Cerpen : Terima kasih, cinta


Ditulis pada: 14 November 2011

RADZI RAFIQI melepaskan keluhan berat. Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Dia membaringkan diri diatas katil. Dia baru sahaja balik dari keluar bersama kawan- kawannya. Sudah menjadi rutin, jika terdapat perlawan bola sepak, dia dan kawan- kawannya pasti akan melepak di sana walaupun dia boleh menontonya di rumah. Berbeza rasanya perasaan menonton bersama kawan- kawan dan seorang diri.

Awk wat ap?
Sy rindu awk.

SMS daripada Dahlia membuatkannya tersenyum sebelum meneliti beberapa missed called daripada Dahlia. Terdapat juga SMS daripada kawan- kawan perempuannya yang lain termasuk teman wanitanya. Radzi mengeluh pula. Rasanya Dahlia pasti sudah tidur. Dia kenal sungguh dengan aktiviti harian teman wanitanya yang dikenalinya hampir lima tahun. Walaupun beberapa kali bergaduh dan hampir terputus, tetapi hubungan mereka masih kekal sehingga hari ini. Dahlia sabar sahaja melayan kerenahnya.

***

“KERJA KE?” suara halus Dahlia kedengaran dari hujung talian.

Radzi mengangguk sahaja.

“Kerja. Tapi sekarang keluar dengan member. Minum air,” balas Radzi sedikit perlahan. Takut perbualannya didengari oleh kawan- kawannya.

“Saya baru ingat nak ajak awak minum air. Saya pun rehat jap,” balas Dahlia.

Radzi mengeluh. Dia tahu Dahlia berjauh hati dengan sikapnya yang bersikap sambil lewa sahaja. Sudah hampir setahun rasanya mereka jarang keluar bersama. Dia juga jarang membalas SMS atau panggilan Dahlia. Hanya Dahlia tidak putus- putus menelefon dan menghantar SMS padanya. Walaupun sikapnya begini, tapi sebenarnya dia masih sayangkan Dahlia.

“Kenapa semalam tak balas SMS. Tak angkat call saya?”

“Semalam tengok bola dengan member. Saya ada kat luar ni. Nanti saya nak pergi site,” balas Radzi. Dia tahu Dahlia pasti memahami intonasi suaranya yang mahu dia memutuskan talian.

“Ok. Bye,” talian dimatikan terus.

“Siapa?” pantas sahaja Farhan menyoal.

“Lia.”

“Kenapa?” Farhan dan Radzi memang sudah lama bersahabat baik sejak zaman mereka belajar di Universiti lagi. Farhan juga amat mengenali Dahlia. Dulu mereka selalu keluar bersama- sama.

“Saja.”

“Kenapa kau tak ajak dia minum sekali? Office dia dekat kan?” soal Farhan lagi. Dia dan Radzi adalah jurutera manakala Dahlia adalah seorang arkikek landskap.

“Menyusahkan dia nak berjalan sampai sini.”

“Dah lama aku tak dengar kau dan dia keluar. Korang okay tak?”

“Macam biasa Han. Aku dan dia,” balas Radzi sebelum pantas menyeluk poket seluarnya. Missed called daripada Hanis pula. Hanis adalah klien yang dikenalinya beberapa bulan yang lalu. Hubungan mereka juga agak rapat walaupun berkawan sahaja.

Buat apa ni?

SMS daripada Hanis pula masuk. Pantas Radzi membalas SMS tersebut.

“Siapa?”

“Klien aku.”

Farhan mengeluh.

“Lia baik budaknya Radz. Rugi kalau kau sia-siakan Lia. Korang kenal dah lama. Dari dulu sampai sekarang…. aku tengok kau rajin sungguh melayan mana- mana perempuan. Jangan kau lupa pada Lia sudahlah.”

“Lia tu teman wanita aku. Aku layan je. Mana aku serius.”

“Bila kau nak serius?” soal Farhan. Dia baru sahaja melangsungkan perkahwinan beberapa bulan yang lepas. Dia mengenali isterinya daripada Dahlia dan seperti Radzi, mereka juga berkenalan sejak zaman universiti.

“Aku bukan tak hargai Lia. Cuma kita dah lama berkenalan. Kalau aku free aku SMS, call dia. Tapi aku sibuk sekarang ni. Jarang ada banyak masa. Projek kita berlambak,” balas Radzi sebelum membalas lagi SMS daripada Hanis.

“Tapi dengan klien- klien kau… rajin kau hang out, SMS?” sengaja Farhan memulang paku keras.

Radzi tersengih.

“Aku sayang Lia. Klien aku yang sorang ni…. rajin SMS, called aku. Aku layan je lah.”

“Kau ego tinggi sangat Radz sebenarnya walaupun banyak kali kau cakap kat aku kau dah rendahkan ego kau depan Lia. Tapi tak sebenarnya. Cuba kau tengok betul- betul…. kalau kau yang ada kat tempat Lia. Dia buat tak tahu kat kau… apa kau rasa?”

“Dia tak sayang aku.”

“Pandai. Kalau seribu kali kau cakap kau sayang dia, tapi kau sendiri malas nak turut kemahuan Lia. Aku takut nanti Lia jadi milik orang lain. Kau yang melepas. Jangan nak cari bintang bertaburan Radzi… kau terlupa pada bulan yang cantik bersinar. Tak jemu- jemu menyinari malam.”

Radzi ketawa.

“Sejak bila kau pandai bermadah ni?”

Farhan tersengih.

“Kay. Dia rajin baca novel cinta. Kadang- kadang ada je modal dia nak berjiwang,” balas Farhan tersengih lagi.

Radzi tersenyum. Memang ada betulnya kata- kata Farhan itu.

“Aku tahu…. kau malas nak SMS. Aku kenal sangat dengan kau ni. Tapi kalau Lia dah SMS kau… kau balas. Jangan kau buat tak tahu. Call dia pun sama. Semalam banyak kali Lia call kau. Kau buat tak tahu je. Mentang- mentanglah telefon kau buat mood silent,” panjang lebar Farhan menasihati Radzi.

“Kau perasan?”

“Kau letak telefon atas meja. Aku duduk sebelah kau.”

Radzi tersenyum. Tiba- tiba dia dilanda perasaan bersalah.

“Kalau kau boleh berbual berjam- jam dengan aku… dan yang lain. Mana boleh kau abaikan Lia. Kau pilih dia dulu. Dia tu bukan sahaja awek kau… tapi dia tu.. sahabat kau juga. Kau berkongsi semua benda dengan Lia.”

“Aku tak nak bagi janji, komitment sebelum kahwin Han. Lagipun aku dan dia tak ada ikatan pun. Kalau nanti dia tiba- tiba ada lelaki lain, tak aku frust menonggeng?”

“Kalau dia ada lelaki lain. Aku kenal dia tu Radz walaupun aku kawan dia je. Kau tu pakwe dia. Kau percaya dia ada lelaki lain?”

Perlahan- lahan Radzi menggeleng kepala.

“Kalau kau layan semua perempuan…. kau ingat kau tak lukakan hati Lia? Dia boleh setia. Kau bila lagi?”

“Aku dah cakap kan. Lepas aku kahwin.”

“Tujuan kau bercinta sebelum kahwin ni…. sebab kau kenal isi hati masing- masing. Kau memang tak boleh baca hati dia walaupun kau rasa, kau memang dah kenal dia sangat. Kalau kau dan Lia dah kurang komunikasi… kau pula layan semua orang… kau tak bagi 100% kepercayaan pada Lia untuk percaya kat kau. Aku rasa kau dan dia, walaupun dah kahwin. Memang tak lama. Sebab Lia dah tanam dalam hati… jangan terlalu percaya kat kau. Tapi sebenarnya aku takut.. kau dan dia tak lama. Perhubungan tanpa komunikasi ni, susah nak berjaya Radz. Kau kata kau sayang Lia. Tapi Lia je beria nak tunjukkan sayang pada kau.”

“Panjang kau membebel Han.”

“Aku kawan baik kau dan Lia. Aku takut kau lukakan Lia. Nanti Lia tawar hati dengan kau. Dia tak rasa kau memang sayang dia macam dulu lagi.”

***

“Pisahkan kami biarpun kami terluka. Jika perkara buruk lebih banyak daripada perkara yang baik.”

AIR MATA yang menitik diseka lagi. Dahlia Hanani tersenyum pula bila genggaman tangan Kayria semakin kuat. Kayria adalah isteri Farhan. Tetapi mereka rapat sejak zaman universiti lagi. Persahabatan yang akrab antara Farhan dan Radzi secara tidak langsung membuatkan persahabatan antara Dahlia dan Kayria juga rapat.

“Kau dah fikir betul- betul Lia?”

Dahlia mengangguk.

“Apa Radz cakap nanti,” ucap Kayria turut sama merasa kepedihan yang dialami oleh Dahlia. Selama ini hanya dia tempat Dahlia meluah perasaan. Dia pula menceritakan kepada Farhan mengenai perbuatan tanpa sedar Radzi pada Dahlia. Walaupun Farhan berjanji tidak akan menceritakan kepada Radzi, tapi dia turut berpesan supaya Farhan menasihati Radzi.
“Radz tu baik. Cuma aku rasa… setakat ni sahaja hubungan kami.”

Kayria terdiam.

“Kau dah nekad?”

Dahlia mengangguk. Tawaran kenaikan pangkat ke Andalusia, Sepanyol sudah diterima olehnya. Dia akan berangkat ke Sepanyol bulan depan. Bukan dia tidak mahu memberitahu Radzi, tetapi lelaki itu sukar sungguh hendak dihubungi. Apabila dia menelefon atau SMS, sukar untuk mendapat respons daripada lelaki itu. Walaupun sudah beberapa kali dia ajak berjumpa tetapi selalunya Radzi membuat alasan sibuk. Tawaran itu sudah diterima dua bulan yang lalu. Tetapi sampai hari ini, Radzi langsung tidak mengetahuinya.

“Kenapa kau tak bincang baik- baik dengan dia Lia? Aku rasa mesti dia halang kau pergi.”

“Kau pasti?”

Kayria terdiam.

“Aku kenal sangat dia Kay. Lagipun bukan aku tak mahu beritahu dia. Tapi dia tu sibuk mengalahkan Perdana Menteri,” dia terbayang penemuan dia dan Radzi di Restauran Jauhari beberapa hari lalu. Radzi bersama seorang wanita. Menurut Radzi, wanita itu adalah kliennya. Walaupun diperkenalkan di hadapan wanita itu, tetapi hatinya turut terasa. Dengan wanita itu boleh pula Radzi meluangkan masa untuk makan bersama sedangkan mereka bekerja bukan atas urusan kerja.

“Jadi macam mana ni?” buntu pula Kayria.

“Aku dah nekad.”

“Berapa hari kau dah tak contact dengan dia?”

“Sejak peristiwa tu.”

“Dia? Tak kisah ke kau tak contact dia?”

“Dia kisah. Tapi setakat called dua tiga kali. Bila aku tak angkat. Haram dia nak called balik. Aku rasa…. mungkin aku dan dia tak ada jodoh dah,” ujar Dahlia. Semakin jauh air mata meneruni pipi.

“Aku pun tak faham. Kau dan dia saling sayang menyayangi. Tapi boleh jadi macam ni.”

“Mungkin aku tak faham apa yang dia nak. Atau aku dan dia dah lama berkawan. Sampaikan…. mungkin dia dah jemu dengan aku.”

Kayria geleng kepala.

“Aku dan Farhan pun macam korang.”

“Kau bertuah.”

“Jangan cakap macam tu. Radzi tu baik sangat Lia.”

“InsyaALLAH, aku tak menyesal. Kalau jodoh aku dan dia panjang…. sejuta tahun kami berpisah. Akan dipermudahkan ALLAH juga,” ujarnya perlahan.

***

RADZI melepaskan keluhan. Susah benar untuk dia menghubungi Dahlia sejak akhir- akhir ini. Rasanya selisih faham akibat pertemuan dia dan Dahlia sewaktu dia makan malam bersama Hanis dulu sudah selesai. Kenapa pula Dahlia seakan- akan menjauhkan diri darinya?

Awak dah tdo? Awalnya. Slmt malam.

SMS dihantar. Dia mengharap balasan daripada Dahlia. Dia cuba menyibukkan diri dengan menyiapkan lukisan pada landskap yang masih berbaki. Rumah terasa sunyi. Bertambah sunyi bila merasakan ‘kedinginan’ Dahlia. Apa pula salah aku ni?

***

“KAU kenapa?”

“Kau! Kenapa kau tak cakap?” bergegar tubuh Radzi meluahkan satu demi satu kata. Mukanya merah. Berita daripada adik Dahlia petang tadi membuatkan jiwanya melayang. Dahlia dah tinggalkannya?

“Aku minta maaf.”

“Kau kawan baik aku.”

“Radz. Kalau kau tak tahu berita ni dari mulut Lia…. dalam facebook semua orang ucap tahniah pada dia. Takkan kau tak terlintas nak tanya. Nak selidik sebab apa?”

Radzi terpempan. Dia terduduk di atas sofa. Tajam dia merenung Farhan dan Kayria. Kata- kata Farhan ada benarnya. Dia pernah terlintas ucapan tahniah daripada beberapa orang rakan mereka di wall Dahlia. YA ALLAH. Kenapa aku boleh jadi macam ni? Langsung aku tidak mengambil peduli semua itu.

“Dulu dia ada cakap nak pergi sana. Tapi dia cakap juga. Tak semestinya dia dapat. Jadi aku ingat…. semua tu perkara remeh.”

“Remeh kau kata? Dia dah berjuta- juta batu dari kau. Menangis air mata darah pun. Dia tak boleh ada balik kat sisi kau. Dah berbulan- bulan dia ambil masa nak beritahu kau. Tanya pendapat kau. Ada kau peduli?”

“Dia tak pernah cakap Han! Sepatah pun tak ada!”

“Sudahlah Han! Aku tahu kau sibuk. Projek sana sini. Aku tahu…. Dahlia hanya ‘teman wanita’ kau. Bukan hak kau yang sah. Tapi kenapa kau sanggup main- mainkan hati dia sampai macam tu sekali?”

“Tak pernah aku main-mainkan dia.”

“Dah bermacam-macam nasihat aku cuba nasihatkan kau Radz. Kau pun dah dewasa. Dah pandai fikir sendiri.”

“Aku kumpul duit selama ni….. sebab aku nak kahwin lar Han. Aku beli rumah. Untuk isteri aku juga. Aku beli kereta. Semua kesenangan aku dan keluarga aku nanti. Dahlia…”

“Dahlia nampaknya diam. Senyum. Tapi Radz kau tak nampak apa yang kau dah buat kat dia. Kau dah guris hati dia dengan sikap kau. Sekurang- kurangnya kau peduli hal dia. Ini kau pandang remeh?” Kayria tergelak sendiri. Jauh disudut hatinya dia kecewa dengan sikap Radzi.

“Aku..” Radzi tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan. Apa yang dia tahu kini, dia sudah kehilangan Dahlia.

“Kau betul- betul nak Lia?”

“Maksud kau?”

“Nah,” Farhan menghulurkan talefon bimbitnya.

“Apa ni?”

“Alamat dan nombor telefon Lia kat sana. Kau cari dia,” usul Farhan.

Radzi membaca satu persatu perkataan pada Iphone Farhan. Hatinya berkata sesuatu. Kemudian dia melepaskan pandangan pada Kayria dan Farhan. Ya. Dia tahu kenapa dia susah hendak serius dengan Dahlia. Dia juga tahu kenapa tidak pernah terlintas untuk melamar Dahlia. Semuanya kerana keluarganya. Dia dibesarkan dalam keluarga porak peranda. Ayahnya berkahwin beberapa kali selepas bercerai dengan ibunya. Ibunya bahagia dengan keluarga barunya. Dia pula dibesarkan oleh ayahnya. Rasanya perkahwinan boleh menyebabkan hubungan tidak bertahan lama. Kenapa pasangan yang berkasih sayang boleh bercerai? Sama seperti ibu bapanya. Tapi bila dah bercerai, hubungan terus terputus. Dia pelik. Sebab itu dia sukar mempercayai perkahwinan.

************

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” ~ (QS. Ar-Ruum:21)

RADZI tersenyum panjang. Farhan turut sama tersenyum panjang. Radzi tersenyum kerana majlis perkahwinannya hari ini sudah selesai semuanya. Farhan pula tersenyum kerana tidak lama lagi dia bakal menjadi ayah. Berita yang dikhabarkan oleh Kayria semalam membuatkan senyuman Farhan tidak pudar- pudar dari wajahnya. Semoga kehadiran anak bakal membahagiakan lagi rumah tangga Kayria dan Farhan. Radzi juga tumpang bahagia.

“Cepatlah isteri kau pula mengandung,” ucap Farhan. Dia bersandar pada pokok besar yang sengaja dibina di tengah- tengah pankin. Cantik. Pandai Radzi membuatnya. Bertambah sayang ayah mertua Radzi padanya. Landskap rumah ayah mertuanya juga diubah oleh Radzi mengikut kreativitinya.

Radzi tersenyum. Pelbagai cara dibuat untuk menambat hati keluarga mertuanya. Lebam matanya bila adik iparnya melepaskan kemarahan kerana membuatkan kakaknya menderita. Memang tidak dinafikan. Memang dia bersalah. Tapi dia berjanji pada dirinya. Dia tidak akan mensia- siakan isterinya. Walaupun dia gusar dengan perkahwinan ini dahulu, tetapi ayahnya sendiri menasihatinya. Bukan semua perkahwinan akan kecundang. Selagi dihiasi dengan Islam, inysaALLAH akan sampai ke syurga.

“Bila kau balik Andalusia?”

“Bulan depan. Aku sekarang ni dah menganggur. Sudahlah bahasa Sepanyol pun aku tak reti. Nasib baiklah orang kat sana tahu juga cakap bahasa Inggeris. Kalau tak… macam itik dan ayam,” ucap Radzi hanya menggeleng kepala. Kagum juga dia dengan kebolehan Dahlia bercakap dalam bahasa Sepanyol.

“Kau dah cari kerja?”

Radzi mengganguk.

“Tapi susah sangat. Bukan senang nak cari kerja kat tempat orang.”

Farhan tepuk bahu Radzi perlahan sebelum tersenyum.

“Aku terkejut sebenarnya dengan tindakan drastik kau. Seminggu lepas kau tahu Lia pergi Sepanyol. Kau hantar rombongan kat rumah Lia. Sampai mata kau lebam kena belasah dengan adik Lia. Lepas tu kau ambil hati mak dan abah si Lia tu. Lepas tu…. kau pergi Sepanyol. Benda yang paling kau sayang selama ni. Kau tinggalkan. Sanggup kau lepaskan kerja kau. Sanggup kau berhenti kerja sebab nak bersama dengan Lia. Tinggi sungguh pengorbanan kau. Aku tak pasti… aku sanggup buat macam tu,” ujar Farhan panjang lebar.

“Kerja boleh cari Han. Lia tu seorang sahaja. Aku yakin, sebab Kay dan anak- anak kau nanti. Kau pun akan buat benda yang sama.”

Farhan tersenyum.

“Aku tak nafikan. Dulu aku buta sangat. Macam- macam aku nak gapai. Macam- macam yang aku nak dalam diri ni. Semua orang aku layan. Sampaikan Hanis boleh salah sangka dengan aku. Aku menyesal juga buat Hanis macam tu. Semuanya sebab aku ingat, Lia aku dah miliki. Aku lupa. Aku cakap kat dia… aku tak boleh serius sebab aku dan dia tak kahwin lagi. Dia bukan hak aku yang sah. Aku lupa. Lia bukan milik aku. Dia boleh tinggalkan aku. Bila dia betul- betul tinggalkan aku, baru aku sedar… selama ni mata aku buta dengan kaca yang bersinar, sedangkan pertama ada depan mata.”

“Eh, kau pun dah bermadah?”

Radzi ketawa.

“Aku memang pandai bermadah berhela ni,” ujarnya tersengih.

“Abang, ayah panggil.”

“Pergilah. Lia dah panggil. Aku nak berehat kat sini dulu,” ucap Farhan yang akan menumpang tidur di rumah saudara Dahlia untuk semalaman. Esok dia akan pulang ke Kuala Lumpur.

Radzi mengangguk. Dia menarik tangan Dahlia supaya merapatinya. Perlahan- lahan dia menggenggam tangan itu sebelum sama- sama melangkah masuk ke dalam rumah. Ya, Dahlia adalah perkara yang dia inginkan selama ini. Bukan senang Dahlia hendak menerimanya semula. Bukan senang Dahlia hendak membuka hatinya semula selepas apa yang dia lakukan selama ini. Dia tidak akan mensia- siakan Dahlia. Amin….

8 comments:

  1. cool la..cerita ni mmbuatkn sy teringatkn sesuatu yg mcm dlm cerita ni....hehe

    ReplyDelete
  2. heheh...bgus gle radzi...smpi sggup benti keje...nseb baik lia nekad g spain...kalau x smpi sudah radzi tu xnmpk ape ade dlm hati sndri...

    ReplyDelete
  3. wah..sampai lebam kena tumbuk dengan adik ipar. dasatnyaa. >.< hehe..nasib baik dapat kejar. hargai bila bersama.

    ReplyDelete
  4. kenapa x panjangkan lagi citer ni. mesti lg best

    ReplyDelete
  5. kenapa pendek....
    besttt.. sambung sikit lagi bolehhh

    ReplyDelete
  6. cerita ni best . macam ada kena - mengena je . btw ,bila akak nk kuar novel baru ?

    ReplyDelete
  7. sweet happy ending.. love it very much :)

    ReplyDelete