemalangan yang mengorbankan nyawa abah dan mamanya, dia memang sangat berhati-hati di atas jalan raya. 

“Kau kenapa Wan?” soalnya sedikit geram.

“Amboi….Tak boleh beri salam dulu ke?” Zakwan ketawa pula dengan kata-katanya.

“Kau tu. Tak sabar-sabar. Haha dah kata, aku tengah bawa kereta. Kau sibuk suruh dia pass line kat aku. Tak boleh tunggu aku sampai office? Aku tengah drive ni. Jammed pula tu.” Bebelan Dinie mula kedengaran.

Nabiha tersengih. Dia faham benar dengan sikap kawan baiknya itu. 

“Sudahlah. Start dah nak membebel kau ni. Macam mak nenek lah,” sahut Zakwan sebelum ketawa.

“Kau nak apa?” soal Dinie, geram.

“Aku nak kau tolong aku. Please... kau sahaja yang ada sekarang.”

“Apa yang kau merepek ni? Nak tolong apa? Aku dah nak balik office ni. Aku dah ada depan stadium hoki.”

“Stadium hoki? Hah, itulah yang aku nak dengar. Aku tahu kau mesti lalu kat situ. Kau dah dapat story kau?” soal Zakwan, teruja. 

“Dapat dah. Apa yang kau suka sangat dengan stadium hoki ni?” Musykil Dinie. Dia baru sahaja pulang daripada menemu ramah seorang mangsa langgar lari yang selamat dari kemalangan jalan raya. Temu ramah itu akan dimuatkan ke dalam satu rencana di dalam majalah. Dia dan Nabiha merupakan salah seorang wartawan yang menulis untuk majalah URBAN, iaitu sebuah majalah yang berkisar tentang kehidupan masyarakat Malaysia tanpa mengira umur, agama dan bangsa. 

“Aku nak mintak tolong kau sangat-sangat. Tolong cover aku. Aku ada kat Shah Alam ni. Kau tolong aku interview Ali Muzamir. Dia tu pemain hoki kebangsaan. Aku dapat tahu. Dia dah undur diri dari hoki. Aku dapat tahu juga sebab bergaduh dengan pemain hoki lain.”

“Kau merepek apa ni Wan? Aku ni wartawan majalah URBAN. Aku bukan wartawan majalah SKUAD. Majalah sukan. Aku tak pernah cover cerita pasal sukan ni. Siapa Ali Muzamir pun aku tak kenal,” balas Dinie. Berkerut-kerut dahinya.

Nabiha turut sama terpinga tidak faham. 

“Tolong aku D. Kau sahaja penyelamat aku.”

“Hari lain tak boleh interview dia ke?” soal Dinie. Dia memang tidak sukar cover berita orang lain ni. Dia takut tersalah tafsir.

“Tak boleh. Aku dengar dia nak pergi Dubai dalam masa terdekat ni. Susah nak jumpa dia. Tolong aku D. Bulan ni majalah SKUAD nak cover tentang sukan hoki. Berita tentang Ali Muzamir tu penting sangat.” 

Dinie terdiam. Dia melepas pandang pada Nabiha.

“Wan mintak kita tolong dia cari story dari Ali Muzamir. Boleh?”

“Aku tak kisah. Aku free lagi lepas ni. Kau?” Nabiha angkat bahu.

Dinie mengeluh.

“Hari lain tak boleh ke Wan? Serba salah aku nak tolong kau. Itu story kau.”

“Penting D. Nanti aku letak nama kau dan Haha. Kau record je apa dia cakap. Jangan lupa ambil gambar dia sekali. Please D. Kau kan junior aku yang paling baik sekali yang pernah aku kenal.”

“Ye, memang aku junior kau yang paling baik. Kau pun senior aku yang paling jahat pernah aku kenal,” balas Dinie, geram. Kalau bukan disebabkan Zakwan itu abang senior sewaktu dia belajar di USM dulu, memang dia awal-awal menolak permintaan Zakwan tadi. 

Zakwan ketawa.

“Aku sayang kau D. Kirim salam pada Haha. Nanti aku belanja kau orang. Noah pun aku belanja sekali.”

“Kalau gagal dapat story?”

“Takpe. Tolong ya D. Aku tak boleh terus balik KL ni. Aku ada story lain nak cover kat sini. Kebetulan member aku beritahu tentang ni. Dia pun cakap yang Ali Muzamir tu ada kat stadium sekarang.”

Dinie mengeluh. Akhirnya dia bersetuju dengan permintaan Zakwan. Lagipun selama ini terutama sekali sewaktu di USM, memang Zakwan dan keluarga banyak membantunya menjaga Noah kalau mereka bertiga memang sangat sibuk ataupun terpaksa mengikuti kursus di luar Penang. Kebetulan, Zakwan berasal dari Penang. 

***

“SINI ke Haha?” soal Dinie. 

“Mana aku tahu D. Kau yang cakap dengan Wan tadi,” balas Nabiha yang turut sama tidak mengetahui hala tuju mereka. 

“Mana IPad?”

IPad dihulur pada Dinie. Pantas gadis itu menyambutnya. Tadi dia dan Nabiha sibuk membaca serba sedikit maklumat mengenai Ali Muzamir yang dihantar oleh Zakwan. Gambar Ali Muzamir turut ditilik lama. Kacak. Takut juga tersalah menegur orang. Ramai sungguh lelaki yang berada di sekitar stadium hoki sekarang ini. 

“Ada apa-apa ke kat sini pak cik?” soal Nabiha pada salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas.

“Majlis ringan. Perpisahan. Ada pemain nak keluar team.”

“Ali Muzamir ke?” soal Dinie. 

“Pak cik pun tak pasti. Tapi majlis ni dah lama tamat. Ada yang tak balik lagi. Makanan banyak lagi tu. Kalau kamu nak, pergilah makan.”

“Takpelah pak cik. Kami baru je makan. Terima kasih,” ucap Nabiha. 

Dinie hanya tersenyum. Dia membetulkan shawl yang dipakainya. Tiba-tiba dia berasa serabut. Tambahan pula cuaca hari ini agak panas. Cermin mata yang dipakainya tiba-tiba terasa berat. Dia rimas. Terutama sekali apabila menyedari beberapa mata yang sibuk memandang dirinya dan juga Nabiha.

“D,” cuit Nabiha.

“Apa?” Merah sedikit muka Dinie. 

“Kau kenapa?” soal Nabiha.

“Rimaslah Haha.”

“Ala… kau ni. Macam tak biasa. Kau okay tak?” Risau pula Nabiha. 

“Aku okay.”

“Kau jangan nak buat pitam kat sini D. Aku dah pesan kau makan nasi tadi. Kau degil. Kau ingat minum air kenyang?” Tiba-tiba pula Nabiha membebel. Tadi dia dan Dinie singgah ke kedai makan. Tetapi Dinie hanya minum air. Dia yang kelaparan menghabiskan sepinggan nasi. Dinie memang liat untuk makan. 

“Kau jangan nak merapu pula kat sini Haha. Aku rimas je. Bukan lapar. Aku dah makan dah tadi bekal aku. Berapa kali aku nak cakap kat kau?” Dia tunduk mengikat tali kasut Converse Sneakers, Chuck Taylor Fresh Colors ataupun bahasa mudah, berwarna oren. Dia peminat Converse Sneakers nombor satu. Segala jenis warna dan jenis Converse Sneakers dia ada dalam koleksinya. Malah, Noah juga ikut terjebak. Dia juga jadi rambang mata setiap kali melihat Converse Sneakers untuk kanak-kanak yang lebih comel. 

“Kau kenapa pula?” soal Dinie mendongak apabila Nabiha mencuit-cuit bahunya. 

“Tu!” Tunjuk Nabiha pada seseorang yang sedang berbual di tepi kereta Mitsubishi Lancer Evolution berwarna putih. 

“Itu Ali Muzamir kan?” soal Nabiha. 

Dinie berdiri. Dia mengangguk laju. Tapi sempat juga dia membandingkan wajah itu dengan gambar di dalam IPad. Sama.

“Cepat!” Pantas Dinie tarik tangan kawannya itu. 

“Assalamualaikum,” tegur Dinie apabila mereka sampai di hadapan Ali Muzamir dan rakannya yang rancak berbual. 

“Walaikumussalam. Ya, Cik-cik ni siapa?” soal Ali Muzamir pada rakannya yang sudah mengangkat bahu. 

“Siapa ni?” soal rakannya pula pada Dinie dan Nabiha. 

“Err… kami wartawan…” Belum sempat Dinie menghabiskan kata-kata Ali Muzamir sudah menyampuk. Dia tidak jadi menyerahkan kad namanya pada lelaki itu. 

“Maaflah. Saya tak mahu ditemu ramah,” sampuk Ali Muzamir. 

“Tapi….” Dinie pandang Nabiha.

“Saya Rizqin Elyaz.” 

“Saya tak tanya pun. Saya cuma nak temu ramah Encik Muzamir,” sampuk Dinie. Langsung dia tidak pandang lelaki tinggi lampai dan berkaca mata hitam itu. 

Ali Muzamir tersengih mendengar kata-kata bersahaja dari Dinie. Nampak, kawannya juga sudah terkulat-kulat. 

“Memang cik….” Rizqin tidak berpuas hati. 

“Dinie.” 

“Memang Cik Tini....”

“Dinie. D.I.N.I. D for Duck. Nama saya Dinie Imaan.” Sekali lagi Dinie menyampuk dan terus mengeja namanya apabila lelaki itu salah menyebut namanya. 

“Memang Cik Dinie tak tanya. Tapi sebagai peguam Encik Muzamir. Saya berhak masuk campur. Klien saya tak mahu ditemu ramah kan? Saya boleh dakwa Cik Dinie atas kesalahan cuba mengganggu klien saya.” Terus sahaja Rizqin menyambung kata-katanya. Kali ini, wajahnya berubah serius. 

Dinie pandang Nabiha. Masing-masing terkedu kerana tidak sangka lelaki itu sebenarnya peguam. Patutlah nampak begitu kemas bergaya dengan kemeja dan bertali leher berwarna ungu yang sedondon dengan baju kemejanya. 

“Sejak bila pula ni?” soal Ali Muzamir, perlahan. 

“Ada apa-apa lagi?” soal Rizqin. Dia buat tidak dengar soalan kawannya. Geram sungguh dia dengan kelancaran Dinie memintas kata-katanya tadi. 

Nabiha menggeleng. Dia tarik jaket jenis jeans berwarna biru muda yang dipakai Dinie. 

“Tapi....” Dinie masih tidak berputus asa. Dia cuba merapati Ali Muzamir tanpa sedar kakinya sudah tersadung batu yang berada di atas jalan. 

“D!” jerit Nabiha terkejut. Pantas tangannya cuba mencapai tangan kanan Dinie. 

Rizqin yang juga terkejut segera menarik tangan kiri Dinie. Hampir sahaja gadis itu mencium jalan dan juga bakal buat sujud hormat pada Ali Muzamir. Beberapa orang yang masih berada di perkarangan stadium sudah memandang mereka berempat. 

“Kau okay tak?” soal Nabiha, risau. Tambah terkejut melihat wajah pucat kawannya itu. 

Rizqin segera melepaskan tangan gadis itu. Dia sedaya upaya tidak ketawa. 

“Kau kenapa clumsy sangat ni? Mesti sebab tak makan! Batu punya besar kat depan mata kau pun kau tak nampak!” Marah Nabiha pula. 

Dinie masih terkejut. Lama dia terdiam. Dia cuba mencari semangatnya yang hilang tadi. Pucat lesi wajahnya tika ini. Dia membetulkan cermin mata yang hampir jatuh dari batang hidungnya. Dia memang tidak nampak batu besar itu. Mungkin kerana juga Pleated Maxi Skirt labuh berwarna hitam yang dipakainya menghalang penglihatannya tadi. 

“Terima kasih,” ucap Dinie, perlahan. 

Ali Muzamir yang masih terpinga melepas pandang pada Rizqin. Nampaknya wajah kawannya itu sudah merah padam. Dia tahu Rizqin sedang menahan diri dari ketawa. 

“Okay tak?” soal Nabiha lagi. 

Dinie mengangguk laju. Ya Allah, memang dia malu saat ini! Kenapa pula dia mesti tersandung batu di hadapan dua lelaki ini! Grrr.... 

“Kenapa batu ni boleh tiba-tiba ada kat depan ni?”

Rizqin yang sejak tadi cuba menahan tawa perlahan-lahan menghamburkan tawa. Ali Muzamir juga begitu. Batu pula yang disalahkan? 

“Awak ni kelakar lah Cik Dinie,” ucap Rizqin sebelum menyambut tawa.

Dinie mati kutu. Dia memang betul-betul malu. Nabiha toleh pandang kawan baiknya itu. Dia tahu Dinie memang sedang menahan rasa malu. Malah, wajah pucat lesi tadi sudah berubah merah seperti udang kena bakar. 

“Cermin mata awak tu dah cukup besar. Tak nampak lagi?” soal Rizqin yang masih meneruskan tawa yang masih bersisa.

“Rizq!” Ali Muzamir tiba-tiba luku lengan Rizqin. 

Rizqin melepas pandang pada Dinie. Tawa yang rancak tadi terus mati.

“Eh, jangan nak menangis kat sini Cik Dinie. Saya tak sengaja nak gelak pada awak. Tapi awak kelakar sangat,” ucap Rizqin serba salah.

“Itulah kau. Gelak tak ingat dunia,” sampuk Ali Muzamir yang turut sama serba salah. Dia juga gelak pada Dinie tadi. Tapi memang Dinie kelakar. Batu yang sebesar itu boleh dilanggarnya dan boleh pula menyalahkan batu itu.

“Takpe. Jom Haha!” Terus Dinie menarik tangan Nabiha. Dia memang malu sangat sampai terasa nak terjun lombong! Kalaulah ada.... 

“Eh, Cik Dinie! Awak boleh temu ramah saya.” Halang Ali Muzamir. 

Langkah Dinie mati. Segera dia berpaling. Air mata yang hampir sahaja pecah tadi tiba-tiba hilang. Mukanya bersinar mendengar kata-kata Ali Muzamir . 

“Saya, isteri dan anak-anak saya akan berangkat ke Dubai minggu depan.” Ali Muzamir memulakan cerita selepas Dinie mengeluarkan buku catatannya dan iPhone untuk rekod perbualan mereka. Nabiha pula mengeluarkan kamera DSLR Nikon D90. Rizqin hanya menjadi pemerhati. 

“Saya dengar Encik Muzamir bersara sebab bergaduh dengan player lain?” 

Ali Muzamir melepas pandang Rizqin yang turut sama angkat bahu.

“Hmm.. awak boleh panggil saya Muzamir je. Rasanya saya dah beritahu wartawan yang lain. Saya bersara bukan disebabkan itu. Hubungan saya dengan player lain baik je. Saya bersara sebab peribadi. Saya anak sulung lelaki. Dah lama saya lepaskan tanggungjawab saya pada keluarga. Babah saya dah tua. Saya ke Dubai nak uruskan perniagaan keluarga saya di sana.”

“Kayanya....” Tidak sedar kata-kata itu terkeluar dari mulutnya. 

“Saya tak kaya. Keluarga saya yang kaya,” balasnya terus ketawa. 

“Sorry.” Dinie tersengih.

“Samalah Encik Muzamir. Encik Muzamir bakal mewarisi perniagaan ayah Encik Muzamir.” Tidak manis pula rasanya hendak lelaki itu hanya dengan panggilan Muzamir. 

Ali Muzamir tersenyum sahaja. 

“Jadi kenapa perlu hire peguam ni?” 

“Ini bukan peguam saya. Cuma saya tak mahu ditemu ramah. Jadi kawan saya nak tolong saya je,” jawabnya.

Rizqin tersengih. Dia memang bukan peguam Ali Muzamir. 

“Ada apa-apa lagi nak tanya?” soal Ali Muzamir. 

Dinie mengangguk sebelum meneruskan dengan soalan demi soalan yang dipinta Zakwan sebentar tadi. Sebelum mengakhiri temu ramahnya sempat dia menyuruh Ali Muzamir membeli majalah SKUAD pada bulan hadapan yang bakal memuatkan sedikit cerita mengenai dirinya. 

“Takde nombor telefon ke Cik Dinie?” soal Ali Muzamir. 

“Hah?” 

“Kawan saya ni berminat kat Cik Dinie,” balas Ali Muzamir sebelum ketawa besar apabila Rizqin sudah memukul bahunya kuat.

“Kau jangan nak memadai.” Rizqin, resah. 

Nabiha ketawa. Sudah acap kali dia dan Dinie disakat apabila mereka menemu bual lelaki. Tapi dia tahu mereka hanya bergurau sahaja. Dinie hanya mendiamkan diri. Malas dia melayan dua lelaki di hadapannya. Dia segera mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk berlalu. Nabiha pula mengekor dari belakang selepas melakukan perkara yang sama. 

“Nah!” Nabiha menghulurkan kad nama pada Dinie apabila mereka berdua berada dalam kereta. 

“Apa ni?” 

“Kad nama Encik Rizqin.”

“Dia bagi kau?”

“Dia suka kat kau,” ucap Nabiha terus sebelum tersengih.

“Kau tak payah nak mengarut. Dia malas membaca isi yang tertulis pada kad tersebut. Terus sahaja dia menyelit kad tersebut dalam beg komputer ribanya. Enjin kereta dihidupkan. Nasib baiklah dia tidak sempat menyerahkan kad namanya tadi. Bukan dia benci Rizqin, cuma rasa malu yang dia rasa tadi masih belum hilang. 

“Tak sia-sia kau jatuh tersadung tadi.” Sakat Nabiha sebelum ketawa.

“Haha!” Merah padam wajah Dinie. 

“Cinta tersadung batu tengah jalan,” sambung Nabiha. Dinie mencebik geram. Malas dia hendak melayan usikan Nabiha. 

“Aku berdoa lepas ni tak jumpa dia lagi.” 

“Kau jangan doa macam tu. Selalu kau doa, akan jadi terbalik,” sakat Nabiha.

“Kau jangan nak memadai. KL ni besar. Takde maknanya nak jumpa dia orang lagi.” 

Nabiha tersengih. Dia tidak mahu mengulas panjang apabila melihat wajah mencuka Dinie. Lagipun dia tahu gadis itu memang tidak suka dilagakan dengan mana-mana lelaki.