Cerpen : Bayi dumpster II

ditulis pada: 29 Mei 2015
{gambar bayi comel ini dari Pakcik Google}



PUAN MAIMUNAH terasa dia tidak betah duduk lama lagi di hadapan adik-adiknya. Kebetulan hari ini ada kenduri tahlil, jadi dia menjemput adik-adiknya tidur di rumahnya. Orang-orang masjid kebanyakan sudah pulang selepas membaca tahlil tadi. Hampir tujuh tahun dia tidak berjumpa dengan Ashraf sejak Hafiy muncul dalam hidup mereka. Entahlah, memang berat sungguh hatinya mahu menerima walaupun selama ini dialah penaung dalam mana-mana persatuan melibatkan anak-anak malang yang dilahirkan tidak sah taraf. 

“Arif, Arshad jangan lari-lari. Aira, Amira… tengok adik-adik tu!” Ashira cekak pinggang sambil menggeleng. Geram pula dia melihat anak-anaknya yang lincah berlari sejak tadi. Suaminya pula asyik bersembang dengan abahnya sejak tadi, tanpa mempedulikan anak-anak. 

Puan Maimunah mengeluh.

“Amira tu dah fikir nak sambung mana?” soal Puan Solehah.

“Tak tahulah mak su. UPU tu semua dia minta. Result SPM dia hari tu pun, cukup-cukup makan je.” Ashira tersenyum. 

“Sekarang ni nak sambung belajar tu senang, antara nak belajar atau tak je. Kalau tak dapat IPTA, swasta pun banyak,” sampuk Puan Rogayah. 

“Betullah tu mak ngah. Rasanya Amira tu, sambung Matrik je dulu.” 

“Kalau result bagus, boleh sambung pergi luar negara macam Lufti dan Danish tu. Nasib baiklah result Kaira tu bagus. Tak payah fikir apa-apa, semua kerajaan uruskan,” sambung Puan Solehah lagi dengan rasa penuh bangga. 

Ashira hanya tersenyum. Kalau berjumpa dengan ibu saudaranya ini, memang dia tahu betapa Puan Solehah sangat banggakan cucu-cucunya yang dilahirkan cerdik, pandai. Setakat ini, memang hampir semua cucu-cucu Puan Solehah mendapat keputusan peperiksaan yang membanggakan dan mudah sahaja menyambung pelajaran di luar negara. 

“Tak kisahlah sambung mana pun Ashira. Universiti kat dalam Malaysia ni pun, ramai orang luar datang nak belajar kat sini. Tak payahlah kita nak banggakan sangat orang luar tu,” ujar Puan Rogayah. 

“Yalah, cucu-cucu angah semua dapat sambung dalam Malaysia je kan?” soal Puan Solehah, sambil mencebik.

“Hmm… biar p lah depa, nak sambung luar… ke dalam. Yang penting, tiap-tiap bulan, balik kampung, jenguk mak dia ni. Ada anak-anak belajar tinggi, kerja hebat-hebat… tapi lupa mak kat kampung pun tak guna. Buat rumah besar pun, duduk seorang je,” balas Puan Rogayah. Dia kematian suami sejak muda, dan terpaksa membesarkan kelima-lima anaknya seorang diri. Waktu itu, anak bongsunya baru berusia 10 tahun, dan yang sulung berumur 15 tahun. Nasib baiklah ada Encik Ashman dan Puan Maimunah yang selalu membantunya. 

Puan Solehah sedikit tersentak. Keempat-empat anaknya memang berkerjaya, tetapi hendak menjenguk muka setahun sekali pun payah. Dia sudah berpisah dengan suaminya dan menjadi ibu tunggal. Tetapi, nasib baiklah suaminya yang berpangkat ‘Datuk’ itu selalu menghulurkan duit beribu-ribu tiap-tiap bulan sehingga sekarang, walaupun anak-anaknya semuanya sudah besar panjang dan mempunyai keluarga sendiri. 

“Hah, adik kamu tu… bila nak balik Malaysia ni? Duduk kat Jerman tu, dah lupa Malaysia ni. Ke, dah tukar kerakyatan?” soal Puan Rogayah, terus pandang wajah Ashira dan Puan Maimunah. Memang kalau bercakap, Puan Rogayah jarang berlapik. Tetapi Ashira tahu, hati Puan Rogayah baik. Sedikit berbeza dengan Puan Solehah yang sejak tadi asyik mencebik seperti tidak puas hati. 

“Hah, cucu-cucu mak su pun tahu balik tiap-tiap tahun. Tak mampu ke nak bayar duit kapal terbang, kalau tak mampu… mak su boleh sponsor,” ujar Puan Solehah. 

“Tak mampu apa Solehah, kalau dah kerja dengan Shell tu, duit berpuluh-puluh ribu. Ashman tu pun ada syarikat sendiri. Cubalah tengok vila ni, orang biasa mampu ke duduk?” soal Puan Rogayah sambil menggeleng. Tidak habis-habis adik bongsunya itu hendak membangga diri tentang harta yang tidak seberapa. 

“Saya cakap je angah. Yalah, Ashraf tu dah lama tak balik. Tujuh tahun dah, sama besar dengan umur budak Hafiy tu.” 

Puan Maimunah terdiam. Sepatutnya Ashraf yang mewarisi syarikat suaminya itu, tetapi anak bongsunya itu terus membawa diri bersama Sakinah dan Hafiy setelah menerima tawaran dari Shell. Suaminya dan keluarga Ashira juga setiap tahun ke Jerman, tetapi tidak pernah membawanya kerana dia tidak mahu. Dia rela ditinggalkan sahaja di Malaysia. Ada juga Ashraf balik ke Malaysia, dan mahu berjumpa dengannya, tetapi dia mengelak. Pelbagai alasan diberi, dan selalunya setiap kali Ashraf sekeluarga pulang ke Malaysia, dia akan tidak pulang ke vila. Begitu degil hatinya itu tidak mahu menerima Hafiy. 

“Hafiy tu macam mana Ashira?” soal Puan Rogayah. 

“Err… makin comel. Makin petah. Duduk negara sejuk tu, jadi gebu pipi dia tu. Bukan bahasa Melayu je dia tahu, bahasa Inggeris… Jerman pun tahu,” cerita Ashira sambil mengeluarkan iPhone. Dia tunjuk gambar terbaru Hafiy dari Instagram adiknya. 

“Comel. Bulat betul mata dia tu,” ujar Puan Rogayah.

“Hmm… cucu-cucu saya, anak Nazim pun mata bulat macam ni juga,” sampuk Puan Solehah. 

“Yalah, cucu-cucu kamu… semua cantik-cantik, handsome-handsome.” 

Ashira hanya tersenyum. Dia faham dengan maksud di sebalik kata-kata Puan Rogayah tadi, dan semakin lebar senyumannya apabila melihat Puan Solehah tersenyum lebar, seperti berbangga pula dengan kata-kata Puan Rogayah itu. 

“Along ni, marah lagi ke dengan Ashraf tu?” soal Puan Rogayah. Mereka semua tahu kemarahan Puan Maimunah yang langsung tidak dapat menerima kehadiran Hafiy. 

“Ashraf tu kalau tak degil, dah patut dapat anak sendiri dari darah daging dia. Tak perlu nak menumpang kasih anak orang lain,” balas Puan Maimunah sambil mendengus. 

“Masya-Allah along… hal anak ni, anugerah Allah. Kenapa along pertikai hal ni? Kalaulah along di tempat Sakinah tu, along sanggup nak tengok Abang Ashman kahwin lagi sebab akak tak mampu bagi zuriat?” soal Puan Rogayah. Geram pula dia pada kakak sulungnya yang hanya berbeza dua tahun dengannya. 

Puan Maimunah tersentak. Terus dia melepas pandang pada suaminya. 

“Hidup kita ni tak lama along. Tak semestinya orang tua je pergi dulu, ramai dah orang muda pergi dulu dari kita. Ashraf tu anak yang baik. Dia setia pada Sakinah sebab didikan Abang Ashman dan along pada dia. Along pun pernah berusaha nak bagi Ashraf adik, tapi tiada rezeki kan? Tapi Abang Ashman langsung tak mengungkit walaupun along sendiri beritahu yang Abang Ashman tu nak anak ramai. Ashraf ambil Hafiy, sebab dari kecil along yang ajar supaya dia tak bezakan manusia ni. Kesian Hafiy, along. Sepatutnya dia ada seorang nenek yang ambil berat pada dia,” sambung Puan Rogayah lagi.

Ashira hanya diam. Dia sendiri sudah penat memujuk hati emaknya itu. Kesian juga dia pada Ashraf yang asyik bertanya-tanya tentang emaknya, sama ada sudah menerima Hafiy ataupun tidak. 

“Munah!” Suara Encik Ashman lantang. Telefon digenggam. Mata itu merah. 

“Kenapa ni?” Terpinga-pinga Puan Maimunah, terus berdiri apabila tiba-tiba suaminya itu seperti terkulai layu di atas lantai. Mereka yang lain di dalam rumah menerpa ke arah Encik Ashman. 

“Ashraf… Sakinah….” 

“Kenapa bang?” Berdegup kencang jantung Puan Maimunah.

“Mereka dah takde.” 

“Abang jangan mengarut bang! Mereka memang takde sekarang. Mereka kat Jerman!” ujar Puan Maimunah dengan nada yang tinggi. 

“Mereka kemalangan. Ashraf, Sakinah meninggal. Kedutaan baru telefon abang tadi. Allah, anak-anak kita dah takde Munah….” Kata-kata Encik Ashman berakhir dengan tangisan. 

Puan Maimunah rasa dunianya berputar dan semakin kelam. Tiada? Allah…. 


HUD ZYAD merenung kosong nasi lemak yang dibuat ibunya. Nasi lemak memang makanan kegemarannya. Hampir dua minggu dia memulakan persekolahan darjah satu. Keseronokan yang dirasakan pada hari pertama mendaftar sudah tidak dirasakan sekarang. 

“Noh mana?” soal Encik Muhammad sebaik sahaja melangkah masuk ke dapur. Rambut ikal anak bongsunya diusap sebelum satu ciuman singgah di pipi gebu itu. Anak bongsunya itu memang berisi dan gebu, dan sangat berbeza dengan abang-abangnya yang berkulit hitam manis dan kurus sejak kecil lagi. 

“Ara dah panggil tadi. Cuba abang tengok, risau tertidur pula dia tu lepas pakai baju,” ujar Puan Zahara sambil mengacau air kopi untuk suaminya. 

“Budak tu….” Menggeleng Encik Muhammad dan terus memanjat tangga. 

“Makan cepat adik,” suruh Puan Zahara pada Hud. Rambut Hud diusap penuh kasih. Begitu tabiatnya, bagi menunjukkan rasa kasih pada anak-anak. 

“Masak apa hari ni, ibu?” Muncul Adam sambil menguap. Idris pula berjalan sambil tutup mata. Mungkin dikejutkan oleh Encik Muhammad yang pantang sungguh anak-anaknya tidur selepas subuh walaupun bercuti. Kedua-dua kembarnya itu sudah berusia 19 tahun dan belajar di Kolej Matrikulasi, Gambang. Noh pula 14 tahun, dan menolak tawaran belajar di asrama penuh kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga, terutama sekali Hud. Memang Noh dan Hud sangat rapat. Adam dan Idris juga sangat menyayangi adik bongsu mereka itu. 

“Sakitlah papa!” Suara Hud kedengaran pula. 

“Kenapa ni bang?” soal Puan Zahara dengan sengihan. Kelakar pula melihat Hud yang terjengket-jengket kerana sebelah telinganya ditarik suaminya. 

“Tahu budak ni buat apa dalam bilik tadi?” soal Encik Muhammad. 

“Main game kat iPad?” Teka Adam dan melabuhkan punggung di sebelah Hud. Idris duduk di sebelah Puan Zahara. 

“Bukan.” Encik Muhammad masih tidak lepaskan telinga Noh. 

“Whatsapp dengan awek?” teka Idris terus tersengih. Dia menongkat dagu dan menunggu ibunya menyenduk nasi lemak di dalam pinggan. 

“Noh mana ada awek!” Merah padam muka Noh kini. 

“Hah, ada lah awek. Baru dua tahun sunat, dah ada hati nak ada awek,” sampuk Encik Muhammad. 

Adam dan Idris serentak ketawa mengekek. Tambah apabila melihat muka Noh yang terkulat-kulat. Mereka juga pernah awal remaja seperti Noh. 

“Noh buat apa bang?” soal Puan Zahara akhirnya. Penat pula berteka-teki. Perhatiannya kini sudah beralih terus pada Hud yang sejak tadi mendiamkan diri. Bukan tadi sahaja sebenarnya, tetapi sejak pulang dari sekolah semalam. Selalunya rumah itu bising kerana mulut murai Hud yang seperti burung murai tercabut ekor. Ada sahaja benda hendak diceritakan termasuklah apa yang dilakukan dalam tandas! 

“Dia sibuk menari ikut artis macam jambu tu… dari laptop abang long dia!” Telinga Noh dilepaskan. 

“Lah, kau ke ambil laptop abang long?” soal Adam, geram. Patut dia mencari pagi tadi, tidak jumpa. 

“Ish, mana jambu papa. Korea. KPOP. Bukan jambu,” cebik Noh. Rambut dibetulkan kembali supaya pacak seperti biasa.

Encik Muhammad hanya tergeleng. Mengucap panjang dia di dalam hati. Adam dan Idris sama-sama tergelak. 

“Noh Zuhyr bin Muhammad Helmi…. Tak tahulah ibu, kamu ni nak jadi apa. Subuh-subuh macam ni, patutnya mengaji bukannya menari. Sejuk sikit perut ibu mengandungkan Noh.” 

Noh tarik sengih sambil garu-garu pipi. 

“Lah, pergi sebut nama abang sekali buat apa?” soal Encik Muhammad dan terus duduk. Nasib baiklah jam belum menunjukkan pukul enam lagi. 

“Dah, memang anak abang kan?” soal Puan Zahara kembali. 

“Anak awak juga.” 

Adam dan Idris ketawa. Noh mengambil pinggan berisi nasi yang diserahkan ibunya.

“Kenapa nama adik… tak macam abang long, abang ngah dan Abang Noh? Semua orang letak nama papa. Kenapa nama adik, Hud Zyad bin Abdullah?” Perlahan suara itu menyoal, tetapi membuatkan satu keluarga itu tersentak dan terdiam. 

“Kenapa adik cakap macam tu?” soal Encik Muhammad. 

“Hari tu… adik bagitahu kat kelas nama adik… Hud Zyad bin Abdullah. Adik bagitahu nama papa, Muhammad Helmi. Lepas tu kawan-kawan adik tanya, kenapa nama adik tak sama dengan papa? Adik ni… macam Madina ke?” Air mata itu sudah bergenang.

Adam, Idris dan Noh saling berpandangan. Puan Zahara pula gigit bibir, dan menahan diri dari terus menghamburkan tangisan. Ya Allah, perkara inilah yang mereka simpan hampir tujuh tahun, dan tidak pernah diucapkan pada sesiapa. Malah pada saudara mara juga sudah siap dipesan supaya tidak membongkar rahsia besar itu. Kebetulan, mereka juga baru berpindah ke Kuala Lumpur dari Muar, selepas usia Hud beberapa bulan kerana suaminya dinaikkan pangkat. Malah, dia sendiri berjumpa doktor supaya dia boleh menyusukan Hud sama seperti anak-anaknya yang lain. Walaupun Hud bukan lahir dari rahimnya, Hud adalah anak susuannya. 

“Tak pun, adik ni macam budak baru yang baru masuk minggu lepas? Dia dari Jerman,” sambung Hud. 

“Madina tu siapa?” soal Adam.

“Kawan-kawan adik cakap… mak, ayah Madina tu… artis, selalu keluar kat TV dan majalah. Madina tu anak angkat. Dia orang cakap, Madina tu… luar nikah. Anak angkat tu apa? Anak luar nikah tu apa?” soal Hud. Bergetar suara halus itu. 

Ya Allah, tidak sanggup rasa Puan Zahara untuk terus berada di situ. Dia teringat sewaktu mendaftarkan Hud minggu lepas, pasangan artis popular itu turut mendaftarkan anak tunggal mereka. Tetapi mereka tidak sempat bertegur sapa kerana masing-masing sibuk menguruskan hal pendaftaran. Ya Allah, kecilnya dunia.

“Budak Jerman tu?”

“Nama dia Hafiy. Dia orang Melayu, bukan Jerman. Mak, ayah dia dah takde. Dia duduk dengan nenek dan atuk dia. Tapi… kawan-kawan adik cakap, dia tu pun anak angkat juga. Dia orang tanya kat Hud semalam, betul ke Hud ni macam Madina dan Hafiy.” 

Encik Muhammad mengeluh sambil lihat jam. Hampir pukul 6.30 pagi. Risau Noh dan Hud akan lewat ke sekolah. 

“Anak pungut tu apa? Kenapa dia orang cakap, adik ni… anak pungut macam Madina dan Hafiy? Betul ke… bukan ibu yang lahirkan adik?” Air mata Hud terus jatuh, walaupun dia sendiri tidak faham dengan soalan yang diluahkan tadi. 

“Masya-Allah….” Terlepas sudu dan garpu yang dipegang Encik Muhammad.

Puan Zahara perlahan-lahan teresak-esak sambil ditenangkan Idris. Adam pula terus menarik Hud ke dalam pelukan dan tubuh itu didukung menjauh meja. Tangisan Hud semakin kuat, dan berselang dengan tangisan Puan Zahara.


“MADINA malas dah pergi sekolah!” Madina campak beg sekolahnya di atas sofa. Merah padam wajah itu dengan baju sekolah yang sudah bertukar warna. 

“Kenapa ni?” soal Dhia dengan wajah bingung. Tidak pernah dia melihat anak tunggalnya marah-marah begitu. Selama ini dia tidak pernah juga mengajar anaknya itu meninggikan suara. 

“Madina bergaduh tadi kat sekolah,” lapor Ridzwan sebaik sahaja dia melangkah masuk. Sengaja dia tidak memberitahu isterinya akan panggilan yang diterima sewaktu dia berada di set penggambaran. Dia terus ke sekolah Madina dan membawa anaknya pulang. 

“Bergaduh?” Patutlah baju sekolah yang sepatutnya putih bertukar coklat.

Ridzwan mengangguk dan turut sama melabuhkan punggung di sebelah Madina yang memeluk tubuh dengan mulut dimuncungkan.

“Kenapa Madina bergaduh, sayang?” soal Dhia dan turut sama melabuhkan punggung di sebelah Madina. Dia angkat sebelah kening, seperti bertanyakan soalan pada suaminya. Ridzwan hanya mengeluh dengan wajah keruh. Dia tahu, lambat-laun status sebenar Madina tentu akan dibangkitkan. Cuma tidak sangka, secepat ini!

“Kawan-kawan ejek Madina. Dia orang cakap, daddy Madina ni… artis lelaki paling kacak kat Malaysia. Mummy Madina pun sama. Artis perempuan paling cantik. Semua orang kenal. Semua orang suka. Tapi, dia orang ejek Madina. Dia orang cakap, Madina tak cantik macam mummy sebab Madina ni anak angkat. Mummy, daddy pungut Madina. Kenapa daddy tak letak nama daddy kat nama Madina? Anak pungut tu apa daddy, mummy? Anak luar nikah tu apa? Betul ke, Madina ni… bukan anak daddy, mummy?” Bertalu-talu soalan yang terluah sebelum air mata yang ditahan sejak tadi mula tumpah. Bahu itu terhincut-hincut. 

Dhia mengucap panjang. Ridzwan yang sudah dimaklumkan akan hal itu hanya mampu mendiamkan diri. Malah, sepanjang perjalanan tadi, dia dan Madina hanya mendiamkan diri. Anak tunggalnya itu juga langsung tidak menangis walaupun dia dapat melihat luka-luka kecil pada lengan dan betis Madina. Tersiat juga rasa hati melihat tangisan Madina yang semakin rancak. Masing-masing kelu, walaupun sebelum ini bermacam-macam idea dirancang bagi menghadapi hari ini. 

“Hafiy dan Hud je baik. Dia orang tolong Madina. Dia orang marah sangat bila semua orang panggil kita orang anak pungut. Jadi, Hafiy dan Hud pukul dia orang sebab marah sangat,” ujar Madina lagi sambil teresak-esak. 

“Ke… kenapa Hafiy dan Hud pukul dia orang?” soal Dhia bertambah terkejut. Bahu anaknya dipeluk kejap. Air matanya juga menitik. 

“Sebab… nama dia orang pun macam Madina juga. Nama daddy dia orang bukan Abdullah, macam Madina. Nama daddy kan Ridzwan? Kenapa daddy letak Abdullah kat nama Madina?” Anak pungut tu apa? Anak luar nikah tu apa? Betul ke, mummy yang bagitahu semua orang yang Madina ni… anak luar nikah? Jahat ke jadi anak luar nikah ni?” 

“Masya-Allah….”

Dhia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Terbayang terus akaun Facebook dan Instagram yang aktif digunakan sejak diperkenalkan kira-kira tujuh tahun lalu. Rasanya, berpuluh ribu juga gambar Madina ditangkap dan diupload sejak Madina diambil menjadi anak angkat. Ya, memang dia mengaku pada media dan peminat yang Madina itu anak tak sah taraf. Malah, selepas Madina dilahirkan dia dan suaminya semakin aktif memperjuangkan bayi-bayi malang yang dilahirkan untuk dibuang tanpa rasa perikemanusiaan. Entahlah, semakin dunia ini moden, semakin manusia kembali ke zaman tidak bertamadun. Sedangkan binatang yang tiada akal itu, sayangkan anak sendiri.

"Aku juga ada hak untuk hidup. Aku dilahirkan bukan untuk dibuang."
Cerpen ini tiada kaitan dengan sesiapa, hidup ataupun mati.





2 comments:

  1. Menarik. Sambungan cepat-cepat :D

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete