Cinta Semalam: Bab 6


“TAMBAH lagi tu Esha. Badan tu kurus sangat dah auntie tengok,” tegur Puan Soraya. 

Jihan Raysha mengangguk. Kalau Puan Soraya tidak menyuruh dia menambah, memang dia berhajat untuk menambah lagi. Sejak daddy meninggal dunia, dia tidak lagi menyentuh makanan kegemarannya yang selalu dimasak daddy. Sekali lagi sudu yang penuh dengan nasi disuap ke dalam mulut. 

“Tomyam dan paprik ni makanan kegemaran Esha,” beritahu Encik Syazlan. Dia senang hati melihat Jihan Raysha nampak begitu berselera. Sebenarnya dia perasan selera makan Jihan Raysha sudah hilang sejak ayahnya meninggal dunia. 

“Patutlah makan tak pandang kiri kanan.” Tersengih Iqram Zafriel yang duduk di sisi Jihan Raysha. Dia pula semakin berselera melihat Jihan Raysha yang begitu berselera. 

“Eh, pedas ke kakak?” 

“Termakan cili pula! Ingatkan sayur tadi.” Merah padam muka Jihan Raysha. Dahinya sudah berpeluh. 

Kelam kabut Puan Soraya hendak bangun tetapi dihalang Iqram Zafriel. 

“Takpe mak su. Nah!” Iqram Zafriel menghulur gelas berisi air sirap.

Tanpa banyak soal, terus Jihan Raysha meneguk laju. Dia langsung tidak perasan Encik Syazlan yang sudah berpandangan dengan Puan Soraya. Sofiyya pula semakin lebar sengih. Pelik. Memang pelik. Sejak bila pula Iqram Zafriel ini tidak kisah berkongsi air ataupun makanan? Semua orang tahu betapa Iqram Zafriel amat mementingkan kebersihan.

“Terima kasih.” Gelas diletakkan di atas meja semula. 

“Sebenarnya dah lama saya tak makan tomyam ni. Dulu arwah daddy selalu masak. Sejak arwah daddy sakit teruk, dah lama sangat Esha tak makan.” Wajah Jihan Raysha bertukar keruh.

Iqram Zafriel terkejut. Terkulat-kulat dia memandang Encik Syazlan dan Puan Soraya. 

“I’m so sorry Esha. Saya tak tahu daddy awak dah takde. Jadi sekarang siapa ada di London? Ibu awak?” soal Iqram Zafriel ingin tahu. 

Jihan Raysha tergeleng. Kenapalah soalan macam ini nak tanya waktu dia tengah berselera nak makan? Kan dah hilang selera! 

“Iqram.” Panggil Encik Syazlan. 

Dahi Iqram Zafriel berkerut. Pelik melihat wajah Puan Soraya dan Sofiyya. Encik Syazlan juga seperti menghantar isyarat supaya dia diam. 

“It’s okay, uncle. Mummy saya dah lama meninggal… waktu umur saya lima tahun.” 

“Sorry awak.”

“It’s okay. Saya ada abang. Bukannya saya seorang je,” balasnya. 

“Uncle, auntie… Piyya pun ada,” sampuk Encik Syazlan. 

Jihan Raysha tersenyum. Terharu dengan layanan baik mereka padanya. 

“Oh, abang awak sekarang kat mana?” soal Iqram Zafriel ingin tahu.

Jihan Raysha pandang lelaki di sebelahnya. Pelik kerana banyak betul dia nak tahu. 

“Melbourne.”

“Kerja apa?” 

“Arkitek.” 

“Company apa?” 

“Meor & McCormick Architects.” 

“Really?” Iqram Zafriel nampak terkejut.

“Eh, awak kenal?” Berkerut dahi Jihan Raysha.

“Mestilah saya kenal. Syarikat tu agak well-known. Pernah menang international. Eh, tapi bukan Meor & McCormick Architects kat London?” 

“Abang saya uruskan projek kat Melbourne. Mungkin dalam tiga tahun. Tahun depan kalau settle, balik semula London,” jawab Jihan Raysha. Dia terasa bangga kerana Iqram Zafriel mengenali syarikat usaha sama arwah syarikatnya dengan Uncle William. 

“Wow, hebat. Kalau ada rezeki, bolehlah saya dan abang awak bekerjasama. Tapi mesti susah kan?” Iqram Zafriel tergelak kecil pula. 

Encik Syazlan menggeleng.

“Budak ni… kepala tu asyik fikir kerja je.”

Iqram Zafriel tarik sengih.

“Awak pun arkitek juga ke?” soal Jihan Raysha ingin tahu.

“Tak. Saya kontraktor je.” 

“Sudah-sudahlah bercerita pasal kerja tu. Naik muak mak su dengar. Hmm… malam ni Esha tidur sini ye? Lagipun dah malam sangat ni. Esok boleh je Esha pergi kerja sama-sama dengan uncle,” sampuk Puan Soraya dengan nada separuh memujuk. Dia memang mahu berborak panjang lagi dengan gadis ini. 

“Hmm… takpelah auntie. Lain kali ye. Lagipun Esha takde bawa baju,” tolak Jihan Raysha serba salah. Tambah dia serba salah melihat wajah muram Puan Soraya dan Sofiyya. 

“Lain kali jelah awak ajak Esha. Lagipun tadi dia dah penat pergi Ipoh. Esok nak pergi mana pula Esha?” soal Encik Syazlan. Dia faham kenapa Jihan Raysha menolak. Kalau bermalam di rumahnya, nampaknya malam ini tidak tidurlah Jihan Raysha kerana terpaksa melayan isteri dan anaknya berbual. 

“Shah Alam rasanya,” jawab Jihan Raysha lambat-lambat. Dia masih mengambil masa mengingati nama tempat. 

“Kalau macam tu… nanti biar Iqram jelah hantar Esha balik. Awak duduk mana?” 

“Hotel.” 

“Eh, tak cari rumah lagi?” soal Iqram Zafriel terkejut.

“Esha last minute baru beritahu nak tukar. Uncle sendiri tak sempat carikan rumah sewa. Sebab tu Esha duduk hotel je lagi,” sampuk Encik Syazlan. Nampak riak bersalah. 

“Hmm… takpelah. Nanti Iqram tolong carikan juga. Umur awak ni berapa?” 

“Hah?” Terkejut dengan soalan tiba-tiba itu.

“Bukanlah… rasanya awak ni lagi muda dari saya, kan?” soal Iqram Zafriel.

Jihan Raysha mengangguk. Lagipun tadi Encik Syazlan sudah memaklumkan usia lelaki ini. Bukanlah tua sangat seperti yang digembar-gemburkan oleh Encik Syazlan. 

“25 tahun.” 

“Oh, kalau macam tu… Esha panggil jelah saya ‘abang’ macam Piyya ni panggil. Takdelah nak rasa kekok sangat nanti,” ujar Iqram Zafriel. 

“Betul tu kakak! Abang Iqram ni dah tua. Memang layak sangat kakak panggil dia ‘abang’. Panggil ‘uncle’ pun takpe juga kan, Abang Iqram?” sakat Sofiyya. 

“Ai… budak kecik ni. Abang tak mahu nanti belanja apa-apa dah,” ugut Iqram Zafriel.

Sofiyya tarik sengih.

“Okay. Okay. Piyya takkan kutuk Abang Iqram lagi depan kakak,” ucap Sofiyya ketawa kecil. Dia terus bangun dari duduk menuju ke singki. Jihan Raysha turut sama bangun. 

“Budak berdua ni… kalau tak bertekak memang tak sah!” Tergeleng Encik Syazlan. Dia menyerahkan pinggan pada isterinya.

“Biar je situ Esha,” tegur Puan Soraya apabila melihat Jihan Raysha sudah mula menyingsing lengan baju. Rambut yang dibiarkan tidak terikat tadi juga sudah disanggul tinggi. 

“Takpe auntie. Bukan banyak pun. Lagipun Esha makan banyak tadi.” 

“Nanti balik… Abang Iqram hantar awak balik ye? Kesian pulak nak suruh uncle,” ucap Iqram Zafriel yang sudah berdiri di sisi Jihan Raysha. Sempat dia menolak Sofiyya. Dia kenyit mata Sofiyya yang sudah tersengih penuh makna.

Jantung Jihan Raysha berdegup kencang. Dia ni dah kenapa? Baru nak elak, dah boleh tercegat di sebelahnya pula. Siap hulur tangan meminta pinggan yang sudah disental dengan sabun. Dia menjeling pada Puan Soraya dan Encik Syazlan yang sudah tersengih-sengih.

“Jarang Abang Iqram ni rajin. Malam ni bibik berehat,” ucap Sofiyya pada bibiknya yang terpinga kerana tugas membasuh semua pinggan mangkuk diberikan pada pasangan di hadapannya ini. Tapi dia turut sama tersengih kerana pertama kali melihat Iqram Zafriel terlebih rajin. 

“Takpelah. Saya boleh naik teksi.” 

“Tak payah. Biar Iqram tu hantar. Kalau tak nak Iqram hantar, Esha tidur sini malam ni. Uncle pun rabun juga nak memandu malam-malam ni.” Sengaja Encik Syazlan beralasan. 

Jihan Raysha mengeluh. Tersepit pula dia. Rasa nak sepak jauh-jauh je lelaki di sebelahnya kini. Penyibuk kuasa dua!





4 comments:

  1. erm...
    smbg la cpt...
    x saba nih...

    ReplyDelete
  2. wawawa..bile raysha nk ngaku ni..uhuhu..
    best la..ade ramai abg..huhu..

    -cheesecake-

    ReplyDelete
  3. nk...n3 baru....
    cite nih best...

    ReplyDelete
  4. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete

Back to Top