Cinta Semalam: Prolog


12 Mac

“I ceraikan you dengan talak satu….” 

Hujan semakin lebat. Abdullah Harris beristighfar beberapa kali. Dia tidak sangka jambatan kasih yang dibina hampir lapan tahun runtuh jua. Dia akhirnya mengucapkan sesuatu yang halal di sisi Allah, tetapi paling dibenci Allah. Ya, dia juga benci dirinya sendiri. Dia benci kerana dirinya boleh terperangkap dalam perangkap yang dibuat oleh ibunya sendiri. Dia tidak sangka ibunya sanggup mengaibkan anak sendiri semata-mata ingin mendapatkan apa yang dikehendaki.

Tetapi dia tidak sanggup membenci ibunya. Sesungguhnya syurga di bawah telapak kaki ibu. Ibunya sanggup meruntuhkan rumah tangga anak kandungnya sendiri kerana perasaan benci Miasara O’Neil. Semua ini disebabkan dia berkahwin dengan Miasara di Amerika dulu tanpa persetujuan ibunya. 

“Aku nak kau kahwin dengan Ku Julia bulan depan.” Ucapan Puan Sri Tengku Zanariah bagaikan petir. 

Abdullah Harris terjelepok pula. Ya Allah dugaan apakah ini? Bagaimana dia mampu untuk mencintai Ku Julia sedangkan hatinya hanya ada pada Miasara. Gadis yatim piatu yang berasal dari Amerika Syarikat. Dia yang membawa Miasara ke Malaysia dengan harapan mahu memberikan seribu kebahagiaan kepada wanita yang amat dicintainya itu. Malah selepas mereka berkahwin, Miasara terus dibuang keluarga kerana menukar agama. 

Abdullah Harris merenung langkah ibunya. Hatinya berdoa semoga Miasara mampu memaafkannya. Dia tidak sangka dia sanggup melepaskan Miasara. Hatinya bagai dirobek apabila melihat Miasara menitiskan air mata. Miasara langsung tidak bersuara apabila dia melafazkan cerai di hadapan Ku Julia dan ibunya. Hanya sebaris ayat sahaja disebut Miasara yang akan diingati sampai mati. 

Ku Julia dengan bangga memeluk tubuh. Dia yang sepatutnya dikahwinkan dengan Abdullah Harris. Tetapi, apabila lelaki itu ke Amerika untuk menyambung pelajaran, setelah empat tahun, lelaki itu balik membawa Miasara dan seorang anak kecil. Puan Sri Tengku Zanariah yang paling mengamuk dan terus menerus membenci Miasara walaupun pelbagai cara dilakukan Miasara untuk menarik hati ibu mentuanya itu. Typical story… tapi itulah yang berlaku. Abdullah Harris dianggap menconteng arang dalam keluarga terhormat mereka! 

“Siti, kau kutip semua baju-baju dia!” Lantang suara Puan Sri Tengku Zanariah. 

Abdullah Harris pejam mata. Dia umpama orang bodoh. Sanggup dia melihat isterinya dihina sebegitu rupa? Tangisan dan laungan anak-anak kembarnya menyentak lamunannya. Salah seorang daripada anaknya sudah diambil oleh Miasara. Memang itu perjanjian ibunya dan Miasara. Miasara boleh menjaga dua orang anaknya, manakala dia menjaga dua orang. Dia tidak sanggup melihat mereka berpisah. Sesungguhnya mereka masih belum mengenal dunia. 

“I’m sorry. Please don’t forget us and please find us in US. Selamat tinggal Harris.” Miasara tersenyum. Beg pakaian yang dihulurkan Puan Siti diambil. Puan Siti sudah menangis. Tidak sanggup melihat Miasara pergi. Semakin kuat pelukan Miasara pada bayinya yang masih menangis. Mungkin bayinya itu tahu diri akan berpisah dengan dua orang lagi abang kembarnya. 

“Salam papa, Ejay,” suruh Miasara. Dia sudah pandai menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu selepas beberapa tahun tinggal di sini. Walaupun masih belum berjaya mendapat taraf kerakyatan kerana tidak fasih berbahasa Melayu, tetapi setiap hari dia belajar. 

Anaknya mengangguk sahaja dengan dahi berkerut seribu. Beg sekolah yang dihulurkan oleh Puan Siti tadi disandangnya. Puan Sri Tengku Zanariah dan Ku Julia sudah berlalu pergi. Dia mendengus. Perasaan benci meluap-luap dalam hati budak lelaki yang baru berusia tujuh tahun itu. 

“Jaga mummy baik-baik. Jaga baby baik-baik. Janji dengan papa,” pesan Abdullah Harris. Dia tidak rela berpisah dengan anak-anaknya Terkelip-kelip mata bulat itu merenung Abdullah Harris sebelum mengangguk laju. Rambut perang anaknya diusap lembut. Lama merenung dalam mata kelabu Daniel Rayzal. 

Perlahan-lahan air matanya menitik. Peristiwa beberapa hari lalu masih bermain dalam mindanya. Dia melepas pandang pada dua orang anak lelakinya yang nyenyak tidur di atas katil bayi. Hampir setiap hari mereka berdua menangis. Sudah pelbagai cara dilakukan untuk membuatkan mereka berdua kembali ceria seperti selalu. Kedua-dua mereka tidak pernah berpisah dengan Miasara. Sedangkan dia yang sudah dewasa juga tidak dapat menahan kerinduan pada bekas isterinya itu, inikan pula mereka berdua. Rindunya semakin membuak-buak pada anak sulungnya dan satu-satunya anak perempuannya yang kini mungkin sudah berada jauh di Amerika Syarikat. Dia tidak pasti bagaimana hendak meneruskan hidup tanpa mereka bertiga. 

“Ya Allah maafkan hamba mu ini. Maafkan ibuku, Sara. Maafkan papa kerana tidak mampu menjaga kamu berdua. Papa terlalu lemah untuk membantah keputusan yang dibuat nenek kamu berdua.” 

“Cintai siapa yang kamu cintai, tapi suatu hari nanti kamu akan berpisah dengannya, tetapi mencintai Tuhan kekal buat selamanya. Selami keikhlasan pasangan anda seadanya!”

2 comments:

  1. terlalu lama saya tak landing kat blog iman. bila sampai teruja dgn penampilan baru n n3 baru. rindu ngan cinta semlm. tepaksa ulang bace hehehe abis nanti i komen lagi...salam ramadhan!

    ReplyDelete
  2. baru je akan nk layan cite ne.........best n sedeh gak.pape pn menarik....

    ReplyDelete