Cerpen : Terleka


Ditulis pada: 26 Mei 2012


MUIZZ HAIQAL tersenyum melihat telatah Saif Khalish yang laju berlari cuba mengejar bola yang baru disepaknya tadi. Dia kembali duduk. Saif kembali bermain bersama kakaknya yang terjerit- jerit meminta bola disepak kepadanya. Dia tersenyum lagi. Safiya Airis sudah berusia tujuh tahun. Saif pula bakal berusia dua tahun. Kedua- dua mereka sama comel dan saling tidak tumpah seperti ayah mereka, Saiful. 

“Kau bila lagi?” soal Saiful bila melihat kawan baiknya jauh termenung memerhatikan telatah anak- anaknya. 

“Bila apa?” 

“La…. Sampai bila kau nak membujang ni?” 

Muizz tarik sengih. Soalan sama yang turut dilontarkan oleh kedua ibu bapanya. Hanya dia yang masih tidak berkahwin. Kesemua adik beradiknya sudah bahagia dengan keluarga masing- masing. Bila tiba hari raya, hanya dia sahaja pulang berseorangan. Kalau dulu sebelum Saiful berkahwin, dia punya juga kawan untuk diajak melepak. Tapi kini hampir kesemua kawan- kawannya sudah bahagia. 

“Muizz tu nak tunggu puteri bunian,” sampuk Balqis yang muncul sambil menatang dulang. Saiful pantas berdiri bila nampak kelibat isterinya. Risau sebenarnya. Balqis kini sudah sarat. Bila- bila masa sahaja akan meletup. 

“Puteri bunian pun tak nak saya Qis. Agaknya bila tengok kelibat saya, lari lintang pukang,” terus Muizz tergelak dengan lawaknya sendiri. 

Balqis tersenyum dan duduk di sisi suaminya selepas mengatur cawan di hadapan kedua- dua mereka. Muizz juga sahabatnya. Mereka belajar di universiti yang sama. Pahit manis diharungi bersama. Panjang juga jodohnya dengan suaminya. 

“Kau nak tunggu apa lagi ni Iz? Kau tu semua dah ada sekarang. Kereta. Rumah. Kerja pun bagus. Badan sihat. Segala pakej kau ni… memang dah patut masuk meminang anak orang. Kau nak tunggu siapa lagi?” 

Muizz mengeluh sebelum tersenyum sahaja. Dia sendiri tidak pasti. Beberapa kali ibu bapanya menawarkan diri untuk mencari jodoh. Tetapi entah kenapa, hatinya tertutup. Dia langsung tidak berminat. Mungkin ini pembalasan yang diterimanya kini. Dulu dia terlalu alpa dengan dunia. Dia lupa dia masih punya masa depan yang perlu dilalui. 

“Sudahlah kenang masa lalu tu Iz. Kau tu dah 34 tahun. Sama baya dengan aku. Aku pun dah ada anak dua orang. Bakal tiga orang. Kau patutnya sudah bahagia macam aku sekarang,” nasihat Saiful lagi. Sebenarnya dia kasihan dengan nasib menimpa sahabat baiknya. Berpuluh nasihat diberi, tapi hati Muizz seakan tertutup. 

Diaorang semua pun dah kahwin. Kau tu Iz…. terima sahajalah jodoh mak dan ayah kau tu,” pujuk Balqis pula. 

Muizz melepas pandang pada Safiya dan Saif. Dia mengeluh. Dia juga teringin punya anak secomel mereka berdua. Terbayang pula mereka. Dia mengeluh. Beribu perasaan bermain di dalam hati. 

***

IRDINA tersenyum lebar menerima SMS daripada kekasih hati. Mereka berkenalan sejak sekolah lagi. Kemudian mereka mendapat tawaran belajar di kedua tempat yang berbeza. Walaupun sedih, tetapi dia tahu Muizz setia. Muizz tidak pernah lupa padanya walaupun hanya satu sahaja SMS diberi. 

“Sengih… bahagialah tu,” sengaja Farhani menyakat teman sebiliknya. 

Irdina tarik sengih. 

“Semalam merajuk. Bising- bising sebab Muizz senyap membisu. Bila dapat called, sengih lebar semacam. Macam aku tak kenal kau,” sambung Farhani. 

Irdina hanya tersenyum. Resah hatinya kembali hilang bila Muizz memberitahu yang dia sibuk dengan jadual hariannya sebagai kapten bola keranjang. Terpaksa berlatih tiap petang kerana perlawanan semakin dekat. Dia kena faham kerana dia juga pelajar seperti Muizz. 

***

NURAIN melemparkan senyuman bila melihat kereta Muizz memasuki kawasan asramanya. Seperti biasa Muizz akan datang mengambilnya selepas habis berlatih. Kadang- kadang dia juga mengikut Muizz bermain bola keranjang. Tetapi jarang kerana selalunya Muizz akan berlatih bersama kawan- kawannya. Dia juga segan bila kebanyakan kawan- kawan Muizz adalah lelaki. 

“Lambat sampai?” 

Muizz tersenyum. Dia penat sebenarnya. Tetapi janji tetap janji. Risau melihat muncung Nurain bila permintaan ditolak. 

“Bawa tak barang yang Ain nak tu?” soal Nurain terus bila masuk ke dalam kereta. 

“Barang apa?” berkerut dahi Muizz. 

“Ala…. Ain nak nota yang Iz pinjam dulu. Lupa ke? Ain nak buat assignment. Tadi kan Ain dah SMS Iz,” jawabnya. Dia tahu Muizz pasti tidak membawa buku nota tersebut bila melihat kerutan pada dahi Muizz. 

“Sorry sayang. Iz tak perasan SMS tu. Iz tinggal telefon dalam bilik masa pergi training tadi. Lagipun Iz tengah charge telefon tu,” balasnya. Dia tersenyum panjang. 

“Tak apalah. Esok jangan lupa bawa.” 

Muizz mengangguk laju. 

“Promise!” tangan kanan diangkat tinggi seperti mengangkat sumpah. 

Nurain tersenyum. 

“Minggu depan… Iz balik kampung.” 

“Balik kampung?” 

Muizz mengangguk. 

“Kenapa?” 

“Saja. Lama dah tak balik kampung.” 

Nurain mengeluh. 

“Minggu lepas pergi KL. Minggu ni balik kampung. Selalu sangat pergi jauh,” panjang muncung Nurain. 

“Biasalah… Lagipun Iz kan dah lama tak balik kampung.” 

Segera Muizz menguatkan suara pada radio. Dia tidak mahu topik perbualan tadi dipanjangkan. Dia sendiri rasa berdosa dengan perbuatannya. 
***

NURAIN melepaskan keluhan. Pelik. Geram dengan sikap sambil lewa Muizz. Susah sungguh hendak dihubungi. Entah apa yang dilakukan lelaki itu. Sibuk mengalahkan Perdana Menteri. Kenapa susah sangat telefon hendak diangkat. Berjam dia cuba mendail nombor yang sama. Berpuluh SMS dihantar. Satu pun tidak dibalas. Semakin lama, dia boleh gila dengan sikap Muizz ini. 

***

MUIZZ tersenyum sahaja. Sesekali dia menggaru kepala yang tak gatal. Runsing bila merasakan getaran dari poket seluar yang tidak berhenti bergetar. Risau jika Irdina sedar akan getaran tersebut. Irdina ketawa sahaja dengan aksi comel Chipmunk. 

“Dina… Iz pergi toilet jap. Sejuk sangat panggung,” ucapnya. 

Irdina hanya mengangguk. 

Sayang. Sorry. Iz tolong mak kat dapur. 
Skrg nak bw adik pergi kedai buku. Nnti mlm Iz called. 

Tangan dibasuh. Muka dibasuh. Dia menunggu balasan SMS dari Nurain. Tetapi hampir sepuluh minit menunggu, langsung tiada tanda- tanda Nurain akan membalasnya. Dia mengeluh. Dia tahu Nurain merajuk. Susah sungguh. 

***

“Nombor baru ke?” soal Saiful perlahan bila melihat Muizz yang bermain dengan telefonnya. 

Muizz mengangguk. 

“Satu ni khas untuk Dina,” ucapnya. 

Saiful mengeluh. Dia terbayang pula wajah Nurain. Kesian. 

“Kenapa tiba- tiba ada nombor khas? Kantoi ke?” 

Muizz mengangguk. 

“Hampir kantoi. Lagipun setiap kali aku bergayut dengan Dina. Tiba- tiba Ain called. Selalu sangat called waiting. Ain dah syak sesuatu,” balasnya. 

Saiful mengangguk sahaja. Memang patut Nurain mengesyaki sesuatu. 

“Eh, kau ada nombor Mira tak?” 

“Mira?” berkerut dahi Saiful. Mira merupakan kawan baik kekasihnya, Balqis. Baru minggu lepas Mira datang melawat Balqis. Jadi mereka keluar bersama. Mira memang comel ditambah pula gadis itu mudah mesra dengan semua orang. 

“La… kau ni. Mira. Kawan Balqis.” 

“Kau nak buat apa?” 

“Aku nak test nombor baru aku ni. Saja nak kacau dia,” balasnya. 

“Kau ni tak ada kerja sangat ke?” 

Muizz tersengih. Dia suka dengan sikap ramah Mira. 

“Cukup- cukuplah Iz. Kau nak Mira masuk perangkap kau ke?” 

“Ish kau ni… Macamlah aku jahat sangat. Aku cuma nak main- main je.” 

“Kau ingat, mempermainkan hati perempuan ni. Baik sangat ke?” 

“La…. kau jangan nak bersyarah pulak,” mencuka wajah Muizz. Terus merampas telefon Saiful. Senang hati kerana kini dia sudah mempunyai dua telefon. Dua nombor. Jadi Nurain atau Irdina mungkin tidak akan menghidu aktivitinya. 

“Sampai bila kau nak macam ni Iz?” 

“Maksud kau?” dia sudah menghantar satu SMS kepada Mira. Dia menunggu sahaja balasan dari Mira. Dia tahu Mira masih belum berpunya. Mira juga tahu dia sudah mempunyai Nurain. Tetapi Mira masih melayannya seperti biasa. 

“Curang.” 

Muizz ketawa. 

“Cara kau cakap, macam aku ni kasanova.” 

Saiful mengeluh. 

“Aku kenal kau sejak kecil Iz. Cukuplah seorang perempuan permainkan hati kau dulu. Tak payah kau nak balas dendam sekarang. Banyak dah hati kau beri harapan. Tapi harapan tak pasti.” 

“Nanti aku dah kahwin…. aku setia lah.” 

“Kau nak tunggu kahwin? Kau nak pilih mana satu? Cuba cakap dengan aku… Irdina? Ain? Ni… Mira pulak? Kau nak pilih yang mana. Ni tak masuk lagi budak- budak bola keranjang yang kau layan tu…” 

“Ala… lelaki boleh kahwin empat. Aku susunlah nanti,” ucap Muizz bergurau. Hatinya sudah berbunga bila Mira membalas SMSnya tadi. 

“Kau kena ingat sikit Iz. Lelaki ni berat tanggungjawab dia. Sekarang kau happy. Sebagai sahabat dunia akhirat kau, aku tak mahu kau menangis kat akhirat nanti. Kau bertanggungjawab pada ibu kau, adik-beradik perempuan kau, anak- anak perempuan kau…. dan isteri- isteri kau. Kalau kau kahwin empat. Sanggup kau pikul semua tanggungjawab tu nanti? Sanggup ke? Aku takut kau humban sekali mereka dalam neraka. Dunia memang indah Iz. Semua perbuatan kau tu…. kau fikirlah akibatnya. Kalau kau mampu zahir dan batin sekalipun, kau yakin, kau mampu pimpin mereka ke jalan yang betul? Besar sangat tanggungjawab tu…. sebab tu bukan senang kahwin ni.” 

Muizz berdengus. 

“Aku keluar dululah. Aku ada janji dengan Ain. Nanti dia merajuk,” ucapnya terus dan terus menyarung baju. Telefon barunya diletak di atas meja. Nurain tidak boleh tahu dia punya dua nombor. Kalau dulu dia sendiri mengingatkan Nurain supaya tidak mempunyai dua nombor. 

***


"PAK CIK Iz, jom main,” ajak Saif. Pelat sekali Saif bila bercakap. 

Muizz tersentak sebelum dia cepat sahaja melemparkan senyuman pada Saif. Segera dia mengangkat Saif dan diletakkan di atas pangkuannya. Pipi tembam Saif dicium beberapa kali. 

“Jom ikut pak cik Iz balik rumah nak? 

Pantas Saif mengangguk. Muizz hanya ketawa. Safiya juga sudah melabuh punggung di sisinya. Dia memang sukakan kanak- kanak. Sebab itu Safiya dan Saif mudah sahaja rapat dengannya. 

“Nanti bila besar, Saif jangan jadi playboy. Nanti ALLAH marah. Berdosa besar tau mempermainkan perasaan perempuan ni.” 

Berkerut dahi Saif. Saiful dan Balqis hanya menggeleng kepala. Mereka faham, Muizz menyesal dengan segala perbuatannya. Dulu Muizz cuba untuk mengejar semuanya. Semuanya mahu disimpan di dalam poket. Tapi akhirnya tanpa sedar poket itu koyak. Habis semuanya hilang tanpa disedari. 

“Saya sayang awak. Tapi saya tak sangka awak curang. Awak penipu. Awak penipu. Awak penipu. Awak penipu saya hidup- hidup. Saya doakan ALLAH balas segala perbuatan jahat awak tu!” jerit Irdina bila mereka berjumpa selepas Irdina menjumpai gambar dia Nurain di dalam Facebook. Dia sendiri pelik bagaimana Irdina menjumpai gambar itu sedangkan dia sudah private segala yang boleh dilihat di dalam Facebook termasuklah wall dan gambarnya yang ditag. Dia juga selalu menyuruh Nurain supaya tidak memuat turun gambar mereka berdua di dalam Facebook. Kononnya dia tidak suka hal peribadi mereka menjadi tatapan umum. 

Bye 

SMS terakhir dari Nurain bila Irdina pula menghantar segala gambar- gambar dia dan Irdina kepada Nurain melalui email. Sekejap sahaja semuanya terbongkar. Tapi waktu itu dia sedang bahagia. Mira sudah muncul dalam hidupnya. Sekurang- kurangnya bila Irdina dan Nurain pergi, Mira masih mampu membahagiakannya. 

Muizz mengeluh. Dia menyangka panas sampai ke petang, tetapi hujan di tengah hari. Hubungan dia dan Mira juga tidak bertahan lama bila dia mula memanjangkan langkah pada orang lain yang mengetuk pintu hatinya walaupun pada masa yang sama dia masih lagi mencari Irdina dan Nurain. Hinanya dia waktu itu. Dia bingung kenapa dia boleh bertindak sedemikian rupa. Sesungguhnya ALLAH memerhatikan sahaja tindakannya. Doa dan doa dari mereka yang teraniaya kerana perbuatannya terasa pembalasan oleh ALLAH di atas muka bumi ini. Dia bukan tidak sayang mereka. Tapi dia terasa kekosongan. Bila dia rasa kosong, dia merasakan perlu diisi segera. 

Wanita itu bukan untuk disakiti hatinya, tetapi untuk dicintai dengan redha ALLAH




13 comments:

  1. best ..da habis ke @ad sambungan..xpuasla nak baca..nak tw sapa yang akhir ye jodoh muizz

    ReplyDelete
  2. iman..sambung lagi la

    ReplyDelete
  3. best...
    tp mcm trgntng lak...
    smbng please...

    ReplyDelete
  4. wush.pengajaran sarat neh. share dkt wall fb org laki mmg kena atas hidung. hakhak.

    ReplyDelete
  5. a.aa la best sgt...nnt sambung cite ni...tp mcm lame je nk sambung kan...tp xpe....kami sggup tggu...bukan x knl kak imani ni..mmg sibuk orgnyer...tahun akhirkan kt usm tu....

    ReplyDelete
  6. best nye... tlg la sambung cte ni,sy nk th ending muiz 2 mcmane... pliz........ merayu sgt2 ni kak imani ku syg... (amerdila)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yer... Encik Amerdila nak ending macam mana?

      Sad ending?
      Happy ending?

      Delete
  7. cerita menarik . bila nak sambung kak ? tak sabar dah nk baca kisah selanjutnya :)

    ReplyDelete
  8. sis imani nih cerpen ke e-novel ??? hehehe
    ape2 pon bez la cerita nye... zara suke giler..hahhaha

    ReplyDelete
  9. igt cerpen baru,. haha. baca kali ke2 pun still xmenghampakan story neh. thumbs up to u kak imani. =)

    ReplyDelete
  10. Mcm kisah sy dgn ex..cinta jarak jauh nun di penang sane..last2 kantoi jgk. papepon story awk ni mmg best..keep it up! ^^

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum. Akak/adik. Izinkan saya ambil ayat-ayat-gambar kat atas tu ya? Terima kasih :)

    ReplyDelete

Back to Top