Cerpen : Dua Hati

Ditulis pada : 23 Ogos 2011


LEANA ZAHARA mengeluarkan tisu dari beg galasnya. Dia pelajar tahun pertama Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sejak akhir-akhir ini cuaca memang panas. Sudah lama bumi Penang tidak disirami hujan. Amira mengeluh panjang. Lambat pula bas. Matanya sudah mengantuk. Dia sudah terbayang-bayang katil di dalam bilik. Tidak sabar rasanya hendak menghempaskan badannya di atas katil. Tadi di dalam kelas, sudah beberapa kali dan Leana menguap panjang. Kuliah hari ini dirasakan terlalu lama. Peliknya apabila mereka berada di dalam bilik, perasaan mengantuk itu terus hilang.

“Mira,” panggil Leana perlahan. Dia serba salah.

“Apa?” Amira menoleh. Pelik pula dengan intonasi suara Leana. 

“Tengok tu,” bisik Leana perlahan.

“Tengok apa?” Terus Amira melepas pandang pada dua orang pemuda yang sedang berbual di tempat letak motor. 

“Kau nampak yang rambut ikal tu. Pakai cermin mata,” beritahu Leana separuh berbisik.

“Nampak. Pakai baju hijau? Kau berbisik macam pencuri ni kenapa? Bukan mamat tu dengar kau cakap. Kita duduk sebatu jauh dari dia,” balas Amira.

Leana tersengih. 

“Handsome kan?” soal Leana.

Amira mengangguk sebelum bibirnya mengukir senyuman lebar.

“Jangan kata kau dah jatuh hati dengan dia?”

“Gila kau. Aku cuma beritahu je!” Merah padam muka Leana.

Amira tergelak.

“Walaupun kita baru kenal awal sem ni. Tapi kita dah nak habis sem. Kau tak pernah tunjuk aku mana-mana budak lelaki kat aku. Tiba-tiba hari ni, tak ada hujan ribut… kau tunjuk aku kat dia. Mestilah aku suspicious. Memang dia handsome Lea. Aku tak nafikan.” 

***

ZAKWAN ARIFF menggaru kepala yang tidak gatal. Dia serba salah. Dia meletakkan beg galasnya di dalam raga motor. Kemudian dia menyeluk saku seluarnya untuk mencari kunci motor. Segala perbuatan Zakwan hanya diperhatikan Yusri dengan penuh tanda tanya.

“Woi Zack! Kau macam kucing hilang anak ni kenapa? Terkebil-kebil pandang motor. Kau dah hilangkan kunci motor ke?” 

Zakwan menggeleng.

“Dah kenapa?” 

“Nah!” Kunci motor dihulurkan pada Yusri.

“Kau ni kenapa? Tempat kunci nak buka helmet kat bahagian kau. Kau hulur kunci kat aku pula.” Bebelan Yusri mula kedengaran.

Zakwan menyumbat kunci. Yusri segera mengambil helmet miliknya. Zakwan pula masih terkial-kial. 

“Kau ni kenapa? Cuba cerita sikit,” suruh Yusri.

“Kau cuba perhatikan kat bus stop depan kita ni. Kau perasan tak ada dua orang budak perempuan tunggu bas?” Perlahan suara Zakwan.

Yusri segera menoleh sebelum Zakwan menjerit perlahan.

“Kenapa pula? Tadi kau suruh tengok.” 

“Kalau kau pusing. Nanti mereka perasan. Dari tadi aku tengok, mereka asyik pandang kita,” beritahu Zakwan akhirnya. 

Yusri tergelak.

“Sejak bila kau jadi perasan macam ni?” 

“Budak yang duduk sebelah kanan tu… comel,” beritahu Zakwan perlahan.

Demi mendengar kata-kata Zakwan, segera Yusri menoleh. Kemudian dia merenung tajam pada Zakwan.

“Dah nak dekat tiga tahun kita kenal sejak pertama kali belajar sini. Aku masak sangat dengan perangai kau, Zack. Pertama kali dalam hidup kau puji budak perempuan depan aku. Budak pakai baju kurung dan tudung warna hijau kan?”

Zakwan mengangguk sahaja. Dia sudah memakai helmet. 

“Mulai hari ini, aku namakan budak tu… Miss Green,” ujar Yusri. 

***

BERKERUT dahi Leana membaca petikan demi petikan dari dalam buku yang baru dipinjam dari perpustakaan tadi. Dia perlu mencari isi yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam tugasan barunya. Amira pula sejak tadi melekat di hadapan laptop. Dia tahu Amira juga cuba mencari isi yang sesuai untuk dimuatkan dalam tugasan berkumpulan mereka. 

“Lea!” 

“Apa kau ni?” Marah Leana. Terkejut besar dia apabila Amira tiba-tiba menjerit.

“Sorry.” Amira tersengih.

“Kenapa? Tengah-tengah malam macam ni, kau menjerit-jerit.”

“Aku dah tahu sesuatu.” Sengihan Amira melebar.

“Apa yang kau tahu?”

“Mamat rambut ikal tu lah. Aku tahu siapa dia,” balas Amira.

“Mamat rambut ikal yang mana ni?” Berkerut-kerut dahi Leana.

“Alahai… jejaka misteri yang kau tunjuk pada aku minggu lepas. Lupa pula dia.”

“Oh… dia tu. Apa yang kau tahu?” Buku sudah ditutup. Tajam matanya merenung Amira. Berdebar-debar juga dia menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut Amira. 

“Nama dia Zakwan Ariff. Tahun 3. Rupa-rupanya dia senior kita lah. Aku tak perasan pun dia dulu masa minggu orientasi kita. Dia dari Kuantan.”

“Mana kau tahu semua ni?”

“Facebook. Aku dah add dia. Nanti aku add request kat kau.” Sengih Amira melebar. 

“Dia ada awek ke?” soal Leana ingin tahu.

“Itu aku tak tahu… setakat aku dengar-dengar, dia takde awek lagi. Kalau kau nak betul-betul tahu, kau tanyalah dia sendiri nanti.” 

“Ish, gila kau nak suruh aku tanya. Aku bukan perigi cari timba.”

“Zaman sekarang ni Lea… takde dah istilah tu. Siapa cepat, dia dapat. Lagipun kalau betullah dia baik, tak salah kau mula langkah dulu. Betul tak?” soal Amira dengan sengihan makin lebar. 

Leana terdiam. Walaupun betul apa yang diberitahu Amira tadi, tidak mungkin dia akan mulakan langkah dulu walaupun dia tahu Zakwan tidak berpunya. 

***

YUSRI membuka pintu bilik. Plastik air milo yang baru dibeli dari kafe, diletakkan di dalam mug besar. Zakwan masih terlentang di atas katil. Hari ini Zakwan tiada kelas. Dia pula terpaksa menghadiri mesyuarat pagi tadi. 

“Zack,” panggil Yusri.

“Apa?” Lemah sekali suara Zakwan. Dia sebenarnya sudah tersedar apabila Yusri membuka pintu tadi, tetapi dia menyambung semula lena. 

“Aku ada benda nak beritahu kau,” beritahu Yusri yang sudah mencabut bajunya. Kemudian dia melompat naik di atas katil. Dia juga hendak tidur. 

“Apa?” Malas sekali suara Zakwan. Dia masih mahu menyambung lena yang terganggu. Bukan senang hendak bermalas-malas seperti ini. Dia sekarang berada di tahun akhir, jadi terlalu banyak projek dan tugasan yang perlu disiapkan. 

“Pasal Miss Green,” ujar Yusri perlahan. Dia menanti reaksi Zakwan. Seperti jangkaannya Zakwan tiba-tiba bangun dari perbaringan. 

“Apa yang kau tahu?” soal Zakwan terus. Mukanya yang mamai nampak bercahaya.

Yusri ketawa. Dia tidak sangka kawannya itu nampak begitu teruja. 

“Cepatlah. Apa dia? Kau jangan nak kencing aku pula.” Merah padam muka Zakwan. 

“Aku dapat tahu dari junior kita. Kebetulan aku online Facebook depan dia tadi. Gambar Miss Green kena tag masa minggu orientasi pelajar baru dulu. Kau tak pergi minggu orientasi tu kan? Kau ada projek. Aku pun tanya dia… siapa budak tu. Jadi dia dengan senang hati beritahu aku. Budak tu peramah. Ramai orang suka dia. Jadi ramai juga kenal dia rupanya.”

“Nama dia apa?”

Yusri tersenyum. Pertama kali dia melihat Zakwan nampak berminat mendengar ceritanya mengenai perempuan. Selama ini Zakwan hanya acuh tidak acuh sahaja mendengar ceritanya. Pernah juga dia menyangka Zakwan ni seorang gay! 

“Kalau tak silap aku.. nama dia Leana Zahara Mohd Lufti. Aku dah selidik habis-habis. Dia dengan kau rupanya satu kampung. Dia pun orang Kuantan. Dia junior kita. Ambil sama jurusan macam kau. Kiranya bakal jadi arkitek. Insya-Allah.”

“Leana Zahara?” Sebaris nama itu disebut Zakwan. 

Yusri mengangguk sahaja.

“Aku dah add dia dalam Facebook. Nanti aku tunjuk kat kau,” sambung Yusri.

Zakwan mengangguk sahaja.

“Apa kau nak buat lepas ni?” soal Yusri.

“Biarlah dulu Yus. Aku malas nak fikir lagi. Kita pun dah nak habis belajar. Lepas ni tak tahu bila aku boleh jumpa dia. Entah-entah dia dah berpunya. Aku ni anak sulung. Kalau ada jodoh, aku jumpa dia balik. Buat masa ni aku nak tumpu pada study aku dulu,” ucap Zakwan akhirnya. 

Yusri terpinga. Kagum dengan sikap dan kata-kata Zakwan.

“Kau nak pergi mana?” soal Yusri apabila melihat Zakwan melangkah keluar dari bilik.

“Solat Zohor. Aku tak solat lagi ni. Kalau aku tidur, tak tahu bila aku tersedar. Kau tu pun, tak payah baring lagi… jom solat!” ajak Zakwan. 

Yusri tersengih malu. Memang kalau tidak diajak Zakwan, dia akan terus pejam mata. Itulah untungnya dia berkawan dengan Zakwan yang selalu mengingatkan dia apabila dia alpa dengan hidupnya. 

***

LEANA tersenyum melihat suaminya yang masih khusyuk menghadap laptop. Dia berjalan perlahan dengan membawa cawan berisi Nescafe. Badannya juga terasa letih. Sepanjang hari berada di tapak pembinaan dan apabila balik ke rumah, dia melayan pula keletah anak-anaknya yang kian membesar.

“Tidur dah Zuhyr dan Andra?” soal Zakwan.

Leana mengangguk sahaja. Zuhyr Adha dan Zuryn Andra sudah berusia enam tahun. Pasangan kembar tersebut semakin hari, semakin lincah. Mulut mereka juga semakin becok. Setiap hari ada sahaja soalan baru yang bakal ditanya oleh mereka berdua.

“Tidur dah Ayesha?” Terkejut juga dia melihat Zuryna Ayesha yang terlena di atas riba Zakwan. Ayesha pula bakal menyambut ulang tahun hari jadinya yang kedua pada minggu hadapan memang susah hendak tidur. Ayesha lebih aktif berbanding abang dan kakaknya. 

“Abang buat susu tadi. Letak atas riba, ajak dia tengok cerita Doraemon dalam laptop ni. Sedar-sedar dia dah terlena.” Sengihan Zakwan melebar. Lega juga hatinya kerana Ayesha tidur awal hari ini.

“Lea bawa Ayesha masuk bilik ya?”

Zakwan mengangguk. Leana mengangkat Ayesha perlahan-lahan. Ayesha tidur bersama-sama dengan kakaknya. Zuhyr pula tidur seorang diri di dalam bilik berasingan. 

“Eh, dah siap kerja abang?” soal Leana sedikit pelik apabila melihat Zakwan sudah menyusun semua fail-fail yang tadi bertaburan di atas meja. Barang-barang mainan anak-anaknya sudah disimpan di dalam bakul. 

“Cerita cina ni best pula. Terganggu konsentrasi abang.”

Leana tersenyum. Dia melabuhkan punggung di sisi suaminya. Zakwan meletakkan lengan di atas bahu Leana sebelum menarik Leana rapat padanya. 

“Sunyi pula bila anak-anak tidur,” ujar Leana perlahan. Matanya tertumpu pada skrin TV. 

Zakwan hanya mengangguk. Dia kembali menonton TV. Sesekali dia ketawa diikuti Leana. 

“Panjang jodoh mereka tu,” ulas Zakwan perlahan apabila melihat hero dan heroin dalam cerita tersebut kembali bertemu selepas beberapa tahun terpisah. 

“Macam kita?” Leana mendongak memandang suaminya.

Zakwan terdiam sebelum akhirnya dia mengangguk perlahan-lahan. 

***

ZAKWAN memandang Yusri yang tersenyum sejak masuk ke dalam biliknya tadi. Pelik juga dia melihat telatah Yusri. Nak kata bercinta… tidak mungkin! Yusri tidak pernah berahsia apa-apa dengannya termasuk hal peribadi. Jodoh mereka memang panjang. Selepas habis belajar, dia dan Yusri bekerja di syarikat kontraktor yang sama selama dua tahun. Kemudian mereka memohon pinjaman dan membuka syarikat kontraktor sendiri. Mereka menjadi rakan kongsi. Alhamdulillah selepas tiga tahun, syarikat mereka semakin dikenali dan mendapat kepercayaan ramai. Mereka juga semakin sibuk. 

“Adik kau sihat?” soal Yusri tiba-tiba.

“Adik aku yang mana?” Pelik dengan soalan tiba-tiba Yusri. Dia mempunyai tujuh orang adik, dan yang paling kecil bakal mengambil UPSR tahun ini. 

“Semua,” balas Yusri tersengih.

“Alhamdulillah semua sihat. Mak, ayah aku pun sihat,” jawab Zakwan. Dia masih menanti maksud sebenar di sebalik senyuman Yusri. 

“Kita cari seorang arkitek kan? Aku dah buat interview minggu lepas. Aku dah jumpa seorang,” ujar Yusri akhirnya.

Zakwan hanya mengangguk. Dia tahu hal itu. Minggu lepas dia berada di Muar menguruskan projek di sana. Dia juga mengetahui Yusri telah menjumpai seorang arkitek. 

“Jadi?”

“Dia mula kerja hari ini. Aku panggil dia jumpa kau ya? Nanti dia kerja bawah kau juga,” ucap Yusri.

Zakwan mengangguk lagi. Yusri sudah berdiri dan melangkah keluar dari bilik. Beberapa minit kemudian dia melangkah masuk.

“Mana dia?” Pelik apabila Yusri masuk seorang diri. Tetapi senyuman Yusri masih tidak padam.

“Jap. Dia pergi toilet.” Yusri menghulurkan fail pekerja baru mereka. 

Zakwan membuka fail tersebut dengan seribu tanda tanya. Apabila melihat gambar berukuran passport pada helaian yang pertama, dia sudah ternganga. Segera dia memandang Yusri yang tersenyum.

“Mana kau jumpa dia?”

Yusri menggeleng.

“Aku tak jumpa dia. Dia datang sendiri sini. Tak ada paksaan. Aku sendiri terkejut masa pertama kali jumpa dia masa interview minggu lepas. Aku hired dia bukan sebab kau. Tapi dari resume dia, aku tahu dia orang yang paling sesuai. Lagipun budak USM kan. Kenalah bantu junior sendiri,” balas Yusri panjang lebar.

“Kenapa tak beritahu aku?” soal Zakwan. Sekurang-kurangnya dia boleh bersedia. Walaupun hampir lima tahun tidak berjumpa, setiap hari dia tertanya-tanya bagaimanakah keadaan Leana. Pelik juga sepanjang lima tahun, tiada seorang gadis juga yang mampu mengetuk pintu hatinya dan dia masih teringatkan gadis itu.

“Surprise. Allah dah pertemuan kau dan dia. Dia single. Aku dah selidik dalam-dalam semua hal dia. Kita hanya merancang, Allah yang tentukan segalanya. Aku dah tolong kau Zack. Sekarang giliran kau mulakan langkah. Kau dah ada segala-galanya yang kau tak ada dulu. Kau ada rumah sendiri. Kereta sendiri. Syarikat sendiri pun kau ada. Adik-adik kau semuanya terurus, dan kau sanggup berhabis duit hantar tiga orang adik kau belajar oversea. Mak, ayah kau pun kau hantar pergi tunaikan haji. Saudara mara yang lain, kau boleh bantu pergi tunaikan umrah. Sekarang giliran kau cari kebahagian kau. Sebagai kawan baik kau, aku doakan yang terbaik untuk kau. Aku tahu cinta kau hanya pada Leana. Nampaknya kata-kata kau dulu menjadi kenyataan. Insya-Allah, Leana adalah jodoh kau. Sekarang giliran kau berusaha,” jawab Yusri.

Zakwan tergamam. 

“Terima kasih Yus. Aku tak tahu nak cakap apa,” balas Zakwan. Dia menghampiri Yusri. Tubuh Yusri dipeluk kejap.

Yusri menepuk lembut tubuh rakannya. Dia sudah menganggap Zakwan seperti darah dagingnya juga. Sudah lama mereka berdua berkawan. Susah senang dilalui bersama-sama.

Pelukan dilepaskan apabila Qila, setiausaha Zakwan mengetuk pintu.

“Cik Leana nak jumpa,” beritahu Qila. 

Yusri tersenyum dan mengangguk. Senyumannya semakin lebar apabila melihat muka merah padam Zakwan. Pergerakan Zakwan juga sudah serba tidak kena.

“Panggil masuk,” suruh Yusri apabila Zakwan sudah tidak mampu berkata-kata. 

“Assalamualaikum,” ucap Leana bila dia melangkah masuk. 

Zakwan sudah kembali pada tempatnya. Dia berpura-pura tenang walaupun jantung kini sudah berdegup kencang. 

“Walaikumussalam,” balas Yusri perlahan diikuti Zakwan.

Leana melepas pandang Yusri sebelum pandangannya mati pada Zakwan. Mulut terbuka sedikit. Jantungnya berdegup kencang. Ya Allah, lelaki ini! 

“Leana, kenalkan Encik Zack. Encik Zack bakal menjadi ketua Leana nanti,” beritahu Yusri dengan senyuman lebar. Dia dapat mengesan riak terkejut pada wajah Leana. 

Leana tergamam. Lututnya terasa lemah. Bagaimana hendak dia berurusan dengan lelaki ini. Hendak merenung matanya sahaja, dia terasa hendak pengsan. Sudah bertahun-tahun dia cuba melupakan Zakwan. Selama ini dia menganggap jodohnya dengan Zakwan tiada selepas Zakwan habis belajar. Dia tidak sangka dia dan Zakwan boleh berjumpa lagi. Mereka juga tidak pernah berjumpa mahupun bertegur sapa. Dia cuma bertepuk sebelah tangan. 

“Leana,” panggil Zakwan perlahan.

Leana mengangguk.

“Awak kenapa Leana? Muka merah sangat ni?” soal Yusri pula, sambil cuba sembunyi senyum. Bukan wajah Leana sahaja yang merah padam, Zakwan juga begitu. 

Leana menggeleng pula.

“Saya okay. Panggil saya Lea,” suruh Leana pula selepas dia berjaya mengumpul kekuatannya semula. 

“Lea. Selamat bekerja,” ucap Zakwan yang sudah berdiri menghadap Leana.

Leana menundukkan kepala dan mengangguk sahaja. 

***

“ABANG,” panggil Leana perlahan.

“Apa?” Terpinga Zakwan dengan teguran tiba-tiba isterinya.

“Panjang abang mengelamun. Teringat ke siapa ni?” soal Leana dengan wajah penuh tanda tanya. 

Zakwan tergelak. Cemburu juga isterinya ini. 

“Abang nak ingat ke siapa lagi. Suri hati abang ada depan mata,” balas Zakwan dengan senyuman. 

“Abang ingat apa? Jauh sangat mengelamun. Dua tiga kali Lea panggil,” ujar Leana sedikit curiga. 

“Abang teringat macam mana susahnya abang nak mengurat Lea dulu. Macam-macam cara abang cuba. Tapi Lea jual mahal sangat,” balas Zakwan.

Leana terdiam sebelum dia mencubit perut suaminya.

“Sakitlah. Kenapa pula ni?”

“Abang tu. Hal lapan tahun lalu. Tiba-tiba nak ungkit. Kenapa?”

“Tak salah kan sayang? Seribu satu cara abang buat untuk dapatkan Lea dulu. Jadi abang tak akan sia-sia Lea dan anak-anak. Susah nak pikat Lea ni,” jawab Zakwan.

Leana tersenyum. Dia bukanlah mahu menjual mahal dengan Zakwan dahulu. Tapi dia juga curiga dengan sikap Zakwan yang tiba-tiba mahu memikatnya. Dia menyangka Zakwan mahu mempermainkannya. Zakwan dah Yusri merupakan usahawan muda yang berjaya. Ramai juga orang yang mengagumi mereka. Jadi tidak hairanlah kalau Zakwan mahu mempermainkannya. Hampir setiap hari Zakwan hadiah menghadiahkan coklat Cadbury sehinggalah dia menjadi bahan usikan kawan-kawan di pejabat. Zakwan juga berkeras mahu menghantarnya pulang setiap hari. Akhirnya kemunculan Zakwan di hadapan pintu rumahnya, dan memohon kebenaran dari ayah dan ibunya untuk berkenalan dengan Leana dengan lebih dalam, membuka pintu hatinya. Rupa-rupanya Zakwan memang serius mahu berkawan dengannya. Beberapa bulan kemudian mereka bertunang dan berkahwin. 

“Ayah.”

“Kenapa Zuhyr?” soal Zakwan apabila melihat Zuhyr yang terpisat-pisat di hadapan mereka.

“Zuhyr takut nak tidur,” balas Zuhyr sebelum menghampiri Zakwan. Dia terus melabuhkan punggung di atas riba Zakwan. Zakwan tersenyum. Dia dan Leana sedang mengajar Zuhyr untuk tidur bersendirian di dalam bilik sendiri sejak minggu lepas. Lagipun sampai bila Zuhyr mahu tidur bersama dengan Andra dan Ayesha. 

“Ibu buat susu untuk Zuhyr ye? Lepas tu ayah teman Zuhyr tidur,” ucap Leana.

Zuhyr mengangguk sahaja. 

“Zuhyr nak dengar cerita tentang Nabi Muhammad SAW,” pinta Zuhyr.

“Zuhyr pernah dengar cerita tentang Sayidina Ali dan Fatimah Zahara?” soal Zakwan.

Zuhyr mendongak. Dia menggeleng pula. Leana pula sudah menuju ke dapur.

“Siapa tu ayah?”

“Sayidina Ali tu, sahabat dan menantu Nabi Muhammad SAW. Fatimah Zahara pula anak perempuan Nabi Muhammad SAW,” beritahu Zakwan.

“Nama Fatimah Zahara sama macam nama ibu kan ayah?” soal Zuhyr.

“Tok ayah Zuhyr bagi nama ibu Zuhyr sempena nama Fatimah Zahara. Zahara dalam bahasa Arab bermaksud bunga.” 

Zuhyr mengangguk. Dahinya berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. 

“Cikgu Zuhyr pernah beritahu… Sayidina Ali ganti tempat tidur Nabi Muhammad SAW kan? Sayidina Ali pun budak-budak macam Zuhyr. Tapi dia berani. Zuhyr pun nak jadi berani juga macam Sayidina Ali.” 

“Jadi, Zuhyr tak takut kan tidur seorang je dalam bilik?” pancing Zakwan. Dia tahu anaknya itu masih tidak biasa. 

“Tak!”

“Inilah anak ayah.” Pipi gebu Zuhyr menjadi mangsa ciumannya. 

Zuhyr ketawa. Dia suka dimanja begitu oleh ayahnya. 

“Zuhyr nak tahu cerita tentang Sayidina Ali dan Fatimah Zahara?” 

Zuhyr segera mengangguk. 

“Sayidina Ali memendamkan rasa cinta pada Fatimah Zahara kerana sedar bahawa dirinya tidak hebat seperti orang lain. Sayidina Ali pendamkan perasan dia seorang diri. Akhirnya Sayidina Ali bertemu Nabi Muhammad SAW untuk meminang Fatimah Zahara. Rupa-rupanya jodoh Sayidina Ali dan Fatimah Zahara sudah lama di atur oleh Allah,” ujar Zakwan.

Zuhyr terpinga dengan dahi semakin berkerut. 

“Abang ni. budak ni mana faham apa yang abang beritahu tu,” tegur Leana sambil tergeleng. Kasihan melihat wajah penuh tanda tanya anak sulungnya itu. Kata-kata suaminya turut didengarnya sebentar tadi. Dia faham dengan maksud tersirat dari kata-kata suaminya itu. 

Zakwan tersenyum. 

“Cepat habiskan susu. Ayah teman Zuhyr tidur. Esok nak pergi tadika.”

Zuhyr tanpa banyak kerenah segera menghabiskan minumannya. Kemudian, Zakwan memimpin tangan Zuhyr masuk ke dalam bilik anak lelakinya yang terletak di tingkat dua dan bersebelahan dengan bilik Zuryn dan Ayesha. 

Leana kembali melabuhkan punggung. Dia teringat kembali kata-kata suaminya. Dia teringat bacaannya mengenai kisah cinta agung Sayidina Ali dan Fatimah Zahara yang memang patut dicontohi. Walaupun dirinya langsung tidak layak dibandingkan seperti Fatimah Zahara yang berkorban jiwa raga untuk agama dan suaminya, tetapi dia menjadikan Fatimah Zahara sebagai idolanya dan berusaha ke arah itu.

“Maafkan aku, kerana sebelum menikah dengan kamu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda,” ucap Fatimah Zahara.
“Kalau begitu mengapa engkau mahu menikah dengan aku dan siapakah pemuda itu?” soal Sayidina Ali, terkejut.
Sambil tersenyum Fatimah Zahara berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah dirimu.”

Pandangan Leana tertumpu pada Zakwan yang melangkah keluar dari bilik Zuhyr. Dia bersyukur akhirnya dia dijodohkan dengan Zakwan. Lelaki yang pertama berjaya mengetuk pintu hatinya. Lelaki inilah yang dilihatnya dari jauh sahaja dan mereka tidak bertegur sapa dan kini lelaki ini adalah suaminya. Ya Allah, Kau kurniakan kebahagian dunia akhirat padaku dan keluargaku ini.

Sesungguhnya sukar untuk memperoleh kisah percintaan sehebat Sayidina Ali dan Fatimah Zahara. Cinta yang disimpan di dalam hati, namun kuasa Allah SWT mereka saling memendam cinta sehingga satu masa yang ditetapkan mereka dinikahkan hanya dengan mahar sepasang baju besi milik Sayidina Ali. Begitu mulianya Fatimah Zahara, semulia-mulia wanita adalah wanita yang paling rendah maharnya. Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Cinta mengambil kesempatan atau mempersilakan. Cinta adalah keberanian, atau pengorbanan.



Terima kasih kerana sudi baca dan komen ^^








20 comments:

  1. best sgt!
    suka kt quote kt last entry.
    good job, cik writer!
    thanks kerana membuka mata hati saya.



    ~akumie

    ReplyDelete
  2. suke quote tu!! ehehhe..simple je cite ni.:)

    ReplyDelete
  3. cute...
    suka jugak quote tu...
    nak pinjam ek....

    ReplyDelete
  4. huu..terbaek...dah lame xbce cerpen yg mantap..ade beberapa je...nice story=)

    ReplyDelete
  5. nice story... :)
    tahniah...

    ReplyDelete
  6. confuse lah. bukan ke masa awal2 kawan leana yang berkenan kat zack, dan yusri yang berkenan kat leana?
    cecite2...

    ReplyDelete
  7. best weih!!

    sufi (",)

    ReplyDelete
  8. saya menangis. terharu biru sume ada. =)

    ReplyDelete
  9. * bessttt sngt !! Jodoh n prtemuan d tangan takdir.. dn ia brakhir dgn kbhagian.. cnta xsmestinya brsma jodoh tp jodoh slalu brsma cnta.. nice story kak ~

    ReplyDelete
  10. simple tapi penuh pengajaran :)
    terus berkarya ye sis :)

    ReplyDelete
  11. simple tapi best.. teruskan lagi berkarya.

    ReplyDelete
  12. Terharu tak terkata...
    Great story.Just like your 1st novel:)
    Semoga saudari akan terus berkarya & memberi kata2 yg bermakna kepada hamba-hamba-Nya...
    Amin...

    Suri:)

    ReplyDelete
  13. err Saidina Ali tu sepupu Nabi Muhammad kan? bukan sahabat =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sahabat merangkap sepupu plus sebagai menantu Baginda juga=)

      Delete
  14. best saya suka love it so much!!!!!!!

    ReplyDelete

Back to Top