Cinta Semalam: Bab 15


“AMBOI abang! Nak buat aksi XOXO kat sini ke?” 

Kedua-dua tersentak. 

“Adoi!” Kepala Iqram Zafriel berlanggar dengan bumbung kereta apabila dia kelam kabut hendak keluar dari kereta. Songkok sudah jatuh di atas riba Jihan Raysha. 

“Abang nak buat apa-apa ke kat kakak?” 

Iqram Zafriel betulkan rambut yang rasa berserabut. Memang hari ini dia kelam kabut. Rambut pun lupa nak letak gel. Dia tarik sengih pada Sofiyya dan dua orang gadis yang berdiri di sisinya yang sedang mendukung sepasang bayi. Bayi siapa pula ni? Dua orang kanak-kanak perempuan dengan mata yang agak sepet mengetawakan Iqram Zafriel yang masih menggosok-gosok kepala. 

“Takdelah. Seat belt terlekat tadi.” 

Jihan Raysha serahkan semula songkok Iqram Zafriel. 

“Ye ke?” Sofiyya tunjuk muka suspicious. Bukan dia tidak nampak, muka Iqram Zafriel bukan main dekat dengan muka Jihan Raysha. 

“Tak payah soal bukan-bukan. Betullah seat belt tu terlekat. Ni sejak bila korang ada kat luar ni?” Iqram Zafriel menyoal dengan muka sedikit tegas. Mesti ada je modal nak mengenakannya. 

“Baru je. Tadi papa nampak kereta Abang Iqram. Jadi papa suruh Abang Iqram masuk. Lama sangat kat luar ni.” Sofiyya pandang wajah Jihan Raysha dan Iqram Zafriel silih berganti. 

“Abang dengan kakak pakai baju sedondon warna biru ni… Piyya tengok macam pinang dibelah dua pula.” Sofiyya tersengih. 

Dahi Jihan Raysha berkerut. Pinang dibelah dua? 

“Memang kakak tak banyak baju kurung. Bawa dari London yang ni je,” balas Jihan Raysha. Dia tidak suka pula ‘disatukan’ dengan lelaki di sebelahnya ini. Kadang-kadang okay, kadang-kadang menggada! 

“Siapa ni?” Jihan Raysha menyoal dua orang gadis di sisi Sofiyya. Dua orang kanak-kanak perempuan itu dicuit mesra pipi gebu mereka. Kemudian Jihan Raysha mencuit geram sepasang bayi perempuan dan lelaki yang didukung oleh mereka berdua. Comel sungguh pipi labuh ni. Mata pun sangat sepet. Iqram Zafriel cepat sahaja mengambil salah seorang bayi yang comel memakai baju Melayu berwarna hijau muda. 

“Qisha Haruko!” 

“Aisha Haruko!” 

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel. Hampir serentak dua orang kanak-kanak itu menjawab dengan muka penuh teruja. Mereka berdua segera bersalaman dengan Iqram Zafriel dan Jihan Raysha. 

“Kembar ke ni?” 

“Bukan. Qisha umur tujuh tahun. Aisha umur enam tahun.” Qisha menjawab sambil menggeleng. 

Jihan Raysha mengangguk. Comelnya! Tapi kenapa mata tu sepet sangat? Berbeza betul dengan Iqram Zafriel yang bermata sedikit bulat. 

“Baby dua orang ni barulah kembar. Kembar sepasang. Adik budak-budak ni. Abang Iqram dukung ni… Ilman Haruko. Itu kakak Ilman, Iris Haruko. Budak berempat ni mata sepet sangat sebab menurun dari Abang Kyouta. Kakak Abang Iqram kahwin dengan orang Jepun,” kata Iqram Zafriel yang seperti dapat memahami persoalan dalam benak Jihan Raysha tadi. 

“Haruko tu… surname?” Pipi kedua-dua dicuit lagi. 

Iqram Zafriel mengangguk. Memang abang iparnya terus mengekalkan nama keluarganya itu. Walaupun sudah beragama Islam, abang iparnya itu tetap orang Jepun. Hanya agama sahaja bertukar, bangsa tetap sama sampai bila-bila. 

“Ni siapa pula?” Jihan Raysha pandang dua orang gadis yang memakai baju kebaya berwarna kuning dengan corak yang sama. 

“Adik-adik Abang Iqram. Puteri Nadiana dan Puteri Nafeesa. Nad ni muda setahun dari Esha. Baru habis belajar. Nafeesa pula 15 tahun. Salam kakak,” suruh Iqram Zafriel pada adik-adiknya. Sofiyya turut ikut menyalami Jihan Raysha dan Iqram Zafriel. 

“Nad panggil Esha jelah boleh?” Nadiana bersuara. 

“Boleh je.” Jihan Raysha tersenyum mesra walaupun terasa kekok. 

“Jom masuk kakak!” Sofiyya tarik tangan Jihan Raysha. 

Iqram Zafriel tersenyum. Pipi Ilman dicium bertalu-talu. Lama juga rasanya tidak berjumpa dengan anak-anak saudaranya. Sekejap je umur nak dekat setahun. 

“Kenapa lama sangat kat luar tu?” Encik Syazlan menyambut mereka. 

“Seat belt terlekat. Tadi jammed teruk. Dah siap ke korban?” Iqram Zafriel serahkan kembali Ilman pada Nadiana. Nafeesa sudah terus melangkah masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba pula Iris merengek apabila ternampak kakak sulungnya, Natasha. Qisha dan Aisha pula dibiarkan bermain di luar bersama budak-budak lain. 

“Semua dah siap. Jiran-jiran tengah bersihkan kat dapur. Hmm… masuklah Esha. Tak payah termangu macam tu. Dalam rumah ni saudara uncle juga. Tak payah malu-malu.” Encik Syazlan tepu bahu Jihan Raysha. Dia tersenyum mesra. 

“Sampai dah Esha.” Puan Soraya menegur. Dia melangkah keluar dari dapur dengan seorang wanita. 

“Auntie, ramai juga ye yang datang.” Jihan Raysha menyalami Puan Soraya. Pipi Jihan Raysha dicium lembut. 

“Takdelah. Jiran-jiran semua berkumpul kat dapur tu.” Puan Soraya membetulkan lengan baju yang tadi disingsing kerana membasuh. 

“Ini umi Abang Iqram. Cantik tak?” soal Iqram Zafriel. Pipi uminya dicium mesra. Patutlah wajah itu nampak seiras dengan Nadiana dan Nafeesa. 

“Hujung sana tu yang tengah layan Ilman dan Iris tu… papa Abang Iqram.” 

“Panggil Auntie Syikin je Esha,” suruh Puan Nurasyikin apabila Jihan Raysha bersalam dengannya. Matanya merenung wajah Jihan Raysha. Lama. 

“Eh, umi… kenapa pandang Esha macam tu? Seganlah dia,” tegur Iqram Zafriel. 

Puan Nurasyikin tersentak. 

“Saya pernah beritahu kat Kak Syikin dulu kan pasal arwah kawan saya tu. Esha ni anak bongsu arwah. Mak Esha ni orang putih,” sampuk Encik Syazlan. 

“Iqram masuk dapur jap. Nak tengok lembu korban.” 

“Bukan nak tengok lembu…. Nak cari makanan tu,” usik Encik Syazlan. Faham sangat anak saudaranya itu hantu makan. 

Iqram Zafriel tarik sengih. Dia terus berlalu ke dapur. 

“Kak Syikin kenapa?” Puan Soraya menyoal pelik apabila melihat kakak iparnya masih merenung wajah Jihan Raysha. 

“Hmm… akak teringatkan seseorang.” Puan Nurasyikin bersuara. 

Jihan Raysha tersentak. Belum sempat dia membuka mulut, satu suara garau menegur dari belakangnya. 

“Assalamualaikum… eh, Esha!” Wajah itu tayang riak terperanjat. 

“Hai… Esha sorang je kamu nampak Jimy? Mana kamu kenal Esha ni?” 

Najmy tersenyum. Dia ringkas memakai baju Melayu berwarna hitam tanpa samping. Rambut pula yang sedikit ikal disisir dengan jari tangan. 

“Panjang cerita. Abang mana?” Najmy mencari wajah Hakimy. Dia sedar Jihan Raysha juga nampak begitu terkejut. Gaya terkejut tu memang sama seperti sewaktu mereka di Restoran Ben’s. 

“Toilet.” Encik Syazlan menjawab. 

“Awak ni kenapa Syikin? Renung budak tu?” Encik Iqmalshah menegur. Pelik melihat isterinya yang sudah seperti patung pula. 

“Kenapa auntie?” Najmy menyoal pelik. Dia menyalami Encik Iqmalshah dan Encik Syazlan. 

“Muka Esha ni macam seseorang. Abang ingat tak siapa?” Puan Nurasyikin pandang suaminya yang mendukung Ilman dan Iris. 

“Siapa?” Encik Iqmalshah merenung pula wajah Jihan Raysha. 

“Ya Allah… janganlah pandang Esha macam ni. Pergi duduk tu Esha,” tegur Encik Syazlan menggeleng. Dia tepuk bahu Encik Iqmalshah yang sudah tersengih. 

“Tadi Kimy kata kamu kerja.” Encik Iqmalshah pandang wajah Najmy. 

“Sepatutnya habis pagi tadi. Tapi tiba-tiba ada kes. Itu lambat sikit. Tak sempat nak sembahyang raya.” Najmy tarik lengan Jihan Raysha supaya mengikutnya ke ruang tamu utama. Pelik pula mereka semua berbual di depan pintu rumah. 

Jihan Raysha masih diam membisu. Terkejut. Dia memang tidak sangka langsung akan berjumpa dengan Najmy lagi. Tambah merisaukan apabila melihat renungan tajam Puan Nurasyikin. Bukankah Iqram Zafriel berjiran dengan Hakimy dan Najmy? Mereka berkawan sejak kecil. 

“Ini anak sulung uncle, Puteri Natasha dan suami dia, Kyouta Haruko.” Encik Iqmalshah ramah memperkenalkan anak dan menantunya yang menghampirinya untuk mengambil Ilman dan Iris yang sudah nampak mengantuk. 

Jihan Raysha menyalami Natasha. Dia tersenyum. Natasha dan Iqram Zafriel lebih seiras dengan Encik Iqmalshah. Cuma dia perasan, hanya Iqram Zafriel bermata hazel. 

“Jom.” Najmy terus menariknya ke ruang tamu. 

“Eh, Esha.” Hakimy muncul dari dapur. Riak wajah nampak begitu terkejut. 

“Esha datang dengan Iqram,” maklum Najmy. 

“Oh, duduklah.” Hakimy pula sudah macam tuan rumah. 

“Eh, nenek pun ada?” Najmy pula nampak terkejut. Rasanya pagi raya ni, memang asyik terkejut sejak tadi. Dia lepaskan lengan Jihan Raysha. Dia segera merapati seorang wanita tua yang anggun dengan abaya dan tudung labuh berwarna hitam untuk bersalam. Wanita tua itu berpaling. 

Jihan Raysha tersentak. Terketar-ketar badannya. Dia ingat wajah itu dari pembacaannya dari Internet. 

“Kenapa nenek?” Najmy terkejut apabila merasakan tangan neneknya bergetar. 

“Itu ibu Datuk Abdullah Harris, Puan Sri Tengku Zanariah,” bisik Encik Syazlan. 

Jihan Raysha gigit bibir. Ya Allah, suratan apakah ini? Wanita inilah punca sebenar dia takut berhadapan dengan keluarga kandungnya sendiri. 

“Kenapa Esha?” Puan Soraya pegang lengan Jihan Raysha. Bukan dia tidak nampak gadis itu nampak begitu terkejut. Muka terus berubah pucat lesi. 

“Kenapa Esha?” Hakimy menyoal pelik. Dia sendiri pun tidak sangka neneknya mahu mengikutnya ke rumah Encik Syazlan. Sudah hampir beberapa tahun neneknya tidak keluar dari rumah kecuali untuk ke hospital ataupun masjid. Umur neneknya itu hampir mencecah 95 tahun. Walaupun tidak mempunyai penyakit serius, neneknya itu memang semakin uzur dimamah usia. 

“Nenek… kenapa nenek pun terkejut juga ni? Nenek kenal ke Esha? Esha ni PRO dari Hotel London,” maklum Hakimy. 

Jihan Raysha telan air liar. Pahit. 

“Esha Ebrahim?” Bergetar suara Puan Sri Tengku Zanariah. Wanita itu memang terlalu uzur. Badan sudah membongkok tiga, dan mungkin hanya kulit menyelaputi tulang. Cermin mata berbingkai bulat hampir terjatuh dari hidungnya yang mancung itu. 

“Eh, auntie kenal Esha?” Encik Syazlan pula terkejut. Famous juga Jihan Raysha ini? 

Puan Sri Tengku Zanariah cuba bangun. Najmy kelam kabut memaut lengan neneknya. 

“Nenek nak pergi mana ni?” Hakimy juga menerpa ke arah neneknya. Risau kalau neneknya itu terjatuh. 

“Jihan Raysha kan?” soal Puan Sri Tengku Zanariah. Dia memaut erat lengan Hakimy dan Najmy. 

“Kenapa ni nenek?” Hakimy buntu. 

“Esha Ebrahim. Jihan Raysha. Penyiasat yang diupah nenek ada maklumkan tentang Jihan Raysha. Dia cakap Jihan Raysha bekerja di Mega Hotels and Resorts London. Baru ditukarkan ke sini. Nenek ingat nak tunggu papa kamu berdua balik dulu.” Panjang lebar Puan Sri Tengku Zanariah berkata dengan suara yang sedikit serak. Riak wajah masih tegas. 

“Nenek… Esha ni bukan adik kami. Nama ayah dia lain.” Najmy bersuara. Dia mula mengerti kenapa neneknya nampak terkejut. 

“Eh, bukan Uncle Ebrahim tu ayah angkat Esha je ke? Kan papa?” Sofiyya yang sejak tadi menjadi pendengar setia mula menyoal pelik. 

“Hmm… betullah. Keluarga sebenar arwah Ebrahim meninggal dunia dalam kemalangan. Beberapa tahun lepas tu, arwah Ebrahim ambil Esha dan Danny jadi anak angkat.” Encik Syazlan menerangkan apabila Jihan Raysha bertindak mendiamkan diri. Dia terus melepas pandang pada Jihan Raysha yang turut sama memandangnya. Pandangan Jihan Raysha sukar difahami. 

“Lah… kenapa senyap ni? Kenapa mute suara TV tu Nad?” soal Iqram Zafriel pada adik-adiknya yang duduk di hadapan televisyen. Dia membawa dua pinggan nasi yang sudah penuh dengan lauk. Lelaki itu tersenyum sahaja. Ceria sungguh kalau dapat makanan. 

“Kenapa?” Pinggan diletakkan di atas meja. Dia pelik apabila Nadiana dan Nafeesa meletakkan jari telunjuk pada bibir masing-masing. Dia mula menyedari sesuatu. Perlahan-lahan dia menatap semua orang yang berada di ruang tamu. Mulutnya terlopong apabila melihat renungan tajam Jihan Raysha dengan mata yang sudah merah. 

“Esha anak angkat? Kenapa tak beritahu saya?” Hakimy menyoal. Dia ada bertanya pada Jihan Raysha sewaktu pertama kali berjumpa. Dia masih ingat lagi jawapan Jihan Raysha itu. 

“Encik Kimy hanya tanya nama daddy saya. Itulah nama daddy saya.” Jihan Raysha menjawab tegas walaupun nadanya sudah bergetar. 

“Esha dan Danny tak tahu siapa keluarga kandung dia.” Encik Syazlan menyambung. Dahinya mula berkerut. Dia melepas pandang pula pada Puan Nurasyikin. Memang selama ini dia tidak pernah mengenali isteri pertama Datuk Abdullah Harris kerana waktu itu dia masih belum bekerja dengan Datuk Abdullah Harris. Dia sedang menyambung pelajaran di Paris dan membawa isteri dan anak-anaknya yang ketika itu masih kecil. Dia hanya melihat gambar sahaja dan mengetahui serba sedikit cerita daripada Encik Iqmalshah. Lagipun gambar itu juga tidak begitu jelas dan anak sulung Datuk Abdullah Harris yang hilang itu masih kecil. 

“Apa nama sebenar Danny?” Puan Nurasyikin pandang muka Encik Syazlan. 

Encik Syazlan menggeleng. Dia tidak pernah tanya. 

“Daniel Rayzal.” Sofiyya menjawab. 

Seisi rumah memandang tepat wajah Sofiyya. Mulut masing-masing ternganga. 

“Hmm… Piyya ada tanya Abang Danny dulu. Kenapa mak long nak tahu nama Abang Danny?” Sofiyya menyoal pula Puan Nurasyikin dengan wajah pelik. 

“Piyya dah lupa ke nama anak sulung Uncle Harris yang hilang tu?” Nadiana menyoal. 

“Siapa? Manalah Piyya ingat.” Sofiyya buat muka tidak puas hati. 

“Betul ke tu nama abang Esha?” Hakimy menyoal. Puan Sri Tengku Zanariah sudah kembali duduk. Kudratnya sudah tidak kuat untuk terus berdiri walaupun dipapah orang. Hakimy dan Najmy mula menghampiri Jihan Raysha yang nampaknya seperti mahu melarikan diri. 

“Tapi bukan Puan Sara bawa anak-anak pergi AS ke? Sebab tu sampai sekarang Harris rajin pergi sana.” Encik Syazlan diburu rasa bersalah. Kenapa dia langsung tidak pernah terfikir akan persamaan nama Jihan Raysha itu. Ejaan juga sama. Malah, bukan sukar sangat hendak meneka persamaan usia Jihan Raysha dan Daniel. Kenapa dia tidak pernah bertanya siapakah ibu Jihan Raysha dan Daniel? Kenapa mereka berada di rumah anak-anak yatim? Kenapa Encik Ebrahim mengambil mereka untuk dijadikan anak angkat? 

“Esha… I think you better explain.” Najmy bersuara. Dia yang memang tidak cukup tidur, rasa berserabut. Memanglah dia sangat gembira kalau Jihan Raysha ini adik kembarnya, tetapi kenapa Jihan Raysha merahsiakan semua ini? 

“Mana Sara?” Puan Sri Tengku Zanariah menyoal pula. Maklumat itulah yang dia tidak tahu kerana penyiasat yang diupahnya juga masih menyiasat selepas berjaya berjumpa Jihan Raysha. 

Jihan Raysha menggeleng. Kakinya semakin menghala ke pintu utama. Tetapi Hakimy lebih pantas menarik lengan itu. Wajah Jihan Raysha dipandang lama. Langsung tidak berkelip. 

“She’s not our Jihan Raysha. Her eyes colour are not blue.” Hakimy menyangkal. 

“Takdelah Abang Kimy. Kakak pakai contact lens tu. Memang mata kakak warna biru.” Sofiyya menjawab lagi. 

Seisi rumah terkejut lagi. Iqram Zafriel pula menghampiri gadis itu yang sudah menunduk mengira jari kaki. 

“Esha, pandang Abang Iqram,” suruh Iqram Zafriel. Dia pegang bahu Jihan Raysha. 

“Esha.” Hakimy dan Najmy bersuara hampir serentak. Seisi rumah tiba-tiba sunyi. Hanya kedengaran suara dari arah dapur sahaja. Mereka sudah mengalihkan perhatian hanya pada Jihan Raysha. 

“Mana Sara? Kenapa dia tinggalkan kamu berdua di rumah anak-anak yatim?” Kasar sedikit suara Puan Sri Tengku Zanariah. 

“Mak Esha dah lama meninggal dunia nenek.” Iqram Zafriel melepas pandang pula pada Puan Sri Tengku Zanariah. 

Jihan Raysha masih berdegil untuk terus tunduk. Tetapi dia dapat rasakan getaran pada bahu itu. 

“Hah?” Hakimy dan Najmy terkedu. Lutut mereka longlai. 

“Tipu! Kenapa penyiasat tu takde maklumkan nenek apa-apa?” Bergetar suara Puan Sri Tengku Zanariah. Wanita tua itu menggeleng laju. Sukar untuk menerima hakikat itu. Sara terlalu muda untuk ‘pergi’ dulu daripadanya. 

“Betul auntie. Mak kandung Esha dan Danny dah lama meninggal dunia. Sebab itulah arwah Ebrahim ambil mereka berdua ni jadi anak angkat.” Encik Syazlan menjawab. 

Puan Soraya pula sudah memegang lengan suaminya. Dia juga terkilan kerana langsung tidak menyedari hal itu. 

“Tell us. Who are you?” Hakimy pandang Jihan Raysha. Dia tarik dagu itu untuk terus menghadap wajahnya. Mata yang sudah berkaca itu menyentap tangkai hatinya. Betulkah gadis ini kembarnya sendiri? 

“Sabar Kimy! Jangan ganas sangat,” tegur Iqram Zafriel, gusar. Dia pegang bahu Hakimy. 

“Are you really our Jihan?” Najmy menyoal. Suaranya bergetar. 

Jihan Raysha menggeleng. 

“Tell us!” tempik Puan Sri Tengku Zanariah tiba-tiba. Merah mata itu. 

Jihan Raysha terkejut. Dia segera menepis tangan Hakimy. Terburu-buru dia hendak melangkah keluar. 

“Kau nak pergi mana?” Bahasa Hakimy sudah berubah. Lengan Jihan Raysha direntap kasar. Hampir sahaja Jihan Raysha terdorong dalam pelukan lelaki itu. 

“Let me go!” 

“No!” 

“Kimy!” Iqram Zafriel pegang bahu Hakimy. Kenal sangat dengan Hakimy. Kalau sudah marah, susah nak dikawal. 

“Jelaskan dulu. Apa yang berlaku. Siapa kau?” soal Hakimy. 

Jihan Raysha tersenyum sinis. Dia seka air mata yang mula mengalir. 

“Me? Kenapa nak tahu?” Jihan Raysha tarik nafas. 

“Tell us your real name.” Tekan Hakimy. 

“Jihan Raysha binti Abdullah Harris.” 

Hakimy terpempan. Perlahan-lahan dia mengundur. 

“Awak adik kami?” Najmy menyoal tidak percaya. 

Jihan Raysha tersenyum sinis. 

“Adik? Saya hanya ada seorang abang. Kenapa selama ni saya lebih selesa mengaku ayah saya Meor Muhammed Ebrahim? Saya benci Abdullah Harris. Saya benci dia!” 

PANG! 

Najmy tarik nafas dalam-dalam. Terketar tangannya ketika ini. Mata Hakimy terbeliak. Iqram Zafriel tidak sempat menghalang. 

“Jaga sikit bahasa kau tu! Dia tetap papa kau!” Najmy menjerit. 

“Papa?” Jihan Raysha pegang pipinya. Dia biarkan sahaja darah yang mula mengalir dari bibirnya. Seisi rumah terdiam. Suara dari dapur juga tiba-tiba senyap. Masing-masing sudah berdiri di hadapan pintu dapur dengan muka terkejut. 

“Saya takde papa yang halau kami sehelai sepinggang. Saya takde papa yang lupa tanggungjawab. Saya takde papa yang dah bunuh mummy saya! Dia punca utama mummy saya meninggal dunia!” Tunjuk Jihan Raysha terus pada Puan Sri Tengku Zanariah yang sudah memegang dadanya. 

“Nenek minta maaf….” 

Jihan Raysha gigit bibir. Air mata yang mengalir diseka kasar. Matanya masih tidak lepas memerhatikan segenap wajah Puan Sri Tengku Zanariah. 

“Awak ingat… dengan maaf… mummy saya boleh hidup balik?” sinis suara Jihan Raysha. Dia benci mendengar suara itu. 

“Nenek minta maaf.” 

“Diam!” Jihan Raysha tutup telinganya. 

“Esha, sabar nak….” Encik Syazlan mula menghampiri Jihan Raysha. Dia sendiri masih belum hilang rasa terkejut. Malah lagi terkejut dengan perubahan Jihan Raysha. 

“Uncle mesti nak tahu kan kenapa mummy saya meninggal dunia? Kenapa kami tak tinggal je kat US?” Jihan Raysha pandang wajah Encik Syazlan. Dia cuba mengelak apabila Puan Soraya cuba memegangnya. 

Encik Syazlan pegang isterinya. Dia pandang wajah Jihan Raysha sebelum mengangguk. 

“Lepas mummy kena halau dari sini.... Mummy balik semula ke US. Tapi keluarga mummy kat US semua dah buang mummy. Semua benci mummy. Nasib baiklah ada kawan kat Jepun yang tolong mummy dan bawa mummy ke Hokkaido. Tak sampai setahun kat Hokkaido, mummy pindah pula kat London. Abang Danny cakap… takde siapa nak terima mummy kerja sebab takde siapa yang boleh jaga kami. Mummy pun tak mampu nak hantar Abang Danny ke sekolah. Mummy tak tahu nak buat apa… dan akhirnya kawan mummy kat London tolong mummy carikan kerja.” 

“Semuanya sebab dia dah halau mummy sehelai sepinggang! Kenapa benci sangat pada mummy? Kenapa langsung takde belas ihsan pada cucu sendiri? Saya tak ingat sangat… tapi apa yang saya tahu, kehidupan kami kat London ibarat merempat kat negara orang! Mummy cleaner kat hospital. Abang pula kena buli kat sekolah. Dia jahat! Saya takde papa yang lupa pada anak-anak sendiri!” 

“Papa tak jahat. Papa tak tinggalkan mummy. Kami sendiri tak kenal mummy. Apa yang kau tahu? Kami pun sengsara. Kami pun membesar tanpa mummy!” Najmy cuba membela diri. Dia tidak senang dituduh dan dituduh. Malah hatinya panas bila nenek dan papanya sendiri dihina darah daging sendiri. 

Jihan Raysha mendongak. Tajam merenung Najmy. 

“Baik. Sekurang-kurangkan awak tak membesar dengan orang lain! Awak tak rasa membesar, kena hina… membesar dekat rumah anak-anak yatim. Cuma kami bertuah sebab daddy ambil kami. Waktu tu mummy hantar saya dan abang pergi sekolah… waktu tu abang dah masuk sekolah. Lepas tu mummy hantar saya pula. Depan mata saya, depan mata saya…. Saya tengok kereta datang dan seret mummy saya pergi! Saya baru lima tahun! Mummy pergi depan mata saya. Baju saya penuh dengan darah mummy! Saya mandi dengan darah mummy. Pernah awak rasa? Semua sebab dia! Dia sebabkan mummy banyak menderita!” jerit Jihan Raysha. Nafasnya sudah tidak teratur. Percubaan Puan Soraya untuk memegangnya ditepis lembut. Dia seka air matanya yang masih mengalir laju. 

Najmy terduduk. 

“Sebab dia… saya jadi anak terbuang! Sebab dia, saya dan abang hidup terbuang kat negara orang! Kenapa papa tak cari kami? Kenapa papa buang kami macam tu je? Apa salah mummy? Apa salah mummy?” Suara Jihan Raysha kian mengundur. 

“Awak pernah tak rasa berlapar, sampaikan beralaskan sekeping roti je?” 

“Aku… abang minta maaf.” Najmy menggeleng. 

Jihan Raysha melangkah keluar. 

“Tak! Saya takkan maafkan dia! Saya hanya ada daddy dan abang selamanya!” Jihan Raysha melangkah keluar. 

“Kejar dia,” pinta Najmy dengan wajah sesal. Hakimy sudah tidak mampu bersuara. 

Iqram Zafriel tercengang tetapi kakinya tetap juga melangkah. 

8 comments:

  1. hm. x sangka ada n3 ari ni....hehehe... thnks

    ReplyDelete
  2. wah..akhirnya ada juga n3 baru..
    sambung lagi yer..panjang2 tau..

    ReplyDelete
  3. wah... new entry. best2...:)
    thanks writer... keep writing.
    cinta yg xterucap pun samb. the sory ya. im waiting. hehehe

    ReplyDelete
  4. best2....nak ag..hehehe..thanks writer

    ReplyDelete
  5. when nk ade entry baru ni...dah lame menanti....nk tau ending....de bez 2 u writer...

    ReplyDelete
  6. x sabanye nk tunggu entry seterusnye..

    ReplyDelete
  7. cier ni best. family story tapi asal lama bangat nak ada n3 baru

    ReplyDelete
  8. Akhirnya..lama betul tggu n3 baru dah naik lupa ngan novel ni..

    janganlah lama sangat baru nk update
    mesti ramai yg rindu ngan tulisan iman ni. ;))

    ReplyDelete