Cinta Semalam: Bab 38


Jihan Raysha melepas pandang pada Iqram Zafriel. Mukanya sudah merah padam. Boleh pula dia disangka isteri Iqram Zafriel? 

“Esha betul-betul nak ke?”

Pantas Jihan Raysha mengangguk. Muka penuh dengan harapan. 

“Selain hamster nak beli apa lagi?”

“Yes!” Hampir sahaja Jihan Raysha ingin memeluk Iqram Zafriel apabila mendengar soalan lelaki itu. Itu menandakan Iqram Zafriel bersetuju dengan permintaannya. 

“Sangkar. Habuk kayu dan makanan,” jawab pemilik kedai dengan senyuman mekar. Harga hamster bukannya mahal seperti harga arnab ataupun kucing. Tetapi barang-barang lain yang agak mahal seperti sangkar hamster. 

“Selalu saya tengok hamster main dengan mainan. Ada jual juga?” soal Iqram Zafriel yang turut nampak teruja melihat rumah-rumah hamster yang comel dan berwarna-warni. Rasanya anak-anak saudara itu pasti sukakan hamster juga. 

Jihan Raysha sudah tersengih-sengih melihat Iqram Zafriel pula yang terlebih teruja. 

“Ada. Sini,” tunjuk pemilik kedai tersebut.

“Esha pilihlah,” suruh Iqram Zafriel yang nampak sedikit kalut apabila merasakan poket seluarnya bergetar.

“Helo. Kenapa bro?” soalnya terus. Dia mencuit bahu Jihan Raysha untuk menunjukkan siapa pemanggilnya. Jihan Raysha hanya tersenyum dan tumpuannya kembali pada rumah-rumah hamster. Rambang mata untuk dia memilih. 

“Dah?” soal Iqram Zafriel menghampiri Jihan Raysha di kaunter. Dia mengangkat rumah hamster sederhana besar yang dipilih Jihan Raysha . 

“Comel tak?”

Iqram Zafriel mengangguk laju. 

“Tuan rumah dah pilih?”

Berkerut dahi Jihan Raysha yang tidak memahami soalan Iqram Zafriel.

“Kalau dah beli rumah. Mestilah ada penghuninya,” balas Iqram Zafriel.

“Oh, lupa!” Tersengih Jihan Raysha malu. Boleh pula lupa tuan rumah! 

Pemilik kedai sudah tersenyum.

“Esha nak yang paling gemuk.”

“Berapa ekor?” soal Iqram Zafriel.

“Ish, Abang Iqram ni. Sepasang cukuplah.”

Iqram Zafriel yang nampak bingung tapi dia hanya mengangguk sahaja. Rumah besar macam ni tapi pilih dua ekor je? Sikit sangat tu. Untung hamster ni. Pemilik kedai memilih dua ekor hamster yang agak gemuk dan terus diletakkan dalam bekas kecil.

“Mana nak tahu jantan, betina ni?” soal Iqram Zafriel meneliti kedua-dua hamster. Sama je. Langsung tiada beza. Kalau kucing tu, memang jelas kalau nak tahu jantan betina. 

“Melalui punggung.”

“Punggung?” Berkerut dahi Iqram Zafriel.

“Sini.” Terus sahaja pemilik kedai menunjukkan pada Iqram Zafriel perbezaan kecil yang membezakan antara jantan dan betina. Iqram Zafriel hanya mengangguk. Dia tidak berani pegang. Geli! Tengok pun jadilah. 

“Dia orang ni mandi juga ke?” Iqram Zafriel teliti sabun-sabun beraneka jenis di atas rak. Tetapi tiada pula sabun untuk hamster. Takkan tak mandi kot?

“Mandi. Tapi biasanya guna pasir hamster ni je. Ada macam-macam bau. Nak bau apa? Oren? Strawberi?” Pemilik kedai menunjukkan pula bekas yang berisi pasir. 

“Nak mandi macam mana ni?” Berkerut dahi Iqram Zafriel. 

“Letak je dalam bekas. Golek-golek. Mandilah tu. Tak payah beria sangat mandikan macam kucing.” Tersengih pemilik kedai. Soalan itu biasa sangat dia dengar. 

Selepas membayar semuanya mereka berjalan seiringan menghala menghampiri kereta. Hampir satu jam rupanya mereka di dalam kedai haiwan peliharaan tadi. Maghrib juga semakin hampir.

“Kita singgah solat di masjid. Lepas solat kita makan dan nanti Abang Iqram hantar Esha balik. Esha nak singgah mana-mana dulu tak?”

Jihan Raysha menggeleng. Dia nampak begitu seronok melihat dua ekor hamster yang berada di dalam bekas lut sinar di atas tangannya. Iqram Zafriel hanya tersenyum.

“Siapa nama ni?”

Jihan Raysha angkat bahu. Dia masih tidak dapat memikirkan nama yang sesuai dalam masa terdekat. Berkerut-kerut dahi seperti nak memilih nama anak sendiri! 

“Oleh sebab, Abang Iqram beria sangat nak bayar semuanya tadi. Biar Abang Iqram pilih nama anak-anak Esha ni. Okay tak?” 

“Eh, anak-anak Esha seorang je ke? Anak-anak kita la,” ucap Iqram Zafriel.

Jihan Raysha melepas pandang Iqram Zafriel. Nak kongsi juga? Tadi kata tak suka. 

“Okay. Anak-anak kita.”

Iqram Zafriel ketawa.

“Kita tak kahwin lagi. Dah ada anak dua ekor anak. Hebat sungguh kan? Berbulu pula tu,” ucap Iqram Zafriel menyambung ketawanya.

Jihan Raysha tersengih sahaja. 

“Abang Iqram nak bagi nama apa ni?”

“Selepas dihitung dan di congak. Abang Iqram cadangkan nama mereka, Edward dan Bella,” beritahu Iqram Zafriel. Nama itu tiba-tiba terlintas dalam fikirannya.

“Aik, Abang Iqram tengok Twilight ke?” Jihan Raysha tayang muka takjub dan tidak percaya. Ingatkan dia seorang sahaja yang pernah ada sejarah jatuh cinta dengan Edward Cullen dalam cerita Twilight. Tetapi sebenarnya dia lebih jatuh cinta pada Edward Cullen dari dalam novel. Terasa besar perbezaan apabila tengok cerita Twilight. 

“Mestilah!” Iqram Zafriel buat muka serius.

“Seriously?” Sekali lagi soalan itu terlontar. Setahu dia memang jarang lelaki yang minat cerita Twilight. Dash dan Daniel juga lebih daripada mengutuk daripada memuji. 

Iqram Zafriel tarik sengih.

“Nad dengan Nafeesa yang gila Twilight. Kadang-kadang tertengok juga. Kalau kat Astro tu… berpuluh kali tayang. Sampai yang tak minat pun boleh ingat scene dalam tu.” Tergeleng Iqram Zafriel. 

“Astro?” 

“Macam parabola juga. Tapi kat Malaysia ni... hanya Astro dibenarkan. Kalau Esha tengok TV kat rumah Abang Iqram tu, Isha perasanlah ada Astro.” 

“Tak kisah lah. Janji Esha memang suka sangat nama Edward dan Bella tu. Hai Edward, Bella! I’m your mummy and he is your daddy.” Jihan Raysha menjengkit sedikit dan peluk bahu Iqram Zafriel. 

“Eh!” Iqram Zafriel tersentak.

“Kenapa?” 

Iqram Zafriel menggeleng. Dia pula yang terkedu apabila dipeluk. Muka terasa hangat! 

“Sorry! Esha terlebih excited pula.” Bahu Iqram Zafriel dilepaskan. Dia meneruskan langkah ke kereta Honda Civic Type R milik Iqram Zafriel. Hatinya girang. Langsung dia tidak sedar yang Iqram Zafriel sudah berhenti melangkah. 

Iqram Zafriel pegang dada. Kenapa pula ni macam baru lepas joging satu taman? Pertama kali dipeluk perempuan walaupun hanya pada bahu? Dia sedar Jihan Raysha dibesarkan dalam budaya yang berbeza. Jauh dalam sudut hatinya, dia senang dengan tingkah Jihan Raysha. Tetapi dia tidak mahu pula Jihan Raysha sesuka hati peluk lelaki lain. Tidak boleh dibiarkan ni! 

“Daddy Iqram!” Laung Jihan Raysha. Muka berkerut-kerut.

Iqram Zafriel terkedu. Adoi… perasaan apa ni yang tiba-tiba menular dalam hati ni?





5 comments:

  1. habislaa... iq dah ada pesaing baru...
    hehehe

    mesti nnt iq jeles sentiasa...hahaha

    ReplyDelete
  2. oh my.. abis lah iqram.. psaing hbat 2...mkin mnarik...iman saya suka cite nie.. arap iman jgn biar cite nie tperap lama sgt yek..

    ReplyDelete
  3. dua-dua pun jeles nanti..hehehe..iq ngn aidan, isha ngn harlina..hehehe..mkn best n gempak cte nie..hope soon it can be published..good job iman..chaiyok3x!!

    ReplyDelete
  4. wah...lepas nie ada pesaing la iq..
    best2...sambung lagi yer..tak sabar nak tau sambngannya..

    ReplyDelete
  5. seriously best !! terungkap kisah - kisah lama pulak , so nice . hrap sgt cpat di smbung ya kak ^_^

    ReplyDelete

Back to Top