Cerpen : Kasanova Jalanan II


FARHAMI pegang dahi. Dia merenung Adam yang baru melangkah masuk. Besen besar berwarna biru diletakkan di atas meja yang terletak di tepi katil. Si kembar Adriani dan Adrian duduk di sebelahnya. Kebetulan mereka baru balik dari tadika. Tahun depan mereka akan melangkah ke sekolah rendah. 

“Letak atas dahi Abang Fami tu,” suruh Datin Hilda. Dia melangkah masuk dengan bubur dan segelas susu. Adha pula mengekor langkahnya dari belakang. 

“Terima kasih umi. Maafkan Fami. Menyusahkan umi dan adik- adik je.” Dia rasa bersalah. 

“Menyusahkan apa pulak. Kalau Leeya tu belajar dulu. Dia tu lagi menyusahkan ayah Fami. Dia tu nampak je keras, tapi antibodi tak kuat juga.”

Fahami tersenyum. Bila dia ditawarkan mengajar di Kuantan, Lee insan yang paling gembira. Walaupun mereka mula berkenalan pada tahun pertama di universiti, entah kenapa dia sendiri dapat rasakan dia sangat senang dengan Lee. Kebetulan rumah banglo milik keluarga Lee memang besar, jadi ibu bapa Lee mengajak dia tinggal sahaja di situ. 

Hampir setahun juga dia tinggal di sini. Kebetulan adik-beradik Lee ramai. Enam orang semuanya. Semuanya tinggal di bersama kecuali kedua kakak Lee yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang sebaya dengan umur Adriani dan Adrian. Adha berusia 15 tahun dan Adam pula 13 tahun. Jarak antara adik-beradik Lee agak jauh dan dia suka dikelilingi dengan adik- adik Lee yang comel terutamanya si petah Adriani dan Adrian yang semakin hari semakin rapat dengannya. Dia pula anak tunggal. Kadang-kadang ayahnya datang juga ke Kuantan melawatnya. Ibunya sudah lama meninggal dunia dan selama ini ayahnya yang membesarkannya. Ayahnya merupakan Professor di Universiti Sains Malaysia dan universiti sama dia dan Lee belajar dulu. 

“Abang dari tadi awek-awek abang telefon.”

Farhami pandang Adam. Dia terkejut.

“Mana Adam tahu?”

“Ala….Adam kan pernah ikut abang dating dengan kakak-kakak tu semua.”

Farhami pandang pula Datin Hilda yang tersenyum panjang. Faham sangat dengan perangai Farhami. Tapi dia tidak pula menghalang. Dia hanya menasihati sahaja kerana Farhami sudah besar panjang dan boleh berfikir dengan sendiri. 

“Adam jangan ikut tau perangai tak senonoh abang ni.” Tiba- tiba dia rasa malu kerana sikapnya seperti bukan perkara yang pelik dalam keluarga ini. Sebab itu dia senang duduk dalam keluarga ini kerana sikap keterbukaan. 

Adam dan Adha sudah tarik sengih.

“Apa salahnya kan?”

Farhami menggeleng. 

“Ish… tak baik tau ada ramai awek. Tak baik. Cuba bayangkan kalau terjadi pada Adriani nanti?” wajah polos Adriani dipandang lama. Bila dia melihat Adriani, dia dapat membayangkan wajah Lee sewaktu kecil. Mereka adik-beradik memang seiras. Pelik juga dia dengan cara pemakaian Lee yang nampak ‘berbeza’ dari adik beradiknya yang lain. 

“Abang buat baik?”

Farhami garu kepala yang tak gatal. 

“Sudah! Pergi keluar tu. Adha, bawa adik- adik makan. Abang Fami nak rehat tu.” 

“Kenapa umi?” Pelik bila Datin Hilda masih lagi tercegat di hadapannya. Dia baru hendak melelapkan mata. Kepalanya masih pening. Semuanya gara-gara disimbah dengan air semalam. Pagi tadi tiba- tiba sahaja dia dapat rasakan kepalanya berat dan tubuhnya menggigil kesejukan. 

“Umi nak minta tolong Fami sikit.”

“Tolong apa?” Dia sudah tidak sedap hati melihat renungan insan yang dihormati. Sama seperti dia menghormati dan kasih pada papanya sendiri. 

“Umi nak minta tolong Fami nasihatkan sikit Leeya tu.”

“Nasihatkan apa umi?” Dia kembali duduk.

Datin Hilda sudah menarik kerusi yang sepatutnya berada di meja kerjanya. 

“Leeya tu dah 25 tahun.”

“Kenapa umi? Fami pun 25 juga." Semakin berkerut Farhami. 

“Kakak Leeya, Admiya dah kahwin masa umur 25.” 

Fahami mengangguk laju. Dia faham kini.

“Umi nak suruh Fami nasihatkan Leeya supaya berubah? Jadi perempuan?”

Lambat-lambat Datin Hilda mengangguk laju.

“Umi tahu memang Fami dah tak boleh jadi bakal menantu umi. Ramai perempuan menanti Fami. Tapi kalau boleh Fami nasihatkan sikit Leeya. Dia tu tak pernah ada kawan rapat. Dia pun jarang sangat lelaki sejak peristiwa tu. Umi sendiri terkejut bila dia cakap dia kawan rapat dengan Fami.” 

“Peristiwa apa umi?” 

Datin Hilda kelu. Dia terlepas cakap.

“Fami dah kenal lama sangat Leeya tu umi. Fami pernah juga korek dari Leeya, tapi dia langsung tak mahu cakap. Bila Fami tengok album lama Leeya, dia berubah jadi macam tu selepas dia masuk sekolah menengah kan?”

Datin Hilda tarik nafas. Dia pandang lama wajah Farhami sebelum mengangguk. Dia menjenguk sekejap pintu yang terbuka luas. Dia takut anak- anaknya yang lain mendengar sama. 

“Leeya masa tu 10 tahun. Jarak dia dan adik-beradik dia jauh. Kakak dia masa tu dah nak habis sekolah menengah. Adha masa tu baru setahun rasanya. Jadi lepas Adha lahir, banyak masa umi dan ayah pada Adha. Jadi kami upah tukang kebun rumah ni supaya ambil dan hantar Leeya pergi sekolah.” 

Mata Datin Hilda sudah merah.

“Lepas tu?”

“Budak tu baru habis sekolah menengah rasanya. Umi nampak dia baik je. Selepas Leeya dihantar dan diambil oleh budak tu, tiba- tiba sikap Leeya berubah. Dia murung. Dia senyap. Langsung dah tak banyak cakap. Dia yang suka sangat dengan Adha pun boleh dalam diam pukul Adha. Umi perasan bila tengok lengan dan paha Adha ada lebam-lebam. Tak lama lepas tu, baru umi perasan, rupa- rupanya Leeya yang sebabkan Adha selalu menangis. Leeya selalu cubit Adha. 

Farhami terlopong. Leeya yang sangat rapat dengan adik- adiknya boleh buat macam tu?

“Umi dan ayah marah sungguh pada Leeya. Sampai sekarang umi menyesal rotan Leeya tanpa usul periksa. Malam tu, bila umi nak letak ubat kat badan Leeya, baru umi nampak…”

Datin Hilda sudah tersedu. 

“Patutlah..” terus Datin Hilda tarik nafas. Dia tak dapat meneruskan kata- kata. Dia sebak bila wajah Leeya ketika itu terbayang di matanya. 

“Perlahan- lahan cerita umi,” dia tahan air mata yang hampir mengalir. 

“Rupanya- rupanya budak tu lepas balik dari sekolah. Melencong dulu tempat lain.”

“Melencong?” jantungnya berdegup kencang.

Datin Hilda angguk kepala.

“Dia…..tu ke umi?” tak sanggup menyebut perkataan keramat itu.

Datin Hilda menggeleng laju.

“Tak! Mula- mula umi ingat macam tu. Alhamdulillah, bila bawa jumpa doktor. Leeya selamat. Cuma dia didera fizikal dan mental.”

“Dera?”

“Budak tu kena paksa kerja jadi tukang kebun dengan rumah ni. Ayah dia yang paksa. Lepas tu, dia jadikan Leeya tempat nak lepaskan kemarahan. Leeya takut nak cakap sebab budak tu ugut. Leeya pula jadikan Adha mangsa.”

“Lepas tu?”

“Lepas setahun ikut kaunseling. Leeya berubah terus jadi keras macam ni. Tapi umi tetap bersyukur sebab dia tak murung dah macam dulu. Cuma umi faham. Dia jadi keras, sebab dia fikir kalau dia lelaki. Orang tak berani nak apa-apakan dia.”

Farhami tarik nafas. YA ALLAH. Begini sekali teruknya kisah silam Lee yang dibesarkan dengan keluarga penuh kasih sayang. Patutlah Leeya berbeza. Patutlah Leeya bertegas tidak mahu berubah. Patutlah…

“Kenapa Adam?”

“Adam main game dalam telefon abang tadi. Kak Leeya telefon abang,” hulurnya terus.

Datin Hilda pandang telefon yang bertukar tangan. Dia merenung lama Farhami. Hanya pada Farhami dia berharap. Perlahan- lahan dia menarik tangan Adam mengajak anaknya keluar. 

“Nape Lee?” pintu yang ditutup dipandang sebelum dia kembali berbaring. Mungkin Datin Hilda ada memberitahu yang dia demam.

“Lee?” suara Lee yang menarik nafas kuat dapat didengar dari hujung corong telefon.

“Fami. Tolong aku!” 

Farhami pantas berdiri. 

“Kau jangan main- main dengan aku.”

“Kereta rosak. Aku otw nak pergi site. Dia ada sekali. Orang gatal dengan aku tu. Dia ada kat luar tengah baiki kereta. Aku takut,” bergetar suara Lee.

“Kat mana ni?”

“Otw pergi Teluk Sisik. Jalan kampung juga ni. Site aku celah hulu kampung orang asli.”

“Kenapa kau pergi situ dengan dia je?” hampir menjerit Farhami.

“Dia yang bawa kereta. Aku memang dengan dia. Tolong aku.”

“Dah telefon sesiapa?”

“Dia kata dia called mekanik.”

“Kau tahu kan jalan tu bahaya,” ujar Farhami yang sudah mencapai kunci keretanya. Dia malas menukar baju tidurnya. Cerita Datin Hilda tadi terngiang- ngiang. YA ALLAH selamatkan dia. 

“Aku tahu. Tapi ni je jalan pergi site tu.” 

“Kau duduk senyap- senyap dalam kereta tu. Bagi specific sikit tempat kau sekarang. Aku check dalam GPS,” dia mencari segera GPS yang disimpan di dalam laci.

“Cepat. Aku takut. Line kat sini sekejap ada, sekejap tak ada.”

“Yelah. Aku tahu. Kalau boleh, kau kunci terus kereta tu. Suruh dia tunggu luar.” 

Farhami berlari keluar. Datin Hilda yang baru membuka mulut bila melihat kemunculan Farhami terpinga bila Farhami menyuruh Adha dan Adam mengikutnya.

“Pergi mana tu Fami?”

“Ada hal sikit umi. Cepat Adha, Adam.” 

“Kenapa dengan Leeya?”

“Dia okay,” terus Farhami tersenyum. Dia tidak mahu Datin Hilda risau.

***

“Itu bang. Ada kereta,” tunjuk Adam sedikit teruja. Sejak tadi Farhami menyuruh dia dan Adha memerhatikan sisi jalan. Perhatikan jika ada kereta rosak ataupun tidak. 

Dahi Farhami berkerut. Dia tidak pasti kereta yang dinaiki oleh Lee tadi. Tapi bila melihat kelibat seorang lelaki yang termenung jauh di tepi longkang, bersebelah dengan kereta, dia menarik nafas lega. Dia yakin itulah kereta yang dinaiki Lee tadi. 

“Assalamualaikum,” tegur lelaki itu dahulu yang sudah menghampiri keretanya. Dia menurunkan cermin kereta. Wajah lelaki itu bercahaya bila melihat dia memberhentikan kereta.

“Waalaikumussalam. Kenapa?”

“Kereta saya rosak. Encik boleh tolong?”

“Tolong apa?” dia melepas pandang pada kereta Perdana berwarna hitam di hadapannya. Dia mengharapkan Lee keluar dari kereta tersebut bila menyedari keretanya di belakang. Lagipun beberapa kali dia membuka lampu besar keretanya supaya menarik perhatian Lee. Mungkin inilah kereta yang dinaiki Lee tadi.

“Saya dah called mekanik. Mungkin lambat sikit. Tapi kawan saya ada dalam kereta. Tak manis saya berdua je dengan dia…” lelaki itu nampak serba salah untuk menuruskan kata- kata. 

Farhami garu kepala. Tak manis? Kalaulah kawan lelaki itu bukan Lee, sanggupkah lelaki itu menyuruh kawannya menumpang keretanya? 

"Ya?” dia menanti dengan sabar kata- kata seterusnya. Adam dan Adha juga merenung lelaki itu minta disambung kata- katanya tadi.

“Tak apalah. Encik boleh tolong tengok kereta saya?”

Farhami angguk kepala.

“Dial nombor kakak,” suruh Farhami pada Adha. Telefon bimbitnya diserahkan pada Adha yang duduk di sebelahnya. Sejak tadi dia menyuruh Adha menelefon Lee, tapi langsung tidak diangkat.

“Siapa dalam tu?” soal Farhami yang sudah keluar dari kereta. Adha dan Adam turut sama keluar dan mengekor dari belakangnya. Dia menyambut tangan lelaki itu yang mahu bersalam.

“Saya Daniel. Kawan pejabat saya. Anak bos saya. Sepatutnya saya dan dia pergi tengok site.” 

“Leeya?” dia menyoal penuh harapan. Hanya dia dan kawan- kawan di universiti memanggil Leeya dengan panggilan ‘Lee’ sahaja.

Daniel sudah ternganga. Segera dia mengangguk laju.

“Encik kenal Leeya? Leeya ke yang called Encik…?”

“Saya Fami. Tadi Leeya called saya. Sebab tu saya datang cari dia ni,” dia cuba menjenguk melalui tingkap kereta. Tapi hampa kereta cermin kereta itu gelap.

“Baguslah. Tadi saya dah suruh Leeya called kawan dia. Fami ni anak angkat Datuk Adli ke?”

Segera Farhami mengangguk laju. Sejak tinggal di rumah Lee, setiap kali diperkenalkan kepada tetamu, Datuk Adli hanya memberitahu yang dia adalah anak angkatnya. Mungkin faham yang nampak pelik bila Farhami menetap bersama walaupun Datuk Adli masih mempunyai anak dara yang selalu disalang anggap sebagai anak terunanya. Dia selalu melihat kawan- kawan Datuk Adli melopong bila diberitahu Lee adalah Adileeya Nur Fitri. Memang gaya Lee sebiji seperti seorang lelaki. 

“Ini?” lelaki itu pandang wajah kedua- dua remaja yang mengekor Farhami sejak tadi.

“Saya Adha Naufal. Ini adik saya, Adam Naqib.” 

Farhami tersenyum. Adik- adik Leeya semuanya mudah ramah dengan sesiapa sahaja. Berbeza sungguh dengan Lee yang susah untuk diajak berkawan. Lee perlukan masa untuk menerima seseorang dalam hidupnya. Tidak hairanlah dulu Lee memilih untuk tinggal seorang sahaja. 

“Budak berdua ni anak- anak Datuk Adli. Mana Leeya?”

“Dia tidur kot dalam kereta tu. Kunci kereta dalam tu. Saya cuba buka kereta, dia dah kunci dari dalam. Itu saya melangut je ni tunggu mekanik sampai.”

Farhami tarik sengih. Dia yang menyuruh Lee mengunci pintu kereta tadi. Kesian pula bila terkenang wajah lelaki itu tadi dengan baju yang nampak basah dek peluh. 

“Encik Fami boleh baiki?”

“Saya cikgu. Tapi kadang- kadang saya jadi mekanik untuk kereta saya tu,” tunjuknya pada kereta Myvi berwarna jingga yang sudah digunakannya sejak zaman belajar lagi. 

Daniel mengangguk dan tersenyum. 

“Sekejap. Cuma korang panggil kakak korang tu. Dia kalau tidur, bom atom tiba- tiba sesat sebelah dia pun, dia boleh tak sedar,” terbayang dulu dia pernah menjatuhkan kotak besar di sebelah katil Lee yang sedang tidur dengan adiknya, Adriani. Tapi hanya Adriani yang terjaga dan terus menangis. Bila mendengar teriakan Adriani, barulah Lee terjaga. Teruk sungguh perangai. 

Adha dan Adam sama- sama mengangguk. Adha mula mengetuk cermin sebelah kiri manakala Adam mengetuk cermin sebelah kanan. 

“Baik Leeya dengan Encik Fami?”

Farhami pandang Daniel sebelum mengangguk laju.

“Panggil saya Fami je. Macam dah tua bila kau panggil aku macam tu. Aku ni sebaya dengan Leeya tu,” beritahunya. Dia memerhatikan lama enjin kereta Daniel. Teruk. Agaknya sudah berapa lama Daniel tidak menghantar keretanya untuk diservis. 

Daniel ketawa. Dia senang dengan panggilan kata ganti nama yang digunakan Farhami tadi.

“Cik Leeya tu tak suka aku.”

“Mana kau tahu?”

“Kakak memang tak suka semua orang kecuali abang Fami je,” sampuk Adam yang sudah mencekak pinggang. Geram sungguh kerana langsung tiada respons daripada kakaknya. 

Farhami tarik sengih. 

“Lama- lama nanti kau biasa dengan dia tu.”

“Kau tahulah…bila- bila aku masuk kerja, aku mati- mati ingat dia lelaki. Kau faham kan?” risau jika kata- katanya tadi membuatkan adik- adik Leeya yang sejak tadi memasang telinga terasa.

“Aku faham.”

“Kadang- kadang bila aku dengan dia, aku lupa dia tu perempuan bila tengok gaya dia. Sebab tu tangan aku ni lepas je pegang dia. Kadang- kadang sampai terpeluk budak tu. Sebab tu agaknya Leeya tu tak suka aku.”

Farhami ketawa pula. Patutlah Lee ada menyatakan yang Daniel suka menyentuhnya. Dia juga kadang- kadang terlupa yang Lee adalah perempuan dan selamba sahaja memeluk tubuh gadis itu. Berapi juga Lee memarahinya. 

“Kakak dah sedar!” terjerit Adha yang juga terkejut bila pintu kereta bahagian penumpang tiba- tiba terbuka. Wajah mamai dan geram Lee mengundang tawa mereka. Berserabut sekali rambut Lee. 

“Kakak ni tidur mati,” geram Adha. Dia tolak badan kakaknya yang terpinga- pinga. 

“Ish, kau kacau kakak tidur lagi,” mencuka wajah Lee sebelum matanya beralih pada Daniel dan Farhami yang tersengih memandangnya. Perlahan- lahan mulutnya terbuka. Otaknya mula mentafsir maklumat yang tiba- tiba hilang tadi. Dia teringat dia berada di dalam kereta dan bila puas menunggu dia tertidur. Tambahan pula suara dari DJ di radio tadi yang membacakan kisah- kisah cinta para pendengar membuatkan matanya yang pada mulanya segar terus layu. Semalam dia tidak tidur kerana menyiapkan pelan. 

“Kau ni….dalam kereta pun boleh tidur mati. Adha bawa kakak masuk kereta. Adam ikut sekali. Abang Fami tunggu sini dengan abang Daniel sementara mekanik sampai.”

Daniel pandang Farhami. Terkejut.

“Aku rasa kereta kau ni mungkin lama masuk bengkal. Dah tahap ICU dah ni. Nanti sementara dia tarik kereta kau, aku hantar kau balik rumah. Nak pergi tengok site lagi ke?”

Daniel geleng kepala. Adha sudah menarik tangan kakaknya ke kereta Farhami. 

“Aku dah called orang kat sana. Cancel.” 

Farhami angguk kepala. Dia tutup bahagian depan kereta Daniel dan duduk bersandar. Dia pandang Daniel sebelum perhatiannya pada jalan raya yang lenggang. Dia bersyukur kerana tiada perkara buruk menimpa Lee. Cuma dia sedar, bila peristiwa yang berlaku pada Lee pada zaman kanak- kanaknya dulu membuatkan Lee menjadi trauma dan sukar mempercayai orang sekelilingnya kecuali dia dan keluarganya. Dia juga sedar Lee tidak punya ramai kawan dan masanya banyak dihabiskan dengan keluarga. Dia sendiri tidak sedar bagaimana dia dan Lee boleh mula rapat dalam sikap buruknya yang suka menagih kasih dari wanita.

Tapi peliknya Lee langsung tidak pernah merungut dengan sikap buruknya itu. Cuma Lee lebih senang tidak mengenali teman wanitanya dan sering mengelak bila mahu berjumpa. Dia mengeluh. Dia perlu lakukan sesuatu. Daniel lelaki yang baik. Rupa-rupanya Lee berprasangka buruk pada Daniel kerana diri Lee sendiri yang berlagak seperti seorang lelaki. Nasib baik tidak lebam wajah Daniel dikerjakan olehnya. Dia kembali memeluk tubuh. Walaupun pancaran matahari terik, tapi tubuhnya menggigil kesejukan. Dia lupa dia masih demam kerana terlalu risaukan Lee. 

bersambung

Part I Part II | Part III

7 comments:

  1. alah. tgh syok baca tetiba boleh bersambung...hush.

    ReplyDelete
  2. rupanya ada kisah di sebalik Lee tu. part III , sy tunggu .......

    ReplyDelete
  3. ... sambunggg... x puas baca lagi...
    kasihan Lee ...

    ReplyDelete
  4. alamak..nti fami dmam balik?yeay...lee jage fami...hee

    ReplyDelete