Cinta Semalam: Bab 23


“KENAPA Esha?” terjengul Mak Cik Faridah dengan wajah bimbang. Dia terus melangkah turun dari rumah. Senduk yang digunakan untuk mengacau kuah kari tadi, masih dipegang kejap. 

Jihan Raysha pandang kakinya. 

“Kau ke Montek?” Mak Cik Faridah ketawa. Kucing yang besar badannya diambil dan didukung. 

Jihan Raysha seka air mata yang menitik. Sebenarnya dia tidak takut dan benci pada kucing, cuma bulu romanya pasti meremang setiap kali haiwan berbulu seperti kucing ataupun anjing datang mendekat. Sejak tadi Montek sibuk mengikutnya setiap kali dia melangkah. Akhirnya bila dia duduk di atas bangku, Montek semakin menghampirinya dan terus menggesel badan pada kakinya. Meremang bulu roma Jihan Raysha. Terus sahaja dia menjerit dan melompat. 

Montek yang juga terkejut turut sama ikut melompat. Orang pernah cakap, kalau kucing sukakan kita walaupun tak kenal, maknanya hati orang itu baik. 

“Kenapa?” Pak Cik Alif pula muncul dengan tukul pada tangan. Wajah itu nampak terkejut. 

“Err....” Jihan Raysha malu tiba-tiba. 

“Montek kacau Esha,” beritahu Mak Cik Faridah dengan senyuman lebar.

Pak Cik Alif menggeleng. Hampir gugur jantungnya tadi apabila mendengar jeritan nyaring Jihan Raysha. Dia yang sedang menukul, hampir sahaja menukul tangan sendiri.

“Esha. Kenapa?” 

Mak Cik Faridah dan Pak Cik Alif serentak ketawa. Wajah Iqram Zafriel betul-betul mencuit hati dengan rambut berserabut. Muka pula masih mamai. Sekejap-sekejap menenyeh mata. 

“Montek kacau Esha,” beritahu Pak Cik Alif pula.

Mak Cik Faridah mengangguk. Montek diletakkan semula di atas tanah apabila kucing itu sudah sibuk mahu melompat.

“Mak cik!” 

Jihan Raysha melarikan diri sekali lagi apabila Montek berlari ke arahnya. 

“Huh? Esha? Montek ni kucing Parsi… bukannya harimau. Dia tak makan oranglah walaupun badan dia gemuk macam ni,” ucap Iqram Zafriel tidak percaya dengan fobia yang dihadapi Jihan Raysha kini. 

“Mak cik!” Jihan Raysha pandang Mak Cik Faridah. Lengan Iqram Zafriel dipeluk kejap seperti tidak mahu dilepaskan. Kaki kanannya diayun laju apabila Montek datang menghampiri mereka. 

Terpinga-pinga Iqram Zafriel. 

“Ambil Montek tu Ida. Nanti tak pasal-pasal, demam budak ni,” arah Pak Cik Alif tersengih geli hati. Dia sendiri tidak tahan melihat Jihan Raysha dan Iqram Zafriel dan terus melangkah ke belakang rumah. Mak Cik Faridah melangkah masuk ke dalam rumah. Sempat dia menyimpan Montek di dalam sangkar. 

“Dengan Montek pun nak takut.” Air mata Jihan Raysha yang mengalir diseka. Dia tersenyum tipis.

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel lama.

“Kucing tu siapa punya? Semalam tak nampak pun.” 

“Safarina. Anak mak cik dan pak cik. Kucing tu memang suka merayap,” jawabnya tersenyum geli hati.

“Apa? Ingat lawak ke? Abang Iqram tahu tak harimau tu tergolong dalam keluarga cat. Muka pun dah lebih kurang. Cuma kucing Montek ni putih dan gemuk. Bulu pun tebal. Naik bulu roma Esha. Kalau badan dia warna oren, memang sebiji macam harimau dalam zoo tu. Kenapa nama dia Montek? Montek tu maksudnya apa?”

Iqram Zafriel sudah ketawa. Bercakap tak ubah seperti bertih jagung. 

“Montek. Montek tu nama kucing ni lah. Kucing keluarga Pak Cik Alif.”

Jihan Raysha garu kepala. 

“Kenapa baru bangun?” Soalan lain disoal pula. Dari tadi dia menunggu Iqram Zafriel bangun. Bosan juga apabila tiada teman berbual walaupun semalam marah juga pada Iqram Zafriel yang sempat lagi mengusiknya sewaktu Pak Cik Alif tiba-tiba muncul. Tapi hatinya kembali sejuk apabila sebelum tidur, Iqram Zafriel menyerahkan minyak gamat seperti yang dia janji itu. 

“Dah lama bangun. Tapi malas Abang Iqram nak bangun awal-awal. Abang Iqram kalau bangun awal pun, Abang Iqram tak tahu nak buat apa.”

“Hah?” Berkerut dahi Jihan Raysha. Entah kenapa apabila Iqram Zafriel berbicara dengan cepat, dia sukar menangkap kata-kata yang cuba disampaikan.

Iqram Zafriel ketawa. Memang susah juga hendak berbicara dengan budak London walaupun boleh berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasih.

“Abang Iqram,” panggil Jihan Raysha perlahan. Muka sudah merah padam. 

“Apa?” Iqram Zafriel tayang muka pelik. 

“Pergilah pakai baju,” ucapnya perlahan. Jihan Raysha terus menjarakkan diri dari Iqram Zafriel. Dia baru tersedar sebenarnya apabila menyedari badan sasa Iqram Zafriel. Ya Allah, memang lelaki ini kaki gim ke? Otot badan tu… memang boleh masuk pertandingan angkat berat. Tak sanggup nak pandang dada Iqram Zafriel lama-lama! 

Iqram Zafriel terkesima. Tubuh badannya dipandang lama. Astaghfirullah… Patutlah sejuk semacam. Rupa-rupanya aku ni separuh bogel di hadapan Jihan Raysha. Patutlah merah semacam muka budak ni bila pandang aku.

“Esha buat Abang Iqram terkejut. Abang Iqram tak sempat fikir panjang dah. Nasib baik Abang Iqram pakai seluar. Kalau….” Malu Iqram Zafriel dibuatnya. Tetapi dia cuba berlagak selamba. Rambut yang terasa kusut disikat dengan jarinya. Nasib baik jugalah dia gosok gigi sebelum sembahyang subuh tadi. Dia berpeluk tubuh. 

Jihan Raysha tarik sengih. 

“Esha malu ke?”

Berkerut dahi Jihan Raysha.

“Buat apa nak malu?” Bukan dia tidak pernah tengok lelaki tidak pakai baju. 

Iqram Zafriel tersenyum. Dia merapatkan wajahnya dengan wajah merah padam Jihan Raysha. Sengaja ingin menduga gadis London yang sudah berjaya menambat hatinya. Ya, Jihan Raysha memang sudah menambat hatinya! 

“Apa? Abang Iqram ni kenapa?” Jihan Raysha jadi cuak. Dia berundur setapak ke belakang. Kadang-kadang perangai Iqram Zafriel, sukar diteka. 

“La… kata tadi tak malu?”

“Siapa kata Esha malu? Esha cuma hairan. Abang Iqram nak apa ni? Pergilah mandi. Pakai baju!” Jihan Raysha garu kepala. Dia hendak tolak tubuh Iqram Zafriel tapi Iqram Zafriel pula tak pakai baju. Tak sanggup nak bersentuhan dengan otot Iqram Zafriel. Lebih baik dia pegang badan Montek walaupun berbulu lebat! Cuma tadi sahaja dia betul-betul takut sehingga tanpa sedar terpeluk lengan Iqram Zafriel. Nasib baik akalnya masih berfungsi. 

“Tadi Esha ambil kesempatan boleh pula?” 

“Ambil kesempatan apa pula?” Jihan Raysha tayang muka blur. 

“Peluk-peluk Abang Iqram tu!” 

“Hai… Esha tak sengaja! Ingat Esha suka sangat ke?” Jihan Raysha cekak pinggang. Dia cuba menjauhkan mukanya dari muka Iqram Zafriel. Sudah kenapa nak cakap dekat-dekat ni? 

“Ya ke? Esha nampak macam suka je peluk Abang Iqram?” Iqram Zafriel semakin mendekat. 

“Ish, jauh sikit! Gigi pun tak gosok lagi.” Jihan Raysha berpura-pura tutup hidung.

Terlepas tawa Iqram Zafriel. Semakin dia rasa nak menyakat gadis ini. Mukanya semakin mendekat. Nak uji lagi dia kan? 

“Abang Iqram.” 

Iqram Zafriel dan Jihan Raysha sama-sama berpaling sebelum kedua mereka terkedu. Iqram Zafriel pegang bibir. Alamak!

“So… sorry Esha. Abang Iqram tak sengaja!” Gelabah Iqram Zafriel. Tangan cuba memegang pipi Jihan Raysha tapi pantas ditepis kasar. 

Jihan Raysha pandang lama Iqram Zafriel. Mukanya merah padam. 

“Jahat!” 

Iqram Zafriel terduduk apabila melihat Jihan Raysha yang sudah berlari masuk ke dalam rumah. Dia pegang bibir. 

“Abang Iqram?” 

“Safarina Alia! Kenapa tiba-tiba datang?” Iqram Zafriel mendongak pandang muka Safarina. Gadis berusia 14 tahun itu tersenyum takut-takut. Safarina sendiri terkejut dengan adegan sesaat tadi. Dia terkedu apabila melihat bibir Iqram Zafriel sudah menjamah pipi gebu Jihan Raysha. Wajah Jihan Raysha yang memang merah bertambah merah. Nasib baik pipi Iqram Zafriel tidak berbekas tapak tangan. 

“Siapa suruh Abang Iqram duduk dekat sangat dengan Kak Esha? Abang Iqram nak ambil kesempatan ya?” Tebak Safarina, yakin. 

Iqram Zafriel garu kepala. Kelu hendak menjawab. 

“Nah. Mama kasi.” Baju t-shirt milik Iqram Zafriel dihulur. 

Iqram Zafriel berdiri semula. Seluar yang berdebu ditepuk beberapa kali. 

“I am dead, right? Macam mana ni?”

Safarina angkat bahu. Geli hati melihat wajah cuak Iqram Zafriel. 

“Semuanya salah Rina. Lain kali kalau datang… beri salam.” Iqram Zafriel melangkah meninggalkan Safarina yang terpinga. Hah?

1 comment:

  1. akhirnya ada pun n3.. memang best..smbung lagi yer nnti..

    ReplyDelete