Cerpen : Apabila Dah Sayang

Ditulis pada: 12 Mac 2013

ALI QARLIFF tersenyum tawar. Gelak tawa rakan-rakannya mengundang seribu satu rasa dalam dirinya. Walaupun sejak tadi mereka asyik bergurau, tapi entah kenapa hatinya langsung tidak terasa lucunya. Orang ketawa dia rasa hendak menangis. Bergenang rasa matanya. Dia mengeluh. Terlalu banyak perkara yang difikirkan kini. Sesekali dia menyampuk, tapi dibiarkan sepi setiap kata-kata rakan-rakannya. Jiwanya rasa kosong. 

“Kau kenapa Ali?”

“Kenapa?” Pelik dengan soalan Harith. Dia bersandar. Hari ini Harith yang memandu. Setiap hujung minggu selalunya mereka akan menghabiskan masa keluar beramai-ramai dengan kawan-kawan yang kini bekerja di Kuala Lumpur. Cuma dia dan Harith yang bekerja di tempat yang berdekatan dan mengambil keputusan menyewa di rumah yang sama. Mereka juga selalunya akan bertukar giliran untuk membawa kereta bila keluar bersama. 

“Aku dah kenal kau lama. Kenapa ni?” Soalan itu dilontar lagi. Jalan sesak malam ini. Sesekali bunyi hon kedengaran. 

“Entahlah. Aku pun tak tahu.”

“Sebab Mimi ke?”

Ali pandang wajah Harith. Dia mengeluh. Mimi Imanda. Gadis kelahiran Kulim, Kedah yang berjaya mencuri hatinya sejak empat tahun yang lalu. Lama mereka bersama. Tapi…. Ali mengeluh. 

“Sudahlah tu Ali. Dalam dunia ni ada beribu perempuan. Jangan sebab dia seorang, kau jadi macam ni. Tadi pun… kau boleh nak terbuat drama air mata. Nasib baiklah aku juga yang tukang buat lawak. Kau tiba-tiba senyap macam tu… pelik member kita yang lain,” beritahu Harith. Ada juga yang bertanya pada dirinya tadi, tapi dia hanya menggeleng sahaja. Pura-pura tidak tahu.

“Kau tahu kan… aku kecewa.” 

“Aku faham. Aku tahu. Tapi kau kena teruskan hidup kau juga,” pujuk Harith yang sedia maklum dengan situasi yang dihadapi Ali. Kesian sahabatnya. Panas yang disangka sampai ke petang, tapi mendung pula yang tiba. 

“Kau cakap memang lah senang. Mimi tu pun cakap senang. Macam aku ni patung je dia buat. Dia ingat aku ni tak ada perasaan? Walaupun aku ni lelaki. Kononnya lelaki ni kuat. Tapi….” Tak sanggup nak menghabiskan kata-kata. Sebak rasa hati. 

“Dah dua kali Mimi tu curang dengan kau. Kau nak terima dia lagi?”

“Itu semua dah lepas kan. Aku dah tak ungkit. Kau ungkit kenapa?” bentak Ali. 

“Sebab tu aku cuba ingatkan kau. Kau tu baik sangat pada dia. Cuba kau tengok dia layan kau macam mana sekarang?” soal Harith geram. Dia tahu Mimi memang seorang gadis yang baik. Tapi dalam masa yang sama, sudah dua kali gadis itu melukai hati kawan baiknya. Peliknya…. Ali yang pada mulanya terkejut boleh redha dan menerima sahaja semuanya. Sahabatnya memang tabah. 

***

MIMI IMANDA menghela nafas. Dia penat sebenarnya. Terkejar-kejar dia dan Yasmin berlari masuk ke dalam kuliah yang sudah mulai penuh. Meliar matanya memerhatikan tempat kosong. Risau juga mereka tadi kalau pensyarah sampai lebih awal. Mereka pula hanyalah pelajar minor sahaja dalam jurusan ini. 

“Kosong tak?” 

Dua lelaki di hadapannya berpandangan sebelum mengangguk laju. 

“Nasib baik sempat.” Tersengih Mimi. Yasmin mengeluh. Semuanya sebab Mimi yang terlajak tidur selepas subuh tadi. Berpuluh kali dia mengejutkan Mimi. Bila Mimi buka mata, tak sampai sesaat kawannya itu kembali terlelap. 

“Budak first year ke?” soal Yasmin sekadar ingin beramah lelaki di sebelahnya. 

“Saya Harith. Ini member saya, Ali. First year.” 

Yasmin mengangguk laju. Dia menjeling pada Ali yang sejak tadi mendiamkan diri. Tersenyum sahaja. Mimi juga langsung tidak menyampuk. Dia tahu Mimi memang pemalu orangnya. 

“Saya Puteri Yasmin. Panggil Yasmin. Ini kawan saya, Mimi Imanda. Panggil je Mimi. Korang ni dari STPM kan?” soal Yasmin ingin tahu. 

Harith mengangguk laju. Pelik juga dengan soalan Yasmin.

“Kami dari diploma. Jadi kiranya kami tua setahun,” maklum Yasmin. 

“Panggil kakak lah ni?”

“Tak payah. Nampak tua pulak.” Tersengih Yasmin. 

Mimi mengeluh sahaja. Memang dah tua! Tak payah nak mengaku muda sangat. Ramah betul kawan aku ni. Sesekali Mimi melirik pada Ali yang sudah mengeluarkan laptop dari beg galasnya. Entah kenapa hati Mimi terpaut pada wajah Ali yang bersahaja. Walaupun tidak bersuara, tapi sebolehnya dia langsung tidak melarikan pandangan dari melihat perlakuan Ali. Yasmin dan Harith pula rancak berbual. 

***

“SIAPA ni?” 

“Siapa?” Terkejut Ali. Dia, Yasmin, Harith dan Mimi dalam kumpulan yang sama. Topik mereka adalah Kolongmeret. Pening juga Ali mahu mencari isi. Kebetulan masing-masing malas hendak ke perpustakaan. Nasib baiklah ada Wifi. 

“Siapa tu?” soal Mimi sekali lagi pada wallpaper pada laptop Ali. 

“Cantik awek kau,” sengih Yasmin. Tak sangka Ali sudah berpunya. Nampaknya Mimi gigit jari. 

“Awek apa kebendanya Min. Itu kakak kembar Ali. Dia dua beradik je. Aku nak masuk line mengorat kakak dia, si Ali ni tak bagi. Kedekut!” 

Ali tersengih. 

“Kakak betul ke?”

“Tak kan kakak angkat kot? Muka pun dah lebih kurang. Dia kat Korea sekarang. Aku ni kurang bijak sikit dari dia. Dia lepas SPM dah dapat tawaran pergi luar negara. Aku juga yang keputusan tak berapa nak baik.” 

Mimi mengangguk. Dia tersenyum lega.

“Kenapa?” Pelik melihat riak wajah Mimi.

Mimi geleng kepala. Dia tak tahu bagaimana hendak meluahkan rasa hati. Dia dah punya kekasih. Tapi kekasihnya jauh. Jumpa pun jarang walaupun satu negeri. Sekarang ni bila dah belajar, semakin jarang berjumpa. Nak berpisah, dia sayang. Sebab kekasih dia tu baik. Tapi… 

***

ALI QARLIFF melepaskan keluhan. Dia hendak tidur. Tapi SMS daripada Mimi membuatkan dia sanggup bersengkang mata. Dia malu, tapi mahu. Tersenyum dia. Mimi nampak pendiam, tapi rupa- rupanya memang suka bergurau. Kalau bercakap, susah nak berhenti. Dia ragu-ragu dengan perasaan sendiri. Kononnya tidak mahu bercinta sewaktu masih belajar, tapi senyuman dan kata-kata Mimi buat dia jadi angau. Mungkin ini namanya cinta pertama. Dia memang sejak dulu sengaja menjauhi cinta. Tapi pertama kali dia tidak menolak bila ada cinta datang padanya. 

“Kau suka Mimi ke?” 

“Kau merepek apa ni?”

Harith ketawa.

“Muka kau tu putih. Kalau kau malu, aku dah boleh tahu. Mimi tu memang cantik. Tapi kau dah selidik habis-habis ke? Entah-entah dia dah ada pakwe.” Selamba Harith meneruskan kata-kata. Rasanya tadi Harith sudah tidur. 

“Entahlah. Aku tak pasti juga.” 

“Lepas tu?”

“Aku rasa Mimi tu boleh bahagiakan aku kot.”

“Ada kot? Macam tak yakin je?” Tersengih Harith. Dia masih setia pada kekasihnya yang jauh dimata, tapi dekat dihati. Harapanya kekasih hatinya juga begitu. 

“Aku test dulu. Mana tahu boleh bahagia.”

“Kau ingat perasaan ni macam tu ke?” Nak test-test? Bila kau dah tersangkut, kau ingat senang ke nak buang? Macam kau kena buang sebahagian dari hati kau. Sakit tahu tak. Aku ni dah banyak pengalaman. Banyak kali dah hati aku terluka. Ni pun berjahit lagi.”

Ali ketawa. Kadang-kadang kalau berbicara dengan Harith, macam bercakap dengan penulis novel. Mentang- mentanglah ambil sastera. 

“Insya ALLAH. Aku yakit kot dengan hati aku. Mimi pun nampak baik je.” 

***

“BETUL ni kau nak teruskan lagi? Kau tak takut ke Ali?” soal Harith tak puas hati. Dah dua tahun lebih bercinta. Dah dua kali kena tipu. Pelik sungguh dengan Mimi tu. Nampak je baik, tapi kenapa boleh macam tu? 

“Entahlah. Aku tak boleh buang dia macam tu Harith. Aku tambah sakit lagi sebenarnya.”

Harith mengeluh. Dia faham perasaan Ali. Dia juga pernah begitu. Lebih baik memaafkan dari terus menderita dan membenci. Langsung tak ada ketenangan. 

“Aku rasa dia memang betul-betul berubah.”

“Kau yakin dia tak balik semula dengan ex dia tu? Ini kali kedua dia kantoi.”

Ali mengeluh. Dia tak pasti. Tapi dia sayang. Air mata lelakinya sudah dua kali tumpah demi gadis bernama Mimi Imanda. Gadis berkulit sawo matang dengan mata bulat. Tali lalat elok sahaja terletak pada hidungnya yang mancung. Berbeza pula dengan dia. Dia berkulit putih langsat. Pelik untuk seorang lelaki. Dia tidak begitu aktif bersukan seperti Mimi yang aktif. Matanya juga sepet. Banyak kali juga dia disalah anggap sebagai orang Cina. Boleh pula kadang- kadang dia disoal dalam bahasa Cina. Terpinga- pinga dia hendak membalasnya dalam bahasa Melayu. 

“Aku serahkan segala-gala-Nya pada ALLAH. Aku malu sebenarnya pada kau. Pada member kita. Pada keluarga aku. Tapi aku paling malu dengan ALLAH. Bukan sekali aku menangis waktu sembahyang, berdoa jodohku dengan dia dipanjangkan. Menangis supaya ALLAH bukakan pintu hati aku supaya lupakan dia. Tapi semua tu mustahil sangat Harith.” 

Harith mengeluh. Dia kelu. 

***

MIMI IMANDA tarik nafas. Dia penat. Terlalu banyak perkara yang perlu dirisaukan. Dia dan Ali berbeza. Ali hanya belajar tiga tahun sahaja. Dia pula empat tahun lebih. Semuanya gara-gara dia menukar kursus pada tahun kedua dulu. Usianya juga tua setahun dari Ali. Ali terlalu baik untuk dirinya. Ali terlalu banyak sangat bersabar sepanjang mereka bersama. Dua kali dia melukai hati Ali, tapi Ali masih memaafkannya. Dia tidak boleh berpisah dengan Ali. Dia juga sudah lama melupakan bekas kekasihnya. 

“Kenapa awak?”

“Maafkan saya Ali.”

“Kenapa?” 

“Maafkan saya.”

“Awak ada orang lain?”

Pantas Mimi menggeleng laju. Dia sudah tiada sesiapa. Sejak dia melukai hati Ali dulu sebanyak dua kali, dia nekad untuk berubah. 

“Saya ni tak sempurna Ali. Saya takut saya buat awak kecewa lagi. Saya takut saya musnahkan impian awak.”

“Maksud awak?”

“Awak dah dapat kerja bagus. Saya ni belajar pun tak habis lagi. Saya takut saya tak lepas je. Sudahlah saya asyik main je dari mula saya belajar dulu. Aktif memanjang. Sekarang ni… saya takut kalau saya kecewakan awak.”

“Saya boleh tunggu awak.”

“Awak baik Ali. Awak baik sangat. Saya tak sesuai untuk awak.”

“Tapi….” Ali tak mampu meneruskan kata- kata. Patutlah sejak dia habis belajar, layanan Mimi makin hambar. Memang mereka dah jarang berjumpa. Kali terakhir bila Majlis konvokesyennya dulu. Selepas dia mula bekerja, dia dan Mimi jarang berjumpa. Mereka belajar di dua tempat yang berbeza. Negeri juga berbeza. Asal mereka juga berbeza. Sebab itu memang sukar untuk mereka berjumpa. 

“Kenapa?” Ali rasa malu hendak bertanya lagi. Sekali lagi air matanya bergenang. YA ALLAH murahnya air mata aku. 

“Kalau ada jodoh. Kita akan berjumpa lagi. Nanti. Isnya ALLAH.”

“Awak janji tak akan lupakan saya?”

Mimi gigit bibir. Dia sayu mendengar getaran dari suara Ali.

“Kalau ada jodoh Ali.”

“Saya sayangkan awak.”

“Saya pun sayangkan awak. Tapi saya buat ni semuanya untuk kebaikan awak. Awak ada masa depan lebih baik.” 

Ali mengeluh. YA ALLAH, kenapa semakin aku cuba lupakan dia…dia semakin mekar dalam ingatanku? Seksa rasanya perasaan ini. Aku malu sebenarnya padamu. Kalaulah cinta yang hadir ini menyakitkan, aku lebih rela dia tidak hadir langsung dahulu. Melupakan sesuatu yang selama ini menjadi sebahagian dari hidup kita bukannya sukar. Mungkin betul orang kata, kalau dah jodoh…. kita cuba beribu perkara untuk menjauhinya, pasti akan bersama jua. Mungkin dia dan Mimi tidak dijodohkan untuk bersama pada masa ini. 

“Kau okay?” 

Ali mengeluh.

“Jom makan,” ajak Harith risau. Dah seminggu lebih sejak Ali dan Mimi berpisah, dia nampak lelaki itu seperti cuba untuk mendera dirinya. Makan tak lalu. Makan dah seperti dipaksa. 

Ali geleng kepala. Perutnya kosong. Kepalanya pening. Tapi dia tidak lapar. 

“Rindu betul aku pada suara dia. Rindu betul aku,” ucap Ali tidak terluah. Kalaulah dia boleh menjerit supaya satu dunia tahu. 

“Maafkan aku Ali,” terkedu melihat air mata Ali. Kawannya nampak betul-betul merana. Kawannya ini selama ini pendiam. Jarang meluahkan rasa hati. Tapi dia tahu kawannya sangat menderita. Hatinya hancur. YA ALLAH semoga jodoh mereka panjang. Semoga kau perkenankan doa kawanku. Dia pula sekarang berbahagia dengan kekasihnya. Malah mereka berdua merancang untuk berkahwin tidak lama lagi. Buat apa hendak ditanggung perkara yang baik. Nikah juga sebenarnya satu ibadah. Sebabnya itu salah satu perkara yang boleh menghalang kemungkaran. Kalau difikirkan kesan dan akibat kelak, biarlah semua itu ALLAH yang tentukan. Dia hanya merancang. Dia tidak sanggup melukai hati kekasihnya kalau dia sentiasa ragu- ragu untuk bersama. Bukan senang cinta hendak hadir dalam diri. Cinta itu anugerah dari ALLAH. Selagi boleh berbaik, berbaiklah.

Mungkin kadang-kadang, kita dipertemukan dengan seseorang bukan untuk bersama, tetapi belajar daripada pertemuan itu.

12 comments:

  1. Aik apa ending cita ni?

    ReplyDelete
  2. Selamat Hari Jadi Iman..

    ReplyDelete
  3. Sad story. Birthday Iman? Selamat Hari Jadi ye :)


    Kak Naz

    ReplyDelete
  4. time kaseh atas ucapan yg mgkin terakhir itu.....semoga berjaya dalam mengejar impian.....106724

    ReplyDelete
  5. Wah, habis dah iman?
    Tak ada sambungan dah?

    -Kira

    ReplyDelete
  6. "..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)

    ReplyDelete