Cinta Semalam: Bab 40


“Papa lupa ke? Papa cuti masa tu. Papa jangan nak buat ayat sedih pula. Kalau papa ada kat hotel. Papa orang pertama Kimy jemput juga. VVIP,” balas Hakimy.

Datuk Abdullah Harris ketawa. Dia terlupa. 

“Cepatlah abang. Kata nak keluar,” ucap Najmy. Dia turut sama ketawa dengan kealpaan papanya. Dia sudah meletakkan kembali iPad. Nantilah bila dia punya masa. Lagipun tiada apa yang menarik di Facebook dan Twitter. 

“Aku malas.”

“Aku dah bersiap ni. Dah telefon Iqram?” Pelik pula dia dengan sikap Hakimy. Tadi punya beria menyuruh dia ambil off. Sekarang tak jadi pula. Bukan senang dia dapat goyang kaki seperti ini. 

“Buat apa telefon dia?”

“Lah… abang kata lepak dengan Iqram. Kita dah lama tak hang out sama-sama.”

Hakimy mengeluh. Tumpuannya pada berita pada televisyen sudah hilang. Dia sendiri tidak pasti dia tengok apa. Langsung butir bicara tidak didengar. Dia sebenarnya lagi ralik melihat televisyen daripada isinya. Dia duduk bersandar memandang papa dan adiknya. 

“Aku telefon Iqram petang tadi. Dia keluar dengan Esha.”

“Ya?” Wajah Datuk Abdullah Harris berubah teruja.

“Jadi apa masalahnya? Kita keluar dengan Iqram malam ni,” balas Najmy pula.

“Iqram kata dia keluar makan dengan Esha. Jadi tak tahu bila balik,” jawab Hakimy.

“Rapat sungguh Iqram dan Esha,” ucap Datuk Abdullah Harris. Dia sedar akan hal itu. Sudah lama dia hendak bertanya bagaimana mereka berdua boleh menjadi rapat, tetapi soalannya itu hanya terkubur kerana kedua-dua anaknya sangat sibuk. Dia juga masih tidak berpeluang merapatkan diri dengan Jihan Raysha Dia pelik kerana dia tersangat kenal dengan sikap Iqram Zafriel yang anti perempuan. Tumpuan utamanya hanya pada kerja sahaja. Pernah juga dipaksa bertunang, tapi akhirnya sekerat jalan. Memang hati Iqram Zafriel tidak merelakan. Pelbagai cara dilakukan untuk memutuskan pertunangan dulu. Hakimy dan Najmy juga pernah berkomplot dalam rancangan Iqram Zafriel. 

“Abang. Aku pelik. Kau kenapa? Dari tadi aku perasan. Bila sebut nama Esha. Kau buat muka. Kau ni jealous Esha keluar dengan Iqram ke?” soal Najmy sekadar bergurau. Tak mungkin Hakimy boleh jatuh cinta dengan adik sendiri. 

Mata Datuk Abdullah Harris terbeliak. 

“Kimy dah jatuh cinta dengan Esha ke?” terus Datuk Abdullah Harris menyoal.

“Papa! Esha tu kembar Kimy.” Nafi Hakimy segera.

“Ha… nasib baik abang sedar. Dah muka kau macam orang jealous kenapa?”

“Sejak pertama kali Kimy jumpa Esha. Tak ada sekumit perasaan pun dekat Esha. Tapi Kimy tak nafikan. Sejak pertama kali Kimy jumpa Esha. Kimy dapat rasakan. Ada sesuatu dalam diri Esha yang buat Kimy rasa sesuatu. Dulu Kimy tak tahu kenapa pada Esha ada perasaan macam tu. Sekarang Kimy dah tahu. Kimy ada perasaan macam tu, sebab Esha tu kembar Kimy sendiri.”

“Kau pun ada perasaan macam tu?” Terus Najmy menyoal.

“Kau pun ada rasa?” Hakimy nampak terkejut.

Pantas Najmy mengangguk.

“Entah. Tiba-tiba aku rasa sayang sangat pada Esha. Tapi aku tahu. Itu bukan macam sayang aku pada ex aku dulu,” jawab Najmy. Dia juga pernah bercinta. Cuma percintaannya tiada kesudahan yang indah. Dulu dia juga tidak begitu serius dalam menjalin cinta. Setakat mengisi ruang kosong dalam dirinya. 

“Sama. Itulah aku rasa juga.”

Datuk Abdullah Harris mengeluh lega. 

“Jadi apa masalah kau sebenarnya bila Esha keluar dengan Iqram?” Sekali lagi Najmy menyoal. Dia sendiri pelik dengan sikap abangnya.

“Aku bukan cemburu. Cuma aku tak puas hati. Kita kan abang kembar dia. Dah 24 tahun berpisah. Kenapa setiap kali ada apa-apa je, mesti cari Iqram. Kita kan ada. Buat apa cari Iqram. Aku tak puas hati betul. Apa lebihnya Iqram dari kita ni.”

Najmy terpinga. Dia melepas pandang pada Datuk Abdullah Harris yang turut terkejut.

“Kau memang cemburu,” gelak Najmy.

“Bukan!” Nafi Hakimy, geram. 

“Ya, Kimy. Kimy cemburu sebab Esha lebihkan Iqram.” Sokong Datuk Abdullah Harris.

Hakimy menggeleng. 

“Kau gelak kenapa?” geram Hakimy.

“Mestilah aku gelak. Kau boleh cemburu dengan Iqram. Kita kenal Iqram dari kecil lagi.”

“Jadi?”

Najmy hanya ketawa. Tidak tahan melihat wajah masam mencuka abangnya tika ini. Datuk Abdullah Harris hanya tersenyum.

“Ke kau ada hati dengan Iqram?” sakat Najmy.

“Gila kau!” 

Najmy ketawa lagi.

“Sudah! Sudah Jimy,” sampuk Datuk Abdullah Harris cuba menenangkan suasana tetapi dia turut sama ikut tergelak apabila melihat Najmy yang masih ketawa. Kelakar juga bila memikirkan yang perubahan mood Hakimy sejak petang tadi adalah disebabkan Iqram Zafriel dan Jihan Raysha yang sering keluar bersama.

“Lain kali aku pesan pada Iqram. Kalau dating dengan Esha. Bawa kau sekali,” ucap Najmy. Dia tersengih pula.

“Kau tak dengki ke adik kau lebihkan Iqram?” soal Hakimy.

Najmy tergelak. Merah padam mukanya kini.

“Aku bukan buat lawak Jimy.”

“Buat apa aku nak dengki. Mana tahu… Iqram bakal jadi adik ipar kita,” ucap Najmy selepas ketawanya kembali reda.

Hakimy terpinga. Adik ipar?

“Ish, aku tak izinkan.”

“Kenapa pula?” soal Datuk Abdullah Harris.

“Iqram lagi tua dari kita orang kot pa!”

“Tak kan nak suruh Esha cari lagi muda pula? Lagipun soal jodoh ni… memang tak kira umur Kimy. Semua tu hanya angka je.”

“Kimy macam susah nak terima Iqram jadi adik ipar Kimy.” Dia menggeleng. Geli pun ada kalau tiba-tiba si Iqram panggil dia ‘abang’? 

“Kau ni… aku hanya bayangkan sahaja. Kau ambil serius. Aku pun tak rela juga Iqram yang selama ni aku anggap macam abang dan kawan baik aku, boleh berubah jadi adik ipar pula,” balas Najmy.

“Aku setuju kata-kata kau tu,” ujar Hakimy.

Datuk Abdullah Harris hanya tersenyum dan mengeluh. 

“Ada orang called Kimy,” beritahu Datuk Abdullah Harris segera apabila melihat iPhone Hakimy yang terletak di atas meja bergetar dan mengeluarkan cahaya. 

“Musuh ketat dia telefon,” ucap Najmy tersengih. Wajah Iqram Zafriel terpampang apabila Hakimy menunjukkan siapa yang menghubunginya.

“Nak apa?” soal Najmy selepas talian dimatikan. Hakimy hanya mengangguk dan mengeluarkan perkataan ‘okay’ sahaja sepanjang talian.

“Iqram on the way datang sini dengan Esha. Dia ajak kita keluar sekali,” beritahu Hakimy. Senyuman lebar terbentuk pada wajah Hakimy.

“Patutlah sengih semacam.” Najmy tergelak diikuti Datuk Abdullah Harris. 

Hakimy tersengih sahaja. Hatinya kembali sejuk. Dia sedar lagaknya seperti orang cemburu. Tapi siapa tak jealous adiknya melebihkan orang lain walaupun orang itu kawan baiknya sendiri.

4 comments:

  1. Kesian Isya balik-balik dah kena marah.

    Tapi tak boleh salah Najmi sbb dia terlalu risau disbbkan kad yg diterima oleh Isya.


    Iman sambung lg tak sabar tahu cita seterusnya.

    Cita nie juga akan dibukukan ke?

    Kmas

    ReplyDelete
  2. hrp sgt cite nie keluar versi cetak~

    ReplyDelete
  3. seperti mereka di atas , saya pun tak sabar nak tggu versi cetak kak :)

    saya tunggu tau nak buat koleksi, i will support you sis ^_^

    ReplyDelete
  4. alahai jimi neutron ni...kn susa da bile isya merajuk

    ReplyDelete