Cerpen : Separuh masa I

23 Julai 2013

ARJUNA HARRAZ tersengih panjang. Kelakar mendengar butir bicara Embun Imanisa. Acap kali sudah adik kembarnya merungut Apabila namanya dijadikan bahan jenaka kawan-kawan. Hampir sepuluh tahun ibu bapanya inginkan anak. Kebetulan kedua ibu bapanya adalah anak tunggal. Bila mereka lahir, berebut atuk dan nenek dari kedua-dua belah pihak mahu memberikan mereka nama. Akhirnya, nama pangkal mereka dipilih atuk dan nenek, manakala nama kedua mereka dipilih abi dan ibunya. Cuma namanya tidak begitu kolot berbanding adiknya. Embun? Rasanya dah berzaman orang tidak letak nama anak mereka dengan nama Embun.

“Dahlah. Adik bengang ni abang,” ucap Embun kuat. Kepala digaru kuat. Rambut yang dirasakan berserabut, sengaja dibiarkan menggerbang. Rambutnya ikal, bila dah tak bersikat, memang akan nampak macam rambut hantu!

“Adik tahu dia suka sakat adik, kenapa layan lagi?”

Embun mengeluh. Dia membetulkan duduknya. Tadi dia duduk bersila, kemudian dia berlunjur pula. Memang sudah menjadi kebiasaan dia menghabiskan masa dengan abangnya. Walaupun hanya berbeza tak lebih dari lima minit, tapi dia sangat menghormati Arjuna. 

“Juna! Sudahlah main IPad tu. Tolonglah….” Muka Embun merah padam.

“Adik.” Keras suara Arjuna. Dia paling pantang Embun tidak memanggilnya dengan panggilan ‘abang’ walaupun hakikatnya mereka sebaya.

Embun tarik sengih.

“Abang. Tolong adik!”

Arjuna garu kepala. Bosan sebenarnya mendengar cerita yang sama daripada Embun. 

“Kau yang cari masalah. Siapa suruh jadi awek separuh masa? Tak pernah dibuat orang. Kau ingat ni cerita novel ke?”

Embun tarik nafas. Nampaknya Arjuna pula yang naik angin.

“Abang! Dia paksa adik. Adik tak nak sebenarnya.”

Arjuna pandang mata adiknya dalam-dalam. Dia dan Embun bukan kembar seiras. Tapi mereka mempunyai satu persamaan iaitu mata bulat dengan alis mata tebal yang diwarisi daripada abi. Tetapi tak ramai yang tahu mereka adalah kembar kerana sejak kecil, mereka dihantar ke sekolah berbeza. Universiti juga berbeza. Minat mereka juga berbeza. Embun petah berkata-kata. Dia pula lebih pendiam. Dia suka melukis. Embun suka bercakap. Bila mereka bergaduh, selalunya Embun akan menang.

“Abang ajak kerja sekali dengan abang, adik jual mahal,” balas Arjuna sedikit geram. Kalau berhenti kerja, dan bekerja dengannya, semuanya dah selesai. Selepas habis belajar, dia terus bekerja di syarikat periklanan milik abi mereka.

“Adik tak kerja dengan abang. Tak nak kerja dengan abi. Adik suka kerja adik sekarang. Cuma adik tak suka sangat dengan dia.” Serak suara Embun. Sudah berpuluh kali dia perlu memberitahu yang dia memang tidak akan bekerja dengan abi. Dia mahu menjadi peguam.

“Okay. Hari ni Encik Panda tu buat apa pula?” soal Arjuna, mengalah. Dia malas lagi nak bertekak lagi dengan Embun. Pasti akan kalah! Nafas ditarik perlahan. IPad sudah diletakkan di atas meja kecil. Dia ikut berlunjur seperti adiknya. Embun bersandar pada kaki katil. Dia pula bersandar pada kepala katil. Mereka saling berpandangan. 

Embun sudah mekar dengan senyuman.

***

RYZAL AKID tarik nafas. Beberapa kali menenyeh mata. Dia tidak pasti sama ada kesalahan ini disengajakan ataupun memang tidak disengajakan. Besar perbezaan antara kerugian dan kentut! Kenapa mesti perkataan kentut? Kenapa mesti dalam perjanjian antara Syarikat Empire Construction dan Hotel Mega mesti terselit perkataan kentut? Ya Allah! 

“Kenapa?” Berkerut wajah Embun.

“Kau tanya aku kenapa?”

Pantas Embun mengangguk laju.

Ryzal tarik nafas.

“Kau tahu tak betapa pentingnya perjanjian ni?” Ssak kepala Ryzal. Tangannya tanpa sedar sudah membaling fail yang sejak tadi dipegangnya. Tepat mengena dahi Embun.

Bulat mata Embun. Mata Ryzal juga bulat. Terkejut dengan tindakan drastik diri sendiri.

“Kau okay?” soal Ryzal tanpa perasaan. 

“Okay.” Sepatah kata terkeluar. Embun tunduk mengutip fail dan kertas yang bertaburan. Berkerut-kerut dahinya yang terasa pedih. Dia sempat membetulkan shawl yang dirasa sudah senget.

“Kau duduk!”

“Takpe. Aku ada banyak kerja lagi.”

“Aku kata duduk. Kau nak lawan cakap aku?”

Embun menggeleng laju. Dia tarik kerusi. Malas sebenarnya bertengkar dengan Ryzal. 

“Angkat kepala.” Kasar suara Ryzal yang sudah bangun menghampiri kerusi yang diduduki Embun. Selamba duduk di atas meja, betul- betul berhadapan dengan Embun. Dia mencabut cermin mata bulatnya. Tajam matanya menikam mata bulat Embun.

Embun mendongak. Shawl dibetulkan sekali lagi. Bulat matanya merenung mata sepet Ryzal. Rasa macam nak telan!

“Dahi kau merah. Nasib baik tak berdarah. Lain kali kalau dah nampak fail tu terbang, kau elak!” Pesan Ryzal sambil memeluk tubuh. 

Berkerut dahi Embun. Ingat nak minta maaf. Siap ajar lagi nak elak fail?

“Kau dengar tak aku kata ni?”

Embun mengangguk laju.

“Tapi tangan kau laju. Mana aku nak tahu kau nak campak fail tu. Lain kali beritahu dulu sebelum buat,” balas Embun geram.

“Hah?”

“Tak payah nak terkejut beruk macam tu. Sejak bila kau ni bila marah, tangan naik sekali?” Kasar soalan Embun yang sudah memeluk tubuh. Sejak dia menjadi kekasih separuh masa lelaki ini, bahasa yang digunakan mereka tiba-tiba berubah. Dia sudah malas hendak bersopan dengan lelaki yang tak reti bersopan. Walaupun apabila di pejabat, dan menjadi pembantu peguam kepada Ryzal, panggilan digunakan tidak pernah berubah. Kecuali kalau ada orang lain bersama dengan mereka. Kalau berdua begini, mereka senang membahasakan diri ‘kau’ dan ‘aku’. 

“Aku tak sengaja. Fail tu nak terbang.”

“Tak payah nak cakap fail tu tiba-tiba ada sayap.” Sinis suara Embun.

Ryzal tarik nafas. Lupa sekejap marahnya tadi. Dia pandang lama wajah Embun. Hampir dua tahun Embun menjadi pembantunya. Dia sendiri tanpa pengetahuan Embun sudah mencadangkan nama gadis itu untuk menjadi penggantinya apabila dia berhenti kerja nanti.

“Kau tahu apa salah kau?”

“Apa?” Bulat mata Embun. Berdebar jantungnya apabila terpaksa berhadapan begitu dekat dengan Ryzal.

“Cuba kau baca ayat ni. Loud and clear.” Terus Ryzal menarik fail hitam dari tangan Embun. Helaian demi helaian diselak sebelum berjumpa dengan tanda merah sebesar bola di atas kertas. Fail itu diserahkan kembali kepada Embun.

“Kenapa?” Hampir bercantum kening Embun. Dia pelik. Ingat ini sekolah rendah ke? Nak suruh dia baca kuat-kuat.

“Baca dengan kuat dan kuat. Biar terkeluar taik telinga aku. Cepat!” Ryzal memeluk tubuh. Dia pandang wajah Embun yang sudah terkulat-kulat selepas membaca barisan ayat yang tertulis di atas kertas. 

“Err… pihak kami tidak akan menanggung ken… kentut daripada pihak anda.” Muka Embun merah padam. Kenapa perkataan kentut? Ya Allah! Perlahan-lahan dia mendongak. Dia tarik sengih.

“Sorry.”

“Kau suka sangat kentut?”

Embun menggeleng laju.

“Aku tak sedar. Masa buat ni dah nak malam. Aku takut duduk office sorang-sorang. Aku tak perasan aku dah salah taip. Kau pula bising suruh aku siapkan cepat-cepat. Entah masa tu aku tengah tahan kentut agaknya. Aku buat kerja, kau duduk depan aku macam mandur! Sebab tu agaknya keluar perkataan ‘kentut’ ni.” Merah padam wajah Embun menceritakan perihal kentut itu. Setiap kali perkataan itu terkeluar dari mulutnya, dia hendak ketawa sebenarnya, tapi apabila melihat wajah tegang Ryzal, dia telan rasa geli hatinya itu.

“Jadi, kau nak salahkan aku sebab kau tertulis kentut?”

“Bukan!” 

“Aku dah warning banyak kali pada kau. Check dulu sebelum serah pada aku kan?”

Embun mengangguk laju.

“Aku akan maafkan kesalahan kentut kau ni. Cuma setiap hujung minggu sepanjang bulan ni, kau kena keluar dengan aku. No excuse.”

“Mana boleh!”

“Kenapa tak boleh? Kau ada hal? Kau ada boyfriend tetap dah ke?”

Lambat-lambat Embun geleng kepala. Mana dia ada masa nak cari boyfriend. Boyfriend separuh masa depan dia ni pun tak sempat nak layan.

“Jadi sebab apa?”

“Aku nak solat terawih.”

“Kau ingat aku tak solat terawih. Bukan aku nak ajak jumpa sampai tengah malam.” Ryzal hampir terlupa sekarang bulan Ramadan. Apabila terlalu sibuk dengan kes di mahkamah, seperti biasa… makan minum memang tak pernah nak diambil peduli. Cuma setiap malam, dia akan pastikan singgah di masjid untuk terawih selepas pulang dari pejabat. Memang setiap hari dia pulang lewat. Sebab itu dia lagi suka tinggal di rumah sewa sahaja walaupun rumah mamanya juga dekat sahaja.

“So, nanti kau kena teman aku dan mama aku pergi shopping hujung minggu ni. Mama nak beli barang. Kau kena teman!” Arahan mandatori dari Ryzal seperti biasa dikeluarkan.

Embun ketap gigi. Geram!

“Kau jangan lupa… aku dah tolong kau dulu menyamar jadi boyfriend kau masa bekas kekasih kau kacau kau, atau kau nak aku dedahkan perkara sebenar?”

Perkara itu berlaku beberapa bulan lepas. Waktu itu dia dan Embun sedang menjamu selera selepas keluar dari mahkamah. Belum sempat ingin menghabiskan nasi di dalam pinggan, bergegar meja mereka apabila seorang lelaki yang langsung tidak dikenalinya sebelum ini mengaku boyfriend Embun. Bising satu kedai, kononnya Embun curang. Dia yang terpinga- pinga tiba-tiba secara rasmi tanpa kerelaan hati menjadi teman lelaki Embun. Bukan setakat teman lelaki, malah bakal tunang!

“Okay. Kau tak kisah ke tipu mama kau? Kesian dia.” Sengaja suara dilunakkan. Dia sudah bosan menyamar jadi kekasih separuh masa Ryzal. Apabila perlu, tak kira masa dan tempat, dia perlu menyamar.

“Selama ni, aku awek bertukar sana sini. Buat masa ni aku malas nak bercinta. Ingat hujung minggu ni… mama aku bukan setakat suka kau. Nama kau pun dia suka. Embun? Dia selalu cakap nama tu, zaman nenek-nenek je ada. Kan Nenek Embun?”

“Kau!” Fail atas tangan hinggap atas kepala Ryzal. Dia paling benci orang kutuk namanya. Memang Ryzal tidak pernah serik!

bersambung


8 comments:

  1. Like! Very much hehe

    ReplyDelete
  2. lawak heheh...best..teruskan lagi k :)

    ReplyDelete
  3. best.....cm sweet jer embun ngan ryzal....

    ReplyDelete
  4. salam ramadhan imani,

    lawak jak cerpen ni..hahaha..
    teruskan ya...

    (^_^)

    ReplyDelete
  5. Hahahahahahaha KENTUT hahahahaha nakalnyaaaaaaa

    ReplyDelete
  6. seriously KENTUT?? jauh beza kot perkataan tu ngan KERUGIAN..haahha.. selamat hari raya sis.. :)

    ReplyDelete
  7. adoi la embun...kentut nyer psal kan dh kna marah

    ReplyDelete