Cerpen : Sempurna dalam ketidaksempurnaan

Ditulis pada: 31 Januari 2012


“AWAK tak ada tangan?”

Sophia tersentak. Pantas dia mendongak memandang budak lelaki di sebelahnya.

“Cacat?”

“Sham!” Keras suara ibunya.

“Kenapa awak tak ada tangan?” Tidak puas hati. Sekali lagi Shamir menyoal pada budak perempuan di sebelahnya.

“Sham!” Mulut Shamir ditutup pula.

“Baru pindah sini?” soal Puan Yasmin. Dia sudah biasa dengan keadaan sebegini apabila kekurangan anak bongsunya sering ditanya. Wajah Sophia yang suram ditatap. Dia tahu Sophia bersedih. Sophia baru berusia empat tahun. Pertama kali menjejak kaki di tadika dahulu, Sophia nampak terlalu gembira. Tetapi apabila pulang ke rumah, Sophia muram. Esoknya dia tidak mahu ke sekolah.

Puan Haslin mengangguk.

“Maafkan anak saya ni.” Tangan yang masih melekap pada bibir Shamir dilepaskan. Shamir nampak tidak berpuas hati.

“Siapa nama ni?” soal Puan Haslin. Dia tahu Sophia terasa dengan kelancangan anak tunggalnya tadi.

“Sophia.”

“Saya Haslin. Kami baru pindah kat sini. Duduk hujung taman ni. Semalam Pak Kassim ajak kami sekeluarga datang. Ada kenduri sikit,” ramah Puan Haslin bercerita.

“Anak bongsu Pak Kassim dan anak sulung saya, Luth... khatam al-Quran. Jadi kami sama-sama buat kenduri ni,” beritahu Puan Yasmin pula.

“Siapa nama? Berapa umur ni?” soal Puan Yasmin pada Shamir yang masih tajam merenung tangan kanan Sophia.

“Shamir. Tahun ni darjah satu.”

Puan Yasmin mengangguk.

“Samalah dengan anak kedua saya, Lia. Tu dia....” Tunjuk Puan Yasmin pada Lia Nadia yang sejak tadi berkepit dengan abangnya. Luth Hamka pula bakal mengambil UPSR tahun ini.

“Sham tak baik tenung tangan Sophia lama-lama. Dia tak suka orang tenung tangan dia,” beritahu Puan Yasmin lembut. Takut juga Puan Haslin terasa apabila dia menegur anaknya di hadapannya.

“Sham pelik. Kenapa awak tak ada tangan?”

“Sophia dah dilahirkan macam ni,” beritahu Puan Yasmin lagi.

“Allah cipta Sophia begini. Tapi Sophia tak marah Allah.” Perlahan suara Sophia.

Terkedu Puan Yasmin dan Puan Haslin.

“Sudahlah Sham. Tak baik,” pujuk Puan Haslin.

“Tak baik sorok tangan. Allah jadikan Sophia begini sebab Allah  nampak Sophia istimewa. Allah  bagi keistimewaan ni pada Sophia. Orang lain tak ada.” Terus menarik tangan kanan Sophia dan diletakkan di atas paha.

“Maafkan saya,” ucap Puan Haslin serba salah.

Puan Yasmin tersenyum. Dia mengerti perasaan yang membelenggu Puan Haslin. Dia reda dengan ketentuan Ilahi. Bayi yang dilahirkan dari rahimnya sendiri tidak sempurna. Bayi itu hanya punya lengan sehingga paras siku. Mereka semua tergamam dengan kelahiran istimewa itu. Pada mulanya dia sukar menerimanya, tetapi suaminya yang banyak beri dorongan. Luth dan Lia juga tidak nampak kekurangan yang ada pada adiknya.

***



"BUDAK KUDUNG!" jerit Shamir sebelum ketawa galak bersama kawan-kawannya.

Sophia tersentak. Pantas dia menundukkan wajah. Langkah dicepatkan. Dia tidak sangka akan berjumpa dengan Shamir.

“Kenapa dik?” Lia menyoal. Pelik melihat perangai adiknya hari ini. Selalunya apabila balik dari sekolah, banyak sahaja cerita yang akan diceritakan oleh Sophia.

Sophia menggeleng.

“Ada orang buli ke?” soal Lia tidak berpuas hati. Dia menutup buku sekolahnya. Tahun ini dia bakal mengambil peperiksaan UPSR. Jarang dia berada di rumah kerana papa dan mamanya akan menghantarnya ke kelas tambahan. Kebetulan hari ini kelas tambahan dibatalkan. Puan Yasmin dan Encik Lufti masih tidak pulang dari kerja.

Sekali lagi Sophia menggeleng. Dia memerhatikan buku sekolahnya. Perlahan-lahan air matanya menitik.

“Kenapa ni?” soal Luth pula. Dia yang sedang bersenang-lenang di atas sofa sambil bermain PlayStation terkejut mendengar tangisan Sophia. Dia sepatutnya ke kelas tambahan pada petang ini sama seperti Lia kerana dia bakal menduduki SPM, tetapi kelasnya juga dibatalkan.

“Kenapa ni? Kak Lia buat adik ke?” Sekali lagi Luth menyoal sambil tajam matanya merenung Lia.

"Bukanlah. Adik menangis tiba-tiba." Lia menafikan.

“Kenapa dik?” soal Luth lagi. Dia mendukung Sophia. Walaupun sudah berusia sembilan tahun, tubuh Sophia kecil dan kurus sahaja. Luth pula membesar dengan badan tegap dan tinggi, sama seperti papa mereka.

Sophia menyeka air matanya. 

“Dah....” Luth memujuk. Rambut lurus Sophia diulus lembut. Semakin kuat tangisan Sophia. Dia memeluk erat leher abangnya. Dia takut. Dia malu. Sungguh besar rasanya beban yang dipikulnya selama ini. Hanya kerana kekurangannya, dia selalu dipersendakan dan dipermainkan. Dia tidak faham kenapa ini berlaku padanya sedangkan dia selalu berjanji pada papa dan mamanya yang dia akan menjadi anak yang baik. Tetapi dia masih tiada tangan. Bukan dia yang pinta lahir sebegini.

***

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.
MANIS sekali senyuman Liani Sophia. Aali Yusuff masih tidak mahu berenggang dengan emak saudaranya. Sejak keluarga Luth sampai pagi tadi, Yusuff sibuk mengekor sahaja langkah Sophia. Dulu sebelum Luth berpindah, Yusuff dijaga oleh Sophia. Selalu juga Yusuff merengek mahu berjumpa dengan Sophia. Bukan Luth sengaja berpindah ke Kuala Lumpur, tetapi sebagai seorang pegawai polis, memang dia boleh ditukar pada bila-bila masa. Nasib baik isterinya, Kasih tidak bekerja. Jadi apabila dia ditukar, tidak akan membawa masalah yang besar pada keluarga mereka.

“Bila Lia nak balik Malaysia?” soal Luth. Sudah empat tahun mereka tidak beraya bersama Lia yang kini berada di United Kingdom. Suami Lia, Amir Imran yang merupakan seorang doktor menyambung pelajar di sana. Amir Imran bakal menjadi seorang pakar bedah bila kembali ke Malaysia. Mereka juga masih tidak berpeluang berjumpa dengan kedua-dua anak Lia, Iman dan Imanda yang dilahirkan di sana.

“Entahlah Luth. Lia sendiri pun tak pasti. Dengarnya Amir kena kerja sana dulu,” balas Encik Lufti. Dia sudah berjaya menangkap Yusuff. Tembam sekali anak sulung Luth. Putih seperti ibunya. Berbeza dengan Luth yang agak gelap. Hitam manis.

“Lepaslah tokki. Yusuff nak ikut mak su." Yusuff meronta. 

“Ish, tak rindu ke tokki ke?”

“Tak!” Yusuff menggeleng.

Sophia ketawa. Dia senang hati dengan kepulangan Luth dan keluarganya. Sedih juga dia apabila Luth berpindah tahun lepas. Mama baru sahaja meninggal dunia dalam tidur. Mama pergi tanpa meninggalkan pesan. Luth pula terpaksa berpindah. Tinggal dia dan papanya sahaja di rumah. Teringat bagaimana Lia meraung apabila dimaklumkan berita kematian mama dulu. Malangnya Lia tidak dapat balik. Mama pergi secara mengejut. Semua bersedih dengan kematian mama. Raya tahun ini merupakan raya pertama tanpa mama. Persiapan yang selama ini meriah agak suram. Tiada lagi suara mama yang memerintah Sophia dan papanya mengemas rumah. Suram sekali.

“Tokki nak merajuklah,” balas Encik Lufti. Terus membuat muka.

Berkelip- kelip mata Yusuff. Tahun hadapan Yusuff bakal melangkah ke tahun satu. Kasih sudah sarat mengandung anak kedua. Jauh sungguh perbezaan usia Yusuff dan adiknya nanti. Sama seperti jarak usia Luth yang jauh berbeza dengan Lia dan Sophia.

“Eee.. atok macam papa. Mainan pun nak berebut dengan Yusuff,” balas Yusuff. Mukanya nampak tidak puas hati. Dia kembali duduk di atas riba Encik Lufti.

Luth ketawa besar. Memang dia selalu berebut mainan dengan Yusuff. Bukan itu sahaja apabila dia melihat Yusuff seronok bermain game di Ipad, sengaja dia cuba merampas Ipad tersebut. Dia sengaja mahu mengusik anaknya.

“Papa Yusuff tu tak sedar diri dah jadi orang tua. Nak berlagak macam budak kecik,” ucap Encik Lufti. Dia memeluk tubuh Yusuff yang berisi.

“Kat Kuantan pukul berapa berbuka dik?” soal Kasih.

Berkerut dahi Sophia.

“Kalau tak silap… pukul 7.13 Kak Kasih. Papa kan?”

Encik Lufti mengangguk. Segala persiapan untuk berbuka sudah disediakan Sophia. Banyak sekali juadah untuk berbuka pada hari ini. Hari terakhir bulan Ramadan.

“Macam mana sekolah dik?” Luth duduk di sebelah Sophia. Bahu adiknya dipeluk.

“Macam biasalah abang. Tapi semalam kelas Sophia ada budak baru masuk. Budak tu istimewa.”

“Istimewa?” Berkerut dahi Luth tidak faham. Dia melepas pandang Kasih yang turut mengangkat bahu. Encik Lufti hanya tersenyum. Dia faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Sophia.

“Ni.” Tunjuk Sophia pada tangan kanannya.

“Macam adik juga?” soal Luth. 

Sophia mengangguk. Terbayang wajah Umair Rifki.

“Abang terkejut sangat tu kenapa? Ramai lagi orang macam Sophia ni kan,” balas Sophia tersenyum. Dia bersandar pada bahu abangnya. Lama sudah tidak bermanja dengan Luth.

Luth tarik nafas. Dia terdiam. Bila melihat kelincahan adiknya, kadang-kadang dia lupa akan kekurangan adiknya. Sophia sudah berumur 26 tahun. Sekejap sahaja masa berlalu. Adiknya kini merupakan seorang guru di sekolah rendah. Sophia sukakan kanak-kanak. Sebab itu dia memilih mengajar budak sekolah rendah. Lagipun dia takut, dengan kekurangan yang dia ada, dia tidak mampu mengawal budak-budak di sekolah menengah.

“Adik mengajar darjah berapa?”

“Darjah satu. Budak tu lambat masuk. Dia baru berpindah dari Jepun. Mata pun sepet je,” balas Sophia. Umair memang comel. Menurut data peribadi Umair, Umair merupakan anak kacukan Jepun Melayu. Ibunya orang Jepun. Tetapi ibu bapanya sudah bercerai. Semalam bukan ayah Umair yang menghantarnya. Datuk dan nenek Umair yang menghantar si kecil itu. Pelik juga dia melihat wajah datuk dan nenek Umair kerana mereka seperti selalu dilihat. Tetapi dia lupa.

“Budak tu bertuah kan maksu,” sampuk Yusuff.

“Bertuah?” soal Encik Lufti terus. Sophia, Luth dan Kasih melepas pandang pada Yusuff.

“Dulu nenek cakap… mak su bertuah sebab tu mak su tak ada tangan. Dalam dunia ni ramai orang yang cukup sifat. Tapi tak bertuah sebab lupa dengan kesenangan yang Allah bagi. Macam mak su, mak su selalu ingat mak su tak ada tangan. Jadi mak su tak cepat lupa. Lagipun Allah sayang mak su. Bukan semua orang Allah bagi keistimewaan ni. Tapi nenek cakap…Yusuff pun bertuah juga. Sebab Allah bagi Yusuff cukup sifat. Tapi Yusuff kena selalu ingat dan tak pandang rendah orang lain. Sebab tu Yusuff tak suka kalau orang buli mak su.” Panjang sekali kata-kata Yusuff.

Masing-masing terkesima mendengar kata-kata Yusuff. Begitu sekali dia mengingati kata-kata arwah Puan Yasmin sedangkan waktu itu Yusuff masih kecil. Arwah Puan Yasmin sudah pergi setahun yang lalu.

“Banyak ya nenek cerita dengan Yusuff?” soal Encik Lufti. Dia terharu. Sophia sudah bergenang air mata. Kata- kata Yusuff sama seperti kata- kata- kata Puan Yasmin yang diingatinya dalam kotak memorinya.

Yusuff mengangguk.

“Nenek kan suka cerita. Yusuff suka.”

“Jadi nanti sesiapa buli mak su. Yusuff nak buat apa?” soal Luth sengaja menguji. Jauh dalam sudut hatinya dia berdoa hati murni anaknya tidak akan hilang begitu sahaja apabila dewasa nanti.

“Yusuff telefon polis. Papa kan polis,” jawab Yusuff pantas.

Seisi rumah tergelak.

“Betullah." Dia tidak puas hati apabila orang ketawa.

“Pandai Yusuff.” Pipi tembam Yusuff dicium.

“Tokki....” Panggil Yusuff. Dia mendongak mencari wajah atuknya.

“Apa?” Pelik Encik Lufti.

“Yusuff rindu nenek. Nenek tak sayang Yusuff ke?”

“Kenapa pula? Nenek paling sayang Yusuff tau,” balas Encik Lufti. Air matanya bergenang. Hanya Allah yang tahu betapa rindunya dia pada arwah isterinya.

***

"BUDAK KUDUNG!" Kuat sekali jeritan itu kedengaran.

Sophia tersentak. Lama sudah dia tidak mendengar ucapan tersebut. Pantas matanya tajam merenung segenap pelosok sekolah. Namun tiada bayangan orang kelihatan.

“Budak kudung!” Jeritan itu kedengaran lagi diikuti ketawa yang kuat. Waktu persekolahan sudah tamat, tetapi dia tahu masih ada pelajar yang masih belum pulang kerana mengikuti kelas tambahan atau kokurikulum.

Sophia melangkah pantas. Tajam telinganya mendengar bunyi ketawa tersebut sebelum langkahnya mati. Dia berada di belakang kantin. Beberapa pelajar yang lengkap berpakaian pendidikan jasmani berada di belakang kantin.

“Kenapa ni?” Keras suara Sophia.

Mereka berpaling. Pucat wajah masing-masing sebelum berlari pantas meninggalkan Sophia tanpa sempat ditahan. Sophia kenal mereka. Kebanyakan mereka berada dalam tahun enam. Esok dia akan berjumpa guru besar membincangkan hal ini. Gejala buli perlu dibendung dari awal supaya tidak semakin parah.

“Umair?” Terkejut Sophia.

Umair mendongak. Baju sekolahnya comot, daripada warna putih menjadi warna coklat.

“Kenapa ni?”

Umair menggeleng. Dia cuba berdiri. Matanya merah.

“Jom,” ajak Sophia.

Umair menggeleng.

“Umair nak tunggu nenek,” beritahu Umair perlahan. Loghat bahasa Jepun pekat sekali. Tetapi dia kagum kerana Umair mampu bertutur dalam bahasa Melayu walaupun masih tersangkut. Mengajar bahasa Melayu menjadikan dia sedar akan kelemahan Umair itu. Istimewanya Umair mampu mengeja dan membaca dengan lancar sekali walaupun baru darjah satu.

“Kenapa tunggu kat sini?” soal Sophia.

“Abang tu tarik Umair sampai sini.” Serak suara Umair.

Sophia mengeluh. Dia mengambil beg sekolah Umair dan terus digalas. Dia mencapai tangan kanan Umair sebelum mengajak Umair memulakan langkah menuju ke tempat menunggu bas. Lambat sungguh nenek dan datuk Umair menjemput cucu mereka ini.

“Umair okay?” risau Sophia. Dia duduk di sebelah Umair. Beberapa orang pelajar yang masih belum pulang bermain di sekitar perhentian bas. Sesekali mereka mencuri pandang tangan kiri Umair. Beberapa lama kemudian, Umair menutup tangan kirinya dengan beg sekolahnya.

Sophia tersenyum. Pantas dia mengambil beg sekolah Umair dan diletakkan di sebelahnya. Umair mendongak.

“Kenapa nak sorok? Ini keistimewaan Umair yang orang lain tak ada. Allah jadikan Umair istimewa,” beritahu Sophia.

Umair tunduk. Dia malu.

“Umair benci tangan ni,” beritahunya perlahan.

Sophia tersentak. Terkejut sebenarnya dengan pengakuan Umair itu. Sudah sebulan lebih Umair bersekolah. Tidak lama lagi cuti persekolahan akan bermula.

“Kenapa?”

“Kenapa Umair tak ada tangan? Semua orang ada tangan.”

“Betul ke?”

Umair mengangguk yakin.

“Betul?” Sophia tersenyum. Dia menepuk lembut bahu Umair.

“Tengok ni.” Tunjuk Sophia dan terus menyinsing lengan baju sebelah kanan. Mata Umair membesar. Dia terkejut.

“Cikgu?”

Sophia tersenyum.

“Bukan semua orang ada tangan. Cikgu pun macam Umair,” beritahu Sophia. Dia tidak sangka Umair tidak sedar kekurangannya. Mungkin kerana dia memakai baju kurung dan jarang menyinsing lengan baju. Dia juga sedar cikgu-cikgu yang baru masuk juga kebanyakannya tidak tahu akan kekurangan yang ada pada dirinya.

“Umair....” Nyaring suara seseorang.

Umair menoleh. Nenek dan datuk tersenyum padanya.

“Mak Cik Haslin… Pak Cik Sharif,” sapa Sophia ramah dan terus menyalami wanita itu. Encik Sharif tersenyum ramah. Sophia sudah sedia maklum dengan nama mereka kerana Umair mendaftar paling lewat.

“Cikgu Liani. Terima kasih temankan Umair. Kami baru balik dari kelas mengaji. Hari ini lambat pula habis. Takut sungguh kami tadi,” beritahu Puan Haslin. Wajahnya agak cemas terutamanya melihat baju sekolah Umair yang bertukar warna.

“Kenapa ni?” soal Encik Shari.

“Umair jatuh.”

Sophia tersenyum.

“Saya dari dulu lagi nak tanya... pak cik dan mak cik dulu pernah duduk Kuantan ke? Saya macam selalu nampak muka pak cik dan mak cik,” soal Sophia.

Puan Haslin melepas pandang suaminya. Wajah mereka nampak terkejut.

“Pernah. Lama dah… enam belas tahun yang lalu. Lepas tu kami pindah ke KL,” ucap Puan Haslin. Lama dia merenung wajah keanak-anakan Sophia. Wajah baby face.

“Dulu duduk Bukit Sekilau ke?”

Sekali lagi Puan Haslin dan Encik Sharif terkejut. Mereka sama-sama mengangguk.

“Betullah saya sangka tu....”

“Kenapa? Kenal kami ke? Maafkan mak cik. Mak cik lupa sangat dah… sebab lama sangat.”

“Saya Sophia. Anak Lufti dan Yasmin. Dulu rumah kami selang beberapa buah dari rumah mak cik. Abang saya, Luth dan kakak saya, Lia. Ingat tak?” soal Sophia.

Berkerut dahi Puan Haslin. Lama dia memerhatikan wajah Sophia sebelum pandangannya jatuh pada tangan kanan Sophia.

“Ya Allah… Sophia ke ni?” Pecah air mata Puan Haslin dan terus memeluk Sophia lama.

Sophia tersenyum dan membalas pelukan Puan Haslin. Sayu hatinya. Dia rindukan pelukan seorang ibu.
***

SHAMIR IZHAR menaha marah. Merah padam wajahnya. Dia terkejut dengan cadangan ibu bapanya.

“Mama, kenapa pilih dia?”

“Sham juga yang suruh mama carikan jodoh kan? Jadi mama dah berkenan sangat ke dia. Dari dulu lagi.”

“Tapi ma… Sham tak setuju. Sham tak mahu.”

“Kenapa?” soal Encik Sharif.

“Dia tu kudu....” Mati kata-kata Shamir. Pandangannya jatuh pada Umair yang duduk di hujung sofa. Lengan kirinya memegang Ipad manakala tangan kanannya rancak menekan skrin pada Ipad. Umair mendongak.

“Papa, kudung tu apa?” soal Umair.

Shamir tersentak. Encik Sharif dan Puan Haslin saling berpandangan.

“Mana Umair dengar perkataan tu?” soal Shamir. 

“Papa nak sebut kudung kan? Umair tahu,” balas Umair.

Shamir menggeleng laju.

“Cikgu Sophia macam Umair juga. Umair ingat Umair seorang je malang. Tapi cikgu Sophia pun sama. Tapi cikgu Sophia kata, Umair istimewa,” ucap Umair. ‘Okaa-san’ merupakan panggilan untuk ibunya yang berada di Jepun. Sekali-sekala sahaja sejak dia mula mengenal dunia, ibunya datang melawatnya.

“Siapa cakap Umair malang?” Terkejut Puan Haslin pula. Dia geram dengan kelancangan bekas menantunya. Sampai begitu sekali dia menghina Umair, walaupun Umair darah dagingnya sendiri.

“Okaa-san.”

“Umair. Pergi masuk bilik. Papa nak cakap sikit dengan nenek… atuk.”

Umair mengangguk sahaja walaupun hatinya berat untuk melangkah pergi.

“Macam mana dengan urusan tukar kerja? Boleh?” Sekarang Shamir masih lagi bekerja di Kuala Lumpur sejak berpindah dari Jepun. Tetapi Shamir sendiri tidak senang duduk di sana. Ini kerana, dia tidak boleh berenggang dengan Umair. Dia sentiasa rindukan anaknya itu. Tahun lepas Encik Sharif bersara dan kembali menetap di Kuantan. Umair juga diambil kerana takut Shamir tidak dapat menjaga Umair dengan baik walaupun sepanjang Shamir dan Umair di Jepun dulu, hanya Shamir sahaja yang menguruskan segala keperluan Umair.

“Insya Allah boleh. Memang di Kuantan kurang jurutera,” balas Shamir. Empire Construction merupakan sebuah syarikat kontraktor yang besar dan diuruskan oleh bumiputera sepenuhnya. Dia sendiri kagum dengan keupayaan Tan Sri Mahathir, pemilik Empire Construction yang mampu naik walaupun dilanda pelbagai halangan dan cubaan. Kini Empire Construction bakal diwarisi oleh anak lelaki tunggalnya, Ammar Mirza.

“Jadi macam mana dengan hal pertunangan ni? Kalau Sham setuju, mama tolong risikkan.”

Shamir mengeluh. ‘Budak kudung’. Itu gelaran yang digunakan pada jodoh yang dicadangkan oleh mamanya. Dia pegang pipi. Teringat betapa peritnya tamparan papa apabila mendapat tahu dia menghina Sophia.

“Papa tak pernah ajak anak papa hina orang macam tu sekali. Malu tau papa bila Luth beritahu tadi. Papa beri didikan agama pada Sham. Tapi sampai macam tu sekali Sham hina Sophia.” Kata-kata papanya dulu terngia-ngia di kepala. Waktu itu dia dalam darjah enam. Bila pulang dari sekolah. Bertubi- tubi soalan disoal papanya sebelum tangan papanya hinggap di muka. Papa tak pernah menamparnya. Tetapi kerana Sophia, dia dipukul. Memang dia benci Sophia. Sejak itu, dia tidak bercakap dan sering melarikan diri dari bertemu dengan Sophia.

“Sham?”

Shamir mengangguk.

“Mama dah lama sangat berkenan dengan Sophia dan mama rasa dia calon paling sesuai untuk Sham. Dia paling faham perasaan Umair sekarang,” ucap Puan Haslin.

Shamir terkedu. Ya Allah, permainan apakah yang diberi kepadanya kini? Selepas kelahiran Umair tanpa tangan kiri, Momoko mula berubah sikap. Sukar sungguh dia hendak menerima kekurangan yang ada pada Umair. Akhirnya semakin lama, sikap dingin Momoko turun menyebabkan perkahwinan yang hampir setahun dibina roboh. Momoko menyerahkan sepenuh hak penjagaan Umair kepadanya. Momoko malu dengan kekurangan yang ada pada Umair.

***

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong."

CERIA sekali wajah Umair apabila diberitahu yang dia akan keluar bersama- sama dengan Sophia ke bandar. Minggu ini dia pulang ke Kuantan. Memang setiap hujung minggu akan dihabiskan di Kuantan. Hampir sebulan dia dan Sophia bertunang. Tapi langsung dia tidak pernah bertemu dengan Sophia. Jika mengikut perancangan, dia dan Sophia akan mengikat pertunangan selama tiga bulan sebelum berkahwin. Perasaannya masih berbelah bagi sama ada ingin menerima Sophia atau tidak. Dia juga pelik kenapa Sophia menerima pertunangan ini walaupun dia selalu menghina Sophia dulu.

“Pegang tangan cikgu,” suruh Sophia. Risau melihat Umair yang nampak agresif hari ini. Dia juga gembira dapat keluar dengan Umair tetapi tidak begitu menyenangi kewujudan Shamir yang hanya diam membisu sejak tadi. Hanya dan Umair sahaja yang banyak bercakap. Dia tidak sangka Umair agak petah. Sama seperti Yusuff.

“Jom beli baju,” ajak Shamir.

Umair melonjak kegirangan.

“Jap. Jangan laju sangat. Kita lintas jalan. Banyak kereta ni.” Risau Shamir.

Sophia menggenggam kuat tangan Umair.

“Tepi Umair,” suruh Shamir yang terkejut bila seorang buta dan bertongkat muncul di sebelahnya. Lelaki itu turut mahu melintas jalan tetapi langkahnya dihalang Umair yang berdiri di hadapan.

“Awak ni kenapa?” Terkejut Sophia dengan sikap tidak mengambil peduli Shamir.

“Kenapa?" Shahmir buat muka tiada perasaan. 

“Pegang Umair,” suruh Sophia. Pantas dia memegang lengan lelaki yang kebetulan memakai baju lengan panjang.

“Jap pak cik. Kereta banyak,” ucap Sophia risau.

“Terima kasih nak.”

“Jom,” ajak Sophia terus melangkah. Lelaki itu mengikut diikuti Shamir dan Umair.

“Nak pura-pura baiklah tu,” ucap Shamir perlahan tapi jelas dalam pendengaran Sophia.

“Saya tak ada tangan je. Telinga saya tak pekak lagi.”

“Awak cakap apa?” soal Shamir dengan wajah tanpa perasaan. 

Lelaki tua itu sudah melangkah pergi jauh di hadapan. Umair kembali berjalan di sebelah Sophia. Sophia memegang tangan Umair.

“Bersuluh minta api, sudah gaharu cendana pula.”

Shamir tergelak.

“Saya tahu awak cikgu BM. Tak payah nak berperibahasa dengan saya,” ucapnya.

Sophia tarik sengih. Tidak ikhlas.

“Papa sepatutnya kita tolong pak cik tadi. Dia kan buta. Papa ada mata. Macam papa selalu tolong ambilkan barang untuk Umair sebab Umair ada satu tangan je,” ujar Umair.

Shamir terkesima.

“Tapi lepas ni.. Umair nak belajar buat semua benda sendiri tau,” sambung Umair lagi.

“Siapa ajar Umair ni?” Terus dia menjeling Sophia tajam.

“Nenek. Nenek cakap… nanti kalau nenek dan atuk tak ada. Umair boleh buat semua benda sendiri. Umair hanya tak ada satu tangan. Orang lain ada yang tak ada dua tangan. Tak ada kaki. Lagi kesian papa,” jawab Umair.

Shamir terdiam.

“Jom,” ajak Sophia. Mereka sudah berada dalam Parkson. East Coast Mall yang terletak betul-betul di tengah bandar Kuantan menjadi tumpuan ramai setiap kali tibanya hujung minggu.

“Tengok. Dia lagi kesian dari Umair kan papa?” Terus Umair menunjukkan seseorang yang berada di atas kerusi roda.

Shamir terkedu lagi. Orang itu tidak punya kaki.

“Sudah Umair. Tak baik tunjuk orang macam tu,” ucap Sophia separuh berbisik.

“Nak?” soal Sophia. Rambang juga matanya. Dia juga mahu mencari baju untuk Yusuff.

Umair mengangguk.

“Saiz M ya kak,” pinta Sophia pada salesgirl yang setia menanti Sophia dan Umair memilih baju.

“Kenapa tak cari lengan panjang je?” soal Shamir.

“Kenapa pulak? Panaslah,” bangkang Sophia. Baju kemeja tadi dihulur pada Shamir.

“Papa suruh Umair pakai baju lengan panjang… sebab tak mahu tunjuk tangan Umair,” beritahu Umair laju.

Shamir terkejut. Dia tidak sangka Umair tahu. Memang selama ini dia membelikan Umair hanya baju lengan panjang.

“Umair reti cuba baju kan? Pergi masuk,” suruh Sophia terus menarik baju kemeja tadi dari Shamir dan diserahkan kepada Umair. 

Umair melangkah masuk.

“Awak ni kenapa?”

“Kenapa apa?”

“Awak tahu tak awak dah buat apa?” Terus menarik lengan baju supaya Shamir mengikutnya. Jauh sedikit dari bilik persalinan. Dia risau Umair mendengar perbualan mereka. 

“Apa saya dah buat?” Pelik bila Sophia tiba-tiba meradang.

“Awak dah pandang rendah pada anak awak sendiri tau. Dari tadi lagi saya tengok… Awak seperti tak bersyukur dengan apa yang Allah bagi pada awak. Walaupun Umair kurang. Walaupun awak tak beritahu Umair apa yang awak rasa, Umair rasa awak malu dengan kekurangan dia. Awak dah lukakan hati anak awak tanpa sedar. Patutlah bila saya nak singsing baju Umair tadi, dia tak bagi. Rupanya dia tahu apa yang awak nak. Dia tak mahu awak malu. Awak malu ke keluar dengan Umair kalau dia tunjuk tangan dia?”

Shamir diam. Diam membisu. Malu?

“Pa… boleh Umair beli baju ni? Umair tak pernah ada baju lengan pendek. Baju sekolah Umair je lengan pendek,” ucap Umair apabila dia keluar dari bilik persalinan. Wajahnya girang. Comel sekali Umair dengan baju pilihan Sophia. Baju kotak- kotak berwarna biru muda.

Shamir hampir terduduk. Matanya merah.

***

“TERIMA KASIH, bawa saya keluar dengan Umair hari ni,” ucap Sophia. Dia memangku Umair yang sudah nyenyak tidur. Letih sungguh Umair. Selepas puas berada di dalam East Coast Mall, dia membawa Umair dan Sophia ke Pantai Teluk Cempedak. Mereka singgah juga ke masjid untuk sembahyang asar.

“Maafkan saya. Saya ter'marah' awak tadi.”

Shamir menggeleng.

“Patutnya saya ucapkan terima kasih pada awak,” ucap Shamir. Nasib baik jalan tidak terlalu sibuk. Tapi dia tetap menuruskan pemanduannya dengan berhati- hati.

“Kenapa?”

“Awak dah buka mata saya.” Dia melepas pandang pada Umair yang memakai t-shirt Teluk Cempedak lengan pendek. Tadi Umair berkeras mahu membeli baju itu dan terus menukarnya.

Sophia tersenyum.

“Awak tak pernah dendam pada saya?”

“Dendam?” Berkerut dahi Sophia tidak faham.

“Saya selalu hina awak.” Perlahan kata-katanya.

“Dah lama pun Sham. Buat apa nak berdendam. Buat menambahkan rasa sakit hati pada diri saya. Saya bersyukur kerana keluarga saya menerima segala kekurangan yang ada pada diri saya. Lagipun saya yakin dengan diri saya sebab mereka. Saya kadang-kadang tak pernah merasakan diri saya kurang. Saya cuma kurang sikit sahaja. Sama macam Umair,” ucapnya.

Shamir diam.

“Terima kasih. Awak sempurna dalam ketidaksempurnaan,” balasnya setelah lama berdiam diri.

Sophia terkejut. Pertama kali dia mendengar kata-kata itu. Dia melepas pandang pada Shamir yang khusyuk memandang jalan. Langsung tidak menoleh.

Shamir tahu Sophia memandangnya. Dia dapat melihat dari ekor matanya. Hatinya yakin kini dengan pilihan kedua ibu bapanya. Dia yakin kini, Sophia wanita paling sesuai menjadi ibu pada anaknya dan bakal anak-anaknya nanti. Dia lelaki yang paling bertuah kerana dipertemukan dengan Sophia. Dia tidak tahu kenapa dulu dia terlalu buta dan ego untuk menerima kekurangan yang ada pada diri Sophia sedangkan Sophia juga manusia biasa. Manusia yang dijadikan Allah sama sepertinya. Dia dilahirkan dengan sifat yang cukup sepatutnya tidak bongkak dan sombong dengan kelebihan yang ada. Kenapa boleh dia menghina Sophia? Sedangkan penghinaan yang diberikan pada Sophia sama seperti dia menghina ciptaan Allah. Astagfirullahalazim…

Tidak ada orang lain yang membuat kita bahagia, kecuali kita membuka diri dan membuat kesempatan itu.

terima kasih kerana membaca (:







10 comments:

  1. suke cerpen ni...pngajaran sarat walaupun part2 sweet2 u tader...besh!!

    ReplyDelete
  2. byk pengajaran bleh dpt dr cerpen nie..best2..

    ReplyDelete
  3. sarat dgn pengajaran..
    nice!! :)

    ReplyDelete
  4. tak semua org sempurna bila dilahirkan :)
    nice story...

    ReplyDelete
  5. Jalan cerita yang ringkas tapi amat berkesan tahniah:-)

    ReplyDelete
  6. wuhhh...nice giler cepen ni..best..like2

    syah

    ReplyDelete
  7. suke bace cerpen nie... thumbs up la~

    ReplyDelete
  8. Ammar Mirza pun ada walaupun sekadar nama...ni yang rindu nak baca Cinta Tak Terucap lagi:)
    Nice story...full of meaning *thumbs up*

    ReplyDelete
  9. Banyak pengajaran.Rasa Ada kesilapan. Obaachan nenek dalam bahasa jepun. Okaasan baru mak atau ibu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe. Terima kasih sebab beritahu. Dah tukar :)

      Delete

Back to Top