Cerpen : Seindah takdir

Ditulis pada : 16 Ogos 2011
Cerpen pertama



"KAU KENAPA?" soal Hadi.

“Kenapa apa?” balas Adam sedikit tinggi dan terus duduk di tempatnya yang bersebelahan dengan Hadi. Kelas yang pada mulanya bising menjadi sunyi sepi apabila melihat wajah mencuka Adam dan Medina yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.

“Marah aku pulak. Aku soal baik- baik. Kenapa kau lewat masuk kelas? Dah satu jam lebih waktu rehat habis,” balas Hadi. Dia faham benar dengan sikap Adam yang mula dikenalinya awal tahun ini. Hampir satu tahun dia dan Adam berkawan rapat.

“Mana cikgu?” soal Adam.

“Cikgu Zainal cuti hari ini. Kenapa?”

“Bagus. Jom kita keluar. Panas aku duduk lama-lama dalam kelas ni,” ucap Adam. Dia sedar hampir semua mata di dalam kelas memandang dia dan Medina. Medina pula nampak selamba berbual seoleh-oleh tiada apa yang berlaku tadi.

“Jom.” Hadi akur. 

***

ADAM melepaskan keluhan berat. Dia dan Hadi kini berada di belakang banggunan sekolah. Buntu otaknya tika ini memikirkan masalah yang baru muncul. Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh papa dan mamanya apabila mendapat panggilan telefon dari pihak sekolah. Esok papa dan mamanya perlu datang ke sekolah. Dia tidak sangka perbuatannya tadi diperhatikan oleh Medina dari jauh.

“Cuba cerita sikit kat aku. Kita ada setengah jam je ni. Lepas ni kita nak ke makmal,” ucap Hadi akhirnya. Bosan pula apabila Adam hanya membisu.

“Aku bengang betul dengan budak baru tu,” beritahu Adam.

“Medina ke?”

Adam mengangguk. Medina. Sedap nama gadis itu. Tetapi peliknya nama itu tidak begitu sesuai dengan personaliti Medina. Gadis berambut pendek separas bahu dan berlagak seperti lelaki itu nampak keras. Susah sungguh gadis itu hendak tersenyum. Medina baru sahaja berpindah ke sekolah ini bulan lepas. Selama ini dia memang tidak mengambil peduli hal Medina, tetapi sejak kejadian tadi, perasaan marah terhadap Medina begitu meluap-luap.

“Kenapa dengan dia?”

“Dia report ke cikgu.”

Report apa?”

“Aku merokok belakang kantin tadi,” beritahu Adam sebelum menoleh pada Hadi yang sudah tergangga.

“Kau merokok?” susah hendak Hadi mempercayainya.

“Aku tak pernah beritahu kau ke?” soal Adam bersahaja. Bukan sahaja dia bakal dikenakan tindakan disiplin, malah abang kantin yang turut sama merokok bersamanya tadi bakal dibuang kerja.

“Kau tak pernah cakap. Aku tak pernah tahu.”

Sorry Hadi. Bukan aku tak mahu beritahu kau. Tapi... aku pun baru belajar. Aku curi rokok abang aku,” balas Adam.

“Bodoh!” Kepala Adam diketuk kuat.

“Woi, sakitlah!” Pantas Adam mengusap kepalanya yang sakit.

“Tahu pun sakit. Kau buat kerja gila tu kenapa? Kita ni baru 13 tahun. Lama lagi nak hidup. Sekarang kau dah mula hisap rokok... kau tak sayang hati kau ke?” soal Hadi geram.

Adam tersengih.

“Aku bukan buat lawaklah. Aku tak sangka kau boleh buat sampai macam tu. Memang padan muka kau Medina report ke cikgu. Baru kau rasa. Punya banyak iklan kat TV, suruh kita jangan merokok. Kau boleh nak sia-siakan kesihatan kau... sebab rokok?” Bertubi-tubi Hadi meluahkan kata-kata.

“Kau nak melenting ni kenapa? Aku baru mula nak hisaplah.”

“Sekarang kau hisap rokok. Nanti kau hisap benda lain pulak,” balas Hadi.

“Wei… aku tahulah. Aku hisap rokok tu sebab nak cuba je. Tapi mana aku tahu… sedap pulak.”

“Nanti bila kau dah start hisap dadah. Kau kata macam tu… nanti makan diri kau sendiri,” ujar Hadi. Panas rasa hatinya dengan sikap sambil lewa Adam.

“Aku tahulah. Aku tak akan try hisap dadah.”

“Dadah dan rokok tu sama je Adam. Dah sekali try. Kau susah nak buang,” ucap Hadi.

Adam terdiam. Betul juga kata Hadi. Memang dia terpengaruh melihat abang dan papanya yang turut menghisap rokok. Tapi abangnya yang sudah berusia 18 tahun hanya hisap rokok secara curi-curi di dalam bilik. Dia terjumpa kotak rokok abangnya. Jadi setiap hari pasti dia akan mencuri sebatang rokok untuk menghisapnya.

“Tapi aku bengang betul dengan Medina tu. Dia report. Matilah aku Hadi.”

“Padan muka kau! Aku dengar Medina nak pindah sekolah. Dia pergi oversea dengan parents dia,” beritahu Hadi.

“Bukan dia baru pindah. Nak pindah lagi?”

Hadi mengangguk.

“Aku baru tahu. Ayah Medina tu rupanya doktor. Lepas ni nak pergi Afrika. Jadi doktor sukarelawan kat sana.”

“Baguslah. Aku memang bengang sangat dengan Medina tu. Aku rasa… duduk satu kelas dengan dia. Boleh meletup aku. Aku tak boleh tahan tengok muka tak ada perasaan dia tu. Pertama kali dia masuk kelas. Dia buat hal sendiri je. Berkawan pun dengan Ah Chong seorang je,” ujar Adam.

“Kau sedar?”

Adam mengangguk sahaja.

“Dia tu sombong betul,” ucap Hadi.

“Aku sokong. Aku harap… lepas ni kita tak akan jumpa dia dah,” balas Adam.

Hadi ketawa.

“Tapi dia dah selamatkan kau dari terus jadi hamba abdi pada rokok. Aku harap lepas ni kau berhenti buat kerja bodoh tu. Kita ni baru 13 tahun,” nasihat Hadi.

Adam mengangguk sahaja dengan kata-kata Hadi yang ada benarnya.

***
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsia-Nya.


IMTIYAZ terjaga. Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringan. Pandangnnya jatuh pada Adam Kichiro yang masih lena. Susah rasanya hendak percaya. Dia telah berkahwin dengan lelaki ini. Lelaki yang tidak pernah dikenali sebelum ini dan kini adalah suaminya. Sudah seminggu mereka berkahwin. Berkahwin atas dasar jodoh pilihan ibu bapanya. Dia sudah berusia 29 tahun. Umi runsing memikirkan hal dirinya yang terlalu sibuk bekerja. Papa pula tidak tahan mendengar leteran umi setiap hari. Saudara-mara juga sudah bising dan bertanya bila dia akan berumah tangga. Akhirnya dia ambil kata putus kepada umi supaya menerima sahaja pinangan daripada kenalan lama papa. Rambut yang berserabut disanggul tinggi. Tidak ubah seperti orang dalam pantang.

“Pukul berapa dah?” soal Adam perlahan. Dia tersedar bila Imtiyaz turun dari katil.

“6 pagi,” balas Imtiyaz sedikit kekok.

“Nanti Im habis mandi. Kejut saya,” ucap Adam sebelum menyambung lena.

Imtiyaz mengangguk sahaja. Mereka memang sudah berkahwin. Segar lagi dalam ingatannya apabila malam pertama mereka. Berdebar perasaannya memikirkan perkara yang akan berlaku pada malam itu. Dia hendak memberitahu Adam supaya tidak menyentuhnya selagi dia tidak bersedia. Tetapi nampaknya Adam lebih memahami perasaannya. Adam bersetuju dengan kehendaknya.

“Arrgghhhhhhh!” Bergema tandas dengan jeritan Imtiyaz.

Adam hampir tersungkur.

“Kau… awak kenapa nih? Tercabut jantung saya,” ucap Adam hampir terjerit.

“Apa awak buat kat sini?” soal Imtiyaz cuba menutup badannya dengan tangannya. Dia hanya berkemban dan kini Adam berada di dalam bilik mandi bersamanya.

Adam telan air liur melihat yang tersaji di hadapan matanya. Sesuatu yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Berkali-kali dia menelan air liur. Jantungnnya seakan berhenti berdegup.

“Apa awak buat dalam ni? Saya… saya baru siap mandi.”

“Saya tahu. Awak lambat sangat. Pintu tak kunci. Saya betul-betul tak tahan nak buang,” beritahu Adam. Dia memeluk tubuh memandang Imtiyaz. Selama ini walaupun di rumah Imtiyaz tidak memakai tudung, tetapi Imtiyaz tidak pernah berdepan dengannya walau hanya berkemban. Imtiyaz akan memastikan dia sudah siap berpakaian sebelum keluar dari bilik mandi.

“Kenapa tak tunggu?” soal Imtiyaz. Dia cuba menahan marahnya. 

“Saya nak buang air. Tak tahan sangat,” ucap Adam. Dia cuba berlagak selamba walaupun hakikatnya dia sendiri sudah lupa bagaimana hendak bernafas dengan betul. Wajah Imtiyaz semakin lama, semakin merah.

“Kenapa tak tunggu. Awak nampak saya mandi?”

“Bilik mandi awak ni kan besar? Lagipun bahagian shower tertutup dengan cermin. Saya tak nampak apa-apa. Sumpah! Saya masuk sini, pergi tandas buang air... dan masa saya nak basuh tangan, awak tiba-tiba keluar dan awak menjerit mengalahkan pontianak,” balas Adam. Kalau bukan tidak tahan hendak membuang tadi, pasti dia tidak akan menyerbu masuk ke dalam bilik mandi. Dia nampak dan turut mendengar suara halus Imtiyaz menyanyi. Sebenarnya dia memang hendak terus keluar selepas hajatnya selesai, tapi Imtiyaz terlebih dahulu keluar.

“Keluar sekarang!” suruh Imtiyaz.

Adam menggeleng.

“Kenapa pulak? Saya nak gosok gigi.”

“Nah!” Hulur Adam tanpa perasaan. 

“Apa ni?”

“Berus gigi awak. Kita berus gigi. Lepas tu awak ambil sembahyang dan keluar. Saya nak mandi pula,” ucap Adam.

“Hah?”

“Cepatlah Im. Kita dah lewat nak sembahyang ni,” gesa Adam. Dia cuba untuk tidak mengukir senyuman apabila perlahan-lahan Imtiyaz mengambil berus gigi miliknya dan berdiri disebelahnya. Muka Imtiyaz sudah masam mencuka.

***

ENCIK IMRAN tersenyum lebar melihat Imtiyaz yang sibuk melayan permintaan Adam. Puan Hafiza turut sama memerhatikan dengan senyuman. Mereka bersyukur akhirnya anak tunggal mereka berkahwin juga. Mereka yakin dengan jodoh yang diaturkan oleh mereka dan ibu bapa Adam. Adam juga memang mengharapkan supaya ibu bapanya yang mencarikan jodohnya. Pelik. Masih ada lagi orang muda zaman sekarang yang lebih membiarkan soal jodoh diuruskan oleh ibu bapa. Mereka pula sudah beribu kali memujuk Imtiyaz, barulah anak gadis mereka bersetuju untuk dicarikan jodoh.

“Kenapa papa ni? Macam kerang busuk je.” Panjang muncung Imtiyaz. Dia membetul shawl. Sesekali dia memerhatikan jam pada dinding. Risau jika terlewat.

“Banyak kes kat balai Adam?” soal Encik Imran. Dia juga tidak begitu mengenali Adam. Dulu, dia dan ayah Adam, Encik Adha memang rapat. Mereka terpisah selepas masing-masing bekerja dan berumah tangga.

Adam hanya mengangguk. Dua minggu dia mengambil cuti. Pasti kerja di balai semakin menimbun. Setiap hari ada sahaja kes. Bekerja sebagai inspektor di Unit Jenayah memang memenatkan tetapi dia gembira dengan kerjanya itu. Sejak kecil lagi dia sudah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis sama seperti arwah datuknya.

“Bila nak honeymoon?” soal Puan Hafiza.

Imtiyaz tersedak.

“Apa umi ni.” Marah Imtiyaz terus.

Encik Imran ketawa.

“Betul lah soalan umi tu sayang,” ujar Adam pula tersengih-sengih. Dia terbayang peristiwa di dalam bilik mandi tadi. Sengihannya semakin lebar.

“Awak ni kenapa?” Satu cubitan singgah pada peha Adam.

“Sakit sayang,” ujar Adam.

Imtiyaz mengetap bibir apabila Encik Imran dan Puan Hafiza ketawa.

“Im banyak kerja kat hospital papa. Papa pun tahu kan,” beritahu Imtiyaz. Dia masih bekerja di hospital kerajaan manakala papanya kini sudah membuka klinik IMTIYAZ MEDINA tidak jauh dari rumah mereka. Klinik itu juga dinamakan sempena namanya.

“Papa tahu sayang. Tapi Im kena pandai bezakan peribadi dan kerja. Mana boleh 24 jam kerja. Im dah ada suami sekarang ni,” ucap Encik Imran.

“Ye papa. Im tahu. Papa pun pernah jadi macam Im kan?” soal Imtiyaz dan melepas pandang pada Adam yang hanya tersenyum.

Encik Imran terdiam. Betul apa yang dikatakan Imtiyaz. Nasib baiklah isterinya tidak bekerja dan menurut sahaja apabila mereka terpaksa berpindah randah. Impian dan harapannya untuk berbakti kepada masyarakat dalam dan luar negara.

“Jom, awak. Kita pergi,” ajak Imtiyaz. Semakin lama mereka berada di meja makan. Semakin panjang ceramah papanya.

***

IMTIYAZ melangkah masuk ke dalam rumah. Penat. Terlalu banyak pesakit hari ini dan dua pembedahan yang telah berjaya dilakukan. Sudah hampir sebulan dia dan Adam berkahwin. Masing-masing membuat hal sendiri. Status sebagai suami isteri rasanya tidak ubah seperti roommate. Mereka hanya berkongsi bilik dan katil yang sama. Mereka masih belum berkongsi perasaan. Dia juga tidak pasti, apakah perasaan yang wujud dalam dirinya pada suaminya itu.

Dia perhatikan Adam yang tidur di atas sofa. Buku agama elok terbaring di atas badan suaminya. Dia perasan rutin suaminya itu yang akan membaca sebelum tidur. Tanpa mengejutkan Adam, Imtiyaz terus ke bilik mandi. Selesai membersihkan diri, dia sembahyang. 

“Awak,” bahu Adam dipukul perlahan. Kasihan juga melihat wajah letih suaminya. Waktu kerja mereka agak berbeza. Kadang-kadang lewat pagi baru dia pulang. Awal pagi pula suaminya pergi ke balai dan pulang pada lewat malam. Dia langsung tidak mengambil tahu urusan suaminya.

“Balik dah?” soal Adam sedikit mamai. Dia memandang jam pada dinding. 11 malam.

Imtiyaz mengangguk. Dia menyikat rambutnya yang masih basah dengan jarinya. 

“Awal awak balik?” soal Adam lagi lalu bangun menyimpan buku di rak. Imtiyaz pula terus menuju ke katil. Badannya letih. Tetapi esok dia tidak off. 

“Awak lupa. Semalam saya tak balik. Hari ni baru muncul,” beritahu Imtiyaz.

Adam tersengih. Mestilah dia tidak lupa kerana semalam dia tidur tanpa bantal peluknya. 

“Penat awak?” soal Adam, lembut. 

Imtiyaz mengangguk.

“Sini.” Tarik Adam perlahan-lahan. Dia sudah duduk di sisi Imtiyaz.

“Awak nak buat apa ni?” soal Imtiyaz segera.

“Jangan risau. Awak tak pernah rasa lagi kan magic touch saya? Selama ni, mama wanita yang paling bertuah dapat rasa magic touch saya,” beritahu Adam.

“Magic touch apa?” soal Imtiyaz. 

“Best awak?” soal Adam. 

Imtiyaz tersentak. Jari-jari kasar Adam perlahan-lahan mengurut-gurut belakang dan lehernya. Pertama kali Adam menyentuh dirinya begitu. Pertama kali dia tergamam dengan sikap Adam. Selama ini dia langsung tidak mengambil peduli akan hal dan perbuatan Adam.

“Sedap tak?” soal Adam sekali lagi apabila tiada tindak balas dari isterinya. Urutan tetap diteruskan.

Imtiyaz mengangguk laju sebelum menjerit tiba-tiba.

“Kenapa pulak ni?”

“Geli!" 

Adam ketawa.

“Eh, mana papa dan umi? Sunyi je?”

“Lupa ke sayang. Mereka pergi Tioman pagi tadi. Papa kata dah called awak,” balas Adam.

Imtiyaz terdiam. Dia memang terlupa perbualannya dengan papanya semalam. Maknanya hanya dia dan Adam sahaja berada di dalam rumah? Jantungnya berdegup kencang. Dia tidak mampu untuk berpaling apabila tangan Adam yang berada pada bahunya perlahan-lahan beralih ke pingang.

“Awak,” panggil Imtiyaz. Dia cuba untuk menarik tangan Adam yang semakin kejap memeluknya dari belakang.

“Kita dah berkahwin sebulan Im. Rasanya kita dah cukup dewasa kan? Kita sebaya. Kita suami isteri. Sampai bila kita nak berlagak seperti kita ni tiada hubungan. Berdosa rasanya kalau saya abaikan tanggungjawab saya pada awak. Selain daripada zahir, saya perlu berikan tanggungjawab lain. Saya berkahwin bukan untuk sementara. Selamanya. Saya pilih awak, sebab saya yakin dengan keputusan mama dan papa saya. Pertama kali saya tengok awak, saya tahu, saya dah buat keputusan yang tepat,” bisik Adam perlahan.

Imtiyaz terdiam. Dia tidak mampu untuk membalas kata-kata suaminya. Perlahan-lahan dia mengangguk sahaja. Dia faham. Dia juga sedar bahawa dia tidak pernah menganggap suaminya sebagai suami. Dia tidak pernah menunaikan tanggungjawabnya.

***

“SENGIH sampai telinga kenapa?” tegur Asyikin pada Imtiyaz apabila melihat kawannya itu.

“Aku senyum pun tak boleh?” soal Imtiyaz perlahan.

“Kau mengandung ke Im?” soal Asyikin.

“Ish, kau ni!” Pantas Imtiyaz mengeleng kepalanya. Semuanya berlaku beberapa hari lepas. Cuma sekarang dia tidak pasti, apakah perasaan sebenarnya pada Adam.

“Suami kau handsome kan Im?”

“Kau kenapa tiba-tiba cakap macam tu?”

Mereka berdua berada di kantin hospital. Asyikin juga doktor sepertinya. Mereka sama-sama belajar di universiti yang sama dan bekerja di hospital yang sama. Asyikin sudah berumah tangga setahun yang lepas. Asyikin kini sedang menanti kelahiran anak pertamanya beberapa bulan lagi.

“Aku dah lama nak beritahu kau. Tapi aku sibuk. Kau pun sibuk. Pandai mak ayah kau pilih. Macam hero Jepun,” ucap Asyikin.

Imtiyaz tergelak. Memang Adam mempunyai darah Jepun. Mama Adam adalah orang Jepun. Sebab itu nama Adam adalah Adam Kichiro manakala abangnya pula adalah Affan Inchiro. Inchiro bermaksud anak sulung manakala Kichiro bermaksud anak yang bertuah. Dia juga baru sahaja tahu maksud nama suaminya itu.

“Im,” panggil Zahid perlahan. Bahu Imtiyaz ditepuk perlahan dari belakang.

“Kenapa Zahid?” soal Imtiyaz segera. Wajahnya turut berubah bila melihat wajah gelisah Zahid. Dadanya tiba-tiba berdegup kencang.

“Suami kau. Dia ada kat ICU sekarang. Kena tembak.”

“Kau jangan nak main-main Zahid,” ucap Asyikin.

“Muka aku nampak main-main ke? Cepat Im,” gesa Zahid. 

Imtiyaz merasakan pandangannya gelap. Adam…

***

USAPAN lembut menyedarkan Imtiyaz. Perlahan-lahan dia membuka mata. Adam tersenyum. Wajah itu pucat tetapi masih mampu untuk tersenyum bila melihat dia sedar dari tidur.

“Kenapa mata ni lebam?” soal Adam perlahan.

Imtiyaz menggeleng. Air matanya kembali bergenang. Dia tertidur sementara menunggu Adam terjaga. Ibu bapanya dan ibu bapa Adam ada menemaninya tadi.

“Kenapa menangis ni?” soal Adam lagi. Dia membetulkan duduknya. Lenggannya terasa sengal. Pertama kali dia ditembak. Sakit. Tadi dia menyangka hidupnya sudah berakhir. Dia bersyukur. Tembakan itu hanya mengena lengannya sahaja.

“Awak nak tinggalkan saya?”

“Siapa pula nak tinggalkan awak? Saya ada kat sini kan?”

“Awak boleh mati tahu tak? Saya rasa macam nyawa saya dah hilang bila orang beritahu awak kena tembak,” beritahu Imtiyaz. Air mata yang mengalir meneruni pipi diseka perlahan.

Adam tersenyum.

“Hidup mata di tangan ALLAH sayang. Selagi saya hidup, saya tak akan tinggalkan awak. Hanya mati pisahkan kita.”

“Betul?”

Adam mengangguk sahaja.

“Awak sayang saya ya?” soal Adam cuba tersengih. Memang tanggannya masih terasa sengal. Tapi dia gembira kerana orang pertama yang dilihatnya selepas membuka mata adalah Imtiyaz Medina. Wanita yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

Berubah muka Imtiyaz.

“Awak tak perlu kata apa-apa. Dari riak muka awak… saya dah tahu segalanya. Terima kasih sayang,” ucap Adam perlahan.

Imtiyaz tergamam. Air matanya semakin laju meneruni pipi.

“Sudahlah menangis tu. Saya hidup lagi. Cara awak menangis tu, macam saya dah mati.”

“Apa awak nih!” Terus bahu Adam ditepuk kuat.

“Adoi.. sakit awak!”

“Padan muka!” Panjang muncung Imtiyaz.

“Awak nak suruh saya mati ya?”

“Tak nak!” Pantas Imtiyaz menjawab.

Adam tersenyum. Imtiyaz sudah menundukkan wajahnya.

***

ISHIN NADEER dan Amaya Nadiya laju berlari. Adam ketawa kuat apabila melihat anak-anaknya itu berlari seperti dikejar hantu. Beberapa minggu lagi Nadeer akan berusia tiga tahun. Nadiya pula baru menyambut hari jadinya yang kedua bulan lepas. Sekejap sahaja rasanya masa berlalu apabila melihat anak-anaknya semakin membesar. 

“Sudahlah tu. Mengah budak tu abang buat,” ujar Imtiyaz sedikit kuat apabila Adam, Nadeer dan Nadiya sudah menjauhinya. 

“Abang long dah kalah,” ucap Adam pada Nadeer. Pipi gebu Nadeer dicium bertalu-talu. Mengekek Nadeer ketawa kegeliaan. Nadiya pula menjerit-jerit minta didukung abahnya juga. 

Sesaat kemudian, Nadeer dan Nadiya sudah berada dalam dukungan Adam. Terpancar sinar bahagia dari raut Adam yang ketawa kuat apabila kedua-dua anaknya berebut mencium pipinya. Imtiyaz tersenyum. Dia bahagia juga. 

"Ibu penat-penat mengandung sembilan bulan, tiga-tiga ikut muka babah," ujar Imtiyaz apabila Adam menghampirinya. Tanpa kata, dahinya pula dicium Adam. 

Imtiyaz tersenyum. 

"Kenalah berusaha lagi lepas ni. Moga-moga dapatlah anak yang ikut muka ibu dia," balas Adam dengan sengihan. 

"Abang jangan mengada. Kita ni, anak setahun satu dah. Apa kata orang nanti." Lengan Adam dicubit geram.

Adam ketawa. Murah sungguh rezeki mereka. Nasib baiklah mereka masih ada ibu bapa yang memang sentiasa ringan tulang membantu mereka menguruskan anak-anak yang masih kecil. 

"Bangun dah?" Imtiyaz tersenyum melihat Amaya Nadine yang terlentok di atas bahu atuknya. Anak ketiganya itu sudah mula merangkak sejak beberapa hari yang lalu. Puan Hafiza pula membawa dulang berisi air kopi dan sepinggan goreng pisang. 

"Berpeluh-peluh budak-budak ni main." Tergeleng Encik Imran. Dia duduk di sebelah anaknya. Puan Hafiza duduk di sebelah menantunya. Nadiya yang memang manja dengan neneknya segera duduk di atas riba Puan Hafiza. 

"Abang long, bola...." Nadeer berlari masuk ke dalam rumah. Adam dan Imtiyaz biarkan sahaja kerana faham Nadeer ingin mengambil bolanya yang berada di dalam rumah. 

Imtiyaz kini sudah mengambil alih klinik papanya. Jadi waktu kerja Imtiyaz agak teratur berbanding dahulu. Adam pula masih dengan pekerjaannya yang lama. Dia bangga dengan pekerjaannya itu.

"Babah...." Suara Nadeer kedengaran. 

“Apa tu abang long?” soal Encik Imran. 

Nadeer yang memeluk bola segera berlari menghampiri mereka. Sekeping gambar dihulurkan pada ibunya dan menarik pula tangan Nadiya mengajak adiknya itu bermain bersamanya. Tanpa banyak soal, Nadiya menurut permintaan abangnya. 

"Mana abang long jumpa gambar?" soal Imtiyaz pada anak bujangnya tetapi langsung tidak dipedulikan Nadeer yang sudah leka bermain dengan adiknya.

“Gambar ni umi keluarkan dari album semalam. Umi ingat nak letak dalam frame. Gambar lama Im dulu,” beritahu Puan Hafiza.

Berkerut dahi Imtiyaz melihat gambar tersebut. Sudah lama dia tidak melihat gambar itu. Sejak kecil lagi, papa dan umi memang suka mengambil gambarnya. Berpuluh-puluh album gambar berada dalam koleksi mereka. Semuanya gambar-gambar Imtiyaz sejak kecil sehingga sekarang. Kini, gambar anak-anaknya pula yang memenuhi iPhone ibu bapanya. 

“Masa ni... Im kasar betul. Rambut pendek. Perangai macam budak lelaki. Papa pun tak tahu, bila di Afrika... berubah sikap Im. Tiba-tiba nak simpan rambut,” ujar Encik Imran. Punggung Nadine ditepuk perlahan. 

Imtiyaz tersenyum. Dia juga tidak tahu kenapa sikapnya berubah. Mungkin kerana dia semakin membesar. Sewaktu di Malaysia, dia lebih banyak bermain bersama dengan lelaki berbanding perempuan. Tetapi apabila di Afrika, kebanyakan kawan-kawannya adalah perempuan.

“Gambar apa tu?” soal Adam ingin tahu.

Imtiyaz menghulurkan gambar pada Adam. Berkerut dahi Adam meneliti gambar tersebut sebelum berkali-kali dia membanding orang di dalam gambar tersebut dengan isterinya kini.

“Im ke ni?”

Imtiyaz mengangguk.

“Berbeza sangat kan?” soal Imtiyaz tersengih.

“Medina?” Perlahan suara Adam.

Imtiyaz tersentak. 

“Kenapa Adam?” soal Encik Imran sedikit pelik bila melihat perubahan wajah Adam.

Adam terdiam. Imtiyaz Medina. Medina. Kenapa dia tidak pernah terfikir atau teringat akan Medina. Gadis yang dikenalinya hanya sekejap, tetapi telah menyedarkannya dalam diam. Dia bersyukur kerana gadis itu memberitahu pihak sekolah. Jika direnung kembali, jika Imtiyaz tidak melaporkan peristiwa tersebut, pasti sekarang dia bukan dirinya sekarang. Sayu dan insaf apabila melihat ibu bapanya menangis. Ayah yang sentiasa garang boleh menangis. Mungkin ayahnya tahu, salahnya juga anak-anaknya jadi begitu. Ibu juga menangis. Tahulah dia ketika itu, perbuatannya itu membuatkan ibu bapanya kecewa. Sejak hari itu, walaupun payah, ayah dan abangnya juga terus berhenti merokok. Bukan hanya dirinya, Imtiyaz juga menyelamatkan ayah dan abangnya juga. Kalaulah mereka tahu. 

“Kenal tak budak ni?” soal Adam pada Imtiyaz.

Berkerut dahi Imtiyaz. Dia sudah tidak ingat akan sesiapa sahaja di dalam gambar tersebut. Lagipun dia hanya bersekolah sekejap sahaja di sekolah tersebut sebelum papa mendapat tawaran bekerja di Afrika. Gambar tersebut diambil oleh umi sebelum dia berpindah. Rasanya umi yang mengadakan majlis perpisahan tersebut.

“Tak kenal ke?”

Imtiyaz menggeleng laju.

“Nama dia Adam. Budak lelaki yang nakal dan curi-curi hisap rokok belakang kantin sekolah,” beritahu Adam. Jelas sekali wajahnya di dalam gambar ini. Wajah kelat yang merenung tajam pada Imtiyaz. Dia juga tidak sedar bila gambar itu ditangkap.

Imtiyaz melepas pandang pada Adam sebelum merenung kembali gambar tersebut. Perlahan-lahan bibirnya terbuka.

“Abang?”

Adam ketawa. Ya Allah, kecilnya dunia ini…

“Aku sokong. Aku harap… lepas ni kita tak akan jumpa dia dah,” balas Adam.

Ya Allah, kecilnya dunia ini. Mereka berkenalan sekejap sahaja. Tetapi berpisah dengan sekumit dendam dalam diri. Namun perasaan dendam tersebut semakin lama berubah. Dia bersyukur kerana Allah masih sayangkan dirinya. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya jika dia meneruskan tabiat merokoknya dan bergaul dengan orang yang tidak dikenalinya dulu. Dia sedar orang yang menyokong dan melindungi tabiat merokoknya dulu sengaja menyeretnya ke satu dunia yang tidak membawa masa depan padanya. Kini mereka berjumpa kembali sebagai suami isteri dan perasaan tersebut sudah bertukar pada sayang. Alhamdulillah….



Terima kasih kerana sudi baca dan komen ^^






15 comments:

  1. best bangat..
    memang seindah takdir..

    ReplyDelete
  2. nice story..
    nice plot...
    ayat pown ok..

    ReplyDelete
  3. heheh...mmg xboleh nk doa mcm tu la...hr tu wktu praktikal..asyik doa je xnk terserempak ngn bos...tp mcm mne elak pn mst terserempak kalau time tu bos dtg ofis...huu

    ReplyDelete
  4. suke sgt2...hehe..wt la cerpen lagi..hehe

    ReplyDelete
  5. Best! Seronok bacer... kalau tak sebab gambar tu, Im dan Adam mesti tak ingat pasal kenangan kat sekolah tu... indahnya takdir mereka... ingatkan orang lain Adam ni sbb ada nama Jepun, rupernya org yg sama ... :-) Best, Iman!

    ReplyDelete
  6. best...banyak pengajaran...hehe

    ReplyDelete
  7. as usual sis pandai bermain ngan emosi pembace..hehhehe
    again sweet heppy ending... love it :)

    ReplyDelete
  8. so sweett...
    sgt suka bla berakhir ngan happy ending..

    ReplyDelete
  9. lovely cerpen...
    ~saza~

    ReplyDelete
  10. kali ke2 baca,.niat nak skip je. tp tak tau part mana nak skip. semua best. huhu.

    ReplyDelete
  11. assalamualaikum,
    best cita ni...

    ReplyDelete
  12. Bestlah cerite ni๐Ÿ˜Š๐Ÿ˜Š

    ReplyDelete

Back to Top