Cinta Semalam: Bab 3


KETUKAN pada pintu mengejutkan Hakimy yang sedang ralik membaca fail yang baru diserahkan Hanif. Fail peribadi Jihan Raysha yang tidak pernah dibacanya sebelum ini. Sebenarnya ini juga kali pertama dia membaca fail peribadi para pekerjanya. 

“Yes Hanif?” Ternaik sebelah kening Hakimy. Rasanya dia tiada temu janji selepas ini. Dia pandang wajah pembantunya yang memang murah dengan senyuman itu. Dia memang lebih senang mempunyai pembantu merangkap setiausaha lelaki daripada perempuan. 

“Encik Iqram is here. He want to see you.” 

“Bro!” 

Tidak sempat Hakimy berkata apa-apa, muncul sudah orang dimaksudkan Hanif tadi. Tersengih-sengih seperti kerang busuk. 

“Wow, kau pergi mana selama ni? Aku rasa macam lama… sangat tak jumpa kau.”

Hakimy menggeleng. Tidak hilang lagi perangai sengal lelaki ini. Bukan pagi tadi dia berselisih kereta sewaktu hendak ke pejabat? Sempat berbalas hon sehingga mengejutkan beberapa ekor anjing yang turut menjadi ‘jaga’ rumah jiran-jiran mereka yang bukan beragama Islam. Walaupun kedudukan rumah mereka tidak begitu dekat, tetapi masih berada dalam kawasan yang sama. Sebab itulah tidak menghairankan apabila mereka boleh berselisih. 

“Awak boleh keluar Hanif. Buatkan kopi.”

“Eh, tak payah. Aku nak ajak aku keluar ni.” Hanif tidak jadi melangkah keluar. 

“Awak boleh keluar Hanif. Terima kasih.”

Hanif mengangguk dan tersenyum sahaja. Pintu ditutup rapat.

“Kau nak apa Iqram Zafriel?” Hakimy menyoal malas. Gaya lelaki ini seperti tiada kerja hendak dibuat. Padahal masing-masing sibuk dengan urusan kerja yang tidak habis-habis. Sejak dia menjawat jawatan Timbalan CEO, memang papanya sudah jarang ke pejabat. Urusan diserahkan kepadanya sedikit demi sedikit. Dia memang dalam proses pembelajaran dan sebab itulah dia tidak lokek menimba ilmu terutama sekali daripada staf senior. 

“Kau tengok apa tu? Khusyuk sangat aku tengok?” Soalan tidak dijawab. Dia melangkah menghampiri Hakimy dan terus duduk tanpa dipelawa. Dia perhatikan sahaja Hakimy yang sudah menutup fail sambil mengeluh. 

“Nothing. Kau dari mana ni? Tiba-tiba muncul pulak?” 

“Tak boleh ke?”

“Bukan tak boleh. Setahu aku, kalau waktu-waktu macam ni… susah sangat nak nampak kau. Kau dengan kerja kau kan… dah macam suami isteri.” 

“Siapa yang jadi suami?” Tersengih Iqram Zafriel.

“Kau nak suruh aku jawab dengan jujur ke?” Tersengih-sengih Hakimy. Memang dia yang selalu rajin melayan loyar buruk Iqram Zafriel ini. Mereka rapat kerana papa Iqram Zafriel merupakan sahabat baik papanya. 

“Hmm… aku ni baru balik dari jumpa klien. Jom makan. Aku lapar.” Iqram Zafriel malas memanjangkan cerita. Lagipun memang perutnya seperti berbunyi-bunyi minta diisi dengan segera. 

“Kau jumpa klien kan? Kenapa tak makan sekali. Menyusahkan aku kena teman kau.” Ayat itu terluah. Hubungan dia dengan Iqram Zafriel sudah seperti adik beradik. Kutuk mengutuk dan sindir menyindir sudah menjadi asam garam hubungan mereka. 

“Aku rindu kat kau.” Iqram Zafriel mengekek ketawa. 

Hakimy menjengkelkan mata. 

“Bila masa kau gay?” 

“Dah lama kau je tak perasan.” Iqram Zafriel buat wajah selamba.

“Yelah tu! Malas aku nak layan kau. Jom lah. Aku lapar gak ni. Penat aku bergaduh dengan Suzan tadi. Terus hilang selera makan.” 

“Kau gaduh lagi?” Iqram Zafriel langsung tidak nampak terperanjat. 

“Dia tu cemburu buta. Pantang nampak aku dengan orang lain. Jom. Lepas ni aku ada video conference dengan Mega Hotels and Resorts Bangkok.”

“Pukul berapa?” 

“Ada tiga jam lagi. Nak makan kat mana ni?” soal Hakimy. Kening terangkat. 

“Coffee Bean sudahlah. Sibuk sangat sekarang, langsung takde masa lepak sana macam dulu. Itu yang aku rindu sangat dengan kau dan Jimy.”

Hakimy hanya mengangguk dan tergeleng. Malas melayan Iqram Zafriel. Tali leher yang dipakainya tadi dilonggarkan sedikit. Dia mengambil iPad dan iPhone yang elok sahaja tersusun. Dia memang tidak boleh berpisah dengan teknologi tersebut. 

“Kau drive?” 

Iqram Zafriel mengangguk. Kereta memang sudah menunggu di hadapan hotel. 

“Bos, ada hadiah,” tegur Hanif dan terus menghulurkan bungkusan berwarna merah apabila melihat kelibat Hakimy dan Iqram Zafriel melangkah keluar dari bilik. 

“Awak makan jelah, Hanif.” Hakimy terus berlalu. 

“Lisa bagi ke? Kenapa tak makan? Coklat dari bakery Lisa tu sedap,” ujar Iqram Zafriel tersengih. Matanya hanya memandang Hakimy yang menekan lif. 

Hakimy menoleh. Dia mengangguk. Hadiah daripada Nurlisa itu memang tidak boleh ditolak kerana seperti Iqram Zafriel, keluarga Nurlisa juga berkawan baik dengan keluarganya. Tetapi mereka tidak begitu rapat. Hubungan keluarga mereka lebih kepada hubungan perniagaan. 

“Aku tahu sedap. Tak faham betul aku dengan Lisa tu,” ujar Hakimy sedikit geram. Nurlisa sebaya dengan Iqram Zafriel. Sewaktu kecil dulu, dia memang membahasakan Nurlisa dengan panggilan kakak, dan sama juga seperti Iqram Zafriel. Kedua-dua mereka tua hampir lima tahun darinya. Tetapi disebabkan perangai Nurlisa itu, dia hilang rasa hormat. 

“Jadi kau pernah makanlah?”

Hakimy mengangguk sahaja. Dia hanya makan sekali sahaja. 

“Kesian Lisa. Ingatkan bila korang sambung belajar sama-sama kat Michigan dulu, korang jadi BFF. Tapi impian Lisa tu hanya impian.” Iqram Zafriel tersengih lagi. 

“Kat sana rapat juga, sebab susah nak jumpa Melayu.” 

“Tapi dia banyak tolong kau kan?” Iqram Zafriel sengaja mahu membangkitkan rasa marah Hakimy. 

“Memanglah! Banyak tolong aku, menyusahkan aku pun banyak juga.” Hakimy mendengus. Memang Nurlisa banyak menolongnya berlakon menjadi ‘orang ketiga’, tetapi dalam masa yang sama Nurlisa juga punca dia banyak bergaduh dengan teman wanitanya. Nurlisa ibarat duri dalam daging. 

“Lisa tu lawa, cantik. Kau reject. Aku tak fahamlah dengan taste kau,” Iqram Zafriel garu kepalanya yang tidak gatal. Tidak dinafikan Nurlisa sebaya dengannya, tetapi rasanya sesuai sahaja nak digandingkan dengan Hakimy. Nurlisa memang cantik. Buta namanya kalau kata Nurlisa itu tidak cantik. 

“Aku dah anggap dia macam kakak aku sendiri walaupun takde rapat sangat. Takkan aku nak bercinta dengan kakak aku sendiri kot?”

“Tak salah pun tua dari kau kan? Macam mana dengan girlfriend baru kau ni? Lisa ada kacau dia ke?” 

“Takde kot. Sejak aku bercinta dengan Suzan dulu, takde pulak aku dengan Suzan tanya aku tentang Lisa ni.” 

Iqram Zafriel tarik sengih. Dia faham dengan maksud ‘dulu’. Nampaknya hubungan Hakimy dan Suzanna sudah berakhir. 

“Break dah?”

Hakimy mengangguk.

“Aku single and available.” Tersengih Hakimy, gatal. Selepas masuk ke dalam biliknya tadi, Suzanna ada menelefonnya dan marah-marah. Jadi, tanpa berfikir panjang, dia terus minta hubungan ditamatkan. Lagipun memang sejak awal lagi, hanya Suzanna yang lebih menyukainya. Dia pula hanya menjadikan Suzanna tempat menghilangkan bosan. Tetapi semakin lama dengan Suzanna, dia semakin bosan pula. 

Iqram Zafriel malas mengulas panjang. Perkara itu bukan perkara luar biasa. Lagipun dia tahu, sahabat sejak kecilnya ini tidak akan menangis kerana cinta. Cuma pernah juga terdetik hubungan Hakimy dengan Suzanna mungkin akan bertahan lama kerana gadis itu memang berbeza dengan teman-teman wanita Hakimy sebelum ini. Suzanna seorang pengacara muda yang terkenal dengan ikon Muslimah yang menjadi ikutan para remaja dan golongan muda. 

“Eh, aku nak tanya… tadi kau bergaduh dengan siapa? Ex kau ke?” 

Hakimy tercengang.

“Bergaduh?” Tidak pernah lagi dia bergaduh dengan bekas-bekas teman wanitanya di dalam hotel. 

“Kau grab bahu dia. Mata tenung mata. Sikit lagi je nak berlaga muka. Gaya macam dah nak cium je. Aku masa tu baru keluar dari washroom. Nak tegur… tapi takut klien aku tunggu lama pula.”

Hakimy tergelak. Cium? Mungkin yang dimaksudkan Iqram Zafriel tadi adalah Jihan Raysha. Memang dia langsung tidak perasan kelibat kawan baiknya ini. 

“Mana ada aku nak cium dia. Aku ni bukannya western sangat nak cium anak dara orang kat public walaupun muka aku ni… muka western.” 

“Dah kau nak buat apa?” Iqram Zafriel nampak tidak berpuas hati.

“Aku terkejut je tadi.” Dia tidak mahu mengulas panjang. Memang sah gadis itu bukan orang yang dicarinya selama ini. Mungkin betul, dalam dunia ini… beribu orang mempunyai nama yang sama. 

“Terkejut? Siapa dia tu sampai kau terkejut sangat?” 

“PRO dari London.”

“PRO je?” soal Iqram Zafriel tidak percaya. 

Hakimy mengangguk dan lif yang ditunggu sejak tadi tiba-tiba terbuka. Mereka berdua melangkah masuk. 

“Kau minat dia ke?” 

“Aku takkan jalin hubungan dengan staf aku sendiri. Macam kau tak tahu.” 

Iqram Zafriel sudah tersengih. Dia sedia maklum dengan prinsip Hakimy. 

“Kau rasa dia cantik tak?”

“Walaupun aku pandang dari jauh, tapi aku tak nafikan dia memang cantik. Dia dari mana?” soal Iqram Zafriel ingin tahu. 

“London.”

Iqram Zafriel hanya mengangguk.

“Kau rasa dia bangsa apa?”

Iqram Zafriel tercengang dengan soalan yang agak pelik itu. 

“Kalau sah-sah muka merah macam kena bakar. She has beautiful light blond hair. Memang sah bukan orang Melayu. Kau cakap dia dari London tadi kan? So, Britons? Kenapa?” Pelik dengan soalan Hakimy tadi. 

“Aku pula?” 

“Kenapa dengan kau?”

“Kata-kata kau tadi macam merujuk pada aku juga, cuma aku light brown hair.” 

Iqram Zafriel terpinga. Dia tidak faham. Apa kaitan pula antara Hakimy dan wanita itu? Lama dia memandang Hakimy. Dia kenal Hakimy sejak Hakimy kecil lagi. Jadi?

“Dia mixed macam kau?” soal Iqram Zafriel ragu-ragu. 

Hakimy tersenyum dan mengangguk.

“Dia langsung tak nampak macam mixed bro. Kacukan apa? Kalau setakat kacuk sesama orang putih tu, memang tak hairan dia blond macam tu.”

Walaupun dia melihat dari jauh, tapi dia tahu wanita itu cantik. Gadis itu nampak seperti Serena van der Woodsen dalam cerita Gossip Girl. Jangan pandang dia sebelah mata. Walaupun tidak menonton Gossip Girl, tetapi disebabkan dia ada dua orang adik perempuan yang gilakan cerita itu… dia ikut terjebak. 

“Dia macam aku. Ayah dia Melayu. Mak dia orang putih lah kot.” 

Iqram Zafriel melopong. Dia tidak percaya!

“Tadi aku tengok kau nampak terperanjat. I bet she can speak Malay?” 

“Yup. But she still have strong British accent.” 

“I’m impress. Hope I can hear it. Bangga aku jadi anak Melayu.” Kembang kempis hidung mancung Iqram Zafriel. 

“Kau nak? Aku boleh recommend.” 

“Gila! Kau ingat aku ni terdesak,” tekan Iqram Zafriel. 

“Aku kesian mak bapak kau. Tak sabar nak menimang cucu lelaki pula!”

“Oi, kau lupa ke Kak Tasha dah delivered cucu lelaki untuk papa aku. Cukuplah sorang.” Geleng Iqram Zafriel. Dia memeluk tubuh pula. 

“Maksud aku… cucu lelaki dari anak tunggal lelaki papa kau!” 

“Sudahlah Kimy. Kau jangan nak terlebih jadi papa aku pulak. Papa aku relax je aku membujang ni… kau jangan nak lebih-lebih pulak.”

Hakimy tersenyum. Dia tidak jadi mahu membalas apabila pintu lif terbuka.





7 comments:

  1. best...
    sambung lagi ye

    ReplyDelete
  2. penerangan yg jelas so sesiapa nak tahu kena baca lagi mula..kaknOOr

    ReplyDelete
  3. bestnye..
    dah lame tunggu n3 bru..(^_^)
    smbung lg ye..

    ReplyDelete
  4. best2..suke cite ni..sukela tgk gmbr baby tu..tmbam sgt2..

    -cheesecake-

    ReplyDelete
  5. comelnyer dy0rg be3...

    ReplyDelete
  6. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete

Back to Top