Cerpen : Hanya 10 minit

Ditulis pada : 23 November 2012




FARIS HIJAZI pandang lama wajah Fatima Khadija. Siapa tidak akan tertarik bila melihat wajah kacukan Arab Melayu yang diwarisi oleh Khadija. Mata bulat dengan hidung mancung. Walaupun baru sebulan dia menjawat jawatan Pengurus di syarikat ayahnya, perwatakan selamba Khadija betul- betul menarik perhatiannya. Kebetulan Khadija merupakan setiausaha ayahnya. Hampir setiap hari dia akan sengaja berjumpa ayahnya hanya untuk melihat Khadija. Gadis yang ceria dan murah dengan senyuman. 

“Encik Faris panggil saya?”

Faris Hijazi mengangguk laju. Dia resah bila mendapat tahu berita dari ayahnya tadi.

“Awak nak berhenti dah Khad?” 

Khadija mengangguk laju. Cepat betul berita peletakan jawatannya tersebar. 

“Kenapa?”

“Giliran saya pula tolong papa saya.”

“Tolong papa?”

“Papa saya ada syarikat sendiri. Tapi tidak sebesar syarikat ayah Encik Faris. Saya anak tunggal papa saya. Jadi giliran saya pula tolong papa saya.”

“Saya tak bersetuju.”

“Eh, Dato’ Farid sendiri dah bersetuju. Kenapa Encik Faris pula tak bersetuju?” bertaut kening lebat Khadija yang nampak tidak berpuas hati.

Faris Hijazi tarik nafas. Pelbagai cerita didengar dari mulut ke mulut mengenai Khadija. Gadis itu amat cantik. Tidak hairanlah ramai orang yang jatuh hati dan ingat memikatnya. Dia ada juga mendengar yang Khadija suka menghabiskan masa di kelab malam. Gaya hidup Khadija yang tidak sihat itu sukar diterima akalnya. Gadis di hadapannya kini amat berbeza. Walaupun tidak memakai tudung, tapi Khadija hampir setiap hari datang ke pejabat dengan memakai baju kurung. 

“Saya tak akan lepaskan awak pergi. Saya sayangkan awak.”

“Hah?”

“Encik Faris merepek apa ni? Sejak bila pula Encik Faris sayangkan saya?”

Faris Hijazi garu kepala yang tak gatal. Mukanya merah.

“Sejak kali pertama saya berjumpa dengan awak.”

“Sebulan yang lepas?”

Faris Hijazi mengangguk.

“Bagaimana pula dengan dia?” tunjuk Khadija pada cincin perak yang tersarung di jari manis lelaki itu. Dia sudah berumur 25 tahun. Dia sudah kenal dengan banyak lelaki. Bila cincin sudah tersarung di manis, maknanya lelaki ini sudah berpunya. 

“Mana awak tahu?”

Khadija tarik sengih bila melihat Faris Hijazi kelam kabut ingin mencabut cincin tapi gagal.

“Encik Faris dan dia sudah berapa lama?”

Faris Hijazi tarik nafas. Tak guna lagi dia berbohong pada Khadija. Hatinya betul- betul ikhlas mencintai gadis itu. 

“Empat tahun.”

“Lama tu. Sekarang ni?”

“Saya dah dia masih bersama. Kami kenal sewaktu kami sambung belajar di UK. Tapi sekarang dia berada di Serawak. Dia cikgu. Dah setahun kami tak berjumpa.”

“Kalau Encik Faris masih bersama dia, kenapa mahu bersama saya?”

“Saya sayangkan awak, Khad.”

“Dia?”

Faris Hijazi tarik nafas. Dia sayangkan juga kekasihnya. Walaupun jarang berjumpa tapi kekasihnya tanpa jemu akan menghubunginya setiap hari walaupun kadang- kadang dia malas lagi melayan kekasihnya. Bila dia penat, darahnya cepat sungguh mendidih. Dia harap kekasihnya faham. 

“Kalau saya terima Encik Faris. Ini bermakna saya akan menyebabkan kekasih Encik Faris sekarang menangis? Terluka?”

“Bukan awak sebabkan dia menangis, terluka. Saya.”

“Encik Faris… kalau bukan sebab saya. Encik Faris tak akan lukakan dia. Saya tak mahu lagi menyebabkan seorang perempuan menangis disebabkan saya. Cinta tak akan terjalin kalau hanya sebelah pihak sahaja. Saya dah malas hendak mementingkan diri sendiri lagi demi kebahagian saya. Dunia berputar mengikut paksinya. Kadang- kadang manusia juga tanpa sedar ikut berputar. Hari ini saya bahagia, esok lusa siapa tahu kan?”

“Saya sayangkan awak, Khad.”

“Sebab apa Encik Faris sayangkan saya?”

“Awak cantik. Manis. Ceria selalu. Saya suka orang begini.”

“Kekasih awak? Rasanya dia juga ada ciri- ciri yang diberitahu Encik Faris tadi kan?”

Faris Hijazi terdiam.

“Encik Faris. Saya langsung tak ada niat nak nasihatkan Encik Faris. Tapi saya nak share sesuatu dengan Encik Faris. Kita ada ibu bapa. Walaupun ibu bapa kita selalu kongkong kita. Selalu nasihati kita. Selalu ambil tahu hal kita sampaikan satu tahap kita naik bosan. Kenapa kita tak boleh ada kebebasan sendiri seperti yang diberikan oleh ibu bapa orang lain?”

“Maksudnya?”

“Sabar. Saya tak habis lagi bercerita.”

Faris Hijazi tersenyum tawar.

“Saya bukanlah baik sangat sampai saya boleh nasihatkan Encik Faris. Tapi walaupun setinggi mana Encik Faris bosan dengan ibu bapa Encik Faris, Encik Faris tak pernah terniat nak tinggalkan mereka kan?”

Faris Hijazi mengangguk laju.

“Sebab apa?”

“Saya ada disebabkan mereka. Mereka dah banyak berkorban demi saya.”

“Sama juga dengan kekasih Encik Faris tadi. Walaupun ibu bapa lagi tinggi kedudukannya dari kekasih Encik Faris tu. Tapi Encik Faris jangan senang sahaja tak hargai saat dia dan Encik Faris mengharungi susah senang bersama- sama. Dia merupakan teman baik Encik Faris kan? Dia dah bersama dengan Encik Faris hampir empat tahun. Bohong kalau Encik Faris tak terniat nak memperisterikan dia kan?”

Faris Hijazi mengeluh. Mestilah dia pernah terfikir mahu memperisterikan kekasihnya.

“Perempuan ramai dalam dunia ni. Ibu bapa pun ramai dalam dunia ni. Tapi dalam berjuta manusia dalam dunia ni. Ibu bapa Encik Faris dijadikan untuk menjadi ibu bapa Encik Faris. Dalam berjuta perempuan dalam dunia ni, Encik Faris pilih dia untuk menjadi kekasih Encik Faris. Kenapa sekarang Encik Faris berubah hati? Jodoh memang tak perlu dicari. Dia akan datang sendiri kan? Kalau jodoh Encik Faris bukan dengan dia, mungkin orang lain. Mungkin saya. Tapi sebenarnya Encik Faris lupa sesuatu.”

“Apa dia?”

“Bersyukur.”

“Hah?”

“Bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan. Kenapa Encik Faris mengambil masa empat tahun untuk bersama? Kenapa selepas tahu dia adalah wanita yang dijadikan untuk Encik Faris, Encik Faris tak terus meminangnya?”

“Cakap awak senang Khad. Awak pun mesti pernah jadi seperti saya.”

“Saya pernah menjadi seperti Encik Faris dan saya dah bosan dengan masa lampau saya. Mungkin ALLAH dah bukakan pintu hati saya. Walaupun mereka dahulu datang memberi kebahagian dan perpisahan dengan mereka mengundang air mata. Tapi biarlah menjadi pengajaran dalam hidup saya. Saya tak mahu Encik Faris ulangi perbuatan saya ni. Sekarang Encik Faris kata sayang saya. Mungkin setahun lepas ni, Encik Faris jumpa orang lain. Kata- kata sama diucapkan. Kemudian putaran itu terus berpusing. Tapi sampai bila?” 

Faris Hijazi terkedu. Wajah putih bersih Khadija dipandang lama. Astagfirullahaladzim..

***


AMNA berjalan laju menghampiri suaminya. Tubuh suaminya dipukul perlahan. Patutlah sejak tadi dia menjerit dari dapur, langsung suaminya tak menyahut. Tidur rupanya. Ini bukan kita tengok TV, tapi TV tengok dia. Amna geleng kepala. 

“Apa yang?” 

“Tolong Amna buatkan susu untuk Dija.” 

"Abang mengantuk ni.”

“Ala bang. Amna nak angkat kain. Nak hujan tu. Amna tahu abang letih kerja sepanjang hari. Amna pun letih. Budak- budak kat sekolah Amna tu, nakal sungguh. Tolong Amna ye? Dija dah meraung tu,” sengaja Amna membuat wajah simpati.

Faris Hijazi mengeluh dan tersenyum. Pipi isterinya dicuit. Dia dapat mendengar tangisan anaknya yang semakin kuat. 

“Cepat bang!” Paha suaminya ditepuk kuat sebelum dia berlari keluar. Hujan sudah renyai- renyai turun. 

Tubuh montel Fatima Khadija diangkat. Segera dia menyumbat botol susu di dalam mulut anaknya. Terkelip- kelip Fatima Khadija memandangnya. Air mata yang masih berbekas diusap perlahan. Dia tersenyum. Pipi Fatima Khadija dicium pula. Wangi. 

Faris Hijazi tarik nafas. Dia melabuhkan punggung di atas sofa yang berada di dalam bilik anaknya. Usia Fatima Khadija hampir tujuh bulan. Maknanya hampir dua tahun peristiwa itu berlalu. Dia tidak pernah menceritakan pada sesiapa peristiwa itu. Walaupun hanya 10 minit, tapi ternyata mengubah hidupnya terus. Esoknya dia terus menelefon Amna dan menyatakan hasrat untuk masuk meminang gadis itu. Dia risau jika ada kumbang lain yang tertarik dengan kekasihnya pula. Sengaja dia meletakkan nama Fatima Khadija. Ternyata dalam sejarah Islam sendiri menyatakan dua insan ini iaitu Siti Fatimah dan Siti Khadijah yang harus dijadikan contoh teladan. Dia berdoa supaya anaknya terus berada di landasan yang betul seperti seindah namanya juga. 

“Bersyukur?”

Faris tersenyum. Dia bersyukur kerana dipertemukan dengan Khadija. Walaupun bukan sepanjang hidupnya tapi pertemuan singkat itu menyedarkan hidupnya yang sudah lama leka dengan dunia. Manusia kini terlalu mengejar dunia sehingga lupa bahawa dunia hanyalah tempat persinggahan sahaja. Kenapa kita bersusah payah mengejar dunia sedangkan dunia tidak pernah lari?

***


FATIMA KHADIJA leka memandang bayi yang baru sehari mengenal dunia. Dalam berjuta manusia di dalam dunia ini, dia ditakdirkan menjadi ibu pada bayi ini. Kata- kata yang pernah diucapkan dulu terngiang- ngiang kembali. Wajah mulus itu dipandang lama tanpa jemu. Kedua ibu bapanya sudah pulang. Siapa tidak teruja mahu melihat cucu pertama kan? 

Wajah suaminya dipandang lama. Penuh khusyuk suaminya bersembahyang. Dia tahu suaminya bukan sahaja sembahyang zuhur tapi turut membuat sujud syukur di atas kelahiran baru dalam keluarga kecil mereka. 25 tahun dia hidup bebas tanpa pengawalan dari ibu bapanya yang sibuk bekerja. Dia mula mengenal cinta sewaktu berusia 15 tahun. Lelaki pertama hadir dalam hidupnya tapi dikecewakan bila dia jatuh hati pada lelaki lain. Mungkin dia tak sedar dia menyakiti lelaki itu bila tiba gilirannya pula disakiti. Lelaki pertama yang hadir dalam hidupnya bukanlah beragama Islam dan juga bukan berketurunan Melayu mahupun Arab. Tapi gaya hidup bebas suatu ketika dahulu menjadikan perkara itu bukan halangan. 

“Nak beri nama apa ni?” 

“Hah?”

“Jauh termenung?” soal suaminya tersenyum panjang. Fasih sungguh suaminya bertutur dalam bahasa Arab walaupun hanya setahun lebih tinggal di bumi Arab. Ya. Dia memang dilahirkan di Tanah Arab, kemudian dibesarkan di UK, dan dihantar ke Malaysia untuk dijaga oleh datuknya sewaktu dia berumur 17 tahun. Kemudian ibu bapanya kembali semula ke Tanah Arab dan dia mengikutnya juga. Dia bukan sengaja mahu berhenti kerja walaupun dia amat menyukai kerjanya itu. Tapi dia punya tanggungjawab pada keluarganya. Di situ dia dipertemukan semula dengan cinta pertamanya. Pelik? Lelaki itu tiba- tiba datang mencari ayahnya. Bukan mahu melamarnya tapi mahu mempelajari Islam dengan lebih mendalam. Bila beberapa bulan di Tanah Arab, dia disunting tanpa pengetahuan dirinya sendiri. Dia tahu suaminya belajar dengan ayahnya, tapi tidak pernah sekali lelaki itu datang menemuinya. Mungkin betul. Jodoh tidak perlu dicari. Dia hanya perlu melengkapkan dirinya sebaiknya. Dia dilahirkan sebagai Islam tapi lupa menjadi Islam yang sejati. 

“Termenung lagi?” suara garau suaminya menyentak lamunannya. Pantas dia tersenyum panjang bila tubuh kecil anaknya yang masih merah didukung suaminya. Suaminya perlahan- lahan mengambil tempat di sisinya. Rambut lebat anaknya diusap lembut. Wajah anaknya saling tidak tumpah seperti suaminya. 

“Kita nak beri nama apa ya?

“Khadija tak terfikir lagi.”

“Abang ada fikirkan tadi,” tersenyum Khadija bila suaminya sudah biasa membahasakan dirinya ‘abang’. Ayahnya sendiri menyuruh suaminya membahasakan dirinya begitu. Nampaknya ayah mahu gaya Melayu yang sebati dalam diri ayahnya diperturunkan kepada menantunya walaupun menantunya itu bukan orang Melayu. 

“Apa bang?”

“Adam.” 

“Adam?”

“Nabi Adam A.S dulu merupakan lelaki pertama yang dicipta ALLAH. Kini biarlah Adam kita merupakan keturunan pertama keluarga Henderson yang dilahirkan sebagai Islam. Semoga Adam kita ini akan menyinari lagi hidup kita.” 

“Maksudnya nama anak kita adalah Adam?”

Suaminya mengangguk.

“Adam Faris Henderson bin Abdullah Henderson”

“Faris?” 

Faris Hijazi merupakan lelaki yang menyedarkan dia. Walaupun kata- kata diucapkan olehnya tapi langsung tidak terlintas di hatinya pada ketika itu untuk berkata sedemikian. 10 minit yang dihabiskan bersama Faris Hijazi itu menyedarkan dia. Dia selama ini lari dari tanggungjawabnya sebagai orang Muslimah. Dia terlalu alpa dengan keseronokan dunia. Dia tidak pasti kenapa dirinya berubah secara tiba- tiba. Tapi dia sedar nasihat yang diberikan kepada Faris Hijazi dahulu menyedarkan dirinya sendiri makna bersyukur itu. Alhamdulillah. 

terima kasih kerana baca dan komen (: 





10 comments:

Back to Top