Cerpen : Kerna Orkid

Ditulis pada : 27 Ogos 2012




31 Ogos 1990 

Dialah wanita itu
Dialah penyeri hidup ku
Kehidupan ku indah kerana dia

“OPAH, kenapa ni? Sakit?” Bergegas Rafique menjerit memanggil adik-adiknnya, Hazique dan Taufique yang sejak tadi terpegun di hadapan TV. Ralik sungguh adik-adiknya menonton rancangan Kembara ke Eropah. 

“Kenapa?” Terkejut mereka berdua dan terus menerpa pada opah mereka yang sejak tadi duduk sahaja di atas kerusi rotan yang dibuat khas. Opahnya sudah terlalu uzur. 

“Opah sakit?” soal Taufique. 

“Kenapa opah menangis?” Air mata diseka dengan lengan baju Rafique.

“Hazique panggil mama, papa,” beritahu Hazique terus berlari ke dalam bilik.
               
***


2 JANUARI 1942 

MERAH mata Tajuddin menahan tangis melihat Orkid yang nampak tenang menyusukan Iskandar. Rambut coklat Iskandar yang bergulung dimainkan dengan jari. Hatinya dibuai sayu. Isterinya, Zakiah hanya mendiamkan diri. Mereka kagum dengan ketenangan yang dimiliki Orkid.

“Sudahlah ayah.”

Tajuddin menyeka air mata yang kembali mengalir. Zakiah sudah merah matanya. Dia jadi sayu setiap kali melihat suaminya menangis. Lelaki yang selama ini gagah pada matanya tunduk pada ketentuan Ilahi dengan nasib anak tunggal mereka. 

“Maafkan ayah, Orkid. Ayah yang salah. Kalau tidak… kau tidak begini,” ujar Tajuddin. Sudah beberapa kali kata maaf dihulur ayahnya. Orkid tidak pernah salahkan ayahnya. Dia juga tidak pernah menyalahkan emaknya. Semuanya takdir Ilahi. Dia tidak pernah menyesal melahirkan Iskandar Walker bin Abdul Rahman Walker. Bayi comel bermata biru dan berambut coklat. 

“Macam mana dengan nasib kita ni?” soal Zakiah. Dia risau. Jepun sudah menduduki Tanah Melayu. Kebanyakan penduduk kampung sudah membawa diri masuk ke dalam hutan. Keganasan Jepun pada penduduk Tanah Melayu mulai tersebar apabila mereka dibunuh sesuka hati tanpa belas kasihan. 

“Aku tak tahu.”

“Ayah. Orkid risau Jepun akan tangkap ayah.”

“Aku pun risau.” Air mata diseka. Dia tidak pernah malu menangis di hadapan anak dan isterinya. Dia rasa amat menyesal kerana dahulu dia tamak. Dia tamak pada harta sehingga sanggup menyerahkan anak sendiri dan orang kampung menganggap dia menjual anak! 

“Kita lari masuk hutan?” 

Tajuddin menggeleng. Dia tahu bahaya lebih besar jika mereka masuk hutan. Lagipun anaknya baru sahaja melahirkan Iskandar. Dia risau juga dengan keselamatan bayi itu walaupun kehadiran bayi comel itu tidak diterima sepenuh hatinya. Dalam usia 35 tahun, dia sudah punya cucu dan anak tunggalnya yang baru berusia 15 tahun sudah bergelar ibu. 

“Macam mana? Aku dengar Jepun ambil anak dara.”

“Bukan setakat anak dara. Aku takut kau pun dia larikan. Lepas dapat kau dan Orkid. Orang Jepun bunuh aku dan Iskandar,” beritahu Tajuddin. Itu yang dia risaukan. 

“Rumah ni besar ayah. Lagipun kalau Jepun tahu kita berhubung dengan orang Inggeris. Orkid takut.” Bergegar tubuh Orkid memeluk Iskandar. Mata bulat itu hanya memandang wajah ibunya. Sejak kelahiran Iskandar bulan lepas, bayi itu tidak banyak ragamnya. Iskandar hanya akan menangis apabila lapar sahaja. 

Tajuddin membatu. Rumahnya memang besar. Rumah ini bukan rumah miliknya. Mereka hanya menumpang selepas Orkid berkahwin. Dia masih dengan kerja lamanya walaupun menetap di rumah ini iaitu sebagai pemandu. Kelebihan dia memandu dan bercakap dalam bahasa Inggeris, walaupun tidak lancar membuatkan dia punya kelebihan sewaktu pendudukan British dahulu. 

“Orang kampung kita bodoh! Mereka sokong propaganda Jepun kononnya nak bebaskan Tanah Melayu sewaktu British memerintah dulu. Tengoklah apa yang berlaku sekarang? Jepun lagi jahat dari orang Inggeris.” Merah padam muka Tajuddin. 

Orkid mengangguk. Dia mengakui kata-kata ayahnya. 

“Aku hantar kau bertiga pergi Banting,” putus Tajuddin.

Zakiah geleng kepala.

“Jangan bantah aku kata. Ini untuk kebaikan kau bertiga. Walaupun orang Jepun hanya berlaku jahat pada orang Cina, tapi aku risaukan keselamatan kau bertiga. Iskandar bayi lagi.”

“Biar kita bersama.”

“Orkid takut dalam perjalanan ke Banting. Kami ditangkap.” 

Tajuddin garu kepala. Kusut. 

“Baiklah. Kau bawa Orkid dan Iskandar masuk dalam bilik bawah tanah. Nanti keadaan dah kembali tenang, barulah keluar. Aku akan tutup laluan ke bilik tu nanti. Segala-galanya akan selamat jika kita berhati-hati.”

“Ayah bagaimana?”

“Aku akan berpura-pura baik dengan orang Jepun,” putus Tajuddin. 

“Bahaya tak nanti?”

Tajuddin mengeluh. Dia sendiri tidak pasti dengan keputusannya. Lama pandangannya mata pada Iskandar yang kemerahan. Dia mengeluh lagi. Dia perlu melakukan apa sahaja, demi menyelamatkan mereka bertiga. 

***

12 SEPTEMBER 1945 

“LANGIT,” beritahu Tajuddin. Dia mendukung tubuh kecil Iskandar yang kurus. 

“Langit?” Sepet jadinya mata Iskandar apabila matanya merenung lama langit yang membiru.

Orkid tarik nafas dalam-dalam. Hampir empat tahun dia dan Iskandar terkurung. Dia tidak pernah membawa Iskandar melangkah keluar daripada bilik kecil itu. Semuanya dilakukan di dalam bilik tersebut termasuklah membuang air besar. Orkid terduduk mencium tanah. Dia rindu bau tanah. Dia rindu bau udara. Dia rindukan kehijauan. Dia rindukan bunyi burung berkicauan. Dia rindukan segala-galanya yang terbatas daripada pancainderanya dulu. 

“Itu langit,” beritahu Tajuddin lagi. Pipi cengkung itu dicium beberapa kali sebelum menarik anaknya supaya berdiri. Orkid juga kurus sehinggakan dia boleh merasa tulang pada lengan Orkid. Air matanya menitik. Isterinya sudah kembali menghadap Ilahi dua tahun yang lepas. Dia tidak pasti penyakit yang dihidapi isterinya. Hampir sebulan Orkid dan Iskandar tinggal bersama mayat isterinya yang mereput dan membusuk. Dia tidak tahu isterinya sudah meninggal dunia. Dia hanya akan berjumpa dengan mereka sebulan sekali. Dia risau orang Jepun menyedari kegiatannya kerana kedudukan bilik bawah tanah tersebut bukanlah di dalam rumah tetapi di luar rumah. 

“Ini rumput,” tunjuk Tajuddin lagi pada rumput yang tumbuh tinggi di halaman rumah.

“Ayah.” Tubuh ayahnya dipeluk kuat. 

“Kita dah bebas. Jepun sudah menyerah kalah.” Bergenang air mata Tajuddin. 

“Kenapa dengan kaki ayah?” 

Berkerut dahi Orkid melihat sebelah kaki ayahnya yang tiada. Ayahnya berpaut pada tongkat kayu. Kenapa dia tak pernah menyedarinya sebelum ini?

“Orang Jepun potong.”

“Bila?”

“Tahun lepas.”

“Kenapa ayah tak beritahu Orkid? Kenapa Orkid tak perasan?” Merah padam muka Orkid terus memeluk tubuh ayahnya lagi. 

“Mereka tanya aku tentang Rahman. Aku tak tahu,” jawabnya. Memang selepas kakinya dipotong, dia tidak pernah lagi melangkah masuk ke dalam bilik bawah tanah kerana takut Orkid menyedari keadaannya. Dia tidak mahu anaknya risau.

“Maafkan Orkid, ayah.” Air matanya menitik. 

“Tak. Semuanya salah ayah sebab bersetuju dengan permintaan Rahman.” 

Orkid meraung. Dia tiba-tiba membenci lelaki itu. 

***


EDWARD ROBERT WALKER tersenyum melihat wajah merah padam Orkid apabila sejak tadi dia merenung gadis itu. Dia tahu Orkid malu apabila segala perlakuan dia dan ibunya diperhatikan. Dia sengaja duduk di dapur apabila mengetahui isteri dan anak Tajuddin datang untuk memasak makanan tengah hari. Setiap hari tugas ini akan dilakukan oleh mereka berdua sebelum pulang ke rumah selepas siap memasak. Selepas maghrib mereka berdua akan datang lagi untuk memasak makan malam pula. 

“Kau tengok apa tu?” 

“Apa mak?” Terkejut Orkid apabila disergah Zakiah.

“Kau jangan nak main mata dengan Tuan Edward. Dia orang Inggeris,” pesan Zakiah lagi. 

“Orkid tahu.” Sugul wajah Orkid. 

Edward mengeluh. Dia mendengar sahaja perbualan kedua-dua mereka walaupun halus sahaja suara mereka. Dia memang sudah fasih dan pandai berbahasa Melayu selepas hampir tiga tahun menetap di Tanah Melayu. 

***

“MAK!”

Darah merah mengalir. Bibirnya pecah. Pertama kali dia ditampar oleh Zakiah.

“Aku dah pesan. Aku dah kata jangan bercinta dengan orang Inggeris. Kenapa kau degil?”

“Orkid tak bercinta. Orkid hanya ajar Tuan Edward belajar bahasa Melayu,” balas Orkid. 

“Ajar? Kalau dah berdua-dua tepi sungai tu. Sakit telinga aku ni orang kampung cerita tadi!” Merah padam wajah Zakiah. Pantang keturunannya membuat malu sebegitu. 

“Orkid tak buat apa-apa.” Air matanya bergenang. Dia tidak sangka emaknya sanggup berbuat sebegitu sekali. 

“Kalau ayah kau tahu! Mati kau dia kerjakan!”

“Mak, jangan beritahu ayah.” Bergegar tubuh Orkid terus memeluk lutut emaknya. 

***

“KITA BERPISAH?” 

Edward geleng kepala.

“Ayah dan ibuku tak bersetuju. Ibuku mahu nikahkan aku dengan orang lain.”

“Siapa?” Merah padam wajah Edward. Dia tidak sanggup melihat Orkid menjadi milik orang lain. 

“Aku tak tahu. Ayah beritahu aku semalam.”

“Kau setuju?”

“Aku orang Melayu. Kalau ayahku bersetuju, aku tak boleh membantah.”

“Aku tak bersetuju!” Dia cuba menarik tangan Orkid apabila gadis itu mahu melarikan diri.

“Aku minta maaf. Walaupun kau tak pernah izinkan aku pegang tangan kau. Tapi aku tak sanggup kau pergi. Aku tak sanggup lepaskan tangan kau pergi dari aku. Aku tak sanggup kehilangan kau.”

Orkid pejam mata. Dadanya bergetar hebat menahan tangis. 

“Maafkan aku, Edward.” 

***

Dialah wanita itu
Dialah penyeri hidup ku
Kehidupan ku indah kerana dia

“SEDAP tak?” 

Orkid mengangguk. Matanya merah.

“Pertama kali aku menulis begini dalam bahasa Melayu. Aku tahu aku masih lagi belajar.”

“Kau tak menyesal nikahi aku, Edward?”

“Namaku kini Abdul Rahman,” ucap Abdul Rahman mengingatkan. 

Orkid tersenyum. Nama itu dipilih olehnya. 

“Kenapa kau bersetuju nikahi aku?” 

“Kerana kau adalah kau.” Dia menghulur kertas yang ditulisnya tadi dalam bahasa Jawi. Dia masih tidak tahu menulis dalam bahasa Jawi. Dia menyuruh Tajuddin menulisnya. Merah padam wajah dia dan Tajuddin tadi apabila dia membacakan apa yang ingin ditulis. 

“Aku harap kau tak akan tinggalkan Orkid,” ucap Tajuddin perlahan selepas segala-galanya selesai. Orkid gadis pertama dari kampungnya yang berkahwin dengan orang Inggeris. Satu kampung mengutuk tindakannya yang seperti menjual anak.

“Insya-Allah, aku tak akan tinggalkan Orkid.” 

Tajuddin tersenyum bila mendengar perkataan insya-Allah yang keluar dari bibir Abdul Rahman. 

“Saya perlu pelajari agama Islam lebih mendalam,” ucap Abdul Rahman. 

Tajuddin mengangguk.

“Abang Rahman?” Perlahan tubuh Abdul Rahman dicuit apabila melihat suaminya jauh termenung.

“Abang Rahman?” Abdul Rahman terkejut.

“Abang Rahman tua sepuluh tahun dari Orkid. Jadi lagi sopan Orkid panggil Abang Rahman,” balasnya tersenyum.

Abdul Rahman mengangguk. Tubuh kecil Orkid ditarik ke dalam pelukannya sebelum mengucup lembut dahi Orkid. 

“Kenapa Abang Rahman sayangkan Orkid? Orkid orang Melayu.”

“Sayang tak kira umur, warna kulit atau bangsa. Abang Rahman sayangkan Orkid sebab diri Orkid. Nama Orkid unik,” ucapnya.

“Ayah namakan sempena nama Orkid sebab selepas Orkid lahir, bunga pertama yang ayah lihat adalah bunga orkid yang mak tanam depan rumah. Kebetulan masa tu bunga orkid tengah berkembang mekar,” ceritanya. 

“Abang Rahman berjanji tak akan tinggal Orkid.”

“Kalau terpaksa balik negara Abang Rahman?”

“Abang Rahman tak akan tinggalkan Orkid.” 

“Betul?”

“Insya Allah.”

Orkid menangguk dan tersenyum.

“Orkid suka bunga orkid?”

Cepat sahaja Orkid mengangguk.

“Nanti abang buatkan satu kebun bunga khas untuk bunga orkid sahaja.”

“Betul?”

Abdul Rahman mengangguk perlahan. Tangan Orkid dicapai dan dikucup perlahan. Dia terlalu sayangkan gadis di dalam pelukannya kini. 

***

ISKANDAR menghempaskan keluhan berat. Dia bencikan dirinya. Dia bencikan warna rambutnya. Dia bencikan warna matanya. Dia bencikan warna kulitnya. Dia bencikan segala-galanya berkenaan dirinya yang mengaitkan dia dengan lelaki itu. 

“Apa ni Is?” 

“Kenapa Tok?”

“Apa yang kau buat ni?”

“Buat apa?”

“Kenapa kau bakar gambar-gambar ni?” 

“Gambar apa?”

“Gambar ni!” 

“Is benci dia!”

“Dia ayah kau!”

“Is tak ada ayah. Is hanya ada ibu dan tok sahaja.”

Tajuddin mengeluh. 

“Sudahlah. Kalau kau bakar sekalipun gambar ni, hakikat tetap hakikat. Nama kau tetap Iskandar Walker bin Abdul Rahman Walker.”

“Dia tipu kita tok. Dia tinggalkan Is dan ibu sebab nak selamatkan diri.”

“Sudahlah Is. Jangan sampai ibu kau dengar. Dia dah lama merana Is.”

Iskandar mengeluh. Dia tahu setiap kali ibunya melihat dirinya yang semakin hari semakin menyerupai lelaki itu, ibunya semakin sedih. Kalau sewaktu dia kecil dahulu dia selalu tertanya-tanya kenapa ibunya selalu menangis. Kenapa ibunya takut apabila dia mendekati ibunya. Rupa-rupanya ibunya sedih melihat wajahnya. 

“Dia tinggalkan kita bukan sebab dia nak Is. Dia tinggalkan kita sebab waktu tu perang. Dia terpaksa tinggalkan kita,” ucap Tajuddin cuba mengingatkan cucunya. 

***



Dialah wanita itu
Dialah penyeri hidup ku
Kehidupan ku indah kerana dia

“DIA tak pernah berkahwin,” beritahu Samuel Williams dalam bahasa Inggeris. 

Iskandar mengangguk. Dia memegang kuat kerusi roda ibunya. Air matanya menitik laju. 

“Sabar bang,” pujuk Nurr Araz pada suaminya yang sejak tadi bermandi air mata sama seperti ibu mertuanya. 

Samuel mengeluh perlahan. 

“Dah lama dia meninggal dunia?” 

“Setahun lepas. Dia wasiatkan taman bunga orkid ni dibuka kepada orang awam selepas kematiannya,” jawabnya. Selama ini dia bekerja dibawa Encik Rahman. Dia pernah tahu sejarah silam Encik Rahman. Tetapi dia tahu lelaki itu pernah menjadi askar dan tubuhnya cacat kerana terkena serangan bom oleh pihak Jepun. 

“Saya tak pernah faham. Tapi dia selalu tulis perkataan ni. Jadi saya abadikan kata-kata ni di hadapan pintu masuk taman. Beberapa bulan lepas wartawan dari Malaysia nak rakamkan keindahan taman ni. Saya bersetuju.”

“Nama taman ni sempena nama opah?” Hazique menyoal. 

“Encik Rahman pesan nama taman ni… 'Kebun Orkid'. Dia juga pesan ejaannya begitu. Walaupun tak boleh bercakap, tapi dalam wasiatnya dah tertulis. Dia wasiatkan pada saya untuk jaga taman ni sebaik mungkin dan paling penting, bunga yang ditanam hanyalah bunga orkid. Selepas wartawan dari Malaysia datang, baru saya sedar yang kata-kata dan ejaan pada ‘Kebun Orkid’ ni daripada bahasa Melayu. Saya tak pernah tahu sebelum ni. Walaupun tak boleh melihat, tapi segala susun atur dalam taman ni, hasil usaha Encik Rahman,” tambah Samuel lagi.

“Buta? Bisu?”

Samuel mengangguk.

"Kedua-dua kakinya hancur sebab terpijak bom yang ditanam oleh orang Jepun. Matanya pun tak dapat diselamatkan. Saya cuma tak pasti kenapa Encik Rahman tak bercakap sebab kalau ikutkan dia boleh bercakap. Dia juga warisi kekayaan ayahnya.”

“Ada gambar dia?” soal Iskandar.

Samuel pantas menggeleng. Lama dia merenung Iskandar.

“Saya pasti rupa dia mungkin sama seperti kamu. Gambar terakhir dia ambil hanyalah sebelum dia menjadi askar. Selepas itu dia tidak pernah mengambil gambar.”

“Kenapa?”

“Mukanya hancur,” ucap Samuel perlahan.

Iskandar tersentak. Air matanya kembali menitik lagi. Dia teringat semua gambar-gambar arwah ayahnya yang dibakarnya. 

“Ibu?” Bergetar suara Iskandar dan tunduk melihat ibunya yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. 

“Abang Rahman janji tak akan tinggalkan Orkid.”

“Abang Rahman tak akan tinggalkan Orkid. Abang Rahman hanya tinggalkan Orkid dan anak kita sekejap sahaja. Selepas perang tamat, Abang Rahman datang ambil Orkid,” janji Abdul Rahman.

“Betul?”

Perlahan-lahan Abdul Rahman mengangguk. 

“Dalam hati Abang Rahman hanya ada Orkid dan tiada pengantinnya. Kalau Abang Rahman tak kembali, Abang Rahman harap Orkid besarkan anak kita sebaik-baiknya. Insya-Allah Abang Rahman akan bina kebun orkid untuk Orkid nanti bila kita bersama semula.” 

“Puan, saya nak tunjukkan puan sesuatu. Saya baru perasan beberapa bulan lepas. Tempat tu tempat Encik Rahman selalu habiskan masa bersantai sambil berzikir.”

“Apa dia?” Segera Iskandar menyoal. Ibunya tidak tahu berbahasa Inggeris. Sejak tadi dia menolong menterjemah kata-kata Samuel. 

“Sini.” Tunjuknya terus melangkah perlahan-lahan menghampiri sebuah batu besar di sudut taman.

“Ya Allah....” Terduduk Iskandar. Nurr Araz terkulai dalam pelukan Taufique yang setia memeluknya. Hazique dan Rafique terpaku. Air mata mereka perlahan-lahan menitik. 

“Apa tu Is?” Perlahan Orkid menyoal. Dia langsung tidak nampak apa yang tertulis pada batu besar tersebut. 

“Is bacakan ye ibu?” bergetar suara Iskandar. 


Maafkan aku.
Maafkan aku kerana terpaksa meninggalkan kamu.
Cinta aku hanya padamu.
Sayang aku hanya padamu.
Pengorbanan aku, untuk dirimu juga.
Aku malu.
Hidupku sudah musnah. 
Hidupku sudah berakhir.
Aku harap kau bahagia. 
Namun aku faham, cinta kita tak mungkin bersama. 
Aku mahu kau bahagia.
Aku relakan perpisahan ini tanpa relaku. 
Tapi aku mahu kau tahu cintaku selain Allah dan Nabi, hanya untukmu, Orkid.


SALAM MERDEKA







10 comments:

  1. alamak..sedihnya...sian orkid...sian rahman...sian family pkck tajuddin

    ReplyDelete
  2. best...sedih sangat ;(

    ReplyDelete
  3. best! cerpen cinta yang berunsur sejarah kemerdekaan. Good job! :D

    ReplyDelete
  4. huhuhu.. sedihnya..kesian orkid
    karya yg bagus..

    ReplyDelete
  5. salam eid mubarak dan salam merdeka. terimakasih atas karya di atas. memang sedih. teringat kisah2 yang diceritakan oleh arwah nenek masa kecik2...

    ReplyDelete
  6. it just another cerpen that makes me cry..

    ::still speechless::

    ReplyDelete
  7. oohhh..sweet..sedih..laen pada yang laen..nice2.. :)

    ReplyDelete
  8. love hurts but not to love will hurt u more

    ReplyDelete
  9. Subhanallah... Hebat kuasa Allah tak terlawan. :)

    ReplyDelete

Back to Top