Cinta Semalam : BAB 17


IQRAM ZAFRIEL membelok masuk ke dalam sebuah garaj yang kosong. Sebuah kereta wira tersadai di sebelahnya. Enjin kereta dimatikan. Dia menoleh memandang Jihan Raysha yang masih terlena. Bibirnya mengukir senyuman. Sepanjang perjalanan Jihan Raysha asyik menangis dan menangis. Kadang-kadang mengelamun. Sedar-sedar Jihan Raysha sudah terlena apabila tangisan gadis itu tidak kedengaran lagi. Pada mulanya dia ingin membawa Jihan Raysha pulang ke Mega Hotels and Resorts. Tetapi Jihan Raysha melarang. Katanya, dia tidak mahu pulang lagi kerana takut keluarganya datang mencarinya. Dia mahukan ketenangan.

Dia pegang perut. Lapar. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cherating memakan masa hampir enam jam. Dia memang betul-betul kebuluran ketika ini. Tetapi dia sempat mengisi perutnya dengan beberapa keping roti yang dibeli di stesen minyak. 

“Esha, bangun.” 

Bahu Jihan Raysha ditepuk perlahan. Bibir Iqram Zafriel tersenyum lagi. Comel pula. Tepukannya dihentikan apabila Jihan Raysha membuka matanya perlahan-lahan. 

“Wow, I love your eyes colour. Kenapa pakai contact lens?” 

Jihan Raysha yang masih mamai terpinga-pinga. Dia tersenyum hambar. 

“Kawan baik Esha, Dash. Dia yang bagi cadangan sebab Esha ingat tak nak orang lain suspect siapa Esha sebelum Esha bersedia. Dia juga yang carikan contact lens warna hazel tu.” 

“Kawan baik ke… boyfriend?” 

Dahi Jihan Raysha berkerut.

“Nope, my old best friend. Macam Abang Iqram, Encik Kimy dan Jimy tu. Esha kenal sejak kecil,” beritahu Jihan Raysha yakin.

“Jadi... takde boyfriend?” 

“Dah kenapa Abang Iqram ni? Sibuk tanya Esha pasal boyfriend. Takde.” 

“Betul ke?”

Jihan Raysha mengangguk laju.

“Good!”

“Apa yang good?”

“Good sebab Esha takde boyfriend. Dan good sebab bestfriend Esha tu hanya bestfriend.”

Jihan Raysha terpinga pula. 

“Esha okay?” Iqram Zafriel tukar soalan. Dia pun pelik kenapa dia tanya soalan mengarut tadi. Merapu sungguh bila perut dah lapar. 

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel. Dia tersedar sesuatu. Dia di mana ni? 

“Kita kat Cherating,” beritahu Iqram Zafriel terus. 

“Cherating? Kat mana? Kuala Lumpur?” soalnya. Mata ditenyeh lagi. Mengantuknya. 

Iqram Zafriel menggeleng. Dia faham kalau Jihan Raysha tidak tahu kedudukan Cherating. 

“Malaysia ni ada banyak negeri. So, Esha sekarang kat Pahang. Nama tempat ni, Cherating. Jom keluar,” ajaknya selepas menerang serba sedikit. Dia sendiri tidak arif kalau nak diterangkan panjang lebar. 

“Cherating, dekat dengan pantai.” Iqram Zafriel dengan bangga menunjukkan laut yang terbentang luas. 

Patutlah berangin semacam. Habis kusut rambutnya. Dia hanya memerhatikan Iqram Zafriel yang mengunci pintu kereta sebelum mengekor langkah Iqram Zafriel menghampiri sebuah rumah kayu yang cantik dan comel. 

“Inilah kampung halaman papa Abang Iqram. Tapi sekarang rumah lama tu dah roboh. Papa buat rumah ni. Kiranya dah macam rumah rehat juga.” Dia memaklumkan lalu berpaling memandang Jihan Raysha yang melihat rumah kecil itu dengan pandangan yang sukar difahami.

“Keluarga Abang Iqram pun kaya ke?”

Iqram Zafriel tergelak.

“Takdelah. Atuk dulu buka business kontraktor.” 

Jihan Raysha mengangguk sahaja.

“Cantik bunga-bunga tu.” Bulat mata Jihan Raysha. Dia teruja melihat bunga yang berwarna-warni. Mekar senyumannya. 

“Umi suka bunga. Jom masuk rumah,” ajak Iqram Zafriel tersenyum. 

Jihan Raysha menggeleng.

“Kenapa?” Iqram Zafriel pelik. 

“Kita dua orang je? Abang Danny kata, Malaysia ni lain sikit. Kita tak kahwin lagilah.”

Iqram Zafriel ketawa besar.

“Nak tunggu kita kahwin, lambat lagi Esha. Esha nak kahwin dengan Abang Iqram ke?” soalnya. Mata kanan dikenyitkan.

Jihan Raysha terkedu. Salah cakap ke? Dia masih tidak meneruskan langkah. Lengan Iqram Zafriel yang berbalut dengan baju Melayu itu dipegang apabila lelaki itu mahu melangkah

“Jangan risau. Abang Iqram tak buat apa-apa,” janjinya, nakal. 

Jihan Raysha menggeleng. Dia gusar. 

“Ingat kes Datuk Abdullah Harris?” soalnya.

Iqram Zafriel mengeluh. Datuk Abdullah Harris?

“Papa Esha ke?” 

Lambat-lambat Jihan Raysha mengangguk. 

“Seperti Abang Iqram kata tadi. Jangan risau. Abang Iqram tak buat apa-apa. Mak Cik Faridah dan Pak Cik Alif ada dalam rumah ni. Mereka jaga rumah ni seminggu sekali. Tengok kereta dia orang.” Jari telunjuk dihalakan ke kereta wira Pak Cik Alif yang tersadai di tepi rumah. Rumah mereka pula tidak jauh dari rumah rehat keluarga Iqram Zafriel. Dulu kawasan ini dimiliki arwah atuk. Kampung halaman arwah atuk sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Daripada hanya kontraktor biasa, atuk terus berjaya. Sekarang dia pula bertungkus-lumus meneruskan legasi arwah atuknya. 

“Iqram.” Pintu rumah dibuka tiba-tiba. Jihan Raysha terkejut. 

“Kenapa lambat? Puas kami tunggu,” sambung Pak Cik Alif terus menuruni tangga di hadapan rumah. 

“Iqram berhenti rehat jap tadi.” Iqram Zafriel sudah menyambar tangan Pak Cik Alif untuk bersalam. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Pak Cik Alif yang nampak masih nampak tegap walaupun sudah berusia. Kulit lelaki itu juga lebih gelap kerana selain menjaga rumah mereka, Pak Cik Alif juga nelayan. Dulu sewaktu kecil, selalu juga dia dibawa sama ke tengah laut untuk menangkap ikan. Ayah kepada Pak Cik Alif dulu berkawan baik dengan arwah atuk. Jadi, Pak Cik Alif umpama ayah saudaranya juga. 

“Terkejut juga pak cik tadi bila Iqram telefon. Nasib baik hari ini hari raya. Pak cik tak pergi laut. Kenapa tiba-tiba datang ni? Hari raya pula tu?” Berkerut dahi Pak Cik Alif yang sejak tadi tidak lepas memandang gadis muda di sebelah Iqram Zafriel. Walaupun selalu melihat orang putih, tapi apabila melihat dengan dekat, dia jadi teruja. Tambahan pula, gadis di sebelah Iqram Zafriel itu memang cantik dan comel. 

“Siapa ni Iqram? Jangan cakap Iqram kahwin lari? Baru balik dari Siam ke?”

“Huh?” Terpinga sekejap Iqram Zafriel yang berpandangan dengan Jihan Raysha. Kahwin lari?

“Jangan nak mengarut pak cik. Kenapa mesti kahwin lari? Papa saya tu lagi suka saya kahwin. Dia dah tak kisah dah dengan siapa saya nak kahwin.” Tersengih Iqram Zafriel. 

Pak Cik Alif ketawa. 

“Mestilah. Risau juga pak cik. Umi dan papa Iqram pun takde beritahu apa-apa. Selalunya sebelum sesiapa datang sini, papa Iqram maklumkan dulu. Pak cik kena cakap orang putih ke? Dah lama pak cik tak cakap ni. Pak cik bukan reti sangat.” Berkerut-kerut dahi Pak Cik Alif. 

Iqram Zafriel tersengih. 

“Jom,” ajak Iqram Zafriel. 

Jihan Raysha mengangguk sahaja. Pak Cik Alif sudah terlebih dahulu mendahului mereka. Kagum Jihan Raysha melihat susun atur perabot dalam rumah yang ringkas. Penuh bingkai-bingkai gambar tersusun di dinding rumah. Kebanyakannya gambar-gambar adik-beradik Iqram Zafriel sewaktu kecil dulu. 

“Chimney?” 

Iqram Zafriel mengangguk.

“Papa reka rumah ni macam orang British. So, adalah chimney. Tapi tak pernah guna pun. Hiasan je,” terangnya.

Pelik juga Jihan Raysha. Perlu ke ada cerobong asap? Bukankah Malaysia ni panas? Pak Cik Alif sudah meminta diri untuk pergi ke dapur memanggil isterinya. Jihan Raysha duduk disalah satu kerusi rotan. Dia sukakan susun atur dalam rumah ini. Perabot yang dipilih juga banyak mengingatkan dia pada rumahnya di London. 

“Mak cik.” Terus Iqram yang baru melabuhkan punggung berdiri. Jihan Raysha turut sama mengikut perbuatan Iqram Zafriel. Dia tersenyum pada wanita yang nampak kurus berdiri di sisi Pak Cik Alif. Dia tahu pasti wanita itu adalah isteri Pak Cik Alif walaupun wanita itu nampak sedikit muda. 

“Cantiknya. Isteri Iqram ke ni?” 

“Astaghfirullah… kalau Iqram kahwin, tentulah Iqram jemput mak cik dah.” Tergeleng-geleng Iqram Zafriel. Tak sabar sangat ke nak tengok aku kahwin ni? 

Mak Cik Faridah tarik sengih. Jihan Raysha tunduk menyalami Mak Cik Faridah yang nampak terkejut melihat cara Jihan Raysha bersalam. Siap cium tangan lagi. Dia melepas pandang Iqram Zafriel yang tersenyum.

“Orang Islam ke?” 

Iqram Zafriel mengangguk. Jihan Raysha tidak bertudung. Muka bukan seperti Melayu, dia tidak hairan bila Mak Cik Faridah naik pelik. 

“Dilahirkan sebagai Muslim. Dibesarkan sebagai seorang Muslim dan mati sebagai seorang Muslim…. dan bukan tu je. Darah Melayu pun ada sekali. Jangan tertipu dengan rambut blonde dan mata biru dia ni.” 

Jihan Raysha sedikit terpinga dengan kata-kata Iqram Zafriel tadi. 

“Orang Melayu? Boleh cakap Melayu?” Teruja Pak Cik Alif. Mereka berempat sudah melabuhkan punggung. Jihan Raysha tersenyum sahaja. 

“Cakap sikit Esha,” suruh Iqram Zafriel turut teruja hendak menunjukkan kebolehan Jihan Raysha. Dia sendiri pertama kali dengar Jihan Raysha cakap Melayu pun nak terlopong. Nasib baik boleh control lagi. 

Jihan Raysha garu kepala. Nak cakap apa?

“Saya Esha Ebrahim. Saya bukan isteri Abang Iqram. Abang Iqram tak perlu nak sengih macam tu.” Geram melihat Iqram Zafriel yang semakin lebar senyumannya apabila mendengar perkataan ‘isteri’ keluar dari mulut Jihan Raysha . 

“Betul ke Esha ni orang Melayu?” Musykil orang tua itu. Gadis itu langsung tidak menunjukkan wajah orang Melayu seperti yang diberitahu. Walaupun bertutur dalam bahasa Melayu, loghat bahasa Inggeris masih kedengaran. 

“Daddy saya orang Melayu. Mummy saya pula Caucasian.” 

“Kasian?” Mak Cik Faridah tayang muka pelik. 

“Bukanlah mak cik. Caucasian. Maksud Esha tadi… orang putih.” Iqram Zafriel menyampuk. Hampir sahaja dia hendak melepas tawa mendengar sebutan Mak Cik Faridah. Nasib baiklah dapat dikawal juga, risau mengecilkan hati orang tua itu. 

“Orang putih?” Jihan Raysha pula tayang muka pelik. Berkerut-kerut dahi. 

Iqram Zafriel tepuk dahi. Sejak bila dia jadi kamus bergerak ni? 

“Esha datang bercuti ke ni? Sejak bila kenal Iqram ni? Kenal waktu belajar dulu ke?” Pak Cik Alif menukar soalan. Kelakar pun ada bila masing-masing buat muka pelik. Dia dan isterinya orang kampung. Belajar pun tidak tinggi. 

Jihan Raysha pandang Iqram Zafriel. Laju sungguh wanita itu bercakap. Dia perasan dialek wanita itu sedikit berbeza. Berkerut dahinya untuk memahami. 

“Mak cik dan pak cik cakap dialek Terengganu,” beritahu Iqram Zafriel seperti memahami pandangan Jihan Raysha tadi. 

“Terengganu?” Berkerut seribu Jihan Raysha . 

Iqram Zafriel ketawa diikuti Pak Cik Alif dan Mak Cik Faridah.

“Esha baru sampai Malaysia beberapa minggu lepas. Dia datang bekerja. Mak cik kena cakap perlahan sikit dengan Esha ni. Dia walaupun boleh cakap bahasa Melayu, tapi dia dah membesar kat London,” beritahu Iqram Zafriel. 

Jihan Raysha mengangguk. Nasib baik Iqram Zafriel memahami. 

“Esha dan Iqram pakai baju sedondon. Sebab itu mak cik ingat dah jadi suami isteri. Datang berdua pula tu,” sambung Mak Cik Faridah.

Iqram Zafriel tarik sengih.

“Sebab itu Iqram telefon pak cik tadi suruh tidur sini dengan mak cik kat sini. Tak manis saya dan Esha berdua je. Lagipun ni kawasan kampung.” 

“Baguslah tu. Pergilah bersihkan diri dulu. Nanti kita makan. Pak cik dapat daging korban banyak juga tu. Mak cik kamu ni dah buat rendang.” Senang hati Pak Cik Alif walaupun Iqram Zafriel yang agak lama menetap di Amerika Syarikat selepas SPM dulu dan baru beberapa tahun pulang ke Malaysia tetap tidak mengamalkan budaya di sana. 

“Bagus! Saya memang kebulur dah ni mak cik.” Terus Iqram Zafriel pegang perutnya yang berbunyi sejak tadi. Dia memang lapar. Dia boleh pengsan kalau perutnya tidak diisi dengan segera. 

Jihan Raysha hanya menggeleng dan tersenyum.





8 comments:

  1. maju setapak lagi hubungan kembar2 ni.. harap2 semuanya berjln lancar..

    ReplyDelete
  2. akhirnya ader ugak sambungan untuk cerita ni...
    heheeh lama menunggu...
    makin menaik nampaknya...
    nak lagi...ehehhe

    ReplyDelete
  3. haahah...
    cpt la nk tgk p'kembangan iQ ngan isha lak..
    tQ imani for the n3

    ReplyDelete
  4. finally, boleh pun buka. before ni tak tahu macam mana nak contact and nak bukak :(
    *btw,suke :)

    ReplyDelete
  5. yeah yeah..
    new n3..
    thanks iman..
    suke dorang da berbaik

    ReplyDelete
  6. Thanks...akhirnyer...ade jgak n3 baru...

    ReplyDelete
  7. akhirnya.. penantian sdh berakhir.. :)

    ReplyDelete
  8. akhirnya..sekian lama menunggu bleh buka jua tuk baca cite ni....thanks to imani hatta.

    ReplyDelete

Back to Top