Cinta Semalam: Bab 28


JIHAN RAYSHA memperlahankan langkahnya. Iqram Zafriel yang berlari anak berhenti apabila menyedari Jihan Raysha tidak berada di sebelahnya. Dia menoleh dan mengeluh. Jihan Raysha berhenti melangkah. Sunyi kawasan wad yang diduduki oleh Puan Sri Tengku Zanariah di Earth Medical Hospital. Menurut Iqram Zafriel, Puan Sri Tengku Zanariah koma. Jihan Raysha terpegun dengan dekorasi dalam hospital ini. Hospital ataupun hotel? 

“Cepat Esha!” Tekan Iqram Zafriel menghampiri Jihan Raysha. Tangan runcing itu sudah berada dalam genggamannya.

Jihan Raysha mendongak. Dia merenung mata hazel Iqram Zafriel dalam-dalam.

“Esha tak bersedia,” beritahu Jihan Raysha jujur. Dia tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan keluarga kandungnya lagi. 

Iqram Zafriel mengeluh.

“Sampai bila Esha? Nenek dah tua.” Kenyataan itu diucapkan. 

“Tapi….” Jihan Raysha toleh kanan apabila mendengar namanya diseru seseorang. Dia tersentak. Betul ke ni? Dadanya berdegup kencang. 

“Pak su,” tegur Iqram Zafriel. Pantas tangan Jihan Raysha dilepaskan apabila melihat Encik Syazlan seperti terpinga melihat Iqram Zafriel dan Jihan Raysha yang berpimpin tangan. Takkan baru sehari di Cherating sudah boleh bercinta kot? 

“Dah lama sampai?” soal Encik Syazlan tersenyum tawar. 

“Baru je sampai. Siapa ni?” Iqram Zafriel tunduk menyalami Encik Syazlan. Tetapi dalam masa yang sama dia menjadi tidak senang apabila melihat lelaki di hadapannya sejak tadi asyik merenung Jihan Raysha. Wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. 

“Are you okay?” Cuak Iqram Zafriel. Dia menjadi cuak setiap kali Jihan Raysha menangis. Dia betul-betul tidak tahu bagaimana hendak memujuk gadis itu.

“Eh!” Iqram Zafriel terlopong. Dia terpinga. Semuanya berlaku tidak sampai sesaat. Jihan Raysha sudah berada di dalam pelukan lelaki itu. Pelukan semakin kejap apabila tangisan Jihan Raysha semakin kuat. Encik Syazlan hanya menggeleng dan menepuk lembut bahu Jihan Raysha sebelum bibirnya tersenyum pada Iqram Zafriel yang ternganga. 

“Uncle Syazlan told me everything. I’m sorry. Abang patutnya ikut Esha sekali.” Lelaki itu berkata-kata. Berbahasa Melayu, tetapi slang itu sama seperti Jihan Raysha. 

“Iqram ingat tak pada Daniel Rayzal?” soal Encik Syazlan. Nampaknya anak saudaranya itu sudah kebingungan dengan situasi tiba-tiba ini. 

Iqram Zafriel terkedu. Entah kenapa, hati yang membahang terus sejuk. Baru dia teringat gambar yang pernah ditunjukkan Jihan Raysha . Kenapa pula dia boleh hilang ingatan pada masa ini? Nak sahaja hantuk kepala kat dinding. 

“Abang….” Suara Puan Soraya kedengaran. 

Iqram Zafriel memanjangkan leher. Encik Syazlan menoleh. Daniel melepaskan pelukan. Laju tangan mengesat air mata yang masih mengalir deras menuruni pipi gebu adiknya. Dahi adiknya dicium lembut. Kesal kerana dia tidak berada di samping adiknya. 

“Auntie Echa…..” Suara halus menegur. 

Jihan Raysha berpaling. Lebar senyumannya. Hanya seorang sahaja akan pelat menyebut namanya itu. Suara dan wajah yang sangat dia rindu. 

“Esha,” tegur Puan Soraya pula. 

Jihan Raysha dan Iqram Zafriel serentak menyalami Puan Soraya. Kemudian Sofiyya, Nadiana dan Nafeesa yang berada di belakang Puan Soraya menyalami Jihan Raysha dan Iqram Zafriel pula.

“Mana umi, papa?” soal Iqram Zafriel. 

“Dah ada dalam bilik nenek.” Nadiana menjawab. Hanya kakak sulungnya sahaja mungkin akan lewat kerana tidak mahu meninggalkan anak-anak di rumah bersendirian. 

“Come here, Sara.” Daniel mengambil Sara yang masih berada dalam dukungan Puan Soraya. Anaknya itu nampak sangat blur dengan persekitaran baru. Perjalanan dari Melbourne ke Kuala Lumpur dalam keadaan tergesa-gesa, membuatkan anaknya nampak begitu letih. Mereka sendiri masih belum ke hotel untuk berehat. Tadi dia membiarkan Sara yang tertidur berehat sahaja di lobi bersama Puan Soraya. 

“Abang suruh tunggu kat lobi kan?” ucap Encik Syazlan sedikit tegas. Kesian melihat Sara yang keletihan. 

“Sara merengek lepas bangun,” beritahu Puan Soraya. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk. Anak kecil itu hanya mahukan daddynya. Nasib baiklah jumpa juga Daniel. Nasib baik juga Sara hanya merengek dan tidak pula menangis. Mungkin terkejut kerana sedar-sedar sahaja berada dengan orang yang tidak dikenali. 

“It’s okay uncle.” Daniel tersenyum. Dia tepuk bahu Encik Syazlan. 

“Hug me,” pinta Sara. Mata hijau lumut itu memandang mata biru Jihan Raysha. 

Jihan Raysha ketawa kecil. Terlupa sekejap masalah yang ada. Dia mengambil Sara. Anak kecil berusia tiga tahun itu nampaknya semakin tinggi. Pipi gebu Sara dicium lama. 

“Why are you crying?” Bulat mata hijau lumut Sara bersinar. Lembut sahaja tangan itu mengusap pipi gebu Jihan Raysha. Berkerut-kerut dahi Sara. 

Nafeesa tepuk bahu abangnya. Pelik apabila melihat Iqram Zafriel seperti tunggul. Langsung tidak bergerak. Mulut juga masih terlopong. 

“Abang?” tegur Nadiana pula. 

“Apa?” Iqram Zafriel pandang kedua-dua adiknya. Sofiyya angkat kening seperti riak orang bertanya. Mentang-mentanglah kening itu tebal. 

“Kenapa muka abang merah ni? Abang demam ke?” soal Nafeesa. Risau dia dibuatnya. 

Iqram Zafriel menggeleng. Dia termalu sendiri. Semua mata sudah memandangnya. 

“Iqram?” soal Daniel yang sudah menghampiri. Sudah lama dia tidak berjumpa sahabat zaman kecil. Kenangan dengan Iqram Zafriel samar-samar. Tetapi dia tidak pernah lupa pada Iqram Zafriel dan kakaknya, Natasha. Mereka bertiga dulu seperti adik-beradik. 

Iqram Zafriel mengangguk. Dia juga tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Wajah Daniel saling tidak tumpah seperti Datuk Abdullah Harris. Susuk badannya… senyumannya semuanya sama seperti Datuk Abdullah Harris. Mungkin hanya warna mata dan rambut sahaja yang berbeza. 

“You look totally different. Dulu… much chubby and shorty,” ucap Daniel sambil tersengih. Mereka yang lain sudah ketawa. 

Iqram Zafriel pula masih terpinga. Tetapi huluran itu disambut dan tubuh Iqram Zafriel berada dalam pelukan Daniel.





6 comments:

  1. alahai pendek la x puas bc huhuhu.

    ReplyDelete
  2. hukhuk. pendek je.... lama tguuuu..... tp apa2 pwn. thanx cik writer sbb update new n3 :)

    ReplyDelete
  3. kenapa novel ni tak dipublish kan jee ? saya suka jln cerita nya, bestt

    ReplyDelete
  4. best tp pendek sgt.. sempat lg ingat isha walaupun demam..sambung lagi..

    ReplyDelete

Back to Top