Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Cerpen : Bayi dumpster II

ditulis pada: 29 Mei 2015
{gambar bayi comel ini dari Pakcik Google}



PUAN MAIMUNAH terasa dia tidak betah duduk lama lagi di hadapan adik-adiknya. Kebetulan hari ini ada kenduri tahlil, jadi dia menjemput adik-adiknya tidur di rumahnya. Orang-orang masjid kebanyakan sudah pulang selepas membaca tahlil tadi. Hampir tujuh tahun dia tidak berjumpa dengan Ashraf sejak Hafiy muncul dalam hidup mereka. Entahlah, memang berat sungguh hatinya mahu menerima walaupun selama ini dialah penaung dalam mana-mana persatuan melibatkan anak-anak malang yang dilahirkan tidak sah taraf. 

“Arif, Arshad jangan lari-lari. Aira, Amira… tengok adik-adik tu!” Ashira cekak pinggang sambil menggeleng. Geram pula dia melihat anak-anaknya yang lincah berlari sejak tadi. Suaminya pula asyik bersembang dengan abahnya, tanpa mempedulikan anak-anak. 

Puan Maimunah mengeluh.

“Amira tu dah fikir nak sambung mana?” soal Puan Solehah.

“Tak tahulah mak su. UPU tu semua dia minta. Result SPM dia hari tu pun, cukup-cukup makan je.” Ashira tersenyum. Langsung tidak berasa kecewa dengan pencapaian anak sulungnya itu kerana dia tahu Amira telah cuba sedaya upaya. 

“Sekarang ni nak sambung belajar tu senang, antara nak belajar atau tak je. Kalau tak dapat IPTA, swasta pun banyak,” sampuk Puan Rogayah. 

“Betullah tu mak ngah. Rasanya Amira tu, sambung Matrik je dulu.” 

“Kalau result bagus, boleh sambung pergi luar negara macam Lufti dan Danish tu. Nasib baiklah result Kaira tu bagus. Tak payah fikir apa-apa, semua kerajaan uruskan,” sambung Puan Solehah lagi dengan rasa penuh bangga. 

Ashira hanya tersenyum. Kalau berjumpa dengan ibu saudaranya ini, memang dia tahu betapa Puan Solehah sangat banggakan cucu-cucunya yang dilahirkan cerdik, pandai. Setakat ini, memang hampir semua cucu-cucu Puan Solehah mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan dan mudah sahaja menyambung pelajaran di luar negara. 

“Tak kisahlah sambung mana pun Ashira. Universiti kat dalam Malaysia ni pun, ramai orang luar datang nak belajar kat sini. Tak payahlah kita nak banggakan sangat orang luar tu,” ujar Puan Rogayah. 

“Yalah, cucu-cucu angah semua dapat sambung dalam Malaysia je kan?” soal Puan Solehah, sambil mencebik.

“Hmm… biar p lah depa, nak sambung luar… ke dalam. Yang penting, tiap-tiap bulan, balik kampung, jenguk mak dia ni. Ada anak-anak belajar tinggi, kerja hebat-hebat… tapi lupa mak kat kampung pun tak guna. Buat rumah besar pun, duduk seorang je,” balas Puan Rogayah. Dia kematian suami sejak muda, dan terpaksa membesarkan kelima-lima anaknya seorang diri. Waktu itu, anak bongsunya baru berusia 10 tahun, dan yang sulung berumur 15 tahun. Nasib baiklah ada Encik Ashman dan Puan Maimunah yang selalu membantunya. 

Puan Solehah sedikit tersentak. Keempat-empat anaknya memang berkerjaya, tetapi hendak menjenguk muka setahun sekali pun payah. Dia sudah berpisah dengan suaminya dan menjadi ibu tunggal. Tetapi, nasib baiklah suaminya yang berpangkat ‘Datuk’ itu selalu menghulurkan duit beribu-ribu tiap-tiap bulan sehingga sekarang, walaupun anak-anaknya semuanya sudah besar panjang dan mempunyai keluarga sendiri. 

“Hah, adik kamu tu… bila nak balik Malaysia ni? Duduk kat Jerman tu, dah lupa Malaysia ni. Ke, dah tukar kerakyatan?” soal Puan Rogayah, terus pandang wajah Ashira dan Puan Maimunah. Memang kalau bercakap, Puan Rogayah jarang berlapik. Tetapi Ashira tahu, hati Puan Rogayah baik. Sedikit berbeza dengan Puan Solehah yang sejak tadi asyik mencebik seperti tidak puas hati. 

“Hah, cucu-cucu mak su pun tahu balik tiap-tiap tahun. Tak mampu ke nak bayar duit kapal terbang, kalau tak mampu… mak su boleh sponsor,” ujar Puan Solehah. 

“Tak mampu apa Solehah, kalau dah kerja dengan Shell tu, duit berpuluh-puluh ribu. Ashman tu pun ada syarikat sendiri. Cubalah tengok vila ni, orang biasa mampu ke duduk?” soal Puan Rogayah sambil menggeleng. Tidak habis-habis adik bongsunya itu hendak membangga diri tentang harta yang tidak seberapa. 

“Saya cakap je angah. Yalah, Ashraf tu dah lama tak balik. Tujuh tahun dah, sama besar dengan umur budak Hafiy tu.” 

Puan Maimunah terdiam. Sepatutnya Ashraf yang mewarisi syarikat suaminya itu, tetapi anak bongsunya itu terus membawa diri bersama Sakinah dan Hafiy setelah menerima tawaran dari Shell. Suaminya dan keluarga Ashira juga setiap tahun ke Jerman, tetapi tidak pernah membawanya kerana dia tidak mahu. Dia rela ditinggalkan sahaja di Malaysia. Ada juga Ashraf balik ke Malaysia, dan mahu berjumpa dengannya, tetapi dia mengelak. Pelbagai alasan diberi, dan selalunya setiap kali Ashraf sekeluarga pulang ke Malaysia, dia akan tidak pulang ke vila. Begitu degil hatinya itu tidak mahu menerima Hafiy. 

“Hafiy tu macam mana Ashira?” soal Puan Rogayah. 

“Err… makin comel. Makin petah. Duduk negara sejuk tu, jadi gebu pipi dia tu. Bukan bahasa Melayu je dia tahu, bahasa Inggeris… Jerman, Perancis pun tahu,” cerita Ashira sambil mengeluarkan iPhone. Dia tunjuk gambar terbaru Hafiy dari Instagram adiknya. 

“Comel. Bulat betul mata dia tu,” ujar Puan Rogayah.

“Hmm… cucu-cucu saya, anak Nazim pun mata bulat macam ni juga,” sampuk Puan Solehah. 

“Yalah, cucu-cucu kamu… semua cantik-cantik, handsome-handsome.” 

Ashira hanya tersenyum. Dia faham dengan maksud di sebalik kata-kata Puan Rogayah tadi, dan semakin lebar senyumannya apabila melihat Puan Solehah tersenyum lebar, seperti berbangga pula dengan kata-kata Puan Rogayah itu yang sebenarnya lebih kepada menyindir. 

“Along ni, marah lagi ke dengan Ashraf tu?” soal Puan Rogayah. Mereka semua tahu kemarahan Puan Maimunah yang langsung tidak dapat menerima kehadiran Hafiy. 

“Ashraf tu kalau tak degil, dah patut dapat anak sendiri dari darah daging dia. Tak perlu nak menumpang kasih anak orang lain,” balas Puan Maimunah sambil mendengus. 

“Masya-Allah along… hal anak ni, anugerah Allah. Kenapa along pertikai hal ni? Kalaulah along di tempat Sakinah tu, along sanggup nak tengok Abang Ashman kahwin lagi sebab along tak mampu bagi zuriat?” soal Puan Rogayah. Geram pula dia pada kakak sulungnya yang hanya berbeza dua tahun dengannya. 

Puan Maimunah tersentak. Terus dia melepas pandang pada suaminya. 

“Hidup kita ni tak lama along. Tak semestinya orang tua je pergi dulu, ramai dah orang muda pergi dulu dari kita. Ashraf tu anak yang baik. Dia setia pada Sakinah sebab didikan Abang Ashman dan along pada dia. Along pun pernah berusaha nak bagi Ashraf adik, tapi tiada rezeki kan? Tapi Abang Ashman langsung tak mengungkit walaupun along sendiri beritahu yang Abang Ashman tu nak anak ramai. Ashraf ambil Hafiy, sebab dari kecil along yang ajar supaya dia tak bezakan manusia ni. Kesian Hafiy, along. Sepatutnya dia ada seorang nenek yang ambil berat pada dia,” sambung Puan Rogayah lagi.

Ashira hanya diam. Dia sendiri sudah penat memujuk hati emaknya itu. Kesian juga dia pada Ashraf yang asyik bertanya-tanya tentang emaknya, sama ada sudah menerima Hafiy ataupun tidak. 

“Munah!” Suara Encik Ashman lantang. Telefon digenggam. Mata itu merah. 

“Kenapa ni?” Terpinga-pinga Puan Maimunah, terus berdiri apabila tiba-tiba suaminya itu seperti terkulai layu di atas lantai. Mereka yang lain di dalam rumah menerpa ke arah Encik Ashman. 

“Ashraf… Sakinah….” 

“Kenapa bang?” Berdegup kencang jantung Puan Maimunah.

“Mereka dah takde....” 

“Abang jangan mengarut bang! Mereka memang takde sekarang. Mereka kat Jerman!” ujar Puan Maimunah dengan nada yang tinggi. 

“Mereka kemalangan. Ashraf, Sakinah meninggal. Kedutaan baru telefon abang tadi. Allah, anak-anak kita dah takde Munah….” Kata-kata Encik Ashman berakhir dengan tangisan.Tubuh itu melulut jatuh dan sempat disambut suami Ashira yang jelas terkejut.  

Puan Maimunah rasa dunianya berputar dan semakin kelam. Tiada? Allah….


HUD ZYAD merenung kosong nasi lemak yang dibuat ibunya. Nasi lemak memang makanan kegemarannya. Hampir dua minggu dia memulakan persekolahan darjah satu. Keseronokan yang dirasakan pada hari pertama mendaftar sudah tidak dirasakan sekarang. 

“Noh mana?” soal Encik Muhammad sebaik sahaja melangkah masuk ke dapur. Rambut ikal anak bongsunya diusap sebelum satu ciuman singgah di pipi gebu itu. Anak bongsunya itu memang berisi dan gebu, dan sangat berbeza dengan abang-abangnya yang berkulit hitam manis dan kurus sejak kecil lagi. 

“Ara dah panggil tadi. Cuba abang tengok, risau tertidur pula dia tu lepas pakai baju,” ujar Puan Zahara sambil mengacau air kopi untuk suaminya. 

“Budak tu….” Menggeleng Encik Muhammad dan terus memanjat tangga. 

“Makan cepat adik,” suruh Puan Zahara pada Hud. Rambut Hud diusap penuh kasih. Begitu tabiatnya, bagi menunjukkan rasa kasih pada anak-anak. 

“Masak apa hari ni, ibu?” Muncul Adam sambil menguap. Idris pula berjalan sambil tutup mata. Mungkin dikejutkan oleh Encik Muhammad yang pantang sungguh anak-anaknya tidur selepas subuh walaupun bercuti. Kedua-dua kembarnya itu sudah berusia 19 tahun dan belajar di Kolej Matrikulasi, Gambang. Noh pula 14 tahun, dan menolak tawaran belajar di asrama penuh kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga, terutama sekali Hud. Memang Noh dan Hud sangat rapat. Adam dan Idris juga sangat menyayangi adik bongsu mereka itu. 

“Sakitlah papa!” Suara Hud kedengaran pula. 

“Kenapa ni bang?” soal Puan Zahara dengan sengihan. Kelakar pula melihat Hud yang terjengket-jengket kerana sebelah telinganya ditarik suaminya. 

“Tahu budak ni buat apa dalam bilik tadi?” soal Encik Muhammad. 

“Main game kat iPad?” Teka Adam dan melabuhkan punggung di sebelah Hud. Idris duduk di sebelah Puan Zahara. 

“Bukan.” Encik Muhammad masih tidak lepaskan telinga Noh. 

“Whatsapp dengan awek?” teka Idris terus tersengih. Dia menongkat dagu dan menunggu ibunya menyenduk nasi lemak di dalam pinggan. 

“Noh mana ada awek!” Merah padam muka Noh kini. 

“Hah, ada lah awek. Baru dua tahun sunat, dah ada hati nak ada awek,” sampuk Encik Muhammad. 

Adam dan Idris serentak ketawa mengekek. Tambah apabila melihat muka Noh yang terkulat-kulat. Mereka juga pernah awal remaja seperti Noh. 

“Noh buat apa bang?” soal Puan Zahara akhirnya. Penat pula berteka-teki. Perhatiannya kini sudah beralih terus pada Hud yang sejak tadi mendiamkan diri. Bukan tadi sahaja sebenarnya, tetapi sejak pulang dari sekolah semalam. Selalunya rumah itu bising kerana mulut murai Hud yang seperti burung murai tercabut ekor. Ada sahaja benda hendak diceritakan termasuklah apa yang dilakukan dalam tandas! 

“Dia sibuk menari ikut artis macam jambu tu… dari laptop abang long dia!” Telinga Noh dilepaskan. 

“Lah, kau ke ambil laptop abang long?” soal Adam, geram. Patut dia mencari pagi tadi, tidak jumpa. 

“Ish, mana jambu papa. Korea. KPOP. Bukan jambu,” cebik Noh. Rambut dibetulkan kembali supaya pacak seperti biasa.

Encik Muhammad hanya tergeleng. Mengucap panjang dia di dalam hati. Adam dan Idris sama-sama tergelak. 

“Noh Zuhyr bin Muhammad Helmi…. Tak tahulah ibu, kamu ni nak jadi apa. Subuh-subuh macam ni, patutnya mengaji bukannya menari. Sejuk sikit perut ibu mengandungkan Noh.” 

Noh tarik sengih sambil garu-garu pipi. 

“Lah, pergi sebut nama abang sekali buat apa?” soal Encik Muhammad dan terus duduk. Nasib baiklah jam belum menunjukkan pukul enam pagi lagi. 

“Dah, memang anak abang kan?” soal Puan Zahara kembali. 

“Anak awak juga.” 

Adam dan Idris ketawa. Noh mengambil pinggan berisi nasi yang diserahkan ibunya.

“Kenapa nama adik… tak macam abang long, abang ngah dan Abang Noh? Semua orang letak nama papa. Kenapa nama adik, Hud Zyad bin Abdullah?” Perlahan suara itu menyoal, tetapi membuatkan satu keluarga itu tersentak dan terdiam. 

“Kenapa adik cakap macam tu?” soal Encik Muhammad. 

“Hari tu… adik bagitahu kat kelas nama adik… Hud Zyad bin Abdullah. Adik bagitahu nama papa, Muhammad Helmi. Lepas tu kawan-kawan adik tanya, kenapa nama adik tak sama dengan papa? Adik ni… macam Madina ke?” Air mata itu sudah bergenang.

Adam, Idris dan Noh saling berpandangan. Puan Zahara pula gigit bibir, dan menahan diri dari terus menghamburkan tangisan. Ya Allah, perkara inilah yang mereka simpan hampir tujuh tahun, dan tidak pernah diucapkan pada sesiapa. Malah pada saudara mara juga sudah siap dipesan supaya tidak membongkar rahsia besar itu. Kebetulan, mereka juga baru berpindah ke Kuala Lumpur dari Muar, selepas usia Hud beberapa bulan kerana suaminya dinaikkan pangkat. Malah, dia sendiri berjumpa doktor supaya dia boleh menyusukan Hud sama seperti anak-anaknya yang lain. Walaupun Hud bukan lahir dari rahimnya, Hud adalah anak susuannya. 

“Tak pun, adik ni macam budak baru yang baru masuk minggu lepas? Dia dari Jerman,” sambung Hud. 

“Madina tu siapa?” soal Adam.

“Kawan-kawan adik cakap… mak, ayah Madina tu… artis, selalu keluar kat TV dan majalah. Madina tu anak angkat. Dia orang cakap, Madina tu… luar nikah. Anak angkat tu apa? Anak luar nikah tu apa?” soal Hud. Bergetar suara halus itu. 

Ya Allah, tidak sanggup rasa Puan Zahara untuk terus berada di situ. Dia teringat sewaktu mendaftarkan Hud minggu lepas, pasangan artis popular itu turut mendaftarkan anak tunggal mereka. Tetapi mereka tidak sempat bertegur sapa kerana masing-masing sibuk menguruskan hal pendaftaran. Ya Allah, kecilnya dunia.

“Budak Jerman tu?”

“Nama dia Hafiy. Dia orang Melayu, bukan Jerman. Mak, ayah dia dah takde. Dia duduk dengan nenek dan atuk dia. Tapi… kawan-kawan adik cakap, dia tu pun anak angkat juga. Dia orang tanya kat Hud semalam, betul ke Hud ni macam Madina dan Hafiy.” 

Encik Muhammad mengeluh sambil lihat jam. Hampir pukul 6.30 pagi. Risau Noh dan Hud akan lewat ke sekolah. 

“Anak pungut tu apa? Kenapa dia orang cakap, adik ni… anak pungut macam Madina dan Hafiy? Betul ke… bukan ibu yang lahirkan adik?” Air mata Hud terus jatuh, walaupun dia sendiri tidak faham dengan soalan yang diluahkan tadi. 

“Masya-Allah….” Terlepas sudu dan garpu yang dipegang Encik Muhammad.

Puan Zahara perlahan-lahan teresak-esak sambil ditenangkan Idris. Adam pula terus menarik Hud ke dalam pelukan dan tubuh itu didukung menjauh meja. Tangisan Hud semakin kuat, dan berselang dengan tangisan Puan Zahara.


“MADINA malas dah pergi sekolah!” Madina campak beg sekolahnya di atas sofa. Merah padam wajah itu dengan baju sekolah yang sudah bertukar warna. 

“Kenapa ni?” soal Dhia dengan wajah bingung. Tidak pernah dia melihat anak tunggalnya marah-marah begitu. Selama ini dia tidak pernah juga mengajar anaknya itu meninggikan suara. 

“Madina bergaduh tadi kat sekolah,” lapor Ridzwan sebaik sahaja dia melangkah masuk. Sengaja dia tidak memberitahu isterinya akan panggilan yang diterima sewaktu dia berada di set penggambaran. Dia terus ke sekolah Madina dan membawa anaknya pulang. 

“Bergaduh?” Patutlah baju sekolah yang sepatutnya putih bertukar coklat.

Ridzwan mengangguk dan turut sama melabuhkan punggung di sebelah Madina yang memeluk tubuh dengan mulut dimuncungkan.

“Kenapa Madina bergaduh, sayang?” soal Dhia dan turut sama melabuhkan punggung di sebelah Madina. Dia angkat sebelah kening, seperti bertanyakan soalan pada suaminya. Ridzwan hanya mengeluh dengan wajah keruh. Dia tahu, lambat-laun status sebenar Madina tentu akan dibangkitkan. Cuma tidak sangka, secepat ini!

“Kawan-kawan ejek Madina. Dia orang cakap, daddy Madina ni… artis lelaki paling kacak kat Malaysia. Mummy Madina pun sama. Artis perempuan paling cantik. Semua orang kenal. Semua orang suka. Tapi, dia orang ejek Madina. Dia orang cakap, Madina tak cantik macam mummy sebab Madina ni anak angkat. Mummy, daddy pungut Madina. Kenapa daddy tak letak nama daddy kat nama Madina? Anak pungut tu apa daddy, mummy? Anak luar nikah tu apa? Betul ke, Madina ni… bukan anak daddy, mummy?” Bertalu-talu soalan yang terluah sebelum air mata yang ditahan sejak tadi mula tumpah. Bahu itu terhincut-hincut. 

Dhia mengucap panjang. Ridzwan yang sudah dimaklumkan akan hal itu hanya mampu mendiamkan diri. Malah, sepanjang perjalanan tadi, dia dan Madina hanya mendiamkan diri. Anak tunggalnya itu juga langsung tidak menangis walaupun dia dapat melihat luka-luka kecil pada lengan dan betis Madina. Tersiat juga rasa hati melihat tangisan Madina yang semakin rancak. Masing-masing kelu, walaupun sebelum ini bermacam-macam idea dirancang bagi menghadapi hari ini. 

“Hafiy dan Hud je baik. Dia orang tolong Madina. Dia orang marah sangat bila semua orang panggil kita orang anak pungut. Jadi, Hafiy dan Hud pukul dia orang sebab marah sangat,” ujar Madina lagi sambil teresak-esak. 

“Ke… kenapa Hafiy dan Hud pukul dia orang?” soal Dhia bertambah terkejut. Bahu anaknya dipeluk kejap. Air matanya juga menitik. 

“Sebab… nama dia orang pun macam Madina juga. Nama daddy dia orang bukan Abdullah, macam Madina. Nama daddy kan Ridzwan? Kenapa daddy letak Abdullah kat nama Madina?” Anak pungut tu apa? Anak luar nikah tu apa? Betul ke, mummy yang bagitahu semua orang yang Madina ni… anak luar nikah? Jahat ke jadi anak luar nikah ni?” 

“Masya-Allah….”

Dhia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Terbayang terus akaun Facebook dan Instagram yang aktif digunakan sejak diperkenalkan kira-kira tujuh tahun lalu. Rasanya, berpuluh ribu juga gambar Madina ditangkap dan diupload sejak Madina diambil menjadi anak angkat. Ya, memang dia mengaku pada media dan peminat yang Madina itu anak tak sah taraf. Malah, selepas Madina dilahirkan dia dan suaminya semakin aktif memperjuangkan bayi-bayi malang yang dilahirkan untuk dibuang tanpa rasa perikemanusiaan. Entahlah, semakin dunia ini moden, semakin manusia kembali ke zaman tidak bertamadun. Sedangkan binatang yang tiada akal itu, sayangkan anak sendiri.

"Aku juga ada hak untuk hidup. Aku dilahirkan bukan untuk dibuang."
Cerpen ini tiada kaitan dengan sesiapa, hidup ataupun mati.









Cerpen : Bayi dumpster I

ditulis pada: 29 Mei 2015
{gambar bayi comel ini dari Pakcik Google}



MADINA AYESHA yang tersenyum manis menjadi tatapan Aina Yasmin. Gadis itu menarik nafas. Dia tersenyum dan sesekali ketawa melihat skrin IPhone. Wajah comel Madina membuatkan Aina geram sendiri. Siapa tidak geram melihat mata besar dengan warna mata coklat tersengih apabila gambarnya ditangkap. Rambut Madina semakin hari semakin panjang. Rambut Madina terpacak. Sekali tengok dah macam anak mat salleh. Coklat. 

Aina gembira. Dia tersenyum lagi. Langsung dia tidak sedar dirinya berada di celah-celah orang ramai yang sibuk lalu lalang membeli peralatan sekolah untuk anak-anak. Sekolah bakal bermula tidak lama lagi. Setiap pusat membeli-belah pasti ada tawaran istimewa tersendiri untuk menarik minat ibu bapa berbelanja. 

“Kau tengok Instagram siapa tu?” 

Aina tersentak. 

“Budak Madina inilah. Aku geram Aril. Nak je aku cubit-cubit pipi dia kalau ada depan aku.” 

Shazril tarik sengih. Faham dengan keterujaan tunangnya setiap kali melihat Madina yang semakin hari semakin membesar. Walaupun bukan membesar di hadapan mereka, tetapi apabila Aina hampir setiap masa membuka Instagram hanya untuk melihat gambar Madina diupload Dhia Ahmad, seorang penyanyi yang terkenal di Malaysia... sudah membuatkan Aina gembira. Apabila Aina gembira, Shazril juga gembira. 

“Aku selalu harap aku yang pegang dia. Dukung dia. Cium dia selalu. Madina dah makin besar kan Shazril? Mata dia makin bulat. Rambut dia makin panjang. Comel.” Tajam Aina merenung mata coklat Shazril. 

Shazril angguk kepala. Dia tarik nafas. Tetapi semuanya sudah menjadi bubur. Walaupun sudah menjadi bubur, tetapi bagi dirinya semuanya masih tidak terlambat. Bubur kalau ditambah perisa pasti sedap juga. Madina berjaya diselamatkan. Dia berdoa hampir setiap masa supaya Madina sentiasa gembira. Sentiasa tersenyum. Sentiasa bahagia. Walaupun bukan berbinkan dirinya, dia tahu… Madina darah dagingnya. 

“Kau rasa kita ni kejam sangat ke?” Satu soalan terluah lagi. Bukan hari ini sahaja, tetapi hampir setiap hari. Setiap kali selepas menatap gambar Madina. Kemunculan Madina dalam hidup pasangan artis popular Malaysia itu bukan sahaja menggembirakan hati pasangan tersebut, malah hampir satu Malaysia termasuklah negara jiran, Brunei dan Indonesia. Semua orang berharap dapat melihat anak pasangan tersebut. Anak yang bakal mengeratkan hubungan suami isteri itu yang dikatakan hampir renggang. Jelas terbukti, selepas kehadiran Madina Ayesha.... mereka nampak lebih bahagia. Madina ditatang bagai minyak yang penuh. 

“Insya-Allah Madina akan faham suatu hari nanti.” Perlahan suara Shazril menjawab. Tapi masih dapat ditangkap Aina walaupun persekitaran semakin bising. Air matanya rasa bertakung. 

“Sudahlah Aina. Kita dah buat dosa. Kita buat salah. Aku tak tinggalkan kau. Aku janji. Aku yang banyak bersalah pada kau. Kalau aku tak ajak kau.... kalau aku tak bawa kau.... kalau aku tak terima deal Adlan.” 

Semakin Shazril berkata, semakin Aina menggigit bibir. Menahan tangis. 


“MAK tak nak terima budak tu.” 

“Mak... bukan Hafiy yang salah,” balas Ashraf perlahan. 

Sesekali mengulas lembut pipi gebu anaknya. Walaupun bukan dilahirkan dari rahim isterinya, tetapi sayang dia pada Hafiy melebihi segala-galanya. Dia dan Sakinah sudah lama berkahwin. Tetapi walaupun dikurniakan hampir semuanya, mereka tidak mempunyai rezeki yang dinamakan anak. Anak yang bakal mewarisi harta kekayaan mereka. Anak mewarisi keturunan mereka. Tetapi dia tidak pernah merungut. Cuma emak sahaja selalu mengungkit hal anak. Emaknya tidak tahu, bukan Sakinah yang ada masalah... tetapi dia! 

“Hafiy tak salah, ma,” pujuk Ashira, kakak sulung Ashraf. Malah, tanpa pengetahuan mama dan papanya, Ashira bersetuju untuk menjadi ibu susuan Hafiy supaya apabila besar kelak, keluarga Ashraf juga mahram pada Hafiy. Dalam masa yang sama, Sakinah juga ibu susuan pada Hafiy. Lagipun mereka hanya dua beradik sahaja. 

“Kamu dua beradik ni, sengaja nak belakangkan mak.” Puan Maimunah mendengus. Anak-anaknya hanya dua orang dan memang dia berharap sangat dapat melihat keturunannya sendiri dari Ashraf pula. Keturunan yang bakal berbinkan anaknya dan membawa nama suaminya. 

“Mak, Ashraf tu bukan buat salah apa pun. Lagipun cucu-cucu mak, kalau campur Hafiy ni… dah lima orang,” pujuk Ashira sambil menjeling pada abahnya, Encik Ashman yang lebih mengambil pendekatan mendiamkan diri. 

“Meh abah dukung Hafiy,” pinta Encik Ashman. 

Ashraf tersenyum. Senang hati melihat penerimaan abahnya. 

“Dah berapa bulan?” 

“Lima.” 

“Sekarang official anak Ashraf?” 

Ashraf angguk kepala. Bangga. 

“Nama penuh apa?” soal Encik Ashman. 

“Muhammad Ashman Al-Hafiy,” balas Sakinah. Sewaktu mereka mengambil Hafiy dulu, bayi malang itu hanya dipanggil Muhammad. Sebab itulah mereka kekalkan juga nama Muhammad. 

“Wah, nama abah pun ada.” Terasa kembang kempis hidung Encik Ashman apabila namanya juga terselit pada Hafiy. 

“Letak nama abah kamu buat apa? Dia tu dari keturunan penagih. Entah-entah budak tu pun ada AIDS macam mak bapak dia!” Puan Maimunah mendengus. 

“Munah!” Terjerit Encik Ashman. Nasib baiklah cucunya ini masih tidak memahami. 

“Mak.” Terkejut juga Ashira. Semakin tumpah rasa kasihan pada Ashraf dan Sakinah. Nasib baiklah tadi dia tidak membawa anak-anaknya. 

“Elok sangat abang marah saya sebab anak AIDS tu! Mak dari dulu tak setuju Ashraf ambil anak angkat. Tengoklah anak AIDS juga yang dia ambil. Entah nanti besar jadi macam mak bapak dia. Penagih dadah!” 

“Munah!” Merah padam wajah Encik Ashman. Entah apa yang menghasut isterinya pun tidak tahu. Sedangkan selama ini mereka banyak menolong golongan yang bermasalah seperti ini. Jadi tidak hairan apabila Ashraf juga mahu menolong. 

Puan Maimunah mendengus. Dia melepas pandang pada menantunya, Sakinah. Dia hanya mempunyai seorang anak lelaki. Dulu dia sayangkan Sakinah seperti anak sendiri. Tetapi semua itu berakhir apabila hampir sepuluh tahun berkahwin, masih tidak dapat mendapat anak. Sudah ramai wanita mahu dijodohkan, tetapi semuanya ditolak Ashraf. Setia konon pada Sakinah! 

“Insya-Allah Ashraf akan didik Hafiy sama seperti abah dan mak didik Ashraf dan Kak Ashira dulu,” ucap Ashraf perlahan. Sakinah yang menundukkan kepala. Dia sudah dapat mengagak emak mentuanya tidak dapat menerima Hafiy. Mata bulat berwarna hitam itu ditatap lama. 

Ashraf genggam tangan Sakinah. Dia sedikit terkilan dengan anggapan ibunya sendiri. Bukankah selama ini dia diajar manusia ini sama sahaja di sisi Allah? 


“NOH, tolong ibu buang sampah!” 

“Sekejap ibu. Tengah main game dengan abang long.” Noh mendengus geram apabila melihat Adam sudah berjaya menjaringkan gol apabila dia terleka. 

“Cepat abang long, sikit lagi,” sampuk Idris. 

“Apa ni abang ngah. Tadi kata sokong Noh!” 

“Abang ngah sokong siapa yang menang je. Abang long dah dua gol. Kau baru satu.” Idris tarik sengih. 

“Adam Zafran, Idris Zafril, Noh Zuhyr….” 

Noh campak konsul game di atas karpet. Adam dan Idris berdiri tegak menghadap Encik Muhammad. Walaupun suara Encik Muhammad perlahan, apabila nama penuh mereka bertiga disebut, memang alamat tidak baik. Ketiga-tiga mereka serentak menunduk apabila melihat renungan tajam Encik Muhammad. 

“Dari dalam bilik papa dengar ibu kamu menjerit. Ibu suruh buat apa tadi?” soal Encik Muhammad. 

“Buang sampah,” jawab Noh perlahan. 

“Jadi?” Ternaik kening sebelah Encik Muhammad. 

Noh mengangguk dan sekelip mata berlari ke arah dapur. 

“Noh tu baru tujuh tahun. Tapi kamu berdua ni, bukan tahun ni dah UPSR? Kenapa boleh main game lagi?” soal Encik Muhammad. Perhatiannya kini pada anak-anak kembar sulungnya, Adam dan Idris. Sekali tengok, memang Adam dan Idris kembar seiras, tetapi dapat dibezakan dengan rambut mereka berdua. Rambut Adam lurus menutup dahi manakala rambut Idris sedikit berombak. 

“Abang long… teman Noh main.” Pucat wajah Adam. 

“Dah study belum?” 

“Dah. Kita orang dah siapkan latihan matematik yang ibu suruh buat tadi. Ibu kata, lepas siap buat… baru boleh main game,” jawab Idris. 

Encik Muhammad hanya mengangguk dan melepas pandang pada Noh yang terkial-kial membuka pintu gril rumah sambil sebelah tangan memegang plastik sampah. 

“Lepas ni, kalau ibu suruh buat apa-apa, buat dulu. Main game tu, lepas-lepas ni boleh sambung. Faham?” Suara Encik Muhammad kian mengendur. Dia bukanlah hendak marah sangat, cuma tidak suka apabila anak-anaknya bertangguh dalam melaksanakan sesuatu. Lagipun hujung minggu begini, memang dia lebih senang anak-anaknya bersantai sahaja. 

Adam dan Idris serentak mengangguk. 

“Pergi tolong adik,” suruh Encik Muhammad dan berlalu ke dapur. Lapar pula rasanya apabila terhidu haruman masakan isterinya. 

“Dah siap ke masak?” soal Encik Muhammad. Sebaik sahaja pulang dari pasar tani, dia terus mengurung diri di dalam bilik menghadap kerja-kerjanya. Bukan dia tidak mahu bersantai dengan keluarganya, tetapi minggu ini dia memang betul-betul sibuk. 

“Tengah goreng sayur. Kerja abang dah siap?” soal Puan Zahara. 

Encik Muhammad menggeleng dan melabuhkan punggung. Terasa mahu meleleh air liur melihat ketam masak cili api yang sudah siap terhidang. 

“Ibu, papa!” 

“Apa?” Hampir melompat Encik Muhammad kerana terkejut. 

“Kenapa ni Noh? Menjerit macam tu!” Puan Zahara turut sama menjerit. Dia mengurut dada kerana terkejut. Nasib baiklah tidak terpelanting sudip pada tangannya itu. 

“Itu….” Tangan Noh ditunjukkan terus pada pintu belakang dapur yang terbuka. 

“Apa tu abang long?” soal Puan Zahara, terus merapati Adam dan Idris yang berkerut-kerut menjinjit plastik hitam. Gas dimatikan. 

“Tak tahu. Noh jumpa kat depan rumah kita, sebelah tong sampah,” jawab Idris. 

“Anak kucing kot,” teka Adam pula. 

“Dari tadi gerak-gerak macam tu,” beritahu Noh. 

Lima pasang mata itu langsung tidak bergerak menghadap plastik hitam yang bergerak-gerak dan sayup-sayup kedengaran suara halus. 

“Bukan kucing ni bang. Entah-entah anak anjing.” Puan Zahara peluk lengan suaminya. Risau juga kalau suaminya itu membuka plastik itu, melompat keluar haiwan berbahaya. Anak-anaknya disuruh berdiri di belakang mereka berdua. 

“Abang rasa bukan kucing, bukan anjing….” Perlahan-lahan simpulan pada plastik hitam itu dibuka. Suasana tiba-tiba dirasakan sunyi sepi. 

“Abang….” Bulat mata Puan Zahara dan melepas pandang pada suaminya yang terlopong. 

“Baby!” Adam, Idris dan Noh menjerit serentak. 

“Masya-Allah….” Encik Muhammad terduduk. 

Bayi kecil yang berbungkus dengan tuala biru ditenung mereka. Tangisan yang pada mulanya sayup-sayup tiba-tiba menjadi lantang. Masing-masing akhirnya terkaku.

"Aku juga ada hak untuk hidup. Aku dilahirkan bukan untuk dibuang."
Cerpen ini tiada kaitan dengan sesiapa, hidup ataupun mati.








Cerpen : Separuh masa III



EMBUN IMANISA peluk tubuh. Sesekali membetulkan jaket Ryzal yang sudah tersarung di badan. Badan dia letih. Otak juga letih. Dia tidak berminat hendak berbual panjang dengan Ryzal. Nasib baik Arjuna ada di rumah yang dibeli abi. Rumah Arjuna terletak di Kota Damansara. Rumahnya yang dibeli abi terletak di Putrajaya. Sengaja abi beli berlainan tempat. Walaupun setiap hujung minggu Arjuna balik di rumah mereka di Bukit Tunku, tetapi hujung minggu ini Arjuna berbuka puasa bersama kawan-kawannya di Damansara. Jadi, Arjuna malas balik ke rumah keluarga. 

“Aku berhenti kerja sebulan selepas raya. Aku dah letak nama kau jadi pengganti aku.”

Embun menoleh. Riak wajahnya sudah terpamer riak terkejut. Tidak ada hujan, tidak ada ribut, tiba-tiba Ryzal nak berhenti?

“Kenapa?”

“Aku dah beritahu kau dulu lagi kan? Aku kena tolong mama.”

“Aku tahu. Tapi kenapa tiba-tiba je? Aku tak prepare lagi nak galas tugas kau.”

“Aku tahu kau boleh. Cuma lepas ni kau kena baca satu persatu apa yang kau tulis, atau apa yang kau dapat. Jangan sampai keluar lagi perkataan kentut.” Tersengih Ryzal.

Embun hela nafas. Kepenatan menemani Hajah Zaleha masih tidak hilang. Hajah Zaleha tinggal di Rawang, dan Ryzal menyewa di Kota Damansara. Sebab itu dia menyuruh Ryzal menghantar dia ke rumah Arjuna sahaja. Kesian pula untuk Ryzal berulang-alik. Tetapi, selama ini pejabat mereka di Cheras. Jauh juga perjalanan Ryzal untuk sampai ke pejabat.

“Jawatan aku satu lagi?”

“Kekasih separuh masa?” soal Ryzal kembali.

Embun angguk perlahan-lahan.

“Automatik tamat.”

Embun tarik nafas. Tamat?

“Kau sepatutnya gembira. Aku tengok kau sedih je. Kenapa?” Segaris senyuman terukir. Dia seperti faham gelodak fikiran Embun.

Embun menggeleng. Tidak mungkin dia nak mengaku dia sedih

“Kalau aku tukar jawatan kau satu lagi nak?”

“Jawatan apa?”

“Isteri sepenuh masa.”

Embun geleng kepala. Gila!

“Kenapa tak nak pula?”

“Aku tak sayang kau.”

“Ye ke kau tak sayang aku?” Sinis soalan Ryzal.

Lambat-lambat Embun mengangguk.

“Kau bawa kereta sampai hujung jalan tu. Lepas tu kau belok kanan. Rumah aku sebelah sana.” Jari telunjuk Embun menghala terus pada kawasan perumahan yang nampak malap. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Memang sudah tidak ramai orang akan lalu jalan ini.

“Rumah kau?”

Embun angguk kepala.

“Aku tak tahu kau duduk sini juga?”

“Kau tak pernah tanya pun. Lagipun selama ni kau memang tak pernah ambil tahu hal aku. Semua benda tentang kau aku tahu. Sampaikan dahi kau ada kesan jahitan sebab jatuh basikal pun aku tahu. Waktu tu kau darjah lima kan?”

Ryzal mengangguk. Dia mengeluh. Aku tidak pernah ambil tahu?

“Tapi aku jaga makan minum kau kan? Walaupun kita setakat kekasih separuh masa je,” balas Ryzal perlahan. Bukan dia tidak pernah nak ambil tahu hal Embun, cuma semua itu sudah diketahui melalui resume Embun. Dia tahu Embun ada seorang kembar. Cuma dia tidak pasti lelaki atau perempuan. Selama ini Embun tinggal bersama ibu bapanya. Dia pernah terserempak beberapa kali dengan ayah Embun yang akan mengambil Embun setiap petang selepas kerja. Cuma mereka tidak pernah bersapa. Dia hanya jadi pemerhati.

"Jap!” Kalut Ryzal mencari telefon bimbitnya yang tiba-tiba berbunyi kuat. Radio terus dimatikan. Dahi Embun berkerut. Kenapa kalut sangat?

“Nah!” IPhone milik Ryzal yang terselit dalam jaket baju dihulur.

“Kau tolong letak telinga aku,” suruh Ryzal.

Dahi Embun berkerut. Baby? Dadanya berdebar apabila membaca nama pemanggil.

“Jap B. Abang nak hantar kawan. B tunggu depan rumah abang. Jangan masuk. Abang tak sure kawan abang ada tak dalam rumah.” Suara Ryzal bertukar lembut.

Embun tarik nafas. Dadanya rasa sesak. B? Abang? Dia tidak pernah tahu Ryzal ada teman wanita. 

“Mana rumah kau?” soal Ryzal perlahan. Panggilan dimatikan. 

Embun meletakkan kembali IPhone Ryzal di dalam jaket baju. Dia melirik melihat wajah Embun yang nampak suram. Kenapa pula ni? Dia paling tidak suka kalau melihat wajah suram Embun. Dia lagi rela Embun memberontak marahkan dia. 

“Hujung jalan sana.” Tunjuk Embun. Dia langsung tidak menoleh melihat wajah Ryzal yang sudah jelas sedang mencuri pandang melihatnya. Dadanya sesak. Mata rasa berpasir. Entah permainan apa yang cuba Ryzal main. Tadi kata nak jadikan dia isteri sepenuh masa, tapi tiba-tiba seperti ada kekasih lain. Patutlah Hajah Zaleha pernah cakap, Ryzal tukar teman wanita seperti tukar baju. Cuma pilihan Ryzal semuanya ada class!

“Kau kenapa? Penat sangat ke?”

Embun menggeleng. 

“Embun?” Perlahan suara Ryzal. Dia sudah pasang niat dalam hati.

“Apa?” Malas Embun mahu melihat wajah Ryzal lagi. Dia pula rasa tidak sabar mahu menunggu Ryzal berhenti kerja. Diri terasa bodoh! Kenapa perlu jadi kekasih separuh masa Ryzal, kalau dia dah ada kekasih? Pening sekejap dengan kata-kata Ryzal selama ini yang jelas sudah menipunya.

“Kau kata kau selalu jadi pemadam untuk bekas kekasih kau kan?” soal Ryzal tiba-tiba.

Dahi Embun berkerut. Dia hampir lupa kata-katanya petang tadi.

“So?”

“Boleh tak kalau kau pula jadi pensel dan aku jadi pemadam? Pemadam dicipta untuk pensel.”

“Kau merepek apa ni?” Merah padam wajah Embun. Dia sudah tidak sanggup menghadap muka Ryzal. Bukan dia pekak dan tidak dengar perbualan Ryzal tadi. Ryzal ingat dia pekak? 

“Mama cakap… rezeki dan jodoh ni seiring dan sejalan. Semua tu Allah tentukan. Tapi kalau kita tak cari, tak akan dia datang bergolek? Tapi semua tu bergantung pada takdir juga. Kalau itu rezeki dan jodoh aku. sejauh mana aku lari, pasti akan bertemu juga. Dulu waktu belajar aku dah lama perhatikan kau. Tapi kau buat bodoh je kat aku. Aku pun takut nak ambil tindakan. Mungkin dah rezeki aku… mama bagi aku kebebasan beberapa tahun bekerja dalam bidang yang aku suka. Aku dapat kerja di firma kita kerja sekarang, dan mungkin jodoh aku juga, tiba-tiba kau muncul selepas beberapa tahun aku tak jumpa kau. Kau tak kenal aku. Tapi aku kenal kau.”

“Siapa kata aku tak kenal kau? Kau senior yang selalu buli aku sebab nama aku ni kuno!” luah Embun. Semua orang memanggilnya, Imanisa. Tapi bila dia berkenalan secara tidak sengaja sewaktu minggu orientasi di universiti dulu, nama Embun mula meniti di bibir Ryzal. Hanya Ryzal yang tidak faham bahasa dan tetap memanggilnya Embun!

“Jadi kau perasan aku?” Tersengih Ryzal. Kembang betul rasa hatinya sekarang. 

Perlahan-lahan Embun mengangguk. 

“Kau nak jadi pemadam aku?” soal Ryzal lagi. 

Embun ketap bibir.

“Cukuplah Ryzal. Kau dah ada kekasih. Kenapa sibuk cari aku lagi? Kau berhenti depan sana. Rumah warna kelabu tu.” Tunjuk Embun pada rumah dua tingkat yang berada di hujung jalan.

Ryzal melepas pandang pada Embun.

“Kenapa?” Pelik Embun melihat wajah terkejut Ryzal.

“Rumah kau?”

Embun mengangguk. Memang itu rumah Arjuna. Tetapi dia sudah anggap seperti rumahnya sendiri juga. Sama sahaja kan? 

“Jap! Siapa cakap aku ada kekasih? Kau pasti ni rumah kau?” Ryzal memberhentikan keretanya di bawah pokok. Dia tidak faham maksud Embun. Sejak bila dia ada kekasih? Dan kenapa rumah Embun di sini? Rumah yang sama?

“Fikir sendiri .Jangan ingat aku bodoh!” Pantas Embun membuka pintu kereta. Tangan kanannya cuba menyelongkar beg tangan mencari telefon bimbit. Rumah sudah gelap gelita. Dia pasti Arjuna sudah tidur.

“Kau kena beritahu aku dulu!” Keras suara Ryzal apabila dia juga melangkah keluar.

Embun pejam mata. Dia peluh tubuh. Dia menjauhkan diri dari Ryzal yang sudah menghampirinya. Jaket yang masih tersarung pada badan Embun ditarik kuat oleh Ryzal. Hampir Embun tersungkur dalam pelukan Ryzal.

“Kau nak buat apa ni?” soal Embun, terkejut besar. 

“Aku nak kau jawab soalan aku.”

“Soalan apa?”

“Kau nak tahu? Aku dah lama sukakan kau!”

“Hah?” Terpinga dengan pengakuan jujur Ryzal. Tajam mata coklat Ryzal merenung matanya.

“Aku nak kau jadi pemadam aku. Aku nak kau jadi suri dalam hati aku. Itu pun kau tak faham lagi? Aku dah beritahu sejak tadi kan?” Bentak Ryzal geram. Memang dia peguam, tetapi dia memang lemah kalau melibatkan perasaan hati. Kenapa susah sangat Embun nak tangkap maksud yang cuba disampaikan?

“Kau ni kenapa… tiba- tiba je? Mana kau nak buang B kau tadi? Kau ingat aku pekak ke tak dengar kau cakap tadi?” Merah padam muka Embun. Sejak bila Ryzal ada menyimpan perasaan padanya? Rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan. Nak sahaja dia tersengih. Tetapi egonya masih tinggi.

“Hah?” Terkulat-kulat Ryzal. B? Baby?

“Aku bukan buat lawak!” Geram melihat Ryzal yang tiba-tiba ketawa besar.

Ryzal tarik sengih. Rupanya Embun cemburu! Patutlah muka cemberut sahaja selepas dia menjawab panggilan tadi. Kenapa dia boleh tidak sedar? Dia menggeleng. 

“Hmm… apa hubungan kau dengan Juna? Arjuna? Kenapa kau tidur rumah dia?” Soalan lain dilontar. Dia sudah faham kenapa Embun kata dia ada kekasih lain. Wajahnya kembali serius. Dia tidak faham hubungan Embun dan Arjuna? Tidak mungkin Embun boleh tidur sesuka hati di rumah lelaki!

"Kau kenal Juna?” soal Embun nampak terkejut. Dia toleh melihat Arjuna yang sudah melangkah keluar dari rumah.

“Ryzal? Kenapa?” Serak suara Arjuna. Muka Arjuna mamai. Nampak sangat baru bangun tidur.

Ryzal garu kepala yang dirasakan berserabut.

“Kenapa?” soal Arjuna pula pada Embun. Dia dengan selamba meletak tangannya di atas bahu Embun. Seperti biasa kepala adiknya dicium perlahan sebelum memandang wajah Ryzal yang terbuntang matanya. Terkejut beruk!

“Kau ni kenapa Ryzal? Sejak bila kau kenal Embun?”

Ryzal pejam mata. Sesak! Dia tak pernah tahu Embun sudah ada kekasih. Tidak mungkin nak mengaku dia ni kekasih separuh masa Embun. Nanti biru matanya dibelasah bekas juara silat di hadapannya ini. 

“Dia ni Encik Panda,” beritahu Embun perlahan.

Arjuna terlopong. Encik Panda? Dia pandang Ryzal dari atas sampai bawah beberapa kali. Memang cermin mata Ryzal bulat. Memang Ryzal selalu pakai baju putih dan seluar hitam. Cuma perut Ryzal tidak boroi. Ryzal sangat menjaga pemakanan.

“Siapa Encik Panda?” Pelik Ryzal mendengar nama itu.

“Abang?”

Demi mendengar suara halus itu, ketiga-tiga mereka berpaling.

“B!” Terlupa Ryzal kewujudan adiknya yang sejak tadi sudah menunggu dia.

“Adik kau ke Ryzal? Aku dah perasan kereta dia sejak tadi,” Tersengih Arjuna. Dia kenal Rania. Sudah beberapa kali mereka berjumpa bila Rania pulang ke Malaysia.

“Adik?” Embun pandang Arjuna. Ini ke Rania? Dia memang tak pernah berjumpa Rania. Dia hanya tahu nama sahaja. Dia tidak pernah tahu Ryzal dengan panggilan baby. Alamak, dia sudah salah faham!

Ryzal mengangguk sambil melirik pandang pada Embun. 

“Abang kenal Ryzal?” soal Embun, penuh tanda tanya. Dia jadi malu apabila memikirkan dia sedih tanpa sebab. Kenapa pula dia boleh tidak tahu panggilan Ryzal untuk adik tunggalnya itu. 

“Ryzal ni teman serumah abang,” beritahu Arjuna. 

Embun terlopong. Dia tidak tahu kerana selama ini Arjuna memang tidak pernah memperkenalkan teman serumahnya. 

“Aku tak tahu kau ada rumah hari ni. Selalu hujung minggu kau balik rumah family kau. Aku nak buat kejutan pada mama aku. Adik aku baru sampai tengah hari tadi. Aku ambil dia kat airport. Suruh dia datang sendiri rumah ni naik kereta sewa. Sebab aku ingat nak suruh dia tidur dengan aku je malam ni. Tak sangka pula kau ada sini. Siap bawa awek lagi….” Terus Ryzal menjeling pada Embun yang terpinga-pinga.

“Awek?”

Arjuna pandang Embun.

“Kau ingat Embun ni awek aku?” soal Arjuna kurang pasti dengan sindiran Ryzal tadi. Dia masih lagi tidak mempunyai kekasih. Siapa pula awek dia?

“Kalau bukan awek siapa lagi? Isteri?” bentak Ryzal, geram. 

Arjuna dan Embun berpandangan sebelum mereka sama-sama ketawa. Ryzal pandang Rania yang sudah angkat bahu tanda tidak faham. 

“Kau ingat tak aku pernah beritahu kau… aku ada adik kembar?”

Ryzal mengangguk sebelum dia menoleh pada Embun. Embun pun ada kembar! Tetapi selama ini dia sangka, kembar Embun adalah perempuan. Tetapi kenapa muka Ryzal dan Embun langsung tak sama?

“Kami bukan kembar seiras. Nama pun abi dan ibu aku letak sangat berbeza. Kau tahu kan, nama penuh aku Arjuna Harraz bin Haji Hazruddin.”

“Nama kau, Embun Imanisa binti Hazruddin....” sampuk Ryzal dan terus terlopong. Dia memang tidak pernah mengenali keluarga Arjuna walaupun mereka teman serumah. 

“Betul! Umur kami 25 tahun, dan aku tua 30 minit dari adik aku ni. Embun bukan awek atau isteri aku. Dia nyawa aku.” 

Ryzal tersengih. Dia memang betul-betul malu. 

“Aku tak pelik kau pun salah sangka Embun ni awek aku….” Arjuna juga tersengih. 

Embun sudah melangkah masuk. 

“Embun!” jerit Ryzal, dan laju Ryzal mengekor dari belakang. Dia ikut melangkah masuk ke dalam rumah.

“Jom masuk sekali. Nanti kena tangkap basah pula depa tu,” ajak Arjuna yang sudah garu kepala. 

Rania tersenyum dan mengangguk. Selama ini nama Embun selalu meniti pada bibir abangnya, dan akhir- akhir ini… mamanya juga ada bercerita tentang Embun. Kecil juga rupanya dunia ini, dan rupa-rupanya Embun adalah adik kembar Arjuna. 

“Kenapa ikut?” Merah padam wajah Embun. Dia sendiri tidak pasti kenapa dia mesti marah.

“Ni rumah sewa aku. Selama ni aku tak pernah tahu kau dan Juna tu kembar.”

“Kau memang takkan tahu. Selama ni mana kau kisah apa-apa. Sampaikan hal housemate sendiri kau tak tahu!” Bentak Embun, geram.

Ryzal garu kepala. Kenapa Embun marah?

“Aku benci kau!” 

“Adik. Kenapa ni?” Arjuna sakit kepala. Tidak faham dengan telatah Embun. 

“Adik benci dia!”



***



ARJUNA HARRAZ tarik selimut separas dada. Sejuk. Matanya tidak lepas melihat Embun yang sudah berselimut di atas katil. Dia pula di atas sofa panjang yang memang sudah ada dalam biliknya. Bukan tidak mahu berkongsi katil dengan adiknya, cuma katilnya tidak besar. Hanya saiz single.

“Adik?” bisik Arjuna. Dia pasti Embun masih tidak tidur. Hampir setengah jam Ryzal dan Embun bertekak. Tetapi Embun yang lebih banyak bercakap, meluahkan rasa yang berbuku. Dia dan Rania terkulat-kulat tidak faham. Kemudian, Embun melangkah masuk ke dalam biliknya. Ryzal pula mengajak Rania bersamanya.

“Adik dah tidur.”

Arjuna tarik sengih. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan menuju ke katilnya. Dia tarik selimut yang membaluti tubuh Embun dan menyelusup masuk. Dia duduk berlunjur. Rambut ikal Embun dimainkan dengan jari. Rambutnya juga ikal. Cuma rambutnya hanya separas bahu. Rambut Embun pula panjang mengurai. Sejak kecil lagi abi dan ibu memang melarang Embun menggunting rambut.

“Jangan kacau adik tidur!”

“Kenapa adik marah sangat kat Ryzal tadi?”

Embun buka mata. Geram kerana Arjuna tidak faham bahasa. Katil dirasakan semakin sempit apabila Arjuna juga menyibuk untuk duduk di atas katil yang sama. Perlahan-lahan dia bangun. Dia peluk bantal, kepala disandarkan pada bahu abangnya.

“Abang tahu tak persamaan jatuh cinta dan jatuh pokok?” soal Embun pula.

Arjuna angkat bahu.

“Kalau jatuh pokok. Sakit. Kalau jatuh cinta… best!” Tersengih Arjuna.

“Kalau jatuh pokok… dan jatuh pada tempat yang salah, sakit badan-badan. Kalau jatuh cinta… dan jatuh pada hati yang salah, sakit hati nanti. Itu persamaannya. Dua-dua akan bawa kesakitan.”

“Tak! Kalau jatuh pokok… ada orang sambut, tak sakit kan? Kalau jatuh cinta, dan bila cinta disambut oleh orang yang betul… memang tak sakit juga kan?” soal Arjuna kembali.

“Tapi adik dah puas dah jatuh di tempat yang salah. Penat.”

Arjuna tarik nafas. Dia tahu semua sejarah silam Embun. Semuanya diceritakan oleh Embun. Memang Embun sudah banyak kali kecewa disebabkan cinta.

“Mencintai orang yang cintakan kita lebih baik dari kita mencintai orang yang mencintai kita.”

“Hah?” Berkerut dahi Embun. Pening dengan kata-kata Arjuna.

“Lebih baik adik sayang orang yang sayangkan adik….”

“Adik tak sayang dia!”

“Sayang tu hanya kata-kata. Hati adik?”

Embun tarik nafas. Dia sendiri tak tahu kata hati dia.

“Abang kenal adik sejak dalam perut ibu. Dulu adik pernah cakap yang adik suka pada senior adik yang suka ejek nama adik tu… dia kan? Your first crush?”

Embun ketap bibir. Mukanya terasa hangat.

“Pergi jumpa dia. Minta maaf. Adik tadi marah dia melampau sangat Abang kenal Ryzal. He do love you. Abang lelaki. Abang nampak muka kecewa dia bila mula-mula ingat… abang ni pakwe adik. Everyone was broken and everyone needed a second chance. He deserve you. ” Nasihat Arjuna perlahan.

***

RYZAL AKID menghela nafas. Dia duduk berlunjur di atas sofa. Matanya merenung jauh melihat kegelapan malam melalui tingkap biliknya. Hatinya runsing. Kata-kata Embun tadi seakan-akan menghantuinya.

“Kau tak pernah fikir perasaan aku!”

“Kau suka suruh aku buat macam-macam. Tapi apa kau buat untuk aku? Langsung tak ada. Kau hanya tahu suruh!”

“Kau tak pernah ambil tahu hal aku. Even aku demam pun… kau langsung tak ambil tahu.”

“Kau hanya tahu fikir pasal diri kau. Kepentingan kau. Aku? Pernah kau ambil peduli? Aku hidup, aku mati... kau langsung tak kisah. Ini kau kata kau sayang aku? Penipu!”

Ryzal tarik nafas. Dia pejam mata.

“Abang?” Rania terkedu. Pertama kali melihat abangnya menangis. Mata Ryzal merah! Pipi Ryzal basah.

“Tak tidur lagi B?” Pantas menyeka air mata dari terus mengalir. Dia rasa lemah.

“Abang okay?”

Ryzal tarik nafas. Perlahan-lahan mengangguk.

“B dengar semua yang Kak Embun cakap tadi. Dia tengah marah tadi. Sebab tu dia cakap bukan-bukan. B kenal abang. Abang bukan macam tu.”

Ryzal tersenyum. Lidahnya kelu untuk menjawab.

“Sejak bila abang suka Kak Embun?”

“Hah?” Terkejut dengan soalan dari Rania. Selama ini dia memang tidak pernah bercerita hal peribadinya pada Rania. Jurang umur mereka terlalu jauh. Dia selalu merasakan Rania terlalu kecil untuk memahami.

“B dah 20 tahun. Mama kata abang kenal Kak Embun sejak zaman belajar dulu kan?”

Ryzal mengangguk perlahan.

“Masa tu abang dah tahun akhir. Embun baru masuk belajar. Abang jadi fasi untuk group Embun. Nampak macam sangat drama cerita abang ni… tapi abang pun tak tahu kenapa, hati abang tertarik tengok Embun. Dia kelam kabut. Dia pemarah. Dia nampak pendiam, tapi bila dah start bercakap… dah gaya mak nenek. Sebab tu abang gelar dia nenek… kebetulan abang dapat tahu nama pertama dia, Embun. Lepas habis orientasi, abang tak jumpa dia dah. Abang pula ada praktikal masa tahun akhir. Beberapa bulan lepas, tiba-tiba dia muncul balik.”

“Lepas tu?”

“Dia nampak macam benci abang. Sejak abang panggil dia Embun, semua kawan-kawan universiti dia panggil dia Embun. Hilang terus nama Imanisa. Mungkin sebab abang memang tak boleh lupakan Embun, abang tak pernah serius bila bercinta. Hati abang cepat bosan. Abang cari cuba cari ‘Embun’ dalam diri orang lain. Tapi abang tak jumpa.”

Rania tersenyum.

“Memang cerita abang ni macam drama.”

“Abang teruk sangat ke B? Walaupun sebagai kawan dia?”

Rania angkat bahu.

“Selama B kenal abang… abang memang lelaki yang paling tak pandai tunjuk perasaan. Walaupun abang tak pernah cakap abang nampak B.. sayang mama, tapi kami tahu abang saya kami kan? Perasaan tak payah cakap. Hati kita boleh faham. She do love you,” ujar Rania pula.

Ryzal menggeleng. 

“Dia benci abang. Dah banyak kali dia cakap tadi….”

“Itu luahan hati Kak Embun je abang. Benci tandanya sayang. Abang jumpa Kak Embun, minta maaf. You need her. She need you.”

“Tapi abang nampak sangat teruk B.”

“Berubah. Kalau Kak Embun boleh berubah untuk terima abang dulu… abang juga boleh berubah untuk Kak Embun terima abang. Abang tak perlu jadi orang lain. Just be yourself. Dia benci perbuatan abang, bukan pembuatnya. Sama seperti mama cakap, hate the crime, not criminals. Mungkin abang ni teruk. Tak reti jaga perasaan kak Embun. Berubah. Everything will change.”

“Tapi dia akan terima abang ke?”

“She love you, even you are bad. B nampak Kak Embun sayang abang… sebab tu dia marah sangat bila abang nampak macam main-mainkan perasaan dia. Out of sudden, you said you love her. Kalau jadi B pun… B marah juga pada abang.”

“Betul?”

Rania mengangguk. 

“Sejak bila adik abang ni dah dewasa?”

Rania tersenyum.

“Jom jumpa Kak Embun. B tahu dia mesti tak tidur lagi. B teman.” Tangan Ryzal ditarik.


***

NUR RANIA tarik nafas. Bulat matanya. Terkejut apabila dia memulas tombol pintu bilik abangnya, terjengul wajah Arjuna yang juga jelas nampak terkejut.

“Rania nak pergi mana?” soal Arjuna selepas hilang rasa terkejut. 

“Abang Juna buat apa?”

Arjuna tersengih. Dia garu kepala. Segan dan terkejut. Hampir sepuluh minit dia dan Embun berdiri tegak di hadapan pintu bilik Ryzal. Puas dia memujuk Embun supaya mengetuk pintu, tetapi Embun pula malu. Bila dia mahu mengetuk, tiba-tiba pintu terbuka. Terkejut beruk dia!

“Embun?”

Arjuna tarik tangan adiknya supaya berhadapan dengan Ryzal. Rania pula sudah melangkah keluar dari bilik. Dia memberi ruang kepada kedua-dua mereka untuk berbicara di hadapan mereka. 

“Sorry tau! Sebagai abang pada Embun, memang abang takkan biarkan korang bercakap berdua je. Bahaya! Tapi jangan risau… mata abang tengok, telinga abang buat pekak. Kan Rania?”

Rania mengangguk laju. Tersengih pada Arjuna.

“Hmm.…” Ryzal garu kepala. Kelu.

Embun pandang jari kaki. Dia juga kelu. Tidak tahu nak cakap apa.

“Memang tak nak cakap ke?” soal Arjuna perlahan apabila dia sudah mula bosan menunggu Ryzal dan Embun bersuara. Macam kedua-dua bercakap bahasa hati sahaja, dan mata memainkan peranan. 

“Kalau tak nak cakap… baik kita tidur. Esok nak bangun sahur lagi,” sampuk Rania pula. Dia sudah naik geli hati melihat Ryzal dan Embun yang terkulat-kulat di hadapan mereka.

“Hmm…” Embun mendongak. Dia betulkan tudung yang terasa senget. Dia hanya menyarung tudung, tanpa sempat membelek penampilannya. Dia rasa berserabut.

Ryzal tarik nafas. Dia cuba kumpul kekuatan.

“Aku minta maaf. Marah kau tadi,” ucap Embun perlahan.

“Okay. Takpe.”

“Itu je?” Rania pula yang tidak puas hati. Ish, abang aku ni! Nak kena ajar ke?

“Selama ni memang aku suka kau. Aku tak tahu kau suka aku juga. Aku anggap kau kawan. Sebenarnya walaupun kau jarang ambil peduli hal aku, tapi bila aku perlukan kawan, kau sentiasa ada dengan aku. Aku nak cari kawan baik. Aku dah penat jadi pemadam." 

Ryzal pandang muka Rania dan Arjuna sebelum kembali menatap wajah Embun yang merah padam. Panas ke? 

“Mencintai orang yang cintakan kita tu lumrah. Tapi apabila orang yang kita cintakan kita, mencintai kita juga… itu anugerah. Aku memang selama ni tak reti jaga perasaan kau. Bukan aku tak kisah, cuma sejak dulu lagi ego aku tinggi. Papa aku meninggal masa aku kecil, aku tak ada role model nak ajar aku.. Mama aku pun tak pernah tunjuk dia sayang aku, tak pernah cakap dia sayang aku... tapi aku tahu dia sayang aku.” 

“Okay. Jom tidur!” Ajak Embun kalut. Mukanya bertambah panas. Telinga dia dapat menangkap tawa kecil Arjuna dan Rania. Dia malu! 

“Jap!”

“Kenapa?” Berkerut dahi Embun apabila Ryzal menarik hujung baju kemeja abangnya yang dijadikan baju tidur. Memang dia tahu penampilan dia di hadapan Ryzal sangat berserabut. Pakai baju kemeja, dan seluar track Arjuna. Semua t-shirt Arjuna masih tidak berbasuh. Memang Arjuna pemalas kalau bab membasuh. Semuanya hantar dobi seminggu sekali.

“Aku nak ajak kau… hmm….” Sebelah tangan masih kejap memegang hujung baju kemeja Arjuna. Sebelah tangan lagi sibuk menggaru kepala yang langsung tidak gatal.

“Kau ni banyak kutu ke?” Dari tadi aku tengok menggaru je!” Bentak Embun geram. Tadi elok sahaja cakap tidak berhenti, sekarang tiba-tiba mati kata? Itu yang kadang-kadang dia geram dengan Ryzal. Nama sahaja peguam, tetapi apabila bercakap selalu lupa ayat yang nak cakap apabila kalut. Nasib baik tidak terbawa perangai itu di dalam mahkamah. 

Rania pandang Arjuna. Mata kedua-duanya sudah bulat sebelum tawa mereka bergabung kuat.

“Bukanlah! Aku nak ajak kau kahwin. Tapi aku lupa ayat romantik sikit. Kau ni tak sabar betullah,” balas Ryzal, geram.

Arjuna pegang bahu Ryzal. Mukanya merah padam. Ketawanya semakin kuat.

Embun dah ternganga sebelum segera melangkah masuk dalam bilik Arjuna.

“Eh, dia reject aku ke?”

Arjuna menggeleng.

“Betul?” soal Ryzal tidak percaya.

Arjuna mengangguk pula. 

“Jap Juna! Tadi kau cakap aku ni Encik Panda? Kenapa?”

“Itu kau tanya adik aku. Kalau nak cerita, nampaknya memang kita tak tidur... terus bersahur. Aku dah mengantuk sangat ni,” ucap Arjuna sengaja buat muka bosan. Memang sepanjang duduk serumah dengan Ryzal, dia perasaan kebanyakan baju kemeja atau t-shirt Arjuna berwarna putih. 

Ryzal mengeluh. Rasa macam tidak mahu tidur. Dia pandang lama pintu bilik Arjuna yang terbuka luas sebelum pandang wajah Arjuna yang tersengih, tetapi sudah buat muka mengantuk. Dia tahu Embun menyorok belakang pintu. Memang sudah macam drama swasta betul mereka malam-malam buta ni.

“Embun, jom kahwin!”

“Woi! Kalau kau nak ajak dia kahwin malam ni… aku pun tak bagi. Lepas raya kau hantar rombongan meminang. Jom tidur!” balas Arjuna. 

Rania sudah melangkah masuk dalam bilik Ryzal. Hatinya berbunga cerita. Tak sia-sia dia balik Malaysia. Dia sudah tidak sabar nak bercerita pada mamanya. Dua kejutan bakal dikongsi dengan mamanya nanti.

Ryzal tersengih. Dia peluk badan Arjuna kuat.

“Thank you Embun for wanting me..” ucap Ryzal perlahan.


Terima kasih sebab baca dan sudi komen. Saya gembira ^^






Back to Top