Cinta Semalam: Bab 21


JIHAN RAYSHA mengeluh. Mata tidak boleh lelap. Otak berserabut memikirkan masalah yang berlaku pagi tadi. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu kepada neneknya. Sedangkan selama ini Daniel dan Encik Ebrahim sudah banyak mengajarnya erti Qada’ dan Qadar Allah. Tetapi apabila dia berjumpa dengan nenek tadi, dia jadi sedih. Dia teringatkan mummy. Walaupun wajah mummy samar-samar, tetapi kesengsaraan arwah mummy tetap terpahat dalam ingatan. Memang dia menyalahkan neneknya kerana menyebabkan keluarga mereka porak-peranda dan pada papa yang lemah dalam mempertahankan rumah tangga. Apa maknanya cinta kalau isteri dan anak-anak diabaikan? 

They knew who am I.

Pesanan melalui Whatsapp dihantar pada Dash. Dia tidak pasti sama ada Dash sedang bekerja ataupun tidak. Biarlah. Dia perlukan teman untuk meluahkan sesuatu. Memang dia sangat rindukan kawan baiknya itu. Bibirnya mengukir senyuman apabila tidak sampai beberapa minit, skrin iPhone menyala. Dash menghubunginya melalui Skype! 

“Love… are you okay?” Wajah risau Dash terpampang. Nasib baiklah line Internet okay pada waktu malam. 

“Kacak betul kau pakai baju doktor tu.” Jihan Raysha sengaja ubah topik. Dia ketawa melihat Dash yang sudah tersipu-sipu membetulkan rambut lurusnya yang menutup dahi itu. Memang kawannya ini sangat kacak! 

“Aku kat bilik rehat. Karang sambung duty. Kau sihat? Sorry, aku betul-betul sibuk sekarang.” Dash tayang muka bersalah. 

Jihan Raysha menggeleng.

“Mana pergi suara kau yang suka mengarut bukan-bukan ni? Kau kat mana? Gelap je?” 

“Aku kat luar rumah. Lampu dari dalam je ni. Kau nampak kan muka aku?”

Dash mengangguk sebelum dahinya berkerut.

“Luar rumah? Bukan kau sekarang duduk hotel ke? Sejak bila kau ada rumah ni?”

“Hmm… aku ikut Abang Iqram balik kampung dia.”

“Abang Iqram? Kampung? Baik kau explain sebelum aku fikir bukan-bukan.” Muka Dash beriak serius. 

“Panjang sangat.”

“Explain my dear. Kau tahu kan… aku risaukan kau bila kau takde depan mata aku sekarang?”

“Lepas semua terbongkar tadi… aku minta Abang Iqram bawa aku jauh dari KL dan sekarang aku kat kampung Abang Iqram. Aku pun tak tahu kat mana.” Jihan Raysha lupa nama tempat yang diberitahu Iqram Zafriel tadi. 

“Terbongkar? Bukan hari ni… kau raya ke?” Dash tayang muka tidak faham. 

Jihan Raysha mengeluh. Dia menarik nafas dan mula menerangkan dari A sehingga Z apa yang berlaku sepanjang hari ini kepada Dash. Beberapa kali juga line terputus, dan apabila bersambung kembali, dia akan menyambung kembali bercerita. Pelbagai riak wajah yang Dash tayang sehingga membuatkan Jihan Raysha tersenyum hambar. 

“Aku maaf sebab not with you.” Kadang-kadang Dash bercakap bahasa Melayu tunggang terbalik. Apabila semakin dia tidak faham dengan apa yang diucapkan Dash, mereka akan bercakap pula dalam bahasa Inggeris. Tetapi Dash ada mengakui, dia suka bercakap dalam bahasa asing. Dia suka mempelajari bahasa Melayu. 

“It’s okay. Salahlah Dash. ‘Aku minta maaf’ Kau tertinggal perkataan ‘minta’ tu,” sempat Jihan Raysha membetulkan. 

“No. It’s not okay. Tak kisah lah! Jangan kau jadi cikgu grammar aku pula sekarang. Hmm… aku akan cuba apply cuti. Tapi kau jangan berharap sebab aku ni doktor baru. Susah sangat nak apply cuti. Malaysia tu pun bukannya dekat.”

Jihan Raysha mengangguk dan tersenyum. Dia terpinga apabila muka Dash tiba-tiba hilang dan mendengar suara lain dari dalam bilik itu. Kemudian diselang-seli pula dengan suara cemas Dash.

“Love! I’m really sorry. I got emergency.” Dash menunjukkan mukanya.

Jihan Raysha mengangguk. Tanpa sempat dia menjawab, dia hanya melihat Dash meletakkan tangannya pada bibir dan tidak sampai sesaat, skrin gelap. 

“Aku kiss tadi. Memang sampai bila-bila tak boleh kiss kau. Kiss telefon sendiri pun boleh. Bye Love. Nanti kita Skype lagi ye? Love ya!”

Line terputus. Jihan Raysha pandang skrin iPhone. Dia mengeluh. Kelam-kabut betul Dash. Jihan Raysha raup muka sebelum jantungnya berdegup kencang. Bunyi apa tu? Dia berpaling. Mulutnya terlopong. Matanya membulat.

“Abang Iqram! Sejak bila ada sini?” Muka Jihan Raysha pucat. Gaya seperti baru nampak hantu!

“Tak sengaja terdengar bergayut dengan boyfriend tadi. Abang Iqram dahaga. Lepas tu dengar bunyi bising kat belakang dapur ni.” Iqram Zafriel menjawab dengan muka serius. 

Dahi Jihan Raysha berkerut. Rasanya mood lelaki ini baik sahaja tadi. Dia tersedar sesuatu. Jadi Iqram Zafriel mendengar perbualannya dengan Dash tadi? 

“Hmm… bye Love. Love ya! Siap kiss lagi.” Iqram Zafriel mengajuk kata-kata Dash tadi dengan muka cemberut. Dia sebenarnya dapat melihat wajah Dash walaupun samar-samar melalui tingkap rumah yang sedikit terbuka. 

Jihan Raysha ketawa. 

“He’s my bestfriend.” 

“Selalunya dari bestfriend akan bertukar menjadi boyfriend kan?” Muka Iqram Zafriel masih serius. 

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel. Lama. Kenapa pula dengan lelaki ni? Gaya seperti orang cemburu je? Tetapi bukankah mereka memang tiada hubungan apa-apa. Kenapa mesti lelaki ini cemburu? Jumpa juga rasanya baru tiga kali sahaja sepanjang dia di Malaysia. 

“I can only have one boyfriend, few best friends and a lot of friends. He definitely just my best friend. Kalau ramai kawan boleh jadi musuh. Biarlah tak ramai kawan, tapi kawan itu akan stick dengan kita sampai bila-bila.” 

“BFF lah ni?” 

Jihan Raysha mengangguk. Yakin. Best friend forever. 

“Boyfriend forever?” 

Jihan Raysha terpinga.

“Best friend forever!” 

“Hmm….” 

“Sebelum ni Esha ada boyfriend.” 

“Jadi sekarang ex-boyfriend?” Cepat Iqram Zafriel menyampuk.

Jihan Raysha mengangguk.

“Kami kenal tak lama. Dia bos Esha kat hotel. He is very nice to me. Bila dia beritahu dia sukakan Esha, kami couple. Dia cakap, dia nak jadi boyfriend dan bestfriend Esha. Bulan lepas kami break up. Dan sekarang hubungan bestfriend tu terus hilang. Esha tak ramai kawan, tapi disebabkan perkara ni… Esha kehilangan seorang kawan. Dash will be forever be my bestfriend. Esha dah anggap dia macam saudara sendiri.” 

Iqram Zafriel terkedu. Dia pandang lama wajah Jihan Raysha yang berubah muram. Dia rasa menyesal kerana terus menekan gadis itu. Rupa-rupanya gadis itu baru berpisah dengan teman lelakinya. 

“Kenapa berpisah?”

Jihan Raysha angkat bahu.

“Tiada jodoh.” 

“Tapi kenapa?” soal Iqram Zafriel ingin tahu. 

“Love is not easy. Loving someone is not easy. To be love is not easy.”

“Macam mana Esha tahu?”

“Sebelum bercinta, Esha rasa bebas berkawan dengannya. Tiada halangan apa-apa. Tapi lepas bercinta, banyak benda rasa tersekat. Berkawan dengan Dash pun dia macam tak suka. Dash kawan baik Esha sejak kecil. Tidak mungkin sebab dia, Esha nak putus kawan dengan Dash. Bukan senang nak memahami seseorang kalau kita tak jumpa. Ada yang ambil masa bertahun-tahun. Tapi macam daddy cakap, suatu hari nanti… ada seseorang tanpa disuruh, tanpa dipaksa… akan memahami diri kita seadanya dan terima kita dengan apa yang kita ada. Bukan ubah kita menjadi seperti yang dia mahu. Mungkin juga Esha tak percayakan cinta tu.” 

Iqram Zafriel tarik nafas. Adakah dia juga tidak mempercayai cinta dan sebab itulah hatinya tidak terbuka sehinggalah muncul gadis ini di hadapannya? 

“Kenapa Esha tak percaya?” 

“Can we drop the subject Abang Iqram? Esha tak suka.” Riak muka Jihan Raysha jelas menunjukkan dia tidak selesa. 

“Okay. Chinese guy tu ke Dash?” 

Jihan Raysha mengangguk laju. 

“Esha kenal sejak Esha dijadikan anak angkat daddy. Ayah Dash kawan baik daddy kat sana. Rakan kongsi daddy. Dia bukan Chinese, dia Korean.” 

“Really? Accent dia sangat sama dengan Esha dan patutlah dia pandai bercakap bahasa Melayu. Abang Iqram impress. Daddy Esha memang layak dapat anugerah cikgu bahasa Melayu terbaik!” 

Jihan Raysha ketawa. 

“Kalau kata daddy… bahasa ni tak semestinya kaum tu je boleh fasih. Semua orang boleh belajar dan bercakap bahasa orang lain. Bahasa ni sebahagian dari budaya sesuatu bangsa. Bila kita kembangkan bahasa kita pada bangsa ataupun kaum yang lain, umpama kita kembangkan budaya kita pada orang lain. Kami memang membesar bersama-sama. Dia ada kakak. Tapi dia bukan Chinese. Dia Korean.”

“Wow, orang Korea boleh cakap Melayu. Tapi dia tu Korean dari Korea ke?” Setahu Iqram Zafriel, jarang orang Korea boleh bercakap bahasa Inggeris dengan lancar. 

“Takdelah. Kawan baik daddy, Uncle William dan Auntie Anna tu Caucasian. Dia orang ambil Haven dan Dash dari Korea. International adoption.”

“Oh, macam Angelina Jolie?”

Jihan Raysha mengangguk. Terbayang wajah anak-anak Angelina Jolie dan Brad Pitt seramai enam orang itu. Kedua-dua artis itu juga akhirnya melangsungkan juga perkahwinan selepas bertahun-tahun hidup bersama. Dia juga pernah berhasrat untuk mengambil anak angkat selepas berkahwin nanti walaupun mempunyai anak sendiri. 

“Hmm… tak boleh tidur ke?” 

Jihan Raysha mengangguk. Tahu-tahu sahaja dia banyak berfikir sehingga tak dapat melelapkan mata. Nasib baiklah dapat juga berbual dengan Dash walaupun sekejap dan nasib baik jugalah Iqram Zafriel tidak bertanya lagi tentang Aidan. Menyesal juga kerana terlepas cakap tadi. Dia memang tidak suka hubungannya dengan Dash diragui. Kenapa mesti lelaki dan perempuan tidak boleh bersahabat baik? 

“Mesti sebab Esha banyak sangat fikir. Otak pun penat,” balas Iqram Zafriel sedikit mengeluh. 

“Tapi Abang Iqram tak tidur juga. Tak boleh tidur ke?” 

Iqram Zafriel tersentak. Dia terus mengangguk.

“Kenapa? Apa masalah Abang Iqram pula?” Jihan Raysha pelik.

Iqram Zafriel garu kepala. Takkan nak beritahu dia tidak boleh tidur sebab fikirkan gadis di hadapannya ini? Dia sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia tidak pasti apa sebenarnya yang dia mahukan daripada gadis ini. Pertama kali sebenarnya dia berasa begitu. Dia risau juga dikecewakan. 

“Abang Iqram?” Seru Jihan Raysha separuh berbisik apabila melihat lelaki di hadapannya ini tiba-tiba seperti termenung panjang pula. 

“Hmm… Abang Iqram jarang tidur awal. Selalu pukul satu baru tidur.”

“Betul?” Terbeliak mata Jihan Raysha.

Iqram Zafriel ketawa. 

“Abang Iqram buat apa? Hang out dengan kawan ke?” Jihan Raysha tayang muka tidak percaya. Pukul berapa pula lelaki ini bangun?

“Takdelah. Kadang-kadang je. Selalu Abang Iqram buat kerja.”

“Sampai pukul satu?”

Iqram Zafriel mengangguk.

“Malanglah siapa jadi isteri Abang Iqram nanti. Gigit kuku je.” Jihan Raysha tergeleng. 

Meletus tawa Iqram Zafriel.

“Ish, kalau ada isteri kat rumah… takde Abang Iqram balik lewat lagi.” 

“Betul ke?” Jihan Raysha terbayangkan bekas kakak iparnya yang juga tidak dapat menyesuaikan diri hidup berkeluarga terutama sekali selepas kelahiran Sara. 

“Betullah! Kenapa? Tak percaya?”

Jihan Raysha mengangguk. 

“Ish!” Hidung mancung Jihan Raysha ditarik. Comel betul. Walaupun mancung, tetapi tidaklah mancung seperti originally Mat Salleh tu. Agak Melayu juga bentuk hidung Jihan Raysha. Comel. 

“Apa ni main tarik-tarik hidung!” Jihan Raysha tepis tangan Iqram Zafriel. 

Iqram Zafriel ketawa lagi. Senang hati melihat muka cemberut Jihan Raysha. 

“Comel sangat hidung tu. Geram Abang Iqram tengok!”

“Hidung Esha pun geram. Pergilah ambil cermin. Buat kat hidung sendiri. Sakit tau!” Pantas tangan Jihan Raysha menarik hidung Iqram Zafriel pula. 

“Adoi!” 

“Padan muka!”

“Tak baik berdendam. Hidung Abang Iqram ni bukan mancung sangat macam hidung Esha tu.” Iqram Zafriel pegang hidungnya yang terasa sengal. Sesaat kemudian dia terpesona apabila melihat gadis di hadapannya kini ketawa mengekek. 

“Dah macam clown.” 

“Oh, kutuk abang!” 

“Takpe kutuk depan-depan. Tak dosa. Yang dosa bila kutuk kat belakang.” Jihan Raysha tunjuk tanda peace. 

Iqram Zafriel tersenyum akhirnya. Suka pula mendengar kepetahan Jihan Raysha menjawab setiap kata-katanya. Boleh tahan juga Jihan Raysha membalas perbuatannya tadi. Dia memang langsung tidak jangka. 

“Abang Iqram!” 

“Apa?” Sekali lagi namanya diseru. Kali ini naik satu noktah. 

“Abang Iqram, kenapa baik sangat dengan Esha? Kita bukan kenal sangat pun. Berjumpa pun baru… tiga kali,” ucap Jihan Raysha. Dia memang baru berjumpa dengan Iqram Zafriel dua kali sahaja. 

Iqram Zafriel tersenyum.

“Abang Iqram pun tak tahu. Takdir kot Abang Iqram kena tolong Esha. Lagipun Esha ingat tak?”

“Apa?”

“Dua kali... Esha jumpa kembar Esha. Dua kali juga Abang Iqram jadi penyelamat Esha.” 

“Penyelamat?” Tidak faham. Jihan Raysha tayang muka blur. 

“Pertama waktu kat KLCC tu. Tiba-tiba Esha menangis dan lari balik. Kali kedua tu… tadi. Tiba-tiba Esha lari keluar. Budak-budak berdua tu takut sungguh apa-apa jadi pada Esha, jadi suruh Abang Iqram tolong.” 

Jihan Raysha terkedu. 

“So, ada balasan tak dari pertolongan Abang Iqram tu?” soal Iqram Zafriel. Keningnya sengaja dinaikkan.

“Tak ikhlas nak tolong.” Bibir dimuncungkan.

Terhambur tawa Iqram Zafriel.

“Bukan tak ikhlas sayang. Tapi sebelum Esha ambil keputusan nak lari tu… investigate dulu. Tapi lepas ni… jangan dah buat keputusan terburu-buru macam tu. Tiba-tiba lari je. Semua orang risau tau,” bebel Iqram Zafriel. Nada seperti tidak berpuas hati. 

“Nak investigate apa pula?” Berkerut dahi Jihan Raysha. Dia memeluk tubuh. Sejuk pula malam-malam ini. 

“Siasat dulu. Abang Iqram ni dah makan ke belum?” 

“Jangan risau. Tadi kali terakhir, Esha mintak tolong Abang Iqram.” 

Iqram Zafriel tersengih nakal.

“Kita tengok dan lihat,” balasnya.

Jihan Raysha diam. Benci dengan sengihan Iqram Zafriel. 

“Esha….” Panggil Iqram Zafriel pula.

“Apa?” Keras suara Jihan Raysha. Langsung tidak memandang wajah Iqram Zafriel. Dia berpaling jauh.

Iqram Zafriel tarik sengih. Kelakar. Merajuk ke?

“Esha ni…. makin marah, makin cantik,” ucapnya.

“Jangan nak mengarut! Ayat tu dah basi. Abang Danny, daddy dah selalu cakap. Lame,” balas Jihan Raysha selamba. 

Iqram Zafriel ketawa. 

“Abang Iqram tak mengarutlah. Dah ramai orang cakap rupanya. So, abang tukar sikit. Esha ni… makin marah, makin….”

“Apa?” terus Jihan Raysha berpaling menghadap wajah Iqram Zafriel. Dia tahu wajahnya kini merah padam. Nasib baik cahaya luar rumah tidak terang. 

Iqram Zafriel ketawa lagi.

“Rahsia. Nanti Abang Iqram cakap.”

“Huh? Mana aci….”

“Eh, budak London pun kenal Aci? Aci kat India lah sayang.” 

“Jangan panggil Esha… sayang!” Perlahan betul perkataan ‘sayang’ dari mulut Jihan Raysha. Wajahnya semakin hangat apabila melihat Iqram Zafriel sudah ketawa. 

“Sayang.... mulut Abang Iqram. Abang Iqram punya sukalah.” Dia angkat kening sebelum tersengih nakal. 

“Benci sungguh!”

“Orang Melayu selalu cakap. Benci tandanya sayang, sayang!” Dia ketawa lagi apabila bantal kecil yang dipeluk Jihan Raysha sejak tadi hampir hinggap di kepalanya. Bantal kecil yang tergolek di atas lantai diambil dan dipeluk.

“Ooo… main ganas ya sayang?” Iqram Zafriel kenyit mata. 

“Kalau tahu perangai Abang Iqram macam ni. Esha tak ikut Abang Iqram!” 

“Dah terlewat sayang. Kita dah kat sini,” Sengih ditarik lagi.

Jihan Raysha mendengus geram. Dia memeluk tubuh yang terasa sejuk. 

“Sejuk ke?” Berubah suara Iqram Zafriel.

Jihan Raysha malas menjawab. Iqram Zafriel tiba-tiba berdiri dan melangkah masuk. Jihan Raysha mengeluh lega. Geram betul dia dengan Iqram Zafriel. Tidak sangka pula, semakin lama semakin menggada dan nakal. Perangai mengusik tu dah sama seperti Daniel dan arwah daddy. 

“Huh?” Jihan Raysha mendongak. Ingatkan Iqram Zafriel hendak tidur tadi. 

Iqram Zafriel tersenyum. Selimut tebal dibiarkan menyelimuti badan Jihan Raysha. Dia duduk kembali. 

“Susuh nak jaga anak orang ni. Bukan macam jaga anak kucing.” 

“Anak kucing? Abang Iqram ingat Esha ni anak kucing ke?” 

“Ala… jangan marah! Kucing pun comel.”

“Tak. Esha tak suka.”

“Perbandingan je. Kalau ada kucing macam Esha… hari-hari Abang Iqram gomol.” Otak sudah fikir bukan-bukan. Itulah kalau berdua, memang akan ada yang ‘ketiga’. 

“Gomol?” 

“Kalau Esha demam… abang juga susah. Habislah klon-klon tu marah abang.” Iqram Zafriel tarik sengih. Dia membetulkan selimut yang membaluti tubuh Jihan Raysha. Kalau ikutkan hati, memang dia nak join sekali masuk dalam selimut. Aii… kenapa gatal sangat aku ni? Iqram Zafriel beristighfar. Risau nafsu menguasai diri. Dia sengaja ubah topik. Tidak sanggup nak beritahu maksud sebenar perkataan ‘gomol’ tadi. 

“Muka dia orang tak sama kan dengan Esha? Sebab tu semua orang tak sedar. Uncle Syazlan yang dah bertahun kenal Esha pun tak sedar.” Jihan Raysha bersuara kembali. Tetapi lebih perlahan. 

Keluhan dilepaskan kini oleh Iqram Zafriel. 

“Sebenarnya muka korang sama. Cuma sebab korang ni lelaki dan perempuan. Rasanya kalau Esha lelaki… mesti muka sebiji budak berdua tu. Tapi kalau muka Esha macam dia orang, cuba bayangkan Kimy or Jimy rambut panjang. Badan macam perempuan? Ya Allah… sumpah Abang Iqram tak sanggup bayangkan!”

Terlepas tawa Jihan Raysha. Dia juga tidak sanggup nak membayangkan. 

Iqram Zafriel tarik sengih. Suka dia melihat Jihan Raysha ketika ini. Sesungguhnya dia bertuah kerana berjaya ‘melarikan’ Esha jauh dari Kuala Lumpur. Mata biru Jihan Raysha yang galak bersinar itu membuatkan dia leka sekejap. Subhanallah, cantiknya ciptaan-Mu ini. 

“Esha. Boleh Abang Iqram tanya?”

Jihan Raysha mengangguk.

“Kenapa Esha datang KL, tapi Esha rahsiakan siapa Esha?” 

Jihan Raysha tarik nafas. Dia tahu soalan itu akan ditanya jua. Dia sendiri sebenarnya tiada jawapan untuk soalan itu.

“Apa perasan Abang Iqram bila dapat tau siapa Esha? Abang Iqram pun marah macam Jimy tadi?” soal Jihan Raysha kembali. Dia pegang pipinya pula. 

Iqram Zafriel tersedar. Sekali lagi dia bangun.

“Nak pergi mana?” Cepat sahaja Jihan Raysha capai tangan Iqram Zafriel yang mahu melangkah masuk ke dalam rumah.

“Tunggu jap!”

“Eh!” Tiba-tiba pipi terasa sejuk. Matanya terpaku pada mata hazel milik Iqram Zafriel. Hatinya dibuai sesuatu. Sesuatu perasaan yang belum pernah dia rasa sebelum ini walaupun ketika bersama dengan Aidan. Keprihatinan Iqram Zafriel buat dia rasa terharu. 

“Maaf Esha. Abang Iqram memang terlupa terus tadi. Dah bengkak dah pipi ni. Nasib baik ada ais dalam peti tadi.” Iqram Zafriel tuam lagi muka Jihan Raysha dengan ais yang berbalut dengan tuala kecil. Sesekali dia pegang pipi Jihan Raysha yang nampak biru. Tadi tidak pula dia perasan. Mungkin kerana sejak tadi muka gadis itu asyik memerah kerana cuaca yang panas pada siang hari

Jihan Raysha terpaku. Dia tidak mampu bersuara mahupun menghalang. Tanpa sedar dia membiarkan sahaja Iqram Zafriel menuam pipinya itu. 

“Abang Iqram…” bisik Jihan Raysha. Dia tarik tangan Iqram Zafriel. Dia tidak selesa apabila kedudukan mereka sangat rapat. Terasa pula hembusan nafas Iqram Zafriel. Nasib baiklah dia berbungkus dalam selimut tebal. Tetapi tiba-tiba pula rasa panas walaupun tadi memang menggigil badannya. 

“Hmm….” Iqram Zafriel tersedar. Segera dia beristighfar. Kenapa pula pergi renung pipi dan bibir Jihan Raysha? Aku ni betul-betul dah buang tabiat malam-malam buta ni! 

“Nanti sebelum tidur… Abang Iqram bagi minyak gamat. Rasanya ada dalam first aid.” Tuala diletakkan semula di dalam besen. Dia berdeham. Cuba mengusir perasaan bukan-bukan yang membelenggu diri. 

“Terima kasih.” Kedua-dua mereka tiba-tiba hilang kosa kata. Jihan Raysha pandang langit yang berhias dengan bintang. Iqram Zafriel pandang lantai. 

“Ehem!” Sekali lagi Iqram Zafriel berdeham. Nak cakap apa ni? 

“Muka Esha memang tak sama ya macam dia orang?” Jihan Raysha bertanya. Bukan dia tidak tahu lelaki di hadapannya ni sedang berperang dengan perasaan malu. Kulit hitam manis itu nampak memerah. 

“Sama. Cuma Esha rambut blonde dan mata warna biru. Budak-budak tu rambut perang gelap dan mata warna kelabu.” Macam robot Iqram Zafriel menjawab.

Terlepas tawa Jihan Raysha. Tadi bukan giat ke lelaki ini mengusiknya? 

“Abang Danny pun rambut ikal perang dan warna mata kelabu. Cuma rambut Abang Danny tu lebih curly sikit. Agaknya Sara pun menurun dari Abang Danny. Curly sikit kat hujung rambut,” ucap Jihan Raysha. Terbalik pula rasanya. Patutnya dia yang terlebih malu. Siapa yang perempuan sebenarnya ini? Kenapa pula Iqram Zafriel nampak macam tersipu-sipu? Sekejap-sekejap bermain dengan rambut lurusnya yang sedikit tercacak apabila tidak diletakkan gel. Sesekali juga menguak rambut yang menutup hampir keseluruhan dahi. 

“Tapi takpelah. Semua dah terbongkar kan? Tak perlulah Esha simpan lama-lama. Baru sekarang Abang Iqram faham sebab Esha terkejut sangat waktu pertama kali jumpa Jimy dulu. Esha pun tak jangka kan?” Iqram Zafriel menyoal. Dia tidak jadi merenung mata biru itu lagi. Malu. Matanya masih fokus pada lantai. 

Jihan Raysha mengangguk. 

“Apa yang Abang Iqram tengok tu?” 

“Apa?”

“Dari tadi tengok lantai. Cantik sangat ke lantai tu?” 

Iqram Zafriel melepas pandang pada Jihan Raysha. Dia dapat mengesan sengihan pada bibir merah itu walaupun wajah itu sengaja tayang muka blur. 

“Sakat Abang Iqram ya?”

Jihan Raysha angkat bahu. 

“Manalah tahu dah berkenan sangat ke lantai tu. Esok suruhlah Pak Cik Alif cabut… bawa balik KL.” Jihan Raysha sengaja menyakat.

Iqram Zafriel mendengus geram. 

“Sebenarnya Esha memang tak pernah tahu selama ni… Datuk Abdullah tu papa kandung Esha. Lepas daddy meninggal, baru Esha tahu.” Jihan Raysha menyeluk poket seluar. Dia mengeluarkan surat yang terakhir yang ditinggalkan Encik Ebrahim. Entah kenapa, surat itu akan sentiasa dibawanya ke mana sahaja dia pergi. Surat itu membuatkan dia dekat dengan Encik Ebrahim. 

“Daddy Esha rahsiakan?” soal Iqram Zafriel selepas isi kandungan surat dibaca sehingga habis. Dia dapat merasakan betapa sayangnya arwah Encik Ebrahim pada Daniel dan Jihan Raysha. Memang kadang-kadang manusia akan melakukan apa sahaja bagi merebut cinta dan kasih sayang. 

Jihan Raysha mengangguk. Dia ambil semula surat yang dilipat Iqram Zafriel. 

“Tiga tahun lepas daddy balik Malaysia jumpa Uncle Syazlan. Masa tulah Uncle Syazlan terlepas cerita tentang anak-anak Datuk Abdullah yang hilang. Mula-mula daddy anggap kebetulan je. Tapi bila tanya lebih details, dan bila balik London… daddy hired private investigator, memang betullah Esha dan Abang Danny… anak-anak Datuk Abdullah yang hilang. Cuma daddy rahsiakan sebab takde keberanian. Daddy takut kita orang lari. Masa tu daddy dah sakit.”

“Sakit apa?” 

“Lung cancer stage three.” 

“I’m sorry, Esha sebab ada terfikir bukan-bukan pasal daddy Esha. Ada terdetik tadi… daddy Esha pentingkan diri sendiri.” 

“Doktor kata mungkin beberapa bulan je akan hidup. Tapi masa tu juga… Sara lahir. Kelahiran Sara banyak bagi kekuatan untuk daddy teruskan hidup. Tapi semakin hari, daddy nampak semakin sakit sehinggalah Syawal hari tu. Tapi daddy bertahan hampir tiga tahun, sama macam umur Sara.” Jihan Raysha genggam kedua-dua tangannya. Betapa jauh dalam sudut hatinya, dia masih tidak dapat menerima pemergian Encik Ebrahim. 

Iqram Zafriel melepas pandang pada laut. Tenang. Tambah lagi dengan bulan yang galak bersinar. Entah kenapa, dia rasakan mata biru Jihan Raysha seperti laut yang cantik membiru. 

“Abang Iqram kenal mummy Esha?”

Iqram Zafriel terpinga dengan soalan itu. Lambat-lambat dia mengangguk.

“Kenal. Tapi tak ingat sangat. Auntie Sara pergi masa Abang Iqram kecil. Dulu kami panggil Ejay. Bukannya Danny. Sebab tu agaknya pak su boleh tak perasan.” 

“Ejay?” Terasa pelik apabila dia menyebutnya. Dia tidak tahu hal itu. 

“Rayzal… Ejay. Kalau tak silap, Daniel tu sempena nama ayah Auntie Sara. Sebab tu panggil Rayzal. Tapi sebab dulu masing-masing pelat, lama-lama jadi Ejay je,” terang Iqram Zafriel. Tidak sabar dia mahu berjumpa dengan sahabat zaman kecilnya itu. 

“Susah nak percaya… kita sebenarnya dah kenal waktu Esha baby.” Tersenyum Jihan Raysha. 

“Abang Iqram ingat Esha. Dulu Abang Iqram suka sangat kat Esha,” balasnya. 

“Suka pada Esha?” Berkerut dahi Jihan Raysha. Dia tak dapat bayangkan selepas berpuluh tahun, mereka bertemu kembali. Patutlah seperti ada satu perasaan yang suka dia fahami apabila pertama kali berjumpa Iqram Zafriel. 

Iqram Zafriel tarik sengih. Sekarang pun suka sangat…. 

“Dulu… Abang Iqram dua beradik je. Jarak Abang Iqram, Nad dengan Nafeesa kan jauh. Hmm… Kak Tasha dan Danny sebaya. Bila Danny dapat adik, kami pun tumpang gembira. Paling Abang Iqram teruja sebab kembar tiga. Walaupun waktu tu umur Abang Iqram baru lima tahun, tapi Abang Iqram ingat lagi perasaan teruja Abang Iqram bila lihat korang. Bila seorang menangis, tiba-tiba tiga orang sekali gus menangis. Kecoh juga dibuatnya. Jadi selalu juga Abang Iqram dan Kak Tasha main dekat rumah Danny.” 

Walaupun dia mengingati mereka bertiga, tapi gambar-gambar kenangan yang ditangkap oleh umi dan papanya yang membuatkan dia tidak pernah lupa pada Esha dan Daniel. Dia terbayang gambar dia memeluk dan memangku Jihan Raysha ketika gadis itu masih bayi. Mencium dan membelai Jihan Raysha. Tidak lama selepas itu dia dikejutkan dengan pemergian Daniel, Jihan Raysha dan Auntie Sara. Papa dan uminya menyuruh dia dan Kak Tasha merahsiakan tentang Jihan Raysha dan Daniel daripada pengetahuan Hakimy dan Najmy. Tetapi apabila mereka berusia tujuh tahun, kedua kembar itu tiba-tiba datang ke rumah bertanyakan hal Jihan Raysha dan Daniel. 

“Apa lagi Abang Iqram ingat?” Suka Jihan Raysha mendengar kenangan yang langsung tiada dalam ingatannya. Dia masih lagi bayi. Siapa akan ingat perkara itu? 

“Sekarang Esha rambut blonde. Dulu rasanya semua orang sibuk teka warna rambut Esha sebabnya Esha botak. Abang Iqram selalu juga usap kepala Esha. Tapi Jimy dan Kimy rambut lebat. Macam Abang Danny. Cuma mata hitam tu dah berubah kelabu.” 

“Botak?” Tersengih Jihan Raysha . Dia bermain dengan rambutnya pula. Rasanya Daniel ada memberitahu yang rambutnya susah hendak tumbuh. Bila berusia hampir dua tahun, barulah rambutnya betul-betul hendak tumbuh. 

“Itulah yang pelik dan kelakar. Kalau Esha tengok nanti gambar Esha, Kimy dan Jimy waktu kecil. Esha paling gemuk sekali berbanding Jimy dan Kimy. Umi cakap yang Kimy dan Jimy beralah dengan Esha waktu dalam perut. Semua makanan Esha yang makan. Tapi umi cakap Esha paling kuat sekali minum susu. Umi cakap memang sewaktu bayi lagi, Jimy dan Kimy selalu lebihkan Esha. Kalau minum susu, selalunya Esha paling lama sekali. Korang minum susu badan. Sebab itu agaknya Esha yang dibawa pergi arwah Auntie Sara. Esha memang tak boleh berpisah susu badan. Kalau tak silap, Kimy dan Jimy masa tu dah boleh minum susu botol.”

“Abang Iqram ingat?” Jihan Raysha tiba-tiba malu. 

“Umi yang cerita. Budak-budak tu suka dengar cerita tentang Auntie Sara, Danny dan Esha. Uncle Harris memang jarang ada kat rumah. Nenek pula memang tak rapat langsung dengan budak-budak tu. Bila besar sikit, barulah nenek berubah.” 

“Orang yang kena kahwin dengan Datuk Abdullah tu?”

Iqram Zafriel tarik nafas. Langsung Jihan Raysha tidak memanggil Datuk Abdullah Harris dengan panggilan ‘papa’ lagi. 

“Abang Iqram tak ingat tentang Auntie Ku. Dia sangat jarang ada dekat rumah. Kalau dia ada dekat rumah, Abang Iqram dan Kak Tasha tak datang rumah Uncle Harris. Dia garang. Tak suka budak-budak. Kimy dan Jimy pun tak suka Auntie Ku. Rasanya tak lama mereka kahwin. Budak-budak tu umur lima atau enam tahun, Uncle Harris dan Auntie Ku dah bercerai.” 

“Kenapa?”

Iqram Zafriel angkat bahu.

“Tak tahulah. Papa cakap Uncle Harris tu handsome. Bukan Auntie Ku sorang je ada hati pada papa. Mungkin Auntie Ku jealous kot. Lagipun Uncle Harris tu pewaris Mega Hotels and Resorts, perempuan mana tak nak dekat kan? Tengoklah Kimy tu… berduyun-duyun perempuan nak kat dia sebab dia mungkin bakal pewaris Mega Hotels and Resorts. Tapi papa ada cakap juga, Uncle Harris hanya setia pada Auntie Sara. Papa kesian juga tengok Uncle Harris menderita rindukan Auntie Sara, Abang Danny dan Esha.”

Jihan Raysha mengeluh. Menderita? Datuk Abdullah Harris menderita? Selama ini, sebelum mengetahui identiti sebenar Datuk Abdullah Harris, dia hanya mengenali Datuk Abdullah Harris sebagai seorang CEO yang sangat murah dengan senyuman. Langsung tidak bercalit derita. Patutlah ada orang pernah kata, tidak semestinya badut yang banyak menceriakan orang dan selalu ketawa dan tersenyum itu hatinya tidak menangis. Siapa tahu apa yang ada dalam hati kan? 

“Kami pun sama. Esha tak banyak sangat kenangan dengan arwah mummy. Gambar Datuk Abdullah, Jimy dan Kimy pun Esha takde. Sebab tu Esha tak kenal langsung Datuk Abdullah Harris.” 

“Jadi selepas semuanya dah terbongkar ni. Esha lega tak? Danny dah tahu?” 

Jihan Raysha menggeleng. 

“Nanti Esha bagitahu. Nak tengok gambar Abang Danny?” 

Cepat sahaja Iqram Zafriel mengangguk. 

“Jangan terperanjat.” 

Berkerut dahi Iqram Zafriel. Tidak faham. 

“Esha sendiri rasa bodoh sangat. Kenapalah Esha boleh tak sedar,” ucapnya. 

“Tak faham.” 

Jihan Raysha tersenyum tawar. Gambar mereka sekeluarga yang ditangkap dua tahun lepas diberikan pada Iqram Zafriel. Sebenarnya tadi sebelum Iqram Zafriel keluar, dia ada meneliti gambar tersebut. Gambar itu sahaja pengubat apabila dia kerinduan. Tetapi apabila dia meneliti gambar itu, dia baru sedar persamaan yang wujud. 

“Terperanjat kan?”

Iqram Zafriel mengangguk. Sama sungguh! Dia betul-betul tidak sangka. Dia sendiri tidak pernah membayangkan rupa Daniel apabila dewasa. Patutlah umi pernah cakap yang Daniel betul-betul mewarisi wajah Datuk Abdullah Harris. Cuma rambut Daniel lebih ikal dan berwarna coklat. 

“Kenapa pula pak su boleh tak sedar kan?” Iqram Zafriel tergelak pula. Pasti sekarang Encik Syazlan rasa amat bersalah. 

“Hmm… entahlah. Mungkin masa tu Allah tak nak tunjuk lagi kot kebenaran. Esha sejak kecil duduk dengan Abang Danny pun tak sedar persamaan tu. Inikan pula Uncle Syazlan yang hanya kenal Abang Danny melalui gambar je. Setiap kali dia datang London, Abang Danny kat Melbourne.” 

“Memanglah Abang Iqram tak kenal Uncle Harris waktu dia muda… tapi Danny ni memang macam Uncle Harris waktu muda. Hmm.. ini ke daddy Esha?” 

“He look handsome and nice.” Itu sahaja komen yang mampu Iqram Zafriel berikan. Mungkin rupa Encik Ebrahim ada iras Eizlan Yusuf. Malah rambut Encik Ebrahim masih hitam.

“Thanks. Yang sebelah Abang Danny tu… Natalia. Bekas isteri Danny. Mereka bercerai tak lama lepas tu.”

Iqram Zafriel pandang Jihan Raysha. Dia terkejut. Bercerai? 

“Sara? Baby rambut blonde ni ke?” soal Iqram Zafriel. Dia memandang lama bayi perempuan berambut ikal separas bahu yang didukung oleh Encik Ebrahim. Comel sungguh! 

“Sara Hope Raniaa . Anak Abang Danny.”

“Nice name. Sempena nama Auntie Sara ya?” soal Iqram Zafriel.

Jihan Raysha mengangguk dan tersenyum. 

“So, siapa jaga Sara?” 

“Kakak Natalia memang tak boleh bagi commitment pada Sara. Jadi bila bercerai, memang Kak Natalia berikan 100% hak penjagaan pada Abang Danny. Kakak Natalia tu workaholic.” 

Berkerut dahi Iqram Zafriel. Hilang terus fokus pada Jihan Raysha. Bunyi apa tu? Matanya meliar. 

“Kenapa Abang Iqram?” Jantung Jihan Raysha berdegup kencang. Cepat sahaja tangannya memegang tangan Iqram Zafriel. Lelaki itu yang memang juga cuak terus membalas pegangan tangan Jihan Raysha Gaya memang macam dalam cerita hantu. Nasib baik tak berpeluk je! 

“Ya Allah…. Budak- budak ni! Buat apa kat luar ni? Masuk cepat!”

Jihan Raysha dan Iqram Zafriel berpandangan. Pucat wajah masing-masing. Wajah Pak Cik Alif dipandang tidak berkelip. Bila masa pula ada kat belakang mereka ni?

“Pak cik! Lain kali beri salam. Ya Allah, hilang semangat Iqram!” Iqram Zafriel beristighfar panjang. Masya-Allah…. 

Pak Cik Alif tersengih sebelum wajahnya bertukar serius.

“Sini kawasan kampung Iqram.” Pak Cik Alif menggeleng. Nasib baiklah dia yang menjumpai mereka berdua. Walaupun dia tahu mereka hanya berbual, tetapi apabila sudah berbual di tempat yang gelap seperti ini. Pelbagai perkara boleh terjadi. 

“Kami tak buat apa-apa.” Iqram Zafriel menggeleng. 

“Tu!” Pak Cik Alif pandang tangan Jihan Raysha. Terbuntang matanya! 

Jihan Raysha termalu sendiri. Segera dia melepaskan tangan dan berpura-pura membetulkan rambutnya yang berterbangan. Iqram Zafriel cuba buat riak tidak bersalah. Malunya ya Allah! 

“Kita orang terkejut sangat tadi. Seriously, kami tak buat apa-apa.” Muka Iqram Zafriel serius. 

Jihan Raysha mengangguk laju. 

“Tapi, kat sini gelap. Kenapa tak buka lampu? Kalau kena tangkap basah macam mana? Keluarga kita juga malu.” 

Iqram Zafriel garu kepala. Lupa. Lagipun cahaya dari dalam rumah sudah cukup.

“Hah? Esha tak faham. Tangkap basah? Pak cik kami duduk kat beranda je. Ada atap. Lagipun tak hujan. Mana ada basah. Siapa nak tangkap kami ni? Kami bukan nak merompak.” Jihan Raysha buat muka pelik.

Iqram Zafriel dan Pak Cik Alif berpandangan.

“Hmm….” Pak Cik Alif pandang Iqram Zafriel. Kelu lidahnya. 

Iqram Zafriel pegang perut sebelum tawa mula meletus. 

“Sayang. Sayang. Esha betul-betul kelakar!” Semput Iqram Zafriel hendak bersuara. Tawa yang meletus tidak dapat dihentikan.

Jihan Raysha tarik muncung. Kan dah kata jangan panggil sayang! Dia pandang Pak Cik Alif sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. 

Pak Cik Alif garu kepala. Siapa yang marah siapa ni? Pak Cik Alif pandang Iqram Zafriel yang sudah terduduk di atas lantai. Ya Allah, dah kena sampuk ke budak ni?

8 comments:

  1. ala...sikit nya....

    cecepat add n3 baru yer...

    best...

    ReplyDelete
  2. yeee cepat2 la sambung.......best

    ReplyDelete
  3. sambung lagi sis..
    sikit sangat tak puas la..

    ReplyDelete
  4. yea yea..
    isha date ngan abang iq ya

    ReplyDelete
  5. cepat sambung.....best cite ni

    ReplyDelete
  6. ble nk add yg bru pnye...x sbr nk smbng bce n nk tau ksh lnjut die...

    ReplyDelete