Cinta Semalam: Bab 12


JIHAN RAYSHA mengesat hidungnya dengan tisu. Bertimbun-timbun tisu di atas katil. Sesekali dia mengesat pula dengan hujung lengan pijama. Mata masih memandang skrin Mac. Dash masih memandangnya dalam riak bimbang. Nasib baiklah hari ini dia off. Kalau di Malaysia pukul 11 malam. Di sini jam baru menunjukkan pukul hampir empat petang. 

“Bila kau nak makan makanan kau tu?” Dash menyoal. 

“Nantilah.” Oleh sebab dia berdegil tidak mahu singgah untuk makan, Iqram Zafriel singgah ke KFC berdekatan untuk membungkus makanan mereka berdua. 

“Sejuk KFC tu nanti.” Dash cuba memujuk. Sejak Jihan Raysha pergi ke Malaysia, mereka berdua memang jarang berhubung kerana perbezaan waktu yang ketara. Di London masih siang, di Malaysia sudah malam. Kebetulan dia juga sangat sibuk sebagai doktor. Kadang-kadang 48 jam dia bekerja tanpa henti. 

“Aku nak buat apa ni Dash?” Jihan Raysha kesat lagi air yang mengalir keluar dari hidung dengan hujung bajunya. 

“Ish, kau ni! Pengotor betul.” Dash menggeleng. Dia tunjuk muka hendak muntah.

Jihan Raysha ketawa. 

“Nanti takde siapa nak ke kau. Pergi ambil tisu tu kesat hidung tu,” suruh Dash menggeleng. 

“Kau kan ada.” Jihan Raysha tarik sengih. 

“Kau nak suruh aku campak mana girlfriend aku?” 

“Sejak bila kau ada girlfriend?” Jihan Raysha menyoal, sinis. Wajah kembali tersenyum.

Dash ketawa. Dia bukan gay. Sebelum usia mencapai 30 tahun, memang dia sudah berniat tidak akan mencari teman wanita dan berumah tangga. Lagipun kakaknya yang lebih tua daripadanya juga masih belum berkahwin. 

“Kan senang hati aku tengok kau senyum macam tu. Aku ajak kau Skype malam ni bukan sebab nak tengok kau nangis-nangis.,” ujar Dash memujuk. Memang sekarang musim Jihan Raysha dalam kedukaan. Sepanjang dia mengenali Jihan Raysha, gadis itu sentiasa ceria. Jarang sangat menangis. Tapi sekarang sejak kematian Encik Ebrahim, hati Jihan Raysha nampak rapuh. Mudah menangis. 

“Terima kasih Mr McCormick.”

“Jangan panggil aku macam tu. You remind me of my dad.” Dash menggeleng. Walaupun hanya anak angkat, namanya tengahnya, William adalah sempena nama ayah angkatnya. Setiap anak lelaki pertama keluarga McCormick akan diletakkan dengan nama itu. 

Jihan Raysha ketawa. Dia juga terbayang pada Uncle William yang berbadan besar dan murah dengan senyuman. Langsung tidak kisah perbezaan bangsa dan sangat menyayangi Haven dan Dash seperti anak sendiri. Dia dan abangnya juga dapat berkongsi kasih sayang yang sama. 

“Ye lah Doktor Dash McCormick. Terima kasih sebab ada dengan aku,” 

Dash tersenyum.

“Kita ni dah macam adik-beradik. Kau jangan risau. Hmm… siapa kau sebut tadi. Abang Iqram? Siapa pula dia tu? Kau tak pernah cerita kat aku pun.” 

“Dia tu kawan baik Kimy dan Jimy.” 

“Setahu aku… kalau sebut ‘abang’ kat depan nama, dia tu tua dari kau walaupun tiada pertalian darah. Betul kan?” Dash menyoal. Dia kadang-kadang keliru juga walaupun memang dia fasih berbahasa Melayu. Nak gelak pun ada. Dia dan Haven lebih fasih berbahasa Melayu daripada bahasa Korea walaupun mereka berempat dihantar ke kelas bahasa Korea dan bahasa Melayu pula hanya diajar oleh Encik Ebrahim sahaja. Di London, memang dia tidak pernah memanggil Haven dengan panggilan kakak di hadapan. Tetapi untuk Daniel, Jihan Raysha memanggil abangnya dengan panggilan ‘Abang Daniel’. Malah daddy dan mummynya sendiri yang langsung tiada pertalian darah turut dipanggil ‘uncle’ dan ‘auntie’. Sebab itu ada orang salah sangka sehingga menyangka mereka ini sepupu. 

“Hmm… betullah. Dia memang takde pertalian darah.” Jihan Raysha terbayang wajah Iqram Zafriel. Entah kenapa… hatinya terpikat. Sejak pertama kali mengenali lelaki itu, dia perasan yang lelaki itu memang sangat penyabar orangnya. Malah murah dengan senyuman. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman.

“Kau kenapa pula senyum sorang-sorang ni?” Semakin berkerut dahi Dash. 

Jihan Raysha menggeleng. Kantoi! 

“Mesti ada apa-apa dengan Abang Iqram tu,” tebak Dash. Mata yang sepet semakin mengecil. 

Jihan Raysha menggeleng lagi.

“Sudahlah. Drop the subject. Kita bincang pasal macam mana aku nak berdepan dengan mereka. Help me.” 

Dash tarik nafas.

“Susah aku nak jawab.” 

“Macam mana kau berhadapan dengan keluarga kandung kau dulu?” Jihan Raysha menyoal. Memanglah Dash dijadikan anak angkat sejak bayi lagi, tetapi mestilah Dash sudah mempunyai keluarga kandung di Korea Selatan. Malah, Dash juga mempunyai ‘keluarga tumpang’.

“Aku ni… lain. Mak kandung aku serahkan aku sebab mengandungkan aku masa muda. Dia tak boleh jaga aku, dia serahkan aku untuk dijadikan anak angkat. Haven pula sebab keluarga dia miskin. Daddy dan mummy aku pun selalu bawa aku balik Korea. Kau sendiri pernah ikut dan jumpa dia orang kan? Lagipun keluarga aku dan Haven tak kaya macam keluarga kau tu. Dah macam taraf Duke pun ada.” 

Jihan Raysha mengeluh. Susahnya hidupnya. 

“Aku betul-betul minta maaf. Kalau aku ni free, memang aku dah terbang teman kau di Kuala Lumpur tu sorang-sorang. Tapi kerja aku ni… memang nak cuti pun susah.” Dash serba salah.

“Jangan risau. Kadang-kadang kau tak payah plan. Semua Tuhan dah aturkan.” 

“Hmm….” Jihan Raysha tahu, walaupun lelaki itu nampak santai dengan dunianya, tetapi Dash sangat mempercayai kewujudan Tuhan. Sekarang ini, ramai kawan-kawannya di London tidak mempercayai kewujudan Tuhan. 

“Kau pergilah tidur. Aku pun nak sambung tidur.”

“Dah petang kot kau nak tidur?” Jihan Raysha pandang wajah Dash. Sekali pandang memang Dash ada rupa Hyun Bin. Tetapi dia tidak pernah beritahu Dash. Lelaki ini boleh tahan perasan juga.

“Esok aku 24 jam kerja. Mana aku ada peluang nak tidur macam ni. Kau pergilah makan. Lepas tu tidur. Esok nak kerja. Nanti bila aku free, kita Skype lagi.” 

Jihan Raysha mengangguk lemah. Syukur dia masih mempunyai seorang kawan baik. Dia juga menganggap Aidan kawan baiknya. Cuma selepas bertukar menjadi status teman wanita, hubungan itu bertukar pada percintaan. Selepas berpisah, semua hubungan itu hilang begitu sahaja. Dia seperti kehilangan seorang kawan. Sebab itulah, dia bertekad tidak mahu mengulangi perkara yang sama. Dash tetap hanya akan menjadi kawan baiknya sampai bila-bila. 


2 comments:

  1. hohoho... leh lak tercium..
    comel la isha ni..tkut kucing..
    same lak kite tkut kucing..huhu..

    ReplyDelete
  2. hahahaha..
    lwak ler isya..
    takut kucing..
    comey jerk..!!
    haha..
    bley plak trcium..
    hahah

    ReplyDelete