Cinta Semalam: Bab 25


“NEK, siapa ni?” soal Hakimy. Dadanya mengah. Najmy yang turut sama berlari, masih tidak mampu bersuara. Kedua-dua kembar seiras itu memandang neneknya yang nampak terkejut. Usia mereka sudah tujuh tahun. Semakin hari mereka semakin lasak dan lincah. 

“Apa tu ibu?” soal Datuk Abdullah Harris terus sebelum mulutnya terbuka sedikit apabila melihat album tebal yang dipegang oleh Puan Sri Tengku Zanariah. Rasanya dia sudah menyimpan dengan baik barang-barang lama tersebut supaya tidak dijumpai anak-anaknya. 

“Ibu masuk bilik dulu.” Lemah suara Puan Sri Tengku Zanariah dan terus berdiri. Album diserahkan kembali kepada Hakimy yang terpinga memandang Najmy. 

“Kenapa papa?” Najmy menyoal. 

“Mari sini,” suruh Datuk Abdullah Harris. Hakimy memakai baju berwarna merah. Najmy pula berwarna kuning. Kedua-duanya dengan corak yang sama, warna sahaja berbeza. Oleh sebab rupa mereka sukar dibezakan, jadi warna baju sahaja boleh membezakan mereka. Dia sendiri kadang-kadang tidak dapat membezakan anak sendiri. 

Segera kembar seiras itu menghampiri Datuk Abdullah Harris. Berkerut dahi mereka dan wajah bersalah kerana takut dimarahi kerana menceroboh bilik papa mereka tanpa kebenaran. Album gambar diserahkan kepada Datuk Abdullah Harris. Datuk Abdullah Harris tersenyum tawar menatap nama yang sudah lama tidak meniti pada bibirnya. 

JIHAN RAYSHA

Album ini terselindung seribu satu rahsia yang selama ini dirahsiakan daripada pengetahuan Hakimy dan Najmy. Mereka berdua dibesarkan tanpa mengetahui siapa mereka yang sebenarnya. Walaupun dia dan Ku Julia sudah berpisah, tetapi panggilan ‘mama’ masih melekat pada wanita itu. Tetapi Ku Julia sejak mereka berkahwin, langsung tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu. 

“Siti, tolong saya ambilkan kotak. Kimy, Jimy tolong pergi tunjukkan mana kamu berdua jumpa album ini,” arah Datuk Abdullah Harris. 

Puan Siti yang kebetulan keluar dari dapur membawa dulang air hanya mengangguk. Air itu dipesan Puan Sri Tengku Zanariah sebentar tadi. 

“Terima kasih, Siti. Hmm... tolong bawa air ni ke bilik Puan Sri. Ibu saya dah masuk bilik,” beritahu Datuk Abdullah Harris apabila Puan Siti kembali semula membawa kotak yang disuruhnya tadi. 

“Baju kami ke ni?” Teruja Hakimy melihat beberapa pasang baju-baju bayi pelbagai warna. 

“Ini baju-baju Kimy dan Jimy waktu bayi,” beritahu Datuk Abdullah Harris. Dia terbayang wajah Miasara ketika membelikan baju-baju ini untuk mereka bertiga. Sudah menjadi kemestian Hakimy akan memakai baju berwarna merah, Najmy berwarna kuning dan Jihan Raysha pula berwarna merah jambu. Senang sedikit untuk mereka mengenali mereka bertiga yang nampak seiras sewaktu kecil. 

“Warna pink ni?” pelik Najmy.

Datuk Abdullah Harris tersentak. Lama dia termenung. Baju itu diambil dan dicium lama. Berlinang air matanya. Sesungguhnya dia amat merindukan Miasara dan kedua-dua anaknya yang terus hilang tanpa berita selepas meninggalkan Malaysia. Dunia ini besar. Dia buntu untuk mencari mereka. Pesanan terakhir Miasara masih disimpan kukuh. Dia tekad akan tidak berputus asa. 

“Baju siapa ni?” Hakimy menyoal pula. Dia terus mencuba memakai baju Melayu berwarna hijau cair yang sudah bertahun-tahun tersimpan. 

Datuk Abdullah Harris tersenyum tawar.

“Muat papa. Kenapa papa tak bagi kami?” soal Najmy yang turut mencuba memakai baju Melayu tersebut selepas Hakimy mencabutnya. 

“Baju ni mummy yang jahit,” beritahu Datuk Abdullah Harris. Dia teringat bagaimana susahnya Miasara belajar menjahit. Hanya sepasang baju Melayu mampu dibuat untuk Daniel. Tetapi Daniel sendiri tidak sempat memakainya sewaktu hari raya. 

“Simpan balik baju-baju ni sayang. Papa nak cerita sikit.” 

Hakimy dan Najmy serentak mengangguk. Kata-kata papanya yang berbau arahan dipatuhi. Mereka dididik sejak kecil supaya mematuhi segala arahan papa dan nenek mereka.

“Apa papa nak cerita?” tanya Hakimy. Dia memandang Datuk Abdullah Harris yang mengeluarkan beberapa buah album dari kotak coklat itu. Selama ini dia tidak pernah melihat album-album itu.

“Mummy dan papa berkahwin sewaktu kami dalam tahun akhir pengajian. Perkahwinan kami tak disukai nenek.” Satu persatu ayat itu terluah. Risau juga Hakimy dan Najmy tidak memahami. 

Hakimy dan Najmy berpandangan. Mummy?

“Mummy itulah ibu yang melahirkan Kimy dan Jimy. Mengandungkan kamu berdua dalam rahimnya. Susah payah mummy… pengorbanan mummy… hanya Allah sahaja yang mampu balas….” Berlinang air mata Datuk Abdullah Harris. Sedaya upaya dia menahan diri dari terus menangis. Dia tidak mahu nampak lemah di depan anak-anaknya. 

Berkerut dahi Hakimy dan Najmy. Mata mereka tertancap pada sekeping gambar seorang wanita dengan rambut berwarna perang muda kekuningan yang tersenyum riang mendukung seorang kanak-kanak lelaki. 

“Mummy cantik sangat!” Puji kedua mereka hampir serentak. 

“Macam orang putih,” sambung Hakimy. Sejak kecil dia dan Najmy selalu dibawa melancong ke benua Eropah.

Datuk Abdullah Harris tersenyum. 

“Mestilah. Anak-anak papa ni kan kacukan juga.”

“Siapa mama?” soal Hakimy. 

“Mama tu… ibu tiri kamu berdua. Papa kahwin dengan mama lepas berpisah dengan mummy.” Payah sekali Datuk Abdullah Harris mahu mengeluarkan kenyataan itu. 

“Sebab apa nenek tak suka papa kahwin dengan mummy? Sebab itulah papa kena kahwin dengan mama?” soal Najmy pula. 

“Sebab mummy bukan orang Melayu. Mummy orang Amerika,” jawab Datuk Abdullah Harris. Tidak tergamak dia mahu memberitahu nenek mereka sebenarnya membenci perkahwinan itu kerana mereka berkahwin tanpa restu. Sebenarnya salahnya juga kerana merahsiakan perkahwinan mereka itu sehingga kelahiran Daniel juga dirahsiakan. 

“Tapi papa cakap kita tak boleh pandang rendah dengan orang lain. Tak kira mereka miskin atau kaya. Tak kira mereka putih atau hitam. Mereka tetap manusia seperti kita,” ujar Hakimy. 

Datuk Abdullah Harris tersenyum. Bangga mendengar kepetahan Hakimy berbicara. Kata-kata itu sering diingatkan pada Hakimy dan Najmy. Dia sedar Hakimy dan Najmy dibesarkan dalam limpahan kekayaan. Segala kemahuan mereka berdua akan dipenuhi oleh semua orang. Cuma mungkin mereka berdua miskin dengan kasih sayang. 

“Papa tahu sayang,” balas Datuk Abdullah Harris. 

“Papa sambung lagi cerita,” suruh Hakimy apabila melihat papanya termenung pula. 

“Setahun selepas itu Daniel Rayzal lahir...” sambung Datuk Abdullah Harris.

Daniel lahir di Amerika sewaktu mereka masih belajar. Apabila Daniel berusia empat tahun, mereka kembali ke Malaysia. Walaupun cucu sulung, ibunya langsung tidak pernah memegang atau menyentuh anaknya itu. 

“Siapa Daniel Rayzal?” Berkerut dahi Hakimy apabila mendengar nama itu. 

“Abang sulung Kimy dan Jimy.”

“Kami ada abang?” Bulat mata Hakimy dan Najmy. Mereka berdua jelas nampak terkejut.

Datuk Abdullah Harris mengangguk.

“Abang Ejay,” ujar Datuk Abdullah Harris. 

“Mana Abang Ejay?” 

“Sabarlah. Biar papa cerita satu persatu. Bila Abang Ejay tujuh tahun. Dia dapat adik-adik,” sambung Datuk Abdullah Harris terus memeluk kedua-dua anaknya. 

“Kami ke?” Teruja sedikit Najmy. Mata bulatnya itu semakin membulat. Comel. 

Datuk Abdullah Harris mengangguk.

“Hakimy Rayyan, Najmy Rayyan dan Jihan Raysha,” beritahu Datuk Abdullah Harris. Dia menanti reaksi anak-anaknya.

“Siapa pula Jihan?” Hakimy dan Najmy menyoal hampir serentak. Wajah masing-masing sudah nampak bingung. 

“Sebenarnya Kimy dan Jimy mempunyai seorang lagi adik perempuan,” ujar Datuk Abdullah Harris.

“Berapa umur dia?” soal Hakimy. Dia nampak teruja. Abang dan adik perempuan? Kenapa dia tidak pernah tahu. 

Datuk Abdullah Harris tersenyum. Anak-anaknya tidak dapat menangkap kata-katanya.

“Tujuh tahun.”

“Tujuh? Kami pun tujuh tahun. Kenapa dia adik Kimy pula?” 

“Pernah dengar kembar tiga?” 

Pasangan kembar itu menggeleng serentak.

“Tengok ni.” Album gambar yang diletakkan di atas meja tadi diambil. Muka surat pertama dibuka. 

“Kami ke ni?” Najmy menyoal. Dia tidak pernah melihat gambar sewaktu dia bayi. 

“Budak botak ni ke Jihan?” Hakimy menyoal.

Datuk Abdullah Harris terpinga sekejap.

“Budak gemuk ni ke?” soal Najmy pula. 

Terburai tawa Datuk Abdullah Harris. Memang dulu Jihan Raysha yang paling menyerlah kerana dia berbeza daripada abang-abang kembarnya. Hakimy dan Najmy dilahirkan dengan rambut ikal yang lebat dan berwarna perang gelap. Mata mereka berdua juga berwarna kelabu, sama seperti Daniel. Berbeza dengan Jihan Raysha, walaupun mereka bertiga nampak seiras kerana mengikut wajah Miasara, tetapi Jihan Raysha paling berbeza. Waktu dia dan Miasara berpisah, mereka bertiga baru berusia lapan bulan. Dia tidak pasti warna rambut Jihan Raysha, mungkin sama seperti Miasara. Namun yang pasti, Jihan Raysha mewarisi mata biru Miasara yang galak bersinar sejak bayi lagi.

“Dialah adik kamu berdua. Jihan adik kepada Kimy dan Jimy. Selepas Kimy dan Jimy keluar dari perut mummy, barulah Jihan lahir,” beritahu Datuk Abdullah Harris satu persatu dengan harapan anak-anaknya memahami. Kalau ikut kata orang-orang tua, kembar yang lahir paling lewat adalah yang sulung kerana beralah dan membiarkan kembarnya keluar dahulu. 

“Kenapa kami berpisah?” soal Hakimy dengan wajah ingin tahu. 

“Takdir Allah sayang.”

“Allah tak mahu kami bersama?” soal Najmy.

Cepat Datuk Abdullah Harris menggeleng.

“Bukan itu maksud papa. Mummy dan papa bercerai.”

“Sebab papa kena kahwin dengan mama?” sampuk Hakimy.

Datuk Abdullah Harris terkesima. Terus terbayang wajah Ku Julia, bekas isteri keduanya. 

“Kami tak suka mama. Dia jahat. Dia selalu pukul kami,” sambung Najmy.

“Tak baik sayang.” Semakin kuat pelukan pada anak- anaknya. Sekurang-kurang semua itu sudah berlalu apabila dia dan Ku Julia bercerai setahun yang lalu. Bukan dia sahaja yang tidak tahan dengan kerenah Ku Julia, Puan Sri Tengku Zanariah sendiri sudah jemu melayan Ku Julia. Dia bersyukur kerana sepanjang tujuh tahun dia berkahwin dengan Ku Julia, mereka tidak dikurniakan anak. Bukan dia tidak mengharapkan kurniaan dari Allah, cuma dia risau anak-anaknya kehilangan terus kasih sayang dari ibunya yang masih tidak dapat menerima sepenuhnya kewujudan Hakimy dan Najmy. 

“Papa sayang mummy?” 

Datuk Abdullah Harris mengangguk laju. Cintanya tidak pernah berubah walaupun berkahwin dengan Ku Julia. 

“Kenapa papa bercerai? Papa kata papa bercerai dengan mama sebab papa tak sayangkan mama. Tapi mummy?” Najmy pelik.

“Budak-budak takkan mengerti apa yang papa alami. Mungkin bila kamu berdua dah besar, kamu akan faham.” 

“Kita cari mummy, Abang Ejay dan Jihan nak?” cadang Hakimy.

Datuk Abdullah Harris tersenyum. Itulah yang dibuatnya sekarang.





7 comments:

  1. xsbar nk taw ending nye...=)

    ReplyDelete
  2. dah lama tunggu entry kali ni. thank you! cepatlah update next entry ye :)

    ReplyDelete
  3. nmpknya process memikat isya akan bermula... x sabar rasanya......

    ReplyDelete
  4. more pleaseeeee....^^

    ReplyDelete

Back to Top