Cinta Semalam: Bab 9



JIHAN RAYSHA pandang skrin iMac. Besar pula dia tengok muka abangnya ini. Sudah rasa seperti abangnya ada di depan mata sahaja. Nak sahaja dia cium skrin iMac untuk melepaskan rindu yang berbuku. Hari raya haji dah nak dekat. Arwah daddy meninggal dalam bulan Syawal. Terasa satu kehilangan besar pula untuk sambut hari raya haji tanpa daddy dan abang. Sara pula sejak tadi sibuk membebel dalam loghat Aussie dan British yang bercampur aduk itu. 

“Hmm… Malaysia ni pun sama macam kat London juga abang. Kalau raya haji, pihak hotel bagi cuti sehari je untuk orang Islam. Tapi kat sini, semua oran dapat cuti sebab itu dah kira cuti umum dalam kalender Malaysia,” beritahu Jihan Raysha panjang lebar. 

Dia berpura-pura mahu mencapai tangan kecil Sara yang sejak tadi menggaba-gabai seperti mahu memegangnya. 

“Hmm… best. Jealous abang dengar. Macam mana dengan hal tu? Dah dekat sebulan dah ni dik?” 

“Tunggu Esha bersedia dulu boleh abang?” 

“Hmm… insya Allah abang cuba cari masa datang sana. Lagipun sekarang Sara sekolah lagi. Hari tu pun Sara dah cuti lama.” Sebenarnya sudah banyak kali Daniel cuba meyakinkan adiknya, tetapi hati Jihan Raysha ini memang keras. 

“Insya Allah… hmm… abang ada contact Dash?” 

Daniel menggeleng. 

“Kakak Haven?”

“Setiap hari sebab urusan syarikat.” Cepat sahaja Daniel memberi alasan apabila terlihat senyuman nakal Jihan Raysha.

“Kahwin teruslah abang dengan Kakak Haven tu. Kakak Haven pun sayang sangat kat Sara tu,” usik Jihan Raysha. 

“Sengaja tukar topik kan? Kalau macam tu… pergilah kahwin dengan Dash tu,” balas Daniel pula. Memang selepas dia bercerai dengan Natalia, kalau ada sahaja peluang, pasti Jihan Raysha akan mengusiknya dengan Haven. Tetapi sejak dahulu lagi, hubungan dia dengan Haven memang hanya setakat kawan baik sahaja. 

“He’s my best friend… not boyfriend.” 

“Sama je dik… tetap best boyfriend.” 

“Dia tetap only my bestfriend. Lagipun he’s not Muslim,” sangkal Jihan Raysha. 

“Aidan pun bukan orang Islam kan?” 

Jihan Raysha terkedu. Aidan lagi…. 

“Sorry. Abang tak sebut dah.” Daniel serba salah melihat riak wajah Jihan Raysha. Ish, mulut ni! Bukan dia tidak tahu, Aidan cinta pertama adiknya. Dia juga terkejut dimaklumkan adiknya bercinta dengan Aidan, dan tambah terkejut apabila dimaklumkan mereka tiba-tiba berpisah sebulan selepas daddy meninggal dunia. 

“Nanti jangan lupa makna. Suka sangat tangguh waktu makan tu. Kesian kat perut tu. Lagi satu… jangan tangguh lama sangat nak beritahu….” 

“Abang!” Jihan Raysha gelabah. Dia pandang pintu yang hampir terbuka. Nasib baik pintu kaca. Jadi dia memang boleh lihat siapa yang datang. 

“Kenapa?” Terkejut Daniel.

“Hmm….” Jihan Raysha garu kepala dan kemudian dia mengangguk pada Hakimy yang sudah melangkah masuk. Selamba Hakimy duduk tanpa disuruh. 

“What is going on adik? Tiba-tiba termenung tu,” tegur Daniel. 

Jihan Raysha terpinga. Dia tarik sengih.

“Dah lewat sangat ni abang. Esha nak balik. Nak offline dulu. Bye Sara.” Jihan Raysha melambai pada Sara. Sara yang sudah ralik menghisap ibu jari segera melambai kembali. Beberapa kali Sara menghadiahkan flying kiss dan Jihan Raysha berpura-pura menyambutnya. Kemudian dia pula menghadiahkan flying kiss pada Sara dan sengaja pula Daniel mengusik anaknya dengan berpura-pura berebut. 

Jihan Raysha ketawa. Lupa sekejap kewujudan Hakimy di hadapannya. Nasib baiklah Hakimy tidak mengintai pada skrin iMac. 

“Ala sayang… Esha give your kisses,” suruh Daniel apabila Sara mula menunjukkan tanda-tanda ingin menangis. Habis semua flying kiss Jihan Raysha tadi ‘dibolot’ Daniel. 

Jihan Raysha tersenyum. Dia menghadiahkan flying kiss lagi dan Sara menyambut girang. Sebagai balasan, pipi Daniel dicium bertalu-talu oleh Sara. Jihan Raysha terhibur. Dia melambai sekali lagi sebelum menekan offline. 

“Skype dengan abang ke?” soal Hakimy tersenyum. Dia turut terhibur dengan keriuhan suara sebentar tadi. Dia dapat mendengar slang British yang agak pekat pada suara lelaki walaupun bercakap dalam bahasa Melayu. Suara kecil yang merengek-rengek juga membuatkan dia hampir sahaja mahu mengintai. Tetapi dia tidak mahu mengganggu privasi Jihan Raysha. Agaknya bagaimana rupa abang Jihan Raysha? Pasti berambut ikal blonde seperti Jihan Raysha juga. 
Jihan Raysha mengangguk. Dia menutup iMac dan berpura-pura mengemas meja. Nasib baik abangnya tidak sempat menyebut apa-apa. 

“Kat London, memang selalu cakap Melayu ke?” soal Hakimy ingin tahu. Dia mencapai dua keping bingkai gambar di atas meja Jihan Raysha. 

“Arwah daddy yang selalu cakap… dan kami pun dah terbiasa. Our bestfriend pun dah fasih cakap Melayu sebab dari kecik kami kawan,” beritahu Jihan Raysha. Dia berdebar melihat bingkai-bingkai gambar yang sedang ditatap Hakimy. Terselit rasa tidak puas hati kerana Hakimy mengambil tanpa kebenaran. Nasib baiklah hanya ada gambar arwah daddy dan Sara sahaja. 

“Daddy awak ke ni?” 

Jihan Raysha mengangguk.

“Saya ni ikut rupa daddy ke… rupa mummy saya?” soal Jihan Raysha, tersenyum manis.

“Hmm… entahlah. Saya manalah tahu rupa mummy awak. Awak lebih pada mummy awak kot. Daddy awak ni… putih juga. Ada kacukan apa-apa ke?” 

“Kalau ikut kata daddy… daddy berasal dari Kelantan.”

“Jadi daddy awak orang Kelantan? Kenapa awak tak cakap dialek Kelantan pun?” Hakimy nampak terkejut. 

Dahi Jihan Raysha berkerut. Dialek Kelantan?

“Tak tahu saya dialek Kelantan tu macam mana. Tapi selepas mak ayah daddy meninggal dunia, daddy masuk ke rumah anak-anak yatim kat KL. Sebab masa tu daddy memang menetap kat KL dah. Masa itulah jumpa Uncle Syazlan. Mereka sama-sama membesar kat situ. Macam adik-beradik. Lepas kahwin, terus daddy menetap kat London. Nak balik Malaysia memang takde sesiapa dah.” Jihan Raysha tidak jadi meneruskan cerita. Dia tidak mahu terlepas cakap. Ada rahsia yang perlu dirahsiakan lagi. 

“Oh… baru saya tahu. Cantik mata budak ni,” puji Hakimy. Matanya tertancap pada gambar seorang kanak-kanak yang tersenyum mesra memeluk patung bunny berwarna putih. Rambutnya yang ikal berwarna perang muda kekuningan pendek separas bahu dan menutup dahi. Mata itu nampak bulat, tetapi alis mata sedikit sepet. 

“Anak abang saya.” 

“Mata dia warna apa ni? Hijau?” Kebetulan gambar itu memang hanya fokus pada wajah Sara sahaja. Ya Allah, comelnya! 

Jihan Raysha mengangguk.

“Seriously?” Hakimy tidak percaya. Susah nak jumpa orang mata hijau ni. Bersinar pula tu. Macam ada galaksi dalam mata itu. 

“Abang saya kahwin dengan orang sana juga. Kalau ikut kata bekas kakak ipar saya, arwah moyang dia pernah mata warna hijau. Akhirnya, menurun kat anak saudara saya tu,” cerita Jihan Raysha. Sewaktu bayi, mata Sara lebih kepada warna kelabu. Selepas mencecah umur setahun, warna mata itu perlahan-lahan berubah menjadi warna hijau lumut. 

“Kenapa bekas kakak ipar?” 

“Dah bercerai. Sekarang hak penjagaan pada abang saya.”

Hakimy mengeluh. Kasihan. Dia teringat dirinya yang juga membesar tanpa ibu di sisi. 

“Kenapa?” Pelik dengan keluhan Hakimy.

“Kesian dia. Keluarga saya pun berpecah belah juga,” ucap Hakimy perlahan. Rajin pula mulut ini nak bercerita.

Jihan Raysha tersentak. Dia dapat lihat riak kecewa pada wajah Hakimy. Hatinya tersentuh. 

“Siapa nama dia?” 

“Sara Hope Raniaa .” 

“Wow, beautiful name. Nama pangkal tu sama macam nama mummy saya.”

“What a coincidence. Ramai kan orang sana kat dunia ni Sara tu bermaksud puteri. Sebab itu saya cadang nama tu pada abang saya,” cerita Jihan Raysha. 

Hakimy pula menarik nafas sebelum menongkat dagu memandang wajah putih bersih Jihan Raysha. Peliknya, niat hatinya bukanlah mahu menjalinkan hubungan lebih daripada rakan sekerja… tetapi dalam masa yang sama hatinya seperti sudah terikat dengan gadis bermata hazel di hadapannya kini. 

“Apa?” soal Jihan Raysha yang tidak selesa ditenung. 

Hakimy tersengih.

“Jom makan. Saya lapar,” ajak Hakimy. 

“Hah? Kenapa ajak saya?” Terkejut Jihan Raysha.

“Hmm… sampai hati awak nak tolak bos awak ajak ye? Lagipun dari tengah hari tadi saya tak makan sebab awak takde. Niat hari ni memang nak makan dengan awak. Please….” Sudah mula keluar ayat-ayat ‘buaya’ dari mulut Hakimy.

“Sebab saya ke… sebab Encik Kimy tertidur tadi?” soal Jihan Raysha sinis.

Hakimy tarik sengih. Kantoi. 

“Jomlah. Bukan selalu pun saya rajin sangat nak ajak orang makan ni. Lagipun awak memang tak makan lagi kan?”

“Eh, Encik Kimy tahu mana pula?” 

Hakimy tayang gigi putihnya lagi yang tersusun rapi. Setahun sekali, dia memang buat rawatan putihkan gigi. Semua sebab Najmy membebel sebab dia ‘hantu kopi’ dan boleh menyebabkan giginya kekuningan. 

“Saya dengar tadi abang awak membebel.” Hakimy tersengih lagi. 

“Abang saya tu memang membebel mengalahkan neyneck. Perlu ke saya ikut Encik Kimy ni? Lagipun dah nak maghrib. Saya ni takde kereta.” Jihan Raysha beralasan.

“Kita sembahyang maghrib dulu kat hotel. Kebetulan saya memang ada janji nak makan dengan kawan saya tadi. Takdelah kita berdua je pergi makan. Jadi takkan ada orang gosip pasal kita kalau terserempak nanti. Pasal kereta pula, saya boleh hantar awak semula ke hotel ni. Lagipun tak jauh pun tempat kita nak makan tu. Saya pergi surau dulu. Dah nak azan rasanya. Jom!” 

Jihan Raysha terlopong.

“Tunggu apa lagi tu? Cepatlah kutip semua barang-barang awak. Nanti lepas makan, tak payah awak balik office balik. Saya pergi surau dulu. Nanti dah habis solat, saya tunggu luar surau je.” Hakimy terus melangkah keluar.

Jihan Raysha mendengus. Ish, ada juga bos macam ini ke? 





11 comments:

  1. salam..
    hmm..mkn bes la cte nie..
    n cam nk hbs je..
    huhuhuhu..
    xsbr nk 2nggu n3 br..
    gud luck ea..chaiyok2x!!

    ReplyDelete
  2. sedeynyer....
    sian isha,kimi,najmi...
    harap2 pas ni diorg dpt bsama...
    huhu...

    ReplyDelete
  3. wawa..sedihnye..sean isya,jimi n kimi..
    tp best gak..akhirnye dorang da tau da sape kmbar dorang..ehehe..mkin best ni..!

    -cheesecake-

    ReplyDelete
  4. nak lagi...erm sedehnye smpai buat saye nangis...isk isk...

    ReplyDelete
  5. waaaaaaa...dh nangis dh nih..huhuhu..sedih2..nak agy.. pls2

    ReplyDelete
  6. suka baca citer ni..x sabar nk tgu next n3..

    ReplyDelete
  7. asal sy sk bc cite ni bnyk kali??
    dari prolog smpai eps ni..
    ulang2..
    smbung lg heh...

    ReplyDelete
  8. sedihnya isha...

    ReplyDelete
  9. hihi...
    terima kacih..
    nnt sy akn try post en3 baru..

    ReplyDelete
  10. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    ReplyDelete

Back to Top