Cinta Semalam: Bab 18


“SELALUNYA kalau tidur sini, Nad dengan Nafeesa yang tidur dalam bilik ni. Esha boleh tidur sini,” ujar Iqram Zafriel yang sudah berbaring di atas salah satu katil. Dia kepenatan. Rasa seperti hendak tidur terus. 

“Abang Iqram tidur mana?” 

“Ada dua katil kan? Esha tidur situ. Abang Iqram tidur sini.” Terus Iqram Zafriel tersengih melihat wajah terkejut Jihan Raysha. Dia sengaja hendak mengusik sebenarnya. 

“Betul ke ni?” soal Jihan Raysha. Wajahnya serius. Dia tidak pernah lagi berkongsi bilik dengan sesiapa terutama sekali lelaki. 

Iqram Zafriel mengangguk. 

“Esha tidur bilik lain lah. Esha tengok rumah ni banyak bilik. Kenapa mesti tidur dengan Abang Iqram?” 

“Rumah ni berhantu Esha.” Sengih Iqram Zafriel melebar apabila wajah Jihan Raysha bertukar semakin serius. Dia gigit bibir. Bila-bila masa sahaja tawa boleh terhambur dengan ekspresi muka gadis itu. 

“Esha tak pernah tidur dengan sesiapa ke sebelum ni?” 

“Sesiapa? Siapa? Esha ada bilik sendiri. Buat apa nak tidur dengan orang lain?” 

“Maksud Abang Iqram….” Iqram Zafriel garu kepala.

Tajam mata Jihan Raysha merenung Iqram Zafriel. Huh? 

“Esha duduk dan membesar di UK. Tapi, arwah ayah dah didik kami baik-baik,” terang Jihan Raysha panjang lebar. Selama dengan bercinta dengan Aidan pun, hubungan mereka tidak pernah sampai ke dalam bilik. 

Iqram Zafriel tersenyum. 

“Ye ke?”

“Walaupun Esha tak bertudung, tak bermakna Esha ni jahat sangat!” Muka Jihan Raysha berubah serius. 

“Okay. Abang Iqram gurau je tadi. Abang Iqram nak mandi. Bilik Abang Iqram sebelah ni. Kalau Esha rindu, Esha boleh ketuk. 24 jam Abang Iqram sedia untuk Esha. Kalau Esha takut, Abang Iqram boleh teman.” Iqram Zafriel tersengih nakal.

“Nak ni?” Jihan Raysha tayang penumbuk.

“Wah, ganas gak Esha ni!” Iqram Zafriel ketawa. 

“Tau pun! Bilik mandi?” 

“Esha keluar bilik ni. Hujung sekali. Kita terpaksa berkongsi bilik mandi. Abang Iqram harap Esha tak kisah.”

Laju Jihan Raysha mengangguk. Dia tidak kisah langsung walaupun dia memang tidak suka berkongsi bilik mandi. Lagipun di London, pelik kalau setiap bilik tanpa bilik mandi. Orang di sana jarang berkongsi bilik mandi ataupun tandas. 

“Pakaian? Esha datang sehelai sepinggang,” ujar Jihan Raysha.

“Hmm….” Iqram Zafriel garu kepala. Dia pun datang sehelai sepinggang. Nasib baik ada baju basahan yang sengaja ditinggalkan di rumah ini. 

“Esha gunalah baju adik-adik Abang Iqram. Badan dia orang pun lebih kurang Esha juga. Abang Iqram dah suruh Pak Cik Alif belikan alat berus gigi, sabun dan ubat gigi. Nanti dia letak dalam bilik mandi. Baju dan seluar kecil pula….” Dia sengih bila melihat wajah merah padam Jihan Raysha 

“Kita beli esok. Maybe esok mall buka. Rasanya dalam almari tu ada disposal underwear. Dia orang ada suruh mak cik simpan stock kalau ada emergency. Esha boleh guna. Kalau Esha tak jumpa, Esha tanya mak cik. Nanti Abang Iqram beritahu pak su. Suruh panjangkan cuti Esha. Lagipun Abang Iqram rasa, Kimy tu okay je. Kita stay sini dua tiga hari?” 

Jihan Raysha angguk kepala.

“Esha berehat dulu. Nanti Abang Iqram panggil makan. Pergilah mandi dulu. Kalau Esha dah siap mandi. Ketuk bilik Abang Iqram. Abang Iqram nak rehat jap.”

Jihan Raysha mengangguk. Iqram Zafriel melangkah keluar. Dia mengeluh pula. Pelbagai peristiwa berlaku hari ini. Dia tidak sangka boleh berjumpa nenek dan nenek mengenalinya. Ya Allah, aku berdosa. Aku… betul ke apa yang buat tadi?

6 comments:

  1. nasib baik kimi n jimi memahami..

    ReplyDelete
  2. lame jugak tgu n3 baru nie huhuh....
    anyway....thk you....

    ReplyDelete
  3. thanks sis...
    akhirnya berbaik jugak kembar2 ni alhamdunillah... sambung lagi plss..

    ReplyDelete
  4. best2..sweet sgt...sambung lagi yer nnti..

    ReplyDelete
  5. akhirnya...
    lama menunggu huhuhu...
    nak lagi...hehehe
    :)

    ReplyDelete