Cerpen : Permainan takdir

Ditulis pada: 10 Mac 2012


HAZEL menyepak bola tepat masuk ke dalam pintu gol. Dia menjerit kesukaan. Walaupun hanya bermain seorang diri, Hazel langsung tidak berasa keseorangan. Encik Hafiy berdiri di tepi taman turut sama bermain bersama Hazel. Kerja sebagai seorang juruterbang untuk MAS menyebabkan dia jarang berada di rumah. Dia memang selalu terbang ke luar negara dan terpaksa meninggalkan anaknya dengan isterinya di rumah. Puan Ilyani pula berhenti dari menjadi arkitek untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada Hazel. Usia perkahwinan mereka hampir sepuluh tahun. Hampir lima tahun mereka menanti untuk menimang cahaya mata sebelum Hazel lahir ke dunia. Kini usia Hazel sudah menjangkau empat tahun. 

“Abah!”

“Apa?”

“Ada lori, abah!” jerit Hazel teruja. 

Berkerut dahi Encik Hafiy. Sudah hampir setahun rumah sebelahnya kosong tanpa penghuni. Tiada pula ada tanda- tanda menunjukkan rumah itu bakal dihuni semula. Jiran lama mereka telah berhijrah ke luar negara. 

“Jom!” Encik Hafiy terus memimpin Hazel apabila sebuah kereta betul-betul berhenti di hadapan rumahnya. Puan Ilyani juga sudah melangkah keluar dari rumah apabila riuh sekali suara Hazel menjerit memanggil namanya. Pintu pagar dibuka. Hazel berlari keluar sebelum sempat dihalang. 

“Nak pindah masuk ke?” Encik Hafiy menyoal pada sepasang suami isteri yang baru melangkah keluar dari kereta. Lori berhenti betul-betul di hadapan rumah sebelah dan beberapa orang pekerja terus memunggah barang-barang untuk dibawa masuk ke dalam rumah. 

“Assalamualaikum. Ya. Kami baru nak pindah masuk hari ini. Saya Adam Chien dan isteri saya, Sophia Lee.” 

Encik Hafiy dan Puan Ilyani tunjuk riak terkejut. 

“Walaikumussalam. Muslim?” soal Encik Hafiy ragu-ragu sambil menilik wajah Encik Adam dan Puan Sophia. Kedua-duanya bermata sepet dengan kulit kuning langsat kemerahan dan Puan Sophia yang hanya memakai skarf menutup sebahagian rambutnya.

Encik Adam dan Puan Sophia serentak mengangguk. 

“Maaflah Adam. Abang ingatkan awak ni bukan Islam. Sebab itulah abang tidak ucapkan salam tadi,” ujar Encik Hafiy, serba salah. Sekali imbas, dia sudah mengagak pasangan suami isteri di hadapannya itu jauh lebih muda darinya. 

“Takpe. Kami faham. Kami ni memang orang Cina tetapi beragama Islam. Saya beragama Islam sejak lahir dan isteri saya mualaf.” Terang Encik Adam dengan senyuman.

“Malaysian?” soal Puan Ilyani pula. 

Encik Adam dan Puan Sophia mengangguk serentak. 

“Saya dulu belajar di Jepun. Habis belajar, terus ditawarkan bekerja di sana. Jadi saya bawak Sophia yang saya dah kenal sejak sekolah ikut saya selepas kami berkahwin. Kebetulan syarikat yang saya bekerja di Jepun buka cawangan di Malaysia, jadi mereka hantar saya semula ke sini,” beritahu Encik Adam. 

“Abang ni nama apa?” soal Encik Adam. 

“Terlupa nak kenalkan diri. Nama abang, Hafiy Taqif. Ini isteri abang, Ilyani,” ujar Encik Hafiy ketawa sambil memperkenalkan isterinya juga. Hazel yang elok bersandar pada kakinya. 

“Auntie dan uncle ni takde anak ke?” soal Hazel akhirnya. Sejak tadi dia mendiamkan diri dan menjadi pendengar perbualan abah dan uminya.

“Hazel. Tak baik cakap macam tu!” Mulut Hazel pantas ditutup Encik Hafiy. Gaya percakapan Hazel memang tidak nampak langsung baru berusia empat tahun. 

“Ada. Dia dalam kereta, tidak mahu keluar sebab panas,” ujar Encik Adam lalu melangkah ke bahagian pintu penumpang. 

Encik Hafiy, Puan Ilyani dan Hazel segera menjenguk kereta yang masih tidak dimatikan enjin. Langsung tidak nampak bayang sesiapa. Sekali ketuk pada tingkap kereta, terjengul wajah seorang kanak-kanak lelaki dengan wajah masam mencuka. 

“Keluar kereta, Aisy Kun. Salam dengan jiran,” arah Encik Adam sambil membuka pintu kereta. Kanak-kanak lelaki dengan rambut lurus menutup keseluruhan dahi melangkah keluar dengan wajah berkerut-kerut. 

“Papa, Mama… panaslah!”

“Aisy Kun, salam uncle dan auntie,” suruh Encik Adam segera. Pelat sekali Encik Adam bila bertutur. Mungkin jarang bertutur dalam bahasa Melayu. Tetapi anaknya mudah sahaja memahami kata-kata papanya. 

“Siapa nama?” soal Encik Hafiy. 

“Aisy Kun.”

“Kun?” soal Hazel dengan wajah berkerut-kerut. 

“Kalau di Jepun, kanak-kanak lelaki sebaya dengan Aisy akan ditambah ‘Kun’ pada nama. Sama seperti Hazel kalau ke Jepun. Hazel juga akan dipanggil Hazel Chan,” ujar Encik Hafiy yang sangat arif dengan budaya Jepun kerana kekerapan dia ke sana. Puan Ilyani juga mengangguk kerana dia sedia maklum dengan perkara itu. 

Hazel hanya mengangguk walaupun langsung tidak memahami. 

“Nama Hazel ya?” soal Puan Sophia. Pipi tembam Hazel yang gebu itu dicuit geram. 

Hazel mengangguk.

“Unik nama itu untuk orang Melayu,” tambah Encik Adam. 

“Mesti sebab mata Hazel ni warna hazel kan?” soal Puan Sophia lagi.

Encik Hafiy hanya mengangguk dan tersenyum. Warna mata satu-satu anak tunggalnya itu diwarisi dari arwah ibunya. 

“Umur?” soal Encik Adam. Wajah comel Hazel direnung. 

“Empat tahun!” Hazel dengan bangga menunjukkan empat jarinya. 

“Wah, sebaya dengan Aisy Kun,” ucap Puan Sophia. 

“Ya?” Encik Hafiy dan Puan Ilyani terkejut. Sekali pandang, Hazel nampak lebih tua kerana Hazel tinggi dan berisi. 

“Jom kita main nak?” ajak Hazel tiba-tiba. Dia sudah bosan menjadi pendengar. Tangan Aisy digenggam erat. 

Puan Ilyani dan Puan Sophia berpandangan. Terkejut dengan tindakan Hazel. 

“Jom kita main bola nak?” ajak Hazel sekali lagi bila melihat Aisy nampak terpinga. 

Aisy mengangguk laju sebelum tersenyum. Dia suka budak perempuan di hadapannya ini. Macam Doraemon. Comel. 

***

AISY ICHIRO CHIEN membetulkan lampin yang baru sahaja dibalut tadi. Dia tersenyum. Pandai juga dia memakai lampin walaupun berpeluh dahinya. Hazel pula masih sibuk memasak. Entah apa yang dimasaknya sejak tadi. Pelbagai jenis bahan digaul dan diletakkan di dalam kuali. 

“Lepas tu nak buat apa ni Dora Chan?” 

“Letak je atas tilam.” 

“Nanti menangis.” Aisy tidak puas hati kerana Hazel langsung tidak memujinya kerana berjaya memakai lampin untuk anak mereka yang gebu dan bulat itu. Sesekali loceng pada lehernya sengaja dibunyikan. 

“Ala dia tak nangis. Kau pakaikan lampin sorang lagi tu. Lepas tu kau nyanyikan lagu,” suruh Hazel terus menolak seorang lagi anak mereka yang sejak tadi di atas ribanya. 

“Dora Chan. Bila kita boleh makan ni? Aku lapar,” adu Aisy. Sejak dulu lagi dia sudah terbiasa memanggil Hazel dengan panggilan Dora walaupun dahulu nama itu langsung tidak disukai Hazel. Semuanya kerana betul fizikalnya yang gemuk. Jadi Aisy memanggilnya Dora. 

“Kejap. Kau ingat senang ke nak memasak? Kalau mama dan umi memasak kan lama,” beritahu Hazel. Dia menyeka peluh.

Aisy hanya mengangguk. Lampin dipakai pula untuk anak mereka yang kedua. Mereka kembar kerana sama umur. 

“Wei… siapa nama anak-anak kita ni?” 

“Mana aku tahu. Kau tak bagi nama lagi ke?”

Aisy menggeleng.

“Kau nak bagi nama apa?” 

Aisy garu dagunya cuba berfikir.

“Kita letak nama Nobita Chan dan Sizuka Chan,” cadang Aisy.

“Kau nih… asyik nama tu je.”

“Dah kau nak letak nama apa?”

“Usagi Chan. Seorang lagi Doraemon.” 

“Kau nih! Aku tahulah seorang ni memang Sailormoon. Letaklah nama lain. Seorang ni pun. Mana boleh nama anak dengan nama mama dia sama,” bangkang Aisy. Langsung tak kreatif. 

“Nama aku Hazel bukan Dora. Jadi mana sama.”

“Aku tak peduli. Nama lain. Kalau tak aku tak nak main,” ugut Aisy. 

“Kalau kau tak nak main. Aku tak nak main badminton dengan kau,” ugut Hazel pula. Dia tersengih panjang bila melihat Aisy sudah terkulat-kulat mahu menjawab. 

“Sudah, sudah! Umur dah sepuluh tahun. Main kahwin-kahwin lagi. Jom makan!” Muncul Encik Hafiy tiba-tiba. 

“Ala abah… Hazel nak main lagi. Hazel tengah masak ni.”

Encik Hafiy ketawa. Memang dia suka melihat bila Hazel dan Aisy mula bermain kahwin-kahwin. Aisy pasti akan memakai kain pelekat manakala Hazel yang selalu memakai skirt akan menukar memakai kain batik serta bertudung. Sengaja dia membina pondok kecil di laman rumahnya yang kini penuh dengan mainan kedua-dua mereka. Set dapur Hazel juga memenuhi sudut pondok. 

“Lepas makan, Hazel sambung masak balik,” pujuk Encik Hafiy. Minggu ini dia cuti. Baru minggu lepas dia terbang ke Rom dan Beijing. Papa dan mama Aisy pula masih lagi bekerja. Bila papa dan mama Aisy bekerja, Aisy akan dihantar untuk dijaga oleh Puan Ilyani yang tidak bekerja. 

“Jom makan. Aku lapar,” ajak Aisy yang sudah mencabut kain pelekat. Seluar pendek tersarung di dalam tadi. 

Hazel memuncung. 

“Cepat, abah masuk dulu. Umi dah tunggu lama tu,” pesan Encik Hafiy sebelum melangkah masuk. 

“Cepatlah!” gesa Aisy bila Hazel sengaja melambatkan pergerakannya. Kain batik dan tudung dicabut dan dicampak sahaja di atas lantai. Dia membetulkan skirt yang dirasakan sudah berkedut seribu. 

“Bila kita main kahwin-kahwin… mesti sekejap je. Abah tu dengki,” adu Hazel. Dia mencabut lampin yang dipakai patung Doraemon dan Sailormoon. Patung Doraemon milik Aisy manakala patung Sailormoon pula adalah miliknya. 

“Nanti kita besar. Kita kahwin betul-betul macam abah, umi nak?” ajak Ais. 

Bersinar mata Hazel.

“Tapi nanti mesti abah dengki lagi. Sekejap je.” Matanya kembali redup. 

“Alah... aku tengok bila orang kahwin mana sekejap. Atuk dan opah kahwin sampai tua kan? Kita kahwin sampai tua lah. Sekarang kita kecil lagi. Mestilah abah, umi selalu kacau.” Terbayang atuk dan opah Hazel. Dia tidak mempunyai atuk mahupun nenek kerana mereka sudah meninggal dunia sebelum Aisy lahir lagi. Selalu juga Encik Hafiy dan Puan Ilyani membawa Aisy pulang ke kampung. Sejak dijaga oleh keluarga Hazel, Aisy sudah terbiasa memanggil ibu bapa Hazel dengan panggilan ‘abah’ dan ‘umi’ sama seperti Hazel. Hazel juga memanggil Encik Adam dan Puan Sophia dengan panggilan ‘papa’ dan ‘mama’. 

“Kau janji?”

Aisy mengangguk laju.

“Aku janji!” Jari telunjuk dihulur. Segera Hazel menyambungnya. 

***


NOURHAZEL mendengar penerangan demi penerangan dari Aisy dengan dahi berkerut-kerut. Sesekali dia menguap. Mengantuk. Mencuka wajah Aisy apabila melihat mata Hazel sudah berair. 

“Kau nih… aku ajar ni. Kau dengar tak?” Tidak puas hati kerana langsung tiada respons dari Hazel. Bukan Hazel seorang sahaja mengantuk, dia juga mengantuk. Ditambah lagi dengan cuaca redup. Bertambah mengantuk lagi matanya. 

“Aku dengar. Bosanlah Aisy Kun. Kita stop sekejap boleh? Aku lemah betul bila kena belajar add math ni. Kita makan-makan dulu nak? Aku ada simpan lagi roti umi buat. Kau nak?” 

“Kau ni!” Laju tangannya mengetuk kepala Hazel.

“Kau apahal main kepala? Sakit tau!”

“Dah! Kau tak payah nak bohong. Kau tu pakai tudung. Mana ada rasa aku ketuk tadi,” Tersengih Aisy bila muncung Hazel sudah kelihatan. 

“Okey. Okey, intan payung. Kita makan dulu. Mana roti? Elok lagi ke?” 

“Mestilah elok. Umi sapu mentega je pun,” balas Hazel terus mengeluarkan bekasnya. 

“Pukul berapa papa nak datang ambil ni? Mengantuk aku,” soal Hazel terus menyuap kepingan roti yang ada di dalam bekas. Aisy mengambil kepingan yang lain. 

“Papa lewat. Papa nak bawa Aiden jumpa doktor gigi dulu. Pukul empat lebih kot baru papa ambil. Kita study dulu sikit. Lagipun tahun ni ambil SPM. Kau tu… berangan nak jadi pilot macam abah. Tapi add math pun kau dah bising bila belajar.” Panjang lebar Aisy berkata. Aiden, adik bongsu Aisy lahir semasa mereka berusia 12 tahun. Hazel sudah menganggap Aiden seperti adiknya juga. Sehingga sekarang Aiden dijaga oleh Puan Ilyani apabila mama dan papa Aisy bekerja. 

“Dating!”

“Bodoh kau, terkejut aku!” Hazel menjerit.

Shukran ketawa bila melihat wajah kedua-dua mereka. Hampir tercekik!

“Kau ni… memang tak tahu nak berbahasa langsung,” ucap Hazel geram. Segera meneguk air yang masih berbaki dalam botolnya. 

“Korang ni… asyik dating je. Dengki tau aku. Tak pernah ajak aku.” Terus memandang wajah putih bersih Hazel dengan mata berwarna coklat. Sesiapa yang melihat, pasti akan tertarik dengan kecantikan gadis itu. 

“Dating kepala hotak kau! Tak nampak kami tengah study ni?”

“Relax lah… korang ni pelajar harapan sekolah. Tak payah nak study sangat. SPM lambat lagi,” ucap Shukran. Dia mengambil tempat di sebelah Hazel. Pernah sekali dia mengajak Hazel untuk menjadi teman wanitanya, tetapi ditolak. Mereka masih bersekolah. Walaupun kecewa tetapi dia turut sedar akan alasan yang diberikan Hazel. Tetapi terbit juga rasa cemburu bila melihat Aisy dan Hazel yang terlalu rapat. Walaupun tahu mereka hanya bersahabat baik dan berjiran, tetapi perasaan cemburu itu sukar dibuang. 

“Kau ni datang sini nak buat kacau ke?” 

Shukran tarik sengih. Aku baru habis bertugas. Nak balik dah. Aku nampak korang kat sini. Aku singgah jap. Aku balik dulu.”

Hazel mengangguk. Dia meneruskan kunyahannya tanpa menghiraukan Shukran yang berlalu pergi. Aisy melepas pandang padanya. Dia tersenyum. 

“Dora Chan, kau rimas ke dengan Shuk tu?” 

Hazel angguk kepala.

“Rimas aku dengan dia tu. Kalau kat rumah, sibuk nak call. Kadang-kadang aku suruh abah kelentong. Kata aku dah tidur.”

“Abah tahu?”

“Mestilah. Aku mana pernah berahsia dengan abah dan umi aku… dengan kau pun aku tak berahsia kan?”

Aisy angguk kepala. Dia juga tiada rahsia yang disimpan dari pengetahuan Hazel. 

“Aku hampir-hampir nak termakan kata-kata dia tu. Tapi aku rasa dia tu… nak aku sebab aku cantik je,” balas Hazel tersengih.

“Wei Dora Chan! Kau angkat bakul sendiri. Berapa puluh kilo beratnya tu. Kuat juga kau,” Aisy ketawa kuat walaupun kata-kata Hazel itu memang betul. Bukan Syurkan lelaki pertama yang cuba memikat kawan baiknya itu. 

Hazel tersengih. 

“Aisy Kun, kau panggil aku Hazel. Aku bukan Dora Chan dah. Aku dah kurus.”

Aisy geleng kepala.

“Bagi aku… sampai bila-bila kau jadi Dora aku.” Aisy sendiri lupa kenapa nama itu digunakan untuk Hazel. Mungkin kerana pertama kali melihat Hazel dulu, mengingatkan dia pada Doraemon, kartun kegemarannya hingga sekarang. 

“Dora Chan… kau pernah dengar cerita pasal pokok epal tak?”

Berkerut dahi Hazel sebelum menggeleng kepalanya. 

“Kau pernah tengok pokok epal kan?”

“Mestilah pernah!” Beberapa kali dia dibawa oleh abah ke luar negara. Itulah untungnya menjadi anak juruterbang. Kadang-kadang abah juga membawa Aisy dan Aiden bersama. Mereka memang jarang berenggang. 

“Aku pernah terbaca pasal pokok epal ni. Kalau kau nak tahu… epal yang paling atas sekali, paling manis dan sedap.”

“Mana kau tahu?”

“Aku bacalah.”

“Jadi? Apa kau nak cerita?” Pelik Hazel.

“Kalau kau makan buah epal dari pokok. Kau ambil yang mana?”

“Kau tanya aku. Aku dan kau sama je kan? Kita ambil yang paling senang nak ambil, yang terjuntai kat bawah,” balas Hazel bertambah pelik.

“Sedap tak?”

Hazel mengangguk.

“Kalau kau tahu… bahagian atas paling sedap. Kau nak panjat ambil tak?” soal Aisy sekali lagi.

Hazel geleng kepala.

“Takut aku panjat tinggi-tinggi. Kalau jatuh, siapa susah?”

“Aku juga.” Terus Aisy ketawa apabila Hazel sudah mengangguk mengiakan walaupun pada hakikatnya dia hendak mengatakan abah dan uminya yang akan susah nanti. 

“Jadi? Apa motif kau cerita tentang kesedapan epal ni? Aku langsung tak dapat tangkap point kau.” 

Aisy tersenyum. 

“Pokok epal ni… boleh disamakan macam kau juga.”

“Aku?” Berkerut dahi Hazel.

“Bukan kau seorang… tapi perempuan. Pokok epal ni macam perempuan. Bahagian paling atas pokok epal… ada epal paling sedap dan manis. Tetapi tak ramai yang sanggup ambil risiko panjat dan petik sebab takut jatuh dan sakit. Tapi ramai orang yang lebih senang ambil buah epal yang terjuntai dekat bawah… lagi senang dan tetap juga sedap… walaupun epal paling atas paling sedap. Kau jadilah epal yang paling atas tu… walaupun susah nak petik, tapi kau tetap sedap dan manis. Nanti akan datang seseorang yang sanggup bersusah payah dan sesuai petik kau.” 

Hazel terdiam. 

“Kau faham tak?”

Lambat-lambat Hazel hendak mengangguk kepala.

“Kau janganlah jadi macam buah epal yang dekat bawah tu… senang dan mudah dipetik. Sebab tempat kau paling atas, paling berharga dan tidak mudah dipetik.” 

“Kau buat aku terharu!”

Aisy tersenyum pula.

“Aku cakap ni…. sebab nak bandingkan situasi kau sekarang. Shukran sibuk nak kacau kau. Tapi kau kena ingat, hidup kau panjang lagi. Sekarang kau fikir belajar.” Terus dia mencapai pensel dan mengetuk kepala Hazel.

“Kau kenapa pulak ni?” 

“Jom sambung study.” 

Hazel menggaru kepalanya yang tak gatal. Kata-kata Aisy membuka matanya. Ya, dia pasti akan menjadi epal yang berada di kedudukan paling atas. Itu janjinya. 

***

AISY menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pening kepalanya menghadap bertimbun-timbun buku yang baru dipinjam dari perpustakaan sebentar tadi. Sudah lama rasanya dia tidak berbual dengan Hazel. Masing-masing sibuk. Dia berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran dan kini berada di Rusia. Sejuk sangat tempat ini sehinggakan dia sendiri memikirkan sepuluh kali setiap kali melangkah keluar dari bilik. Hazel pula tercampak di Jepun. Hazel menyambung dalam bidang kejuruteraan kimia. Dia tidak dapat menjadi juruterbang seperti cita-citanya sejak kecil kerana dihalang oleh abah. Abah tak mahu hidupnya tidak melekat di rumah, tambahan pula dia perempuan. 

“Eh!” Lebar senyuman Aisy bila melihat nama yang online di Skype. 

AisyInchiro: Assalamualaikum.
Hazelnut : Waalaikummussalam, Dr. Aisy. :D
AisyInchiro : Doktor lah sangat. Lagi tiga tahun nak abis ni… aku rasa ak boleh gile!
Hazelnut : Hahahaha :D
AisyInchiro : Kau sihat?
Hazelnut : Alhamdulillah.
FarisInchiro : Lama kau tak online. Call aku pun jarang.
Hazelnut : Jimat. Lagipun aku tak mahu kacau kau yg sdg bhgia.
AisyInchiro : Mcm aku sorang bhgia. Kau tu?
Hazelnut : …..
Aisy garu kepala pula. Dia dapat menghidu sesuatu. Hampir sebulan dia tidak menghubungi Hazel. Dia memang sibuk. Tapi selalunya Hazel akan menghubunginya.

AisyInchiro : Kau ok?
Hazelnut : Ok.
AisyInchiro : Kau jangan main teka teki dgn aku. Bestfriend yg tiba- tiba berahsia ni. Aku rasa nk terjun Eifel Tower.
Hazelnut : Hahahaha. Kau kat RUSIA. Bukan PARIS.
AisyInchiro : Aku sanggup pergi Paris. Kau knp?
Hazelnut : Aku dah putus dgn dia.
AisyInchiro : WHAT?
Hazelnut : Aku dan dia dah tak ada apa- apa.
AisyInchiro : Knp? Bukan kali terakhir aku contact kau. Kau bahagia sangat.
Hazelnut : Dia ada perempuan lain. Aku mintak putus.
AisyInchiro : Mcm tu je? Kau dan dia dah setahun kan?
Hazelnut : Yup.
AisyInchiro : Bila tu?
Hazelnut : Tak lama lepas kau contact aku.
AisyInchiro : Mana janji kau? Kau tak akan berahsia dgn aku?
Hazelnut : Sori. I need time. Alone.
Aisy mengeluh pula. Lelaki tak guna! Kalaulah aku kenal kau… Faris tarik nafas.

AisyInchiro : Sekarang kau macam mana?
Hazelnut : Mungkin dah ok. Aku rasa… aku masih syg pd dia. Tapi aku dah tak sanggup.
AisyInchiro : Aku faham.
Hazelnut : Nasib baik aku tak buat keputusan nak terjun Eifel Tower. :P
FarisInchiro : Hahaha. Aku tahu kau gayat.
Hazelnut : :D
AisyInchiro : Jadi kau mcm mana skrg?
Hazelnut : Aku fikir positif. Aku dan dia tak ada jodoh. Lagipun aku ada dua tahun lagi nak habis. Aku tak mahu bazirkan air mata aku menangis utk dia. Nanti Jepun yang kecil ni boleh banjir.
AisyInchiro : Wei, kau jangan kutuk tempat aku lahir!
Hazelnut : Ops! Sori. Hahaha :)
AisyInchiro : Be strong ye Nourhazel Mohd Hafiy Taqif. Kau kuat!
Hazelnut : Yup! Aku sangat kuat. Kalau Tsunami datang. Aku tak akan mudah mati lemas.
AisyInchiro : Hahaha. Kau jangan cakap besar.
Hazelnut : Kidding.
AisyInchiro : Kalau bunga bukan sekuntum, kumbang pun bukan seekor.
Hazelnut : Betul!
AisyInchiro : Risau aku.
Hazelnut : Jgn risau. Kau dan awek kau okey kan?
AisyInchiro : Yup. Macam biasa. :D
Hazelnut : Baguslah. Aku doakan korang bhgia. Kau jgn gatal- gatal cari perempuan lain. Aku tak akan maafkan kau klau kau curang. Putus sahabat!
AisyInchiro : Hahaha…. Kau jgn risau. Dalam hidup aku.. selain dia, kau perempuan lain yang ada tu :p
Hazelnut : Wei..! Aku tak mahu jadi org ketiga.
AisyInchiro : Tak mungkin. Hahaha…
Hazelnut : Aku doakan korang cepat- cepat kahwin. Korang memang sama- sama padan. Sama- sama sepet. Nanti dapat anak aku doakan mata bulat macam aku. Hahahha…
AisyInchiro : Kau!!
Hazelnut : Hehe. Aku out dulu. Nak tidur.
AisyInchiro : Okay. Nanti lepas aku top up. Aku call kau. Kau cerita sampai habis.
Hazelnut : Okey. Nite Dr. Aisy :D

***

HAZEL menyeka air matanya lagi. Dia tidak mengantuk sebenarnya. Tetapi dia sudah tidak sanggup untuk terus berhubung dengan Aisy. Aisy adalah sahabat yang terbaik. Walaupun bukan dapat bagi bahu untuk dia menangis, tetapi sepanjang mereka berkenalan, memang Aisy adalah teman yang sentiasa ada pada waktu dia gembira mahupun sedih. Dia tidak mahu membebankan Aisy dengan masalahnya. Aisy sendiri sudah terlalu sibuk dengan pengajiannya. Berat rasanya dugaan yang datang padanya. Dia cuba untuk menjadi epal yang sukar untuk dipetik. Hampir setahun dia dan Yusran berkenalan. Selama itu jugalah Yusran cuba memikatnya. Akhirnya dia bersetuju. Setahun pula mereka bercinta, tetapi dia dikejutkan dengan telefon dari seorang gadis misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai kekasih Yusran di Malaysia! Dugaan datang bertimpa… mulai hari ini, dia bertekad. Dia akan menjadi epal yang bukan sahaja sukar malah amat sukar dipetik dari tangkainya. 

“Nourhazel Mohd Hafiy Taqif…. kau mesti kuat!” Dia bersuara tekad. Laptop yang masih dipasang dipandang lama sebelum dahinya berkerut bila melihat email dari Aisy.

From: Aisy.Inchiro@gmail.com 
To: Nurhazel@gmail.com 
Subjek: Sekadar perkongsian. 

Dora Chan, aku tahu kau tak tidur lagi. Kau kesat air mata kau. Aku tak suka kau menangis. Aku benci tengok kau menangis. Tolong jangan menangis. Tolong jangan bersedih…. 

Kau baca sampai habis. Aku copy and paste dari internet. 

Renungan untuk kau dan aku juga. Aku sayang kau. Kau memang sahabat terbaik yang aku ada selama ni. 

Kenapa kita dipertemukan dengan orang yang salah. 

Memang sakit bila cinta yang kita dambakan selama ini tak dihargai oleh insan yang bernama kekasih, apatah lagi kita dibuang begitu saja… tapi, itulah juga petanda terbaik untuk diri dan kehidupan kita pada masa akan datang. 
  1. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya apabila kita bertemu jodoh yang sebenar, masih ada rasa syukur kita pada ketentuannya. 
  2. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat menjadi penilai yang baik. 
  3. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. 
  4. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat kasih sayang yang terbaik, khas untuk diri kita. 
  5. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan… 
  6. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya. 
  7. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi manusia yang hebat jiwanya. 
  8. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa cinta yang terbaik, hanya ada bersama Allah. 
  9. Memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih mengenali kehidupan yang tidak kekal selamanya. 

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esok pun kita sendiri tak pasti sama ada menjadi milik kita. Capailah keredaan Allah dengan melaksanakan suruhannya, dan meninggalkan larangannya.. Percayalah sesungguhnya Allah malu untuk menolak permintaan hambanya yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan hanya kepada-Nya..
****

AIDEN ILHAMY CHIEN tersengih. Hazel ketawa melihat mulut Aisy yang comot. Pantas sahaja dia menghulurkan tisu. Ruang KFC terasa sempit dengan orang ramai. Kebetulan hari ini hujung minggu, memang ramai orang yang akan datang berkunjung. Semuanya sebab Aiden yang mendesak Aisy membelanja dia makan KFC. Kebetulan Aisy off dan Hazel juga memang cuti. Hanya doktor sahaja yang akan bekerja di hujung minggu. 

“Cuba tengok baby tu comel!” Tunjuk Hazel segera tetapi akan berselindung supaya tidak dilihat oleh bapa kanak-kanak tersebut yang mungkin berusia setahun lebih. Kanak-kanak perempuan yang bermata sepet dengan tudung litup saiz kanak-kanak. Pipi tembam kanak-kanak itu seperti tersembul keluar dari tudung kecilnya. 

“Comel.” Sepatah sahaja Aiden mengulas sebelum menyambung kunyahannya. 

“Macam aku kan comel?” Cepat sahaja Aisy menyambung.

“Wek!”

Aisy ketawa. 

“Aku tak perasan, tapi aku tahu… kau geram tengok muka dia tembam. Mata dia sepet kan, macam aku?” 

“Tak!” Geleng Hazel, laju.

“Jangan nak nafikanlah,” terus Aisy ketawa. Perasaan sungguh. Bila Aisy ketawa, matanya sukar kelihatan. Sepet sungguh mata Aisy, sama seperti Aiden. 

“Aku rasa nak terjun KLCC dengar kau kata,” nafi Hazel lagi.

“Aku tahu. Aku comel,” balas Aisy segera. Dia menggaru-garu hidungnya yang mancung dan menyeka rambut lurusnya dari menutupi dahi.

Hazel geleng kepala. Aisy bukannya comel, tetapi kacak!

“Sudahlah abang, kakak. Macam budak-budak. Abang ni perasan sungguh! Kalau abang tu comel, Aiden dua kali ganda lebih kacak dari abang,” sampuk Aiden dengan sengihan.

“Dia lagi perasan!” Hazel tarik hidung mancung Aiden. 

“Ish!” Pantas Aisy menampar tangan Hazel.

“Dah kenapa kau ni? Sakitlah!” Hazel menyapu tangannya yang terasa panas dek tamparan Aisy tadi. 

“Entah abang ni… kasar sangat,” bela Aisy. Dia turut tolong menyapu tangan Hazel yang sudah memerah. 

“Kau tu dah 17, bukannya budak kecil. Kau dan Dora Chan ni tetap bukan mahram.” Aisy menampar tangan Aiden pula. 

“Lah, aku fahamlah. Tapi Aisy Kun… aku juga yang pernah tukar pampers dia kecil-kecil dulu. Dia ni dah macam adik aku dah.” Hazel geram dengan sikap luar biasa Aisy itu. Jarang lelaki yang dikenalinya sejak berusia empat tahun itu berkasar dengannya. 

“Kak, janganlah cakap kuat-kuat pampers tu. Malu Aiden!” Merah padam wajah Aiden.

Hazel ketawa. 

“Kakak ni juga yang selalu kena mandikan kau,” tambah Hazel. 

“Kak!” Bulat mata Aiden.

Pecah tawa Hazel. Suka betul apabila dapat menyakat Aiden kerana selama ini, dia yang selalu disakat Aisy. 

“Dora. Kalau kau kahwin. Anak kau mesti besar tu dah. Kau tu dah tua. Cepat-cepatlah kahwin,” ucap Aisy dengan wajah serius. Entah kenapa, dia tidak merasakan gurauan Hazel itu kelakar. 

“Kalau aku tua. Kau pun tua. Aku dah 29. Kau pun sama. By the way… kau lagi tua dari aku. Aku lahir bulan 11. Kau lahir bulan 1. Beza nak dekat 10 bulan. Kiranya setahun juga.” Panjang lebar Hazel berkata.

Aisy geleng kepala.

“Aku lelaki. Kalau 29 tahun… masih lagi hot. Kau tak, sepatutnya kau dah ada dua orang anak.” Sengaja Aisy mahu menyakat Hazel.

Hazel tarik muncung. Aisy dan Aiden bergabung tawa melihat Hazel. Nama sahaja jurutera. Nampak tegas bila di pejabat, tetapi mengalahkan budak-budak bila mereka bersama. 

“Aku tahu… kau mesti susah nak tengok betul-betul kan Aisy Kun?”

“Apa susah? Kalau aku rabun… aku tak boleh jadi doktor tau.”

“Aku tahu… tapi mata kau kecil. Nasib baik mata aku besar, boleh aku tolong tengokkan bahagian mana yang kau susah nak tengok sebab mata kecil. Sebab tu aku ni penting dalam hidup kau,” balas Hazel masih tidak mahu beralah.

“Betul ke kau nak tolong aku tengokkan bahagian yang aku tak boleh tengok tu?” soal Aisy nampak serius. Dia sedar matanya sangat sepet sehinggakan bila dia ketawa, langsung tidak kelihatan matanya. Berbeza dengan Hazel yang bermata bulat dan besar. Warna mata Hazel juga coklat. Suka dia memandangnya. 

Hazel angguk kepala.

“Kau bila nak kahwin?” Wajah Aisy kembali serius.

“Woi, soalan apa ni Aisy Kun?”

Aisy dan Aiden tarik sengih. Tidak pernah lagi Aisy bertanya soalan terus terang ini. 

“Bila?” soal Aisy sekali lagi.

“Kau?” soal Hazel pula.

Aisy geleng kepala. Cintanya hanya sampai sekerat jalan. Sehingga kini dia masih tidak mencari pengganti. Hazel juga begitu. Hazel lebih mengutamakan kerjanya. 

“Aku tanya kau.”

Hazel garu dagu sebelum tersenyum. 

“Aku tunggu lelaki yang boleh bertahan paling lama dengan aku dan sanggup panjat pokok untuk dapatkan ‘buah epal’ yang paling tinggi. Lelaki tu aku cari,” jawab Hazel tersenyum.

Aisy terdiam. Aiden terpinga.

“Kakak… kesian lelaki tu. Malaysia tak ada pokok epal. Kalau cari kat supermarket tak boleh ke?” soal Aiden.

Hazel tarik sengih sebelum matanya tertancap seorang wanita bertudung labuh yang menghampiri tempat duduk kanak-kanak perempuan tadi. Pasti ibunya kerana wajah mereka berdua hampir serupa. Dahi Hazel berkerut.

“Patutlah budak tu comel sangat… mata pun sepet. Ikut mak dia rupanya. Aku pun pelik, ayah dia taklah sepet sangat,” ucap Hazel perlahan. Dia mengarahkan kedua-dua lelaki di hadapannya supaya melihatnya sama.

Aiden mengangguk. Setuju dengan kata-kata Hazel. 

“Kau yang orang nampak hantu kenapa?” Pantas Hazel menyoal bila melihat Aisy sudah tidak keruan. Dia menoleh melihat wanita itu yang turut sama nampak terperanjat. 

“Itu Rashidah,” beritahu Aisy perlahan.

“Rashidah?” Macam sudah lama nama itu tidak kedengaran. Dia berfikir sejenak sebelum sekali lagi melihat wanita tersebut. Bekas teman wanita Aisy sewaktu belajar di Rusia dulu! Aisy hampir separuh mati mencintai wanita itu. Tetapi akhirnya mereka terputus bila pada akhir tahun pengajian, Rashidah dikahwinkan dengan pilihan keluarga. Bukan Rashidah tidak mahu menolak pilihan keluarga tetapi takut dikatakan anak derhaka. Akhirnya Aisy ditinggalkan terkapai-kapai. Nasib baiklah ada Hazel yang sewaktu itu sudah kembali ke Malaysia dan sentiasa menolong Aisy bangkit semula. 

“Eh, dia doktor kat mana?” Terus Hazel menyoal. Aiden agak terpinga kerana tidak memahami kekalutan abangnya. 

“Kuantan. Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan,” beritahu Aisy. 

“Kau okay tak?” Gusar melihat wajah Aisy yang semakin muram.

Aisy tarik sengih sebelum mengangguk. Dia sudah jumpa pilihannya yang lebih sempurna. Dia tahu dari raut wajah Rashidah, wanita itu bahagia dengan pilihan keluarganya walaupun terpaksa berkahwin tanpa cinta. Walaupun berat untuk Rashidah menerima, tetapi dia tidak mahu digelar anak derhaka. Keluarganya sudah banyak berkorban dalam memastikan kebahagiaannya sehingga dia berpeluang melanjutkan pelajaran ke Rusia dalam bidang kedoktoran. Aisy pula terpaksa menerima. Itulah orang pernah cakap… dia sendiri pernah berpesan pada diri sendiri supaya sayang ataupun benci seseorang biarlah berpada-pada takut nanti berlaku sebaliknya. Dia tidak membenci Rashidah. Jika dia berada di tempat Rashidah, dia juga mungkin akan membuat keputusan seperti Rashidah. 

***


HAZEL memuncung. Geram dengan kedegilan Aisy yang masih tidak mahu menukar siaran televisyen. Aiden juga geram dengan kedegilan abangnya. Encik Hafiy dan Encik Adam hanya tersenyum sebelum menyambung perbualannya. Sudah menjadi kebiasaan setiap hujung minggu apabila Encik Hafiy tidak ‘terbang’, mereka sekeluarga akan bertukar-tukar rumah untuk makan malam bersama. Jika beberapa minggu lepas Encik Hafiy sekeluarga telah makan malam bersama di rumah Encik Adam.

“Aku nak tengok Aisy Kun. Tukarlah,” suruh Hazel sekali lagi.

Aisy geleng kepala.

“Cepatlah. Cerita aku nak habis dah,” pujuk Hazel lagi. Kali ini lebih serius. 

Aisy geleng kepala. Remote sudah disimpan di dalam poket seluar. 

“Ini rumah aku… TV aku,” ucap Hazel separuh geram.

“Rumah kau, rumah aku juga. TV kau, TV aku juga. Tapi sekarang aku rasa ni rumah abah. Abah kan?” Terus mengenyit mata pada Encik Hafiy yang tersengih panjang. 

“Budak-budak ni. Dah nak kahwin pun,” Perlahan suara Encik Hafiy. Sejak dulu lagi suka sungguh mereka berebut televisyen. Aisy dengan kedegilannya mahu menonton Doraemon manakala dulu Hazel dengan kartun Sailormoon. Nasib baik kedua-dua rancangan tersebut tidak pada masa yang sama. 

“Abang ni… agaknya sampai tua nanti bergaduh dengan cucu pula,” ucap Aiden pula.

“Malas aku layan kau. Abah kenapa tiba-tiba cancel nak terbang?” soal Hazel merapati abahnya yang masih rancak berbual. Entah apa yang dibualnya, Hazel tidak dengar kerana tadi dia sibuk menolong Puan Ilyani dan Puan Sophia di dapur. ‘

“Bila abah selalu terbang Hazel bising. Abah cancel pun Hazel bising,” balas Encik Hafiy tersenyum panjang pada Encik Adam yang turut membalas senyuman. 

Aisy dan Aiden sudah sama-sama berpaling pada kedua-dua mereka. Walaupun Aisy nampak tenang, tetapi Hazel perasan Aisy sebenarnya gelisah. Pipinya memerah. Dahinya berpeluh.

“Kau panas ke Aisy Kun? Nak aku kuatkan air-cond?” 

Aisy geleng kepala. Encik Hafiy dan Encik Adam sudah tergelak.

“Apa abang ni. Gentleman sikit,” ucap Aiden perlahan tetapi masih dapat didengar oleh Hazel. 

“Untunglah dari kau kecil sampai besar, aku yang teman kau tengok Doraemon ni. Tapi Aisy. Sepuluh kali dah ulang tayang cerita ni. Tukarlah cerita lain sekejap. Lain kali aku teman kau tengok Doraemon. Aku nak tengok cerita lain jap,” pujuk Hazel. Walaupun mereka berada di rumahnya, tetapi Aisy dan Aiden sudah membuat rumahnya seperti rumah mereka sendiri. Rumah ini tempat mereka membesar bersama. 

“Sanggup ke kau teman aku tengok Doraemon sampai bila- bila?” Terus Aisy menyoal.

Pantas Hazel mengangguk.

“Betul?”

“La… sejak bila aku mungkin janji.” Cepat Hazel membalas. Rancangan kegemarannya hampir sahaja tamat. 

“Betul ke kakak?” sampuk Aiden pula.

Hazel mengangguk laju. Dia pelik dengan soalan Aiden pula. Dia melepas pandang pada Encik Hafiy dan Encik Adam yang sudah terkebil-kebil. Pandangan mereka sukar diertikan Hazel.

“Mama… umi,” jerit Aiden tiba-tiba. 

“Ish, Aiden! Macamlah jauh sangat dapur.” Menjerit pula Hazel yang terkejut. Dia jadi tidak keruan tiba-tiba melihat Aisy yang berubah serius. Televisyen juga sudah dimatikan. 

“La.. kau tak mahu tengok Doraemon ke? Biarlah aku tengok cerita aku,” ucap Hazel sedikit kalut apabila Puan Ilyani dan Puan Sophia sudah berjalan keluar dari dapur. 

“Kau nak pergi mana?” soal Aisy.

“Masuk bilik aku. Nanti nak makan, panggil aku. Aku nak tengok TV,” beritahunya. Dia rasa panas tiba-tiba. 

“Duduk sekejap,” suruh Aisy nampak serius. 

“Kau ni kenapa? Pandang aku macam nak makan… Janganlah kerut dahi. Aku takut,” ucap Hazel perlahan. 

Aisy tersenyum pula. Dia lupa Hazel tidak suka dia berkerut dahi. 

Puan Ilyani dan Puan Sophia sudah mengambil tempat di sisi suami masing-masing. Aiden pula bangun dan merapati papanya. Dia tersenyum panjang. 

“Kenapa semua ni?” Cuak Hazel.

“Duduklah. Aku nak beritahu sesuatu,” ucap Aisy. Dia nampak lebih tenang. 

Perlahan Hazel duduk di atas sofa. Betul-betul di sebelah Aisy. 

“Kau nak cakap apa kat aku?” soal Hazel. 

“Aku bukan nak cakap ke kau, tapi semua orang,” balas Aisy.

Hazel mengangguk.

“Apa? Cakaplah,” suruh Hazel segera bila Aisy langsung tidak membuka mulut. Dia nak sangat melihat cerita kegemarannya itu. 

“Kau tahu tarikh hari ini?”

“18 Mei?”

“Aku nak kau ingat tau sampai bila-bila,” suruh Aisy.

Hazel mengangguk pelik.

“Kenapa? Cepatlah cakap! Kau nak kahwin ke?” Serkap jarang Hazel menyoal tetapi menjerit lantang apabila Aisy mengangguk.

“Kau nak kahwin? Siapa?”

“Sabar Hazel. Biar Aisy Kun habis cakap.” Perlahan suara umi. 

Hazel cuba tersenyum walaupun hatinya sudah dibuai sesuatu. Dia tidak tahu kenapa matanya terasa berpasir. Sepatutnya dia gembira apabila mengetahui sahabat baiknya bakal mendirikan rumah tangga. 

“Aisy Kun dah minta izin papa dan mama. Walaupun abah dan umi dah tahu, sekali lagi Aisy nak beritahu depan Hazel. Saya, Aisy Inchiro Chien bin Adam Chien, bersaksikan papa, abah, mama, umi dan Aiden dengan ini mahu meminta izin abah dan umi untuk menjadikan Nourhazel Mohd Hafiy Taqif sebagai isteri saya.” Walaupun bergetar suara Aisy tetapi Aisy tenang sahaja mengucapkan kata- katanya. 

Hazel terlopong. 

“Abah dan umi dah berbincang. Kami setuju. Tetapi sepatutnya Aisy tanya Hazel sendiri,” ujar Encik Hafiy tersenyum. 

“Hazel?” ucap Aisy sepatah. Lama dia merenung wajah putih bersih Hazel yang kian merah. 

“Kakak menangis.” Sampuk Aiden agak terkejut.

“Eh, nak pergi mana?” Terkejut pula Aisy. 

“Naik bilik. Aku nak tengok cerita aku.”

“Soalan Aisy tadi?” soal Encik Hafiy bagi pihak Aisy yang nampak tidak keruan apabila Hazel langsung tidak memberi jawapan dengan soalannya tadi. 

“Kakak tak bersetuju.” Putus Aiden pula yang nampak begitu kecewa. 

“Kakak tak cakap tak setuju. Cuma kakak geli bila Aisy Kun panggil ‘Hazel’ tadi,” Jawapannya sebelum berlari menaiki tangga. 

Aisy terpinga. Aiden pula yang menjerit. Seisi rumah sudah tergelak. Bersyukur. Segala-galanya berjalan seperti yang dirancang. Aisy pula masih nampak blur dengan kata-kata Hazel.

“Maksudnya apa tu pa?” 

Meletus tawa Encik Adam sekali lagi. Belajar sudah sampai ke Rusia, tetapi sukar memahami maksud kata-kata Hazel. 

“Jadi bila ni?” Cepat pula Encik Hafiy menyoal.

Encik Adam pandang anak sulungnya. 

“Dora Chan setuju pa?”

“Astagfirullahalazim budak ni….”

“Abang ni! Orang dah sampai ke bulan. Abang duduk lagi termenung kat sini,” sampuk Aiden pula. 

Bersinar mata Aisy. Dia tersenyum.

“Dora Chan! Kau janji nak teman tengok cerita Doraemon sampai bila-bila kan dengan aku,” ujar Aisy sebelum ketawa panjang. Lega hatinya. Syukur kepada ALLAH. Dia tidak sedar sejak bila dia menaruh hati pada Hazel. Tetapi kata-kata Hazel mahu mencari lelaki yang bertahan paling lama dengannya dan akan memetik ‘buah epal’ yang paling tinggi kedudukannya pada pokok epal, membuka matanya. Dia tidak mencari kesempurnaan, cukuplah dirinya terasa sempurna apabila bersama dengannya. Rashidah adalah masa silamnya. Dia tidak menyesal bila mengikut sahaja kata-kata Rashidah dulu kerana dia percaya setiap yang berlaku ke atas dirinya adalah dalam aturan ALLAH. Everything happens for a reason.

***

“OPAH! Tengok atuk. Adika nak tengok cerita Action Rangers. Atuk nak tengok Doraemon juga. Adika dah bosan tengok cerita ni,” ujar Adika geram. Merah padam wajah Adika dengan mata sepet yang diwarisi dari atuknya, tetapi berwarna coklat kerana diwarisi dari opahnya. 

Hazel geleng kepala. Bukan pertama kali cucu-cucunya mengeluh melihat Aisy yang pasti tidak akan beralah untuk menonton Doraemon walaupun sudah berpuluh-puluh kali diulang tayang. Hampir tiga puluh lima tahun… kartun Doraemon masih tetap diulang tayang. Dia sendiri kagum. Walaupun Adika menyukai kartun, tetapi bila selalu melihat kartun yang sama, bosan juga!

“Adika Chien dah dah tak sayang atuk ke?” Perlahan suara Aisy bertanya. Dia sengaja raih simpati dari cucunya. 

Aqasha tersenyum sebelum menggeleng kepalanya. Dia sudah biasa dengan kedegilan papanya. Dia dulu juga seperti anaknya. Adik-beradiknya yang lain seramai lima orang semuanya sudah biasa. Sebagai anak sulung, dia mengambil keputusan tinggal bersama papa dan mamanya. Dia tahu kemarahan anak tunggalnya itu tidak lama. Adika begitu rapat dengan atuknya. 

“Mestilah Adika sayang atuk. Adika nak tengok cerita Action Rangers,” ucap Adika terus duduk di atas riba atuknya. 

Hazel tersenyum. Kalau cucu-cucunya yang lain balik, selalunya mereka semua pasti beralah. Akhirnya cerita Doraemon menjadi salah satu kartun wajib ditonton. 

Aisy tersenyum. Dia melepas pandang pada Hazel yang sudah duduk di sisinya.

“Opah janji dengan atuk nak teman atuk tengok cerita Doraemon sampai bila-bila tau,” beritahu Aisy. 

Hazel tersenyum sahaja. Siapa sangka lelaki yang bertahan paling lama dengannya membesar bersama dengannya sejak mereka empat tahun lagi. 

“Kesian opah. Adika pun dah bosan hari-hari tengok Doraemon,” balas Adika tanpa perasaan. 

“Sebab atuk berjaya pilih ‘buah epal’ yang paling baik sekali,” balas Hazel.

Aisy tersenyum penuh makna.


Terima kasih kerana membaca (:





17 comments:

  1. cerita ni kalau masuk pertandingan menulis cerpen anjuran komuniti E-novel sempena novel merah cinta epal pun rasa boleh dah. ada perkataan epal. hehe. btw, comel je Faris minat doraemon sampai ke tua. ;D

    ReplyDelete
  2. memang syiok...dora should be dora the explorer...heheh....wah..cte mmgsmpi ke tua....mmg konpius xbosan tgk doraemon

    ReplyDelete
  3. woah, mantap, simple and nice. sweet too. COngrats!

    ReplyDelete
  4. cerita ni memang BEST SANGAT2!!!
    saya bagi 10/10..
    <3

    ReplyDelete
  5. sweeeeeetttttttttttt gler~~~~
    thumbs up!!!
    ^___^

    ReplyDelete
  6. best saangat... ada lagi tak... kalau ada cite baru boleh post lagikan?

    ReplyDelete
  7. wah bestnye cite ni...nape baru tau ade cite ni erk?

    ReplyDelete
  8. sweetttttttttttttt cangattttttttttttttttttttttt,,,,,,
    sis zara nk copy ayat yg tengtang epal tuh boleh x???

    ReplyDelete
  9. sangat sangat sangat sweet!

    ReplyDelete
  10. best sgt.. 10 out of 10..
    aduhai dh jd atuk pun tgk doraemon lg..

    ReplyDelete
  11. best.. dr kecil smpi tua dlm 1 cerpen
    ~saza~

    ReplyDelete
  12. alahai sweet toy cte neh..name sy pon dora tw..mane bole panggil dora the explorer..

    ReplyDelete
  13. Sweet story...hazel,dora,epal...*thumbs up*

    ReplyDelete
  14. Ok... Comellah cita ni...

    ReplyDelete
  15. best la citer ni...
    comel tul.... mcm nobita gan sizuka plk
    hahaahahahhaaaa

    ReplyDelete

Back to Top