// Kau Princess Aku, Okay: Bab 6.




“JALAN tu pandang depan. Sakit badan saya ni!” Keras suara Hakimy selepas batuknya reda. Senak dadanya apabila tiba-tiba dirempuh dan tepat pada dadanya. Dah kenapa jalan tidak pandang kiri kanan? Lampu koridor ini pun, kenapa tiba-tiba gelap?

“Sorry!”

Dahi Hakimy berkerut. Suara tu macam familiar sangat.

“Jap. Tunggu sini.” Hakimy berlalu ke hujung koridor. Tidak sampai seminit, koridor kembali terang dengan cahaya.

“Awak rupanya, Esha. Siapalah gatal-gatal tangan pergi tutup lampu ni,” bebel Hakimy tidak berpuas hati. Dia berjalan menghampiri Jihan Raysha.

“Hai Encik Kimy.” Jihan Raysha tiba-tiba gugup. Tidak sangka lewat petang begini, boleh terserempak dengan Hakimy.

“Baru keluar dari surau ke?” Hakimy menyoal. Dia mengesan kegugupan Jihan Raysha.

Jihan Raysha mengangguk. Dia melepas pandang pada Hakimy. Lelaki itu nampak begitu berserabut. Rambut ikal yang sedikit bergulung di bawah nampak berserabut. Tali leher sudah hilang. Gaya seperti orang bangun tidur pun ada.

“Saya baru bangun tidur sebenarnya. Semalam tidur lewat,” terang Hakimy apabila menyedari dirinya diperhatikan. Rambut cuba dikemaskan dengan jari sendiri. Selalunya kalau dia mengantuk, dia akan tidur sahaja di suite khas untuknya di hotel ini. Tadi selepas habis mesyuarat, dia berniat untuk tidur sekejap sahaja, tetapi tidak sangka boleh terlajak sehingga pukul 6.30 petang. Kebetulan Hanif terpaksa pulang awal kerana ada kecemasan di kampung.

Jihan Raysha pandang jam tangan.

“Surau dah gelap pun Encik Kimy. Agaknya semua staf dah balik. Kenapa Encik Kimy turun sembahyang kat surau sini?” soal Jihan Raysha pelik. Setahunya, pejabat Hakimy bukan di aras ini.

“Surau kat level saya tu under renovation. Hmm… tadi awak pergi mana? Saya ada cari awak kat pejabat. Saya nak ajak makan.”

“Kak Shuhaili ada beritahu saya tadi. Kenapa Encik Kimy cari saya? Saya ke Shah Alam tengok branch kat sana dengan Encik Harraz,” jawab Jihan Raysha pelik. Setahunya, dia langsung tiada urusan dengan Hakimy. Setiap cawangan hotel akan memiliki seorang Pegawai Perhubungan Awam. Sekarang Mega Hotels and Resorts Kuala Lumpur mempunyai dua orang PRO termasuk dirinya. Encik Harraz pula, Ketua Pegawai Perhubungan Awam di sini.

“Takdelah. Saya saja nak ajak awak makan.” Sebenarnya sudah beberapa minggu gadis itu berada di Malaysia dan dia masih tidak berkesempatan berborak panjang lagi. Entah kenapa hatinya teringin sangat mengetahui perkembangan Jihan Raysha di sini.

“Lain kali pun boleh kan?” Jihan Raysha kembali gugup.

“Hmm… jap!” Mata Hakimy membulat. Ya Allah, kenapa boleh leka sangat ni?

“Jap apa?”

“I’ve to go!” Kalut Hakimy dan terus berlari anak menghampiri surau. Dia sudah lewat!

Jihan Raysha garu kepala. Macam-macam. Dia ingatkan dia yang terlewat untuk sembahyang asar. Rupa-rupanya ada lagi yang lebih lewat. Arwah daddy memang sangat tekankan soal sembahyang. Umpama rumah yang tidak bertiang. Itulah ibarat manusia yang tidak bersembahyang. Kalau tiada tiang, runtuhlah rumah.







No comments:

Post a Comment

Back to Top