Cinta Semalam: Bab 32


JIHAN RAYSHA melepaskan keluhan berat. Hampir seminggu Puan Sri Tengku Zanariah meninggalkan mereka semua. Walaupun dia memaafkan neneknya itu, entah kenapa jauh di sudut hati dia masih tidak dapat menerima penderitaan yang dibawa oleh neneknya kepada mereka sekeluarga yang menyebabkan mereka adik-beradik seakan sudah menanam rasa benci kepada papa dan mummy walaupun tahu semua ini adalah ketentuan Ilahi. 

Daniel pulang ke Melbourne semalam. Walaupun mereka semua bersedih dengan pemergian Puan Sri Tengku Zanariah, kehadiran si kecil Sara yang petah menambat hati dan menghiburkan mereka semua. Sehingga kini mereka tidak faham bagaimana Sara boleh berbicara dalam bahasa Melayu sedangkan selepas kejadian itu, mulut kecil itu tidak lagi berkata dalam bahasa Melayu. Sara sendiri seperti lupa apa yang dibuatnya pada arwah Puan Sri Tengku Zanariah. 

Seminggu di Malaysia, Daniel dan Sara tinggal di rumah agam Datuk Abdullah Harris. Dia pula masih berdegil mahu tinggal di hotel. Tapi kini dia menetap di apartmen milik Iqram Zafriel. Lelaki itu ada membeli beberapa buah rumah. Pelaburan masa depan. Katanya, lebih baik membazir beli rumah daripada membazir beli kereta. Kereta ibarat pelaburan besi buruk. Iqram Zafriel memaksanya tinggal di situ. Walaupun dia menolak, tapi Daniel pula yang memaksanya. Jika dia berdegil tidak mahu tinggal di apartmen Iqram Zafriel, dia dikehendaki tinggal bersama papanya pula. 

“Jauh termenung?” 

Jihan Raysha tersentak. Dia terkejut melihat Hakimy yang tersenyum di muka pintu pejabatnya. 

“Rindukan Abang Danny?” soal Hakimy lagi apabila Jihan Raysha langsung tidak memberi respons dengan tegurannya tadi.

Jihan Raysha tersenyum sahaja. Dia masih kekok berbual dengan Hakimy yang selama ini memang dianggap sebagai ketuanya. Walaupun identitinya sudah terbongkar, namun tiada sesiapa yang tahu status dirinya sebagai anak Datuk Abdullah Harris yang hilang itu. Lagipun tidak semua orang tahu sejarah hidup keluarga mereka. Rasanya mereka langsung tidak mengetahui kewujudan Daniel dan Jihan Raysha kecuali orang terdekat sahaja. 

“Masuklah Encik Kimy.” 

Dahi Hakimy berkerut.

“Kenapa?” Pelik apabila riak muka Hakimy berubah kelat. Pintu bilik ditutup dan Hakimy terus duduk tanpa dipinta. 

“Berapa kali abang nak ajar. Panggil Abang Kimy. Walaupun di pejabat, abang sendiri panggil papa, papa dan bukannya Datuk Abdullah Harris. Lagipun hotel ni, hotel Esha juga,” ucap Hakimy. Sejak papanya menggalas tugas yang diserahkan oleh Puan Sri Tengku Zanariah dulu hampir 20 tahun yang lalu, banyak perubahan yang dibawa masuk oleh papanya. Perubahan utama adalah walaupun mereka semua berbeza pangkat, agama, agama dan umur, mereka disuruh bekerja seperti sebuah keluarga yang besar. 

“Tapi….” Jihan Raysha garu kepala yang tidak gatal. Dia kekok hendak memanggil Hakimy sebegitu walaupun sebelum dia mengenali Hakimy dan Najmy, dia membahasakan abang-abang kembarnya dengan panggilan abang. Lagipun mereka ni sebaya. Cuma mungkin berbeza 20 minit daripada Hakimy dan Najmy. 

“Kalau Esha ni kakak… memang Abang Kimy dah panggil Esha, kakak. Jimy pun tahu panggil abang ni… abang tau. Iqram boleh pula Esha panggil abang. Tapi abang yang memang abang Esha ni, susah pula ke nak panggil?” soal Hakimy. 

Jihan Raysha ketawa.

“Ketawa pula dia.” 

“Encik Kimy jealous dengan Abang Iqram ke?”

“Tengok tu, Abang Iqram. Geram abang tau tak.”

Jihan Raysha ketawa lagi.

“Haa… inilah yang abang nak. Bukan masam mencuka je.” Terus Hakimy tersenyum girang. Kubur arwah neneknya masih merah. Tetapi dia tidak mahu meratapi pemergian neneknya. Setiap malam rumah agam mereka akan penuh dengan orang masjid yang datang membaca tahlil. Bukan kenduri tahlil untuk nenek sahaja, tetapi untuk arwah mummy dan Encik Ebrahim. Papanya juga masih lagi bercuti. Bukan kerana papanya bersedih, cuma memerlukan masa untuk menerima perubahan selepas kehilangan insan yang amat disayangi dan dihormati selama ini. 

Jihan Raysha tarik sengih. 

“Abang gembira Esha dah kembali dalam keluarga kita. Abang Danny dan Sara semuanya sudah bersatu walaupun Abang Danny duduk di Melbourne. Tapi yang penting, kita tak terpisah dah.” Jujur Hakimy meluahkan isi hatinya.

“Tapi, bukan semua suka Esha,” balas Jihan Raysha sedikit gusar. Dia sedar layanan Najmy padanya agak hambar berbanding Hakimy. Najmy juga dilihat seperti menjauhkan diri darinya.

“Maksud Esha? Jimy?”

Jihan Raysha mengangguk.

“Siapa pula kata abang benci Esha?” 

“Hoi, kau ni!” Sergah Hakimy terus berdiri. Luruh jantungnya mendengar suara Najmy yang tiba-tiba tadi. 

Jihan Raysha tersengih sahaja. Dia sudah menyedari kedatangan Najmy. Sebab itu dia tidak meneruskan kata-kata. 

Najmy tersengih.

“Kau buat apa sini?”

“Cari korang la. Aku nak ajak makan. Aku lapar sangat ni,” jawab Najmy terus duduk di sebelah abangnya yang sudah duduk kembali. 

Jihan Raysha pula masih terpinga dengan kehadiran abang-abang kembarnya. Dia baru mula bekerja hari ini. Sebenarnya dia cuba mengelakkan diri berjumpa dengan keluarganya. Dia sendiri tidak tahu sebab dia berbuat demikian. 

“Kenapa cakap abang benci Esha?” soal Najmy ingin tahu. Wah, dia sendiri kekok membahasakan dirinya ‘abang’. 

“Sebab….” Jihan Raysha garu kepala yang tidak gatal. 

“Sebab?” Bergabung suara Hakimy dan Najmy.

“Abang macam tak suka Esha.”

“Akhirnya….” Hakimy ketawa.

“Abang kenapa pula ni?” Pening Najmy sekejap.

“Akhirnya Esha panggil juga kita abang,” beritahu Hakimy.

Najmy hanya mengangguk. Itu pun nak kecoh abang ni. Dia sepatutnya yang teruja kerana pertama kali dalam hidupnya membahasakan diri ‘abang.’ Akhirnya adik dia yang hilang sudah muncul. 

“Siapa pula kata abang benci Esha. Abang cuma terkejut Esha tiba-tiba muncul. Tambahan pula dapat tahu mummy dah takde. Arwah nenek pun baru pergi. Abang terkejut Esha. Tapi sekarang abang dah okay. Abang gembira sangat dapat jumpa Esha, Abang Danny dan si mulut becok, Sara. Rindu pula abang pada budak kecil tu,” luah Najmy pula. Malam ini pasti dia akan menelefon Sara bertanya khabar. 

Jihan Raysha ketawa. Dia juga rindukan Sara. 

“Jadi sekarang Esha nak tinggal dengan kami?” Kening Hakimy ternaik. Dia mengharapkan jawapan positif dari adik kembarnya itu tetapi hampa apabila Jihan Raysha menggeleng.

“Biar Esha duduk rumah Abang Iqram dulu. Esha tak bersedia lagi abang Kimy.”

“Okay. Abang tak paksa Esha. Asalkan Esha tahu yang kami semua mengharapkan Esha duduk semula di rumah,” ucap Najmy.

“Bagi Esha masa,” pinta Jihan Raysha .

Hakimy dan Najmy sama-sama mengangguk. 

“Jom,” ajak Najmy tiba-tiba.

“Hah?”

“Makanlah wahai kembar-kembarku sekalian. Lapar dah perut ni.”

“Mana kau tahu aku kat sini?” soal Hakimy.

“Kita kan kembar. Aku ada sense tu.” Sengih Najmy apabila Hakimy menarik muka meluat.

“Tak payah nak poyo sangat.” Menyampah Hakimy. 

Najmy tersengih.

“Aku dah Whatsapp kau. Tapi kau tak reply. Jadi aku singgah dulu cari Esha. Lepas tu baru cari kau. Aku tahu kau dalam hotel lagi sebab aku nampak kereta kau kat bawah.” Panjang lebar Najmy menerangkan. 

Hakimy pula kalut menyeluk seluarnya. Patutlah! Tertinggal telefon. Dia tersengih.

“Jom,” ajak Jihan Raysha pula. Dia sudah berkemas.

Hakimy dan Najmy sama-sama tersenyum. Hati mereka tiba-tiba dibuai bahagia. Yeay, mereka sudah jumpa adik perempuan mereka!

10 comments:

  1. hei..senyum iq ada makna tu...dpt lah jumpa isha...lpas rindu....pasti isha trkjut...! nak lg...smbg cepat2 ye

    ReplyDelete
  2. Best rindu nk n3 br dh terubat hihi. Jgn isha mrh lama2 cian Iq hihi

    ReplyDelete
  3. terbaek la najmi...mesti iq yg bg bear ngn selimut tu kt isha kn...nice

    ReplyDelete
  4. kenapa saya x boleh baca tulisan imani hatta yang lain....
    tulisan imani hatta ni mmg menarik saya untuk membacanya

    ReplyDelete
  5. Setuju dgn 'AIRIS
    Tulisan imani hatta memang terbaik^_^b
    First time baca novel Cinta Tak Terucap saya terus suka.Tak pernah jemu membacanya berulang-ulang kali^_^v
    Harap dapat terus mengikuti perkembangan tulisan saudari

    ReplyDelete
  6. lame tggu update tp knp pendek sgt...
    xpuas bc..huhu

    ReplyDelete
  7. best2, saya peminat akak dr tahun 2010 lagi, semoga kak meneruskan penulisan kak dan berjaya dlm bidang ini,,

    ReplyDelete
  8. Imani ...

    Memamng best ...

    Kak Zaitun

    ReplyDelete
  9. iman......teruskan menulis k...moga idea sentiasa melimpah ruah...Aamiin//
    (Nurr Bayu)

    ReplyDelete