Cinta Semalam: Bab 5


JIHAN RAYSHA salam Soraya, isteri Encik Syazlan. Kecil molek sahaja isteri Encik Syazlan. Berbeza dengan Encik Syazlan yang agak berisi. Pejam celik, pejam celik sudah seminggu dia tinggal di Malaysia. Sekali sahaja dia berjumpa dengan Hakimy. Keesokan harinya, apabila dia mula bekerja, bayang Hakimy langsung tidak kelihatan sehingga hari ini. 

“Auntie…” tegur Jihan Raysha sebelum menyalami dan memeluk Puan Soraya yang tersenyum mesra. Kadang-kadang Puan Soraya memang seakan mengingatkan dia pada arwah mummy. Senyuman yang lembut dan penuh dengan sifat keibuan. 

“Kakak!” Sofiyya Merican sabar menunggu giliran untuk bersalam dan memeluknya. Aduhai… rindunya dia pada Sofiyya walaupun baru dua bulan tidak berjumpa. Sofiyya baru sahaja habis SPM dan sedang menunggu tawaran universiti. Anak-anak Encik Syazlan yang lain pula tidak berada di Malaysia. Soleha Merican mengikut suaminya bekerja di Amsterdam manakala Sohana Merican pula sedang menyambung pelajaran di Rusia dalam bidang kedoktoran. 

“Sara sihat kakak?” soal Sofiyya, girang. Dia tarik Jihan Raysha duduk di sebelahnya. 

“Sama sihat macam Piyya juga! Cuma mungkin rindukan arwah atook dia. Asyik tanya je mana atook dia jarang jumpa dia dah,” ucap Jihan Raysha. Kesian Sara. Dia juga teramat rindukan arwah daddy. Disebabkan pelat, panggilan atuk bertukar menjadi ‘atook’, nenek menjadi ‘neyneck’. 

“Nanti bila uncle free, biar Atook Syazlan dan Neyneck Soraya lawat dia kat Melbourne tu,” sampuk Encik Syazlan tersenyum. Dia sendiri tahu betapa rapatnya arwah dengan anak-anak dan cucu tunggalnya itu. 

“Auntie Piyya pun nak ikut,” sampuk Sofiyya teruja. 

“Dah nak masuk U, ada hati nak ikut papa, mama jalan-jalan lagi,” sampuk Puan Soraya sambil tergeleng. 

“Biarlah! Bukan takde cuti. Kan kakak?” Lengan Jihan Raysha dipeluk.

Jihan Raysha tarik sengih. Dia mengusap lembut rambut hitam Sofiyya yang ikal mayang itu. Kadang-kadang cemburu juga melihat rambut Sofiyya itu. Dia selalu merasakan rambut hitam berkilat itu lebih cantik. Kalaulah rambutnya juga berwarna hitam seperi daddy. 

Puan Soraya dan Encik Syazlan tergeleng. Faham sangat dengan perangan manja Sofiyya apabila bersama dengan Jihan Raysha dan kakak-kakaknya yang lain. 

“Uncle nak naik sembahyang dulu. Esha duduklah berborak dengan Piyya dulu,” kata Encik Syazlan dan terus masuk ke dalam biliknya di tingkat atas. 

“Auntie nak pergi panaskan lauk jap. Kita tunggu anak saudara auntie sekejap ye. Lepas tu kita makan sekali,” ujar Puan Soraya pula.

“Biar Esha tolong!” Bukan dia tidak biasa ke dapur. 

“Ish, tak payahlah Esha. Bukan nak buat apa pun. Semua dah ada. Auntie nak panaskan je. Nanti busuk pula baju Esha tu.” Puan Soraya menggeleng dan terus melangkah pergi ke dapur. Pembantu rumah yang dipanggil bibik tidak tinggal bersama kerana menetap bersama keluarga berdekatan dengan rumah mereka juga. Selalunya bibik akan pulang selepas masak makan malam. Tetapi disebabkan ada tetamu, bibik akan bermalam di sini. 

Sofiyya bangun membuka televisyen.

“Kenapa kakak tak nak duduk sini? Boleh Piyya ada kawan. Lagipun rumah ni mana ada orang lelaki. Papa je pun lelaki,” ucap Sofiyya tidak berpuas hati. Dah puas pujuk, langsung Jihan Raysha tidak mahu. 

“Kakak tak selesalah nanti Piyya.”

“Ala… kita kan dah macam saudara.” Sofiyya sudah memuncungkan mulut.

Jihan Raysha ketawa.

“Ala… kalau Piyya sekeluarga pergi London pun, bukan pernah tidur rumah kakak kan? Uncle kata tak selesa. Samalah macam kakak juga,” beritahu Jihan Raysha lembut.

Sofiyya tarik sengih. Betul juga!

“Tapi janji dengan Piyya… nanti kalau Piyya nak tidur dengan kakak kat hotel tu, kakak bagi boleh? Piyya bawa kakak jalan-jalan pusing Malaysia!” Bersemangat sekali Sofiyya.

“Reti ke memandu?” 

Sofiyya tarik sengih. 

“Bukan ujian memandu hari tu, Piyya gagal lagi ke?” soal Jihan Raysha tersengih. Memang dia dan Sofiyya selalu berhubung melalui Facebook ataupun Whatsapp. Cuma sejak datang ke Malaysia, dia hanya berhubung melalui Facebook kerana tertinggal telefon di London! Mengamuk Daniel apabila mengetahuinya. Dia ni memang sudah termakan sarang semut! Semua benda nak lupa. 

“Takpe. Piyya ada ramai cousins. Kak Tasha, Kak Nad… Abang Iqram. Semua boleh drive. Selama ni pun, kalau Piyya takde transport, dia orang yang tolong.” 

“Ramai betul cousins Piyya.” Dia baru tahu hal itu. 

“Kakak jangan sedih. Cousins Piyya… cousins kakak juga. Nanti Piyya kenalkan ye? Lepas ni… Abang Iqram nak datang bagi novel Kak Tasha yang berlambak kat rumah tu. Eh, Abang Aidan sihat? Abang Dash? Kak Haven?” Sofiyya memang kenal semua kawan Jihan Raysha yang rapat di London. 

Jihan Raysha tersentak. 

“Kenapa kakak?” Pelik Sofiyya melihat wajah Jihan Raysha bertukar keruh.

“Dash dan Haven sihat je. Cuma Dash busy sikit lepas jadi doktor.” 

“Abang Aidan?” Sofiyya pelik kerana sejak akhir-akhir ini jarang Jihan Raysha bercerita tentang Aidan. Selalu soalan berkaitan Aidan akan dipandang sepi sahaja. 

“Kami dah putus.” 

“Hah?” Sofiyya betul-betul terkejut. 

“Dah dekat sebulan lebih. Lepas Uncle Meor passed away.” 

“Kenapa?” Terkejut besar Sofiyya. Rasanya langsung tiada apa yang kurang pada Aidan. Memang Aidan nampak sangat sempurna. Sekali pandang dah nampak seperti Mark Harmon pun ada. Cuma Aidan tua hampir sepuluh tahun dari Jihan Raysha. Jauh juga perbezaan umur mereka berdua. 

Jihan Raysha tarik sengih. Hambar. Malas nak bercerita panjang lebar. Yang pasti, mereka berdua memang sudah berpisah. Rasanya antara salah satu sebab dia boleh terlupa iPhone juga disebabkan dia mengelak dari menerima panggilan atau mesej daripada Aidan. 

Sofiyya pandang lama wajah Jihan Raysha. Dia tahu Jihan Raysha dan Aidan mula bercinta beberapa bulan selepas Jihan Raysha bekerja di Mega Hotels and Resorts. Aidan pengurus bahagian Jihan Raysha. Malah Encik Ebrahim pun merestui hubungan mereka berdua. Bila pula mereka memutuskan hubungan? 

“Bulan lepas kami putus Piyya. Takde jodoh kot,” jawab Jihan Raysha tanpa mahu mengulas panjang lebar. Lagipun hubungannya itu agak peribadi untuk diceritakan walaupun dia sudah menganggap Sofiyya seperti adiknya sendiri. Pada Daniel dan Dash juga dia memberi jawapan yang sama. 

“Takpelah kakak. Takde jodoh kan? Hmm… kakak bolehlah berkenalan dengan Abang Iqram.” Sofiyya kenyit mata. Sengaja mahu menceriakan semula suasana. Dia ketawa pula apabila melihat wajah merah Jihan Raysha. 

Jihan Raysha tampar lengan Sofiyya.

“Tak payah nak menggada ye! Kakak ni bukan tua sangat pun.”

“Eh… Kak Soleha umur 23 dah kahwin tau kakak. Sekarang ada dua orang anak dah. Agaknya kalau kakak kahwin tahun ni, tahun depan bolehlah Piyya dapat anak saudara mata biru. Sara dah mata hijau. Best betul kahwin dengan caucasian ni. Rambut warna blond. Mata boleh ada macam-macam warna.” 

“Tak payah nak merepek sangat Piyya. Nanti Piyya dapat sambung oversea, carilah sendiri suami caucasian,” giat Jihan Raysha dan terus mencubit pipi tembam Sofiyya.

“Siapalah nak Piyya ni kakak. Gelap. Pendek. Gemuk pulak tu.” Sofiyya tarik muncung.

Jihan Raysha ketawa. Dia terus peluk Sofiyya. Pipi mereka sengaja dilagakan.

“Orang yang buta hati je tak nampak kecantikan sebenar Piyya ni,” ucap Jihan Raysha ikhlas. Kemudian pipi tembam Sofiyya dicuit geram. Entah kenapa dia sedar juga Sofiyya begitu memandang rendah fizikalnya. Bukankah itu hanya luaran semata? 

“Ehem!” 

Jihan Raysha tersentak. Matanya terbuntang. 

Sofiyya menjerit.

“Abang!” 

Jihan Raysha berdiri. Tiba-tiba diserbu rasa malu yang amat sangat. Baru sahaja nak bermanja dengan Sofiyya, sudah kena kacau! Sofiyya pula sudah menghampiri lelaki yang masih terpacak di hadapan pintu utama. Kenapa langsung tidak sedar apa-apa bunyi menandakan kedatangan lelaki itu? 

“Kakak… inilah satu-satunya abang sepupu Piyya. Iqram Zafriel,” beritahu Sofiyya lantas menarik Iqram Zafril masuk ke dalam rumah. Kotak yang penuh berisi buku dibiarkan sahaja tersadai di tepi pintu. 

Jihan Raysha tersenyum. 

“Iqram.” Iqram Zafriel menghulurkan tangan. Kekok dan terkejut pun ada. 

“Esha.” Pantas Jihan Raysha menyambut huluran tangan Iqram Zafriel sebelum matanya beralih pada Sofiyya yang tersengih-sengih macam kerang busuk. 

“Ehem! Sampai bila tu Abang Iqram nak salam tu?” tegur Sofiyya. Bahu Iqram Zafriel ditepuk lembut. Lagipun sudah merah padam muka Jihan Raysha. Sebenarnya pertama kali dia melihat Iqram Zafriel selamba badak menyalami perempuan. Dia sendiri terkejut beruk tadi! Selama ini bukan Iqram Zafriel sangat menjaga ke bab-bab seperti ini? 

Iqram Zafriel garu kepala yang tak gatal. Dia terus melabuhkan punggung. Jihan Raysha kembali duduk. Sofiyya mengambil tempat di sebelah Jihan Raysha. 

“Mana Abang Iqram parking kereta?” Pelik Sofiyya. 

“Hmm... hujung sana. Depan rumah Piyya ni dah penuh kereta. Tadi alang-alang Abang Iqram sampai tadi dah azan, Abang Iqram terus masuk masjid. Jemaah sama-sama. Sebab tu lambat sikit,” maklum Iqram Zafriel tidak lepas memandang wajah Sofiyya dan Jihan Raysha silih berganti. Kebetulan memang masjid dekat sahaja dengan rumah Encik Syazlan. 

Sofiyya pandang Iqram Zafriel dan Jihan Raysha pula. Perlahan-lahan dia tersenyum nipis. Macam ada sesuatu sahaja? Otak kuning sudah merencana sesuatu. Tidak pernah lagi dia melihat Iqram Zafriel begitu gelabah berhadapan dengan perempuan. Maklumlah, adik-beradik dan sepupunya semuanya perempuan. 

“Hmm… kakak dengan Abang Iqram borak dulu. Mama ada kat dapur. Papa sembahyang. Piyya naik atas hantar buku jap!” Tiba-tiba Sofiyya terlebih rajin. 

Jihan Raysha terpinga. Dia tidak sempat nak menghalang, Sofiyya seperti lipas kudung sudah mengangkat kotak sederhana besar ke biliknya di tingkat dua. Dia melepas pandang pada Iqram Zafriel yang turut terpinga. 

“Hmm….” Iqram Zafriel garu kepala yang tidak gatal. Lengan baju kemeja yang memang sudah tersedia terlipat, dilipatnya lagi. Nampak sangat dia tidak tahu skill berborak dengan perempuan. 

Jihan Raysha tersenyum. Alahai… sengaja betul budak Piyya tu tinggalkan aku dengan dia ni! Nak cakap apa? Akhirnya dia hanya memandang TV yang sudah tersedia terpasang. Layan jelah drama Castle walaupun tidak tahu hujung pangkal cerita. 

“Hmm… I heard you can speak Malay?” Suara Iqram Zafriel mula kedengaran selepas beberapa kali berdeham. 

Jihan Raysha angguk kepala. Bukan sejak tadi dia hanya bercakap dalam bahasa Melayu ke? Kelakar pula rasanya cara lelaki di hadapannya ini memulakan perbualan. 

“I’m from London,” beritahu Jihan Raysha. 

“Belajar mana cakap Melayu?” 

“Daddy saya orang Melayu juga,” beritahu Jihan Raysha. Dia melepas pandang wajah Iqram Zafriel sebelum mukanya diserbu rasa malu apabila menyedari mata redup Iqram Zafriel tidak habis-habis memandangnya. Jantungnya berdegup kencang. 

“Ya? Kiranya awak ni mixed lah ye?” soal Iqram Zafriel takjub. Rasanya macam pernah dengar sahaja? Eh, tidak mungkin pula PRO yang pernah menjadi topik perbualan dia dan Hakimy dulu berada di hadapannya kini? Aik, kecilnya dunia? 

Jihan Raysha mengangguk laju. 

“Langsung tak nampak Melayu rupa awak ni.”

Jihan Raysha ketawa pula. Reaksi biasa apabila orang mengetahui dia berdarah kacukan. 

“Awak ke anak angkat tak rasmi pak su saya?” soal Iqram Zafriel. Dia ada mendengar Encik Syazlan bercerita tentang kawan lamanya yang sama-sama membesar di rumah anak-anak yatim dulu dan menetap di London. 

“Yelah kot.” Jihan Raysha tersenyum. Memang sejak mengetahui dia anak angkat Encik Ebrahim, hubungan dia dengan Encik Syazlan bertambah rapat. 

“Saya pun ada kawan.…” 

“Hah, sampai dah!” 

Pantas Iqram Zafriel dan Jihan Raysha memandang suara yang menegur. 

“Baru balik kerja ke?” soal Encik Syazlan. Iqram Zafriel bangun menyalami ayah saudaranya. 

“Pagi tadi Kak Tasha bagi novel tu. Kalau nak balik rumah dulu tadi, memang tak sempat nak bagi malam ni sebelum dinner. Jammed teruk betul sebab ada accident tadi,” maklum Iqram Zafriel. Encik Syazlan sudah melabuhkan punggung di sebelah anak saudaranya itu. 

“Pak su ada dengar juga tadi. Teruk ke accident tu?”

“Teruk juga.” Iqram Zafriel kembali memandang Jihan Raysha. Kenapa dengan aku ini?

Encik Syazlan yang menyedari sudah tersenyum simpul. Si ‘pemberi berita’ tadi ada memaklumkan sewaktu dia menjenguk ke dapur. Elok sahaja Sofiyya mengacau mamanya di dapur kerana tidak mahu menjadi ‘pengacau’ di ruang tamu. 

“Kalau Esha nak tahu… Kimy, Jimy dan Iqram ni berkawan baik. Dah macam adik-beradik,” beritahu Encik Syazlan. Paha anak saudaranya ditepuk lembut. Cuba membawa Iqram Zafriel ke alam realiti. Asyik merenung anak dara orang, sampai merah padam muka Jihan Raysha. 

“Kimy… Jimy?” 

“Oh, Kimy… Executive Vice President kita. Esha lupa ke? Jimy tu… adik kembar dia,” balas Encik Syazlan. 

Jihan Raysha gigit bibir. Kecilnya dunia? Kenapa mesti lelaki di hadapannya ini berkawan baik pula dengan kedua-dua lelaki kembar itu? 

Iqram Zafriel mengangguk. Pelik juga melihat reaksi terkejut Jihan Raysha. 

“Anak saudara uncle ni dah tua terlajak dah. Umur dah 30 tahun. Tapi memilih sangat. Nak perfect. Kalau Esha berminat, boleh isi borang jadi calon isteri Iqram. Nanti uncle email borang tu.” Selamba Encik Syazlan menyakat Iqram Zafriel yang sudah terkejut dengan kata-katanya. 

“Sebenarnya siapa yang suruh isi borang ni uncle? Pak su tu ada tiga lagi tempat kosong kan?” Giat Iqram Zafriel pula, tidak mahu mengalah.

Encik Syazlan ketawa besar.

“Haish, Esha ni dah macam anak uncle! Lainlah… awak tu Iqram. Lain macam je pak su tengok malam ni.”

Iqram Zafriel tarik sengih. Obvious sangat ke? Bukan dia tidak pernah berkawan dengan gadis berambut blond. Malah sewaktu belajar, memang ramai je. Cuma entahlah… hatinya langsung tidak terbuka. Dia kembali memandang Jihan Raysha yang tersenyum sahaja sejak tadi. 

“Kimy pernah cerita pasal awak,” ucap Iqram Zafriel. 

“Apa lagi dia cerita?” soal Jihan Raysha ingin tahu. 

“Awak cantik.” 

“Hah?” Jihan Raysha terkedu. Mukanya yang memang merah, bertambah merah. 

“Kimy atau Iqram yang cakap?” Sengaja Encik Syazlan mengusik Iqram Zafriel yang sudah tersengih-sengih apabila melihat wajah merah Jihan Raysha. Dia senang hati. Pertama kali dalam seumur hidupnya, dia melihat Iqram Zafriel naik bulu!

5 comments:

  1. hehehe..
    go!go! iq
    berusaha ayat risya
    hehehe
    cpt smbg ya..

    ReplyDelete
  2. btol...btol...iq..truskn usaha...nk risya n iq...

    ReplyDelete
  3. klaka la iq ni.. bolenye tu ayat si isha tu..huhu..rapat tol kimi, najmi n iq eh..smpai ek pon tau sejarah yamin daniel & jihan raysha..

    -cheesecake-

    ReplyDelete
  4. awak2..ade salah sikit dlm ni
    tibe2 ade terselit name Suri Imani plak,..hehe
    nnti betulkan ye
    gud job!!buat lg!

    ReplyDelete